Skip to main content

Faktor Kemenangan PRU 14

Banyak telah dikatakan berhubung kemenangan yang diperolehi Pakatan Harapan dalam PRU ke 14 yang baru berlangsung sebulan yang lepas. Sememangnya ada banyak faktor dan kesemuanya penting dan menyumbang. Tidak perlu diperlekehkan atau mengutamakan mana-mana satu faktor kerana semuanya penting. Tanpa salah satu darinya, mungkin keputusannya berbeza.

Ini mengingatkan saya pada apa yang berlaku pada tahun 1999 apabila PAS memenangi Negeri Terengganu dan membentuk kerajaan. Golongan tertentu pada ketika itu berusaha sekeras-kerasnya untuk menafikan faktor ‘reformasi’. “Kemenangan ini”, kata mereka, “adalah hasil 20 tahun tarbiyyah yang dijalankan di Terengganu”. Maka dengan sikap sebegitu, sumbangan reformasi dinafikan dan kerajaan yang dibentuk melaksanakan dasar yang berasaskan keyakinan ianya kememangan atas sebab tarbiyyah yang dijalankan. Tiada ruang diberikan untuk pendukung nilai ‘reformasi’ berfungsi. Lima tahun kemudian, dalam pilihan raya seterusnya, kerajaan PAS dijatuhkan.

Kadangkala kita ingin ‘simplify’ atau memudahkan faktor kemenangan yang tercapai sedangkan ianya terdiri dari berbagai faktor yang kompleks atau rumit yang saling berkait antara satu sama lain. ‘Over simplifying’ atau terlalu memudahkan ini akan menghasilkan tindakan yang tidak selari dengan kehendak rakyat yang membawa perubahan melalui undi mereka. Ini pasti merumitkan keadaan sepertimana yang telah dipelajari PAS, walaupun terlambat, pada tahun 2004.

Ada yang beranggapan bahawa kemenangan kali ini telah dijangka. Prestasi pada 2008 yang diikuti pula dengan yang lebih cemerlang pada 2013 hanya menjanjikan kemenangan pada 2018. Ianya digambarkan sebagai sesuatu yang sudah dijangka disebabkan hasil perkembangan yang bergerak ke arah perubahan yang tidak boleh dihalang. Bagaikan satu ‘trend’ yang semestinya mencapai kemuncak dan hasilnya, tiada yang boleh menghalangnya. Kalau dalam bahasa canggih dikatakan ‘straight line progression’ yang hasilnya satu kepastian. Pemikiran sebegitu tidak pernah melayan kemungkinan boleh berlakunya kesilapan yang boleh menyebabkan kemenangan pihak lawan dicapai pada saat saat terakhir yang digambarkan seperti “clutching victory from the jaws of defeat” atau mencapai kemenangan dari ambang kekalahahan.

Masalahnya, politik dan manusia bukan semudah itu. Banyak sangat ‘variables’ atau pembolehubah dan walaupun ianya boleh dicuba untuk diambil-kira, akhirnya manusia tetap manusia. Lari sedikit sahaja maka semuanya boleh berubah.

Bagi saya secara peribadi, kejayaan PH kali ini adalah atas sebab ‘messaging’ yang jelas dan tertumpu. Ini menghasilkan gelombang tambahan yang melengkapi yang sediada sejak 2008 dan 2013 sehingga mendatangkan kemenangan dengan selesa. Pendekatan yang digunakan kali ini juga ada keanjalannya. Adanya kelonggaran pada yang perlu kepada kelonggaran, seperti di Sabah. Dan ada juga kesepaduan dan ‘rigidity’ pada tempat yang memerlukan kesepaduan dan rigidity seperti di Semenanjung. Hasil dari mesej yang jelas serta tertumpu dan keanjalan tersebut maka satu tsunami rakyat telah berjaya dihasilkan. Keputusannya turut memeranjatkan semua, termasuk pihak yang menang.

Mesej yang jelas dan tertumpu ini mesti juga dizahirkan melalui amalan dan tindakan supaya semua yang mengikuti memahami perubahan kali ini adalah satu persoalan yang serius. Tiada guna sekiranya dikatakan negara perlu diselamatkan tetapi pada masa sama parti komponen PH tidak bersatu dan kelihatan berbalah. Oleh itu satu pendekatan yang menyakinkan rakyat bahawa PH bersatu dan padu adalah amat penting. Ke arah ini kesemua pimpinan parti komponen telah memperlihatkan pengorbanan yang tinggi. Demi menyelamatkan negara maka kesatuan dan perpaduan diutamakan sehingga semua berkorban.

Keluarga DSAI berkorban dengan mengenepikan perasaan dan keperitan yang pernah dilalui sehingga sanggup menerima Tun M bukan sahaja sebagai Pengerusi PH tetapi juga calon Perdana Menteri! Hanya yang pernah bersama keluarga DSAI dalam mengharungi segala mehnah dan tribulasi zaman reformasi boleh memahami betapa besarnya pengorbanan tersebut.

Tun M juga berkorban. Meninggalkan kedudukan yang selesa sebagai mantan PM yang disanjung dan dipuji ahli dan penyokong UMNO/BN untuk mengharungi badai sebagai pemimpin pembangkang. Dan bukan hanya itu sahaja, tetapi juga bersatu dengan musuh-musuh asal termasuk Keadilan dan DAP, demi tertubuhnya satu gabungan politik pembangkang yang mantap. Segala celaan dan tohmahan diharunginya dengan penuh ketabahan demi menyelamatkan negara. Meninggalkan UMNO, parti yang telah beliau berkhidmat untuknya sekian lama dan mengambil tekad untuk membina parti politik baharu iaitu PPBM.

DAP juga telah turut berkorban. Pengorbanan yang tidak disangkakan apabila logo roket yang dikenali ahli dan penyokong sanggup diketepikan dan sebaliknya digunakan logo Keadilan. Demi menzahirkan satu kesatuan yang mampu meyakinkan rakyat bahawa PH bersatu.

AMANAH juga tidak ketinggalan berkorban. Mungkin antara yang terawal berkorban dengan penubuhan AMANAH yang disambut dengan sumpah saranah dan doa laknat pimpinan parti lama. Semua itu terpaksa diharungi untuk mewujudkan wadah baharu melalui Pakatan Harapan setelah Pakatan Rakyat dirungkai habis oleh tindakan PAS.

Kesemua kesungguhan dan pengorbanan ini disaksikan rakyat. Dengan adanya ketidak puasanhati dan isu-isu besar sahaja tidak memadai. Persoalan keyakinan rakyat atas kesungguhan perjuangan PH perlu dizahirkan dan dibuktikan. Akhirnya rakyat memahami. Ianya perjuangan untuk selamatkan Negara dan PH hanya sekadar sebagai wadah yang digunakan rakyat ke arah pencapaian matlamat tersebut. Namun rakyat perlu yakin wadah tersebut boleh memenuhi kehendak mereka.

Apabila rakyat dapat diyakinkan maka mereka sanggup mengharungiapa sahaja. Termasuklah mengundi pada hari Rabu dan terpaksa menunggu berjam-jam lamanya dalam keadaan panas beratur. Kerana ianya perjuangan rakyat. Demi menyelamatkan negara. Dan senjata yang disediakan kelihatan padu dan berkemampuan.

Oleh itu, semua telah menyumbang. Samada DSAI, Tun M, DAP atau AMANAH, samada isu atau kos kehidupan, samada perwatakan Najib dan Rosmah, semua menyumbang kepada kejayaan. Bagi yang beriman akhirnya ia adalah takdir Allah. Manusia merancang dan Allah juga merancang. Dan Allah sebaik-baik perancang. Usaha dan kegigihan menghasilkan natijah yang diinginkan dengan izin Allah.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-