Skip to main content

Kerana Tidak Istiqamah Maka Akhirnya Terpinggir

Keputusan PRU14 sekarang telah diketahui umum. Pakatan Harapan (PH) berjaya mengambil alih Putrajaya dan negeri-negeri di seluruh Negara kecuali Perlis, Pahang dan Sarawak yang kekal bawah BN sambil Kelantan dan Terengganu jatuh pada PAS.

Walaupun akan ada yang berkata bahawa PAS telah berjaya dengan keputusan anatara yang paling cemerlang dalam sejarahnya, hakikatnya ianya sebenarnya boleh jauh lebih baik dari itu. Malangnya, sifat gopoh dan kurang yakin kepada pendekatan yang diikutinya sejak zaman reformasi telah menyebabkan PAS semakin terpinggir dari arus perdana politik negara. Ia kembali sebagai parti pantai timur dan kawasan kampung Melayu setelah beraksi cergas di pantai barat dan kawasan bandar pada tahun-tahun pasca reformasi. Cogan kata “PAS for all” kian tidak kedengaran dan PAS kembali sebagai parti bersifat eksklusif memperjuangkan agenda khas bagi masyarakat Muslim dan Melayu.

Kalau kita berhenti sejenak dan meninggalkan alam realiti dan menyelak seketika melalui imaginasi kita, mengintai pada ‘alam mungkin terjadi’, hanya yang beragenda akan menafikan bahawa PAS pasti mendapat kemenangan jauh lebih besar sekiranya ia telah istiqamah bersama Pakatan. Sepertimana yang diperjuangkan oleh bekas pimpinannya yang akhirnya menubuhkan AMANAH, PAS akan dapat mengecapi kemenangan di peringkat Persekutuan juga. Tetapi malangnya bagi PAS, mereka terpengaruh, mungkin dengan keyakinan Najib, bahawa dia akan kekal sebagai Perdana Menteri pasca PRU14. Keyakinan Najib ini mungkin terhasil dari poket-poket yang sarat dengan duit rakyat untuk digunakan untuk membeli kembali sokongan rakyat!

Sekiranya PAS kekal dalam Pakatan, berdasarkan keputusan yang diketahui sekarang, paling kurang 36 lagi kerusi di Semenanjung yang dimenangi BN akan jatuh kepada Pakatan. Ini adalah kerana 36 kerusi ini dimenangi BN atas sebab undi berpecah antara PAS dan PH. (Sila lihat pada maklumat di bawah). Ini akan menjadikan jumlah kerusi BN di Semenanjung begitu kecil jumlahnya dan menjadikan BN, dan khususnya UMNO, tidak lagi releven untuk masa depan politik Negara. Sedangkan dengan jumlah yang ada sekarang sekalipun mereka terkapai-kapai, apatah lagi sekiranya dikurangkan lagi dengan 36 kerusi lain.

Pada masa sama PAS akan memperolehi paling kurang 33 kerusi Parlimen. Ini adalah berdasarkan 11 kerusi yang dimenangi AMANAH dicampurkan dengan 18 kerusi yang dimenangi PAS dan ditambah pula dengan sebahagian dari 36 kerusi yang disebutkan tadi. Dalam keadaan itu pimpinan PAS akan menjawat jawatan-jawatan Menteri penuh dan Timbalan Menteri yang akhirnya sekarang ini diberikan kepada pimpinan AMANAH. Dan jawatan-jawatan Menteri Besar beberapa negeri akan turut dipegang PAS, selain Kelantan, Terengganu dan Melaka. Mungkin juga Johor, Perak dan Kedah turut menjadi tuntutan. Kerana sudah pasti apabila PAS dan AMANAH tetap bersama, kuasa rundingan adalah jauh lebih kuat.

Malangnya ianya tidak begitu dan semua ini kekal dalam ‘alam mungkin terjadi’. Ianya semua kerana tidak istiqamah dengan pendekatan yang dipertahankan Almarhum TGNA dan Almarhum UFN. Boleh kita rumuskan bahawa bertindaknya PAS untuk bersendirian hanya berjaya membantu melanjutkan hayat politik UMNO dan pada masa sama menjadikan PAS sendiri kerugian besar.

Mungkin akan ada yang berkata, itu semua tidak penting kerana bukan jawatan yang diperjuangkan kami. Sudah pasti bukan itu matlamat seseorang pejuang, tetapi adalah juga pasti bahawa ianya perlu untuk mencapai matlamat perjuangan. Bagaimana mungkin ingin membuktikan keadilan Islam kalau tidak memegang jawatan dan kuasa? Kata-kata memujuk hati bolehlah diguna untuk menenangkan jiwa yang terganggu, tetapi apabila digunakan untuk menutup silap langkah, ianya proses pembodohan diri.

Kesan kekalahan BN di peringkat Persekutuan juga boleh mendatangkan masalah besar kepada PAS sendiri. Apabila siasatan dilakukan terhadap salahguna kuasa Najib melalui 1MDB, apa jaminan duit sumbangan yang diperolehi PAS tidak akan terkait dengannya? Sudah pasti, sekiranya PAS menerima ‘derma’ dari Najib melalui mana-mana agennya, ianya akan turut terbongkar. Dan sekiranya ianya didapati begitu, maka misteri perubahan sikap pimpinan PAS, khususnya Presidennya, akan dapat dirungkaikan melalui penjelasan yang mudah. Iaitu, semua berubah oleh kerana wang. Ianya bukan kerana kefahaman atau pendekatan, jauh sekali mimpi. Akhirnya kerana wang.

Dan wang yang luar biasa banyaknya telah digunakan PAS pada PRU14 ini. Ianya tidak boleh dinafikan sesiapa. Jumlah kerusi yang ditandinginya, bendera dan posternya, bersama dengan perbelanjaan perang sibernya, semua ini menunjukkan kepada satu jumlah kewangan yang luar biasa banyaknya. Sudah berapa banyak ‘kerusi hilang deposit’ yang dicatatkan PAS kali ini? Semuanya ini menimbulkan kecurigaan. Namun ianya insyaAllah akan terbongkar juga bersama dengan segala kes yang sedang dibongkarkan sekarang.

Maka sekiranya itulah yang terbukti kelak, maka kesabaran mendukung perjuangan risalah Islam yang dibawa selama ini telah dapat digagalkan melalui ujian harta dan keduniaan. Dan ia berlaku kerana tiadanya amalan semak imbang yang diajar Islam atas alasan wala dan thiqah yang melampaui batas syara’. Bersama kita doakan semoga imej Isam tidak akan terpalit dengan peristiwa mendatang ini.

WaLlahu 'Alam.
Artikel ini telah diterbitkan di dalam Mingguan AMANAH.

KHALID ABD SAMAD

Comments

abu bakar said…
Demi Masa
Manusia akan rugi kecuali
Berpesan dengan kebenaran
Berpesan dengan kesabaran

Maka mereka tidak melihat kebenaran
Anonymous said…
Tak ada ape nak komen...hampir jelas...tahniah..

Pada rakyat umumnya kemenangan PH dalam PRU-14 tidak ada kaitan dengan istiqamah tetapi punca kekalahan adalah desebabkan Tsunami fitnah, 10 janji dalam 100 hari dan janji manifento yang tidak mungkin boleh dilaksanakan dan jika dilaksanakan juga boleh memudaratkan ekonomi negara. Kini jelas janji manifesto ini menyusahkan Kerajaan PH sendiri. Maka mulalah lagi buat statement yang menyalahkan Kerajaan BN dan mengeluarkan kenyataan hutang kerajaan yang sangat mengelirukan kerana tidak rujuk pada rekod yang sebenar.
Pemuda Jenaris said…
Yang berlaku adalah persepsi. Persepsi istilah moddnnya fitnah adalah istilah yang dahulunya kita telah gunakan sejak sekian lama. Bermacam dakwaan dilempatkan kepada YB Datuk Seri Presiden Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang dan pimpinan PAS Pusat khususnya.Dakwaan PAS menerima duet 90 juta, PAS ingin berUG dengan Umno,Ustaz Hadi tidak hadir parlimen,PAS berkecuali dalam bajet yang dibentangkan oleh Perdana Menteri ketika itu,PAS menyokong GST,PAS didakwa bermacam-macam tohmahan. Apakah perkara ini biasa buat musuh politik PAS? Malah ketika serpihan masih di dalam PAS juga menerima nasib yang sama apakah ini yang dikatakan PAS mengambil pendekatan yang salah?

Unknown said…
Apakah kemenangan itu sekadar berapa banyak kerusi yang diperolehi atau berapa banyak jawatan menteri yg diberikan? Sedangkan Islam yang semakin dicabar tidak disahut dan diam seakan lembu yang kekenyangan.
Unknown said…
Dan saya maaih lagi tak faham, ada lagi segelintir masyarakat masih dengan pegangan persepsinya, fitnah dan sebagainya. Itu duit cash kat rumah berjuta2 dan barangan kemas berkambak2 dirumah masih persepsi lagi? Lailahaillah,

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan