Skip to main content

Persoalan Ateisme Dikalangan Anak Melayu

Soalan mengenai bagaimana ingin ditangani kegiatan golongan Ateis ditimbulkan oleh YB Kota Raja Dr. Siti Mariah Mahmud di Parlimen dan ianya dijawab Timbalan Menteri Dr. Asyraf Wajidi. Malangnya jawapan Timbalan Menteri tidak memberikan langkah-langkah konkrit yang boleh diambil. Selain dari menyatakan bahawa ianya di bawah kuasa Negeri, Timbalan Menteri menyebut Akta Hasutan dan Perlembagaan sebagai sebahagian dari jawapannya.

1. Pendekatan menggunakan ‘kuasa’ dalam menyelesaikan masalah kepercayaan peribadi adalah sesuatu yang saya anggap aneh dan yakin tidak akan berkesan. Kita akan hanya berjaya memaksa mereka mengatakan mereka percaya sedangkan mereka kekal tidak percaya. Malahan mungkin juga bertambah dalam ketidak percayaan mereka apabila kekerasan digunakan. Ini adalah kerana kepercayaan tidak boleh dipaksakan.

2. Dalam soalan ini Al-Quran jelas menunjukkan sikap yang setepatnya. Di dalam surah Yunus ayat 99 dan 100 Allah berfirman:

“Sekiranya Tuhan kamu ingin Dia boleh jadikan semua di atas bumi ini beriman. Adakah kamu ingin memaksa manusia sehingga dia beriman?”

“Sedangkan tidak akan beriman seseorang itu kecuali dengan izin Allah. Dan akan dicampakkan kehinaan ke atas mereka yang tidak berakal/berfikir.”

3. Ayat-ayat ini adalah bermaksud umum. Termasuk di dalamnya adalah sikap yang sepatutnya diamalkan terhadap orang bukan islam termasuk golongan Ateis sekalipun. Al-Quran menjelaskan di dalam ayat tersebut bahawa tidak boleh dipaksa seseorang untuk percaya. Sambil itu yang tidak menggunakan akal akan terhina. Ini adalah kerana akal boleh membawa seseorang untuk mengenali alam dan Penciptanya. Dan yang tidak percaya hakikatnya tidak memanfaatkan akal mereka.

Ayat 101 seterusnya menjelaskan bagaimana alam semesta itu sendiri adalah petanda dan bukti akan kewujudan Allah.

“Katakan (kepada mereka wahai Muhammad); “Fikirkan tentang apa yang ada di langit dan di bumi. Namun tanda-tanda atau bukti dan amaran serta peringatan tidak memanfaatkan orang-orang yang tidak beriman.”


4. Saya teringat satu ketika dahulu apabila Almarhum TGNA dijemput berucap dalam seminar berhubung Penjagaan Alam Sekitar. Almarhum diberi teks ucapan yang disediakan oleh pejabatnya. Tetapi Almarhum meletak ke tepi teks ucapan tersebut dan berkata, “Teks ada, tetapi saya tak nak baca teks. Saya nak berucap atas fahaman saya sendiri selama ini. Alam sekitar ini wajib kita jaga kerana ianya adalah ayat atau bukti utama kewujudan Allah. Antara yang pertama yang saya belajar dalam ilmu Tauhid adalah alam semesta adalah petunjuk yang nyata bahawa Allah wujud. Pepatah Arab menyebut kalau ada tanda tapak unta di padang pasir, ianya bukti unta itu ada. Begitu juga alam ini adalah bukti ada Penciptanya iaitu Allah”.

5. Fahaman Ateis ini sebenarnya bukan baharu. Malahan pernah wujud pada zaman Nabi (SAW) dan sebelum dari itu. Al-Quran membahaskannya dengan menyeru kepada manusia untuk melihat dan memikir mengenai kejadian alam dan segala di dalamnya. Turt disebut adalah ciptaan unta.

6. Kisah para Ulama Islam berdebat dengan Ateis pada zaman lampau turut menghiasi lembaran sejarah ummat Islam. Kisah Imam Ahmad Bin Hambal dan Imam Abu Hanifah berdebat dengan Ateis pada zaman mereka adalah antara kisah yang termasyhur. Yang hairannya tidak pula mereka menuntut golongan ini terus dipenjarakan atau dihalau keluar negara atau dikenakan akta hasutan. Sebaliknya dihujahnya dengan cara masing-masing sehingga tertumpas golongan Ateis. Imam Al-Ghazali juga masyhur dengan hujahannya menghadapi golongan falsafah. Ini semua bukti bahawa fahaman dan pegangan perlu dihadapi secara ilmiah dan berhujah bukan dengan ugutan dan kekerasan.

7. Adakah mungkin Asyraf Wajidi menganggap kemampuan para ulama kita sudah tidak seperti dahulu? Atau dianggapnya lagi mudah untuk dijawab dengan ugutan dan kekerasan? Tetapi tidakkah sepatutnya persoalan keraguan yang dibisikkan syaitan ke hati manusia mengenai kewujudan Allah dijawab secara ilmiah oleh para Ulama? Begitu lemah keyakinan Asyraf Wajidi terhadap kemampuan Ulama dewasa ini sehingga hanya mampu menggunakan hujah perlembagaan untuk meyangkal fahaman Ateis.

8. Bangkit YB Hanipa Maidin (Sepang) untuk menyanggah tafsiran Asyraf Wajidi berhubung perlembagaan. Kononnya ‘freedom of religion’ tidak bererti ‘freedom from religion’ dan oleh itu golongan Ateis ini menyalahi perlembagaan. YB Hanipa memberikan tafsiran sebaliknya dengan mengatakan fahaman Ateis itu juga adalah suatu kepercayaan dan secara teknikalnya boleh juga dianggap sebagai “satu agama”. Oleh itu kewujudan mereka di Negara ini tidak menyalahi perlembagaan dan mereka berhak mendapat segala hak sebagai rakyat Malaysia.

9. Kenyataan Hanipa pula diputar-belit kononnya dia menyokong disebarkan fahaman Ateis di kalangan orang Islam! Sedangkan golongan Ateis yang dimaksudkan YB Hanipa adalah yang di kalangan bukan Islam kerana tidak mungkin adanya Ateis yang beragama Islam!

10. Isu yang dibawa YB Hanipa adalah berhubung kedudukan orang bukan Islam yang berfahaman Ateis di sisi perlembagaan. Bukan soal penyebaran fahaman Ateis di kalangan orang Islam. Usaha menyebarkan fahaman Ateis kepada orang Islam semestinya bercanggah dengan perlembagaan kerana tidak dibenarkan penyebaran agama lain selain Islam di kalangan orang Islam. Dan fahaman Ateis adalah fahaman yang selain dari Islam.

11. Ada yang kata Ateis bukan agama tetapi ‘fahaman’ atau ‘dogma’ atau ‘falsafah’. Itu semua hanya istilah tetapi hakikatnya agama adalah kepercayaan mengenai Tuhan, samada Esa atau ramai, samada ada atau tidak, samada mempunyai anak atau tidak dan sebagainya. Dengan ditakrifkan fahaman Ateis sebagai agama maka ianya tidak boleh disebarkan di kalangan ummat Islam. Ada yang cuba jawab dengan mengatakan enakmen Negeri dah menyebut mengenai larangan penyebaran doktrin dan ajaran yang bercanggah dengan Islam maka tidak perlu dikatakan Ateis sebagai agama untuk melarang penyebarannya di kalangan ummat Islam. Ini boleh menimbulkan perbahasan samada enakmen tersebut bercanggah dengan Perlembagaan. Tetapi sekiranya ditakrifkan semua itu sebagai agama maka dengan sendirinya tidak akan wujud percanggahan antara enakmen Negeri dengan Perlembagaan Persekutuan.

12. Ada pula muncul mamat UMNO yang berhujah ummat Islam mempunyai Izzah dan dengan itu tidak perlu diberi muka kepada golongan Ateis. Yang menggunakan hujah ini rasa saya tidak memahami hujahnya sendiri. Izzah ummat Islam adalah atas sebab Aqeedah dan akhlak mereka. Apabila akhlak sudah hilang dengan bergelumangnya pemimpin Islam dengan rasuah dan penyelewengan, di mana hak kita untuk bercakap mengenai Izzah ummat Islam? Memalukan ummat Islam bolehlah kot?

13. Saya sendiri telah menyebut bahawa sikap sebahagian ummat Islam memperalatkan agama Islam demi mempertahankan kezaliman dan penyelewengan menyumbang kepada mula bertapaknya fahaman Ateis di kalangan ummat Islam. Golongan yang jahil agama di kalangan ummat Islam akan merumuskan bahawa agama hanya alat untuk mempertahankan golongan berkuasa. Ini adalah antara apa yang telah berlaku di dunia barat sehingga tercetusnya zaman reformasi barat di mana agama ditolak dan mula berpengaruh fahaman sekular dan komunis. Mula muncul kata-kata seperti yang dikatakan Karl Marx bahawa agama adalah candu masyarakat dan sebagainya.

14. Persoalan ini juga saya sandarkan kepada ayat 94 Surah An-Nahl yang saya bacakan semasa perbahasan bajet. Ia bermaksud;

“Dan janganlah kamu jadikan janji-janji yang kamu meteraikan antara kamu sebagai bahan permainan. Nescaya akan tergelincir kaki kamu setelah berdiri tegap. Akan kamu dicampakkan dengan kehinaan. Kerana kamu menjadi penghalang bagi manusia lain dari datang ke jalan Allah. Dan untuk kamu seksaan yang pedih”.


Antara pengajaran dari ayat ini adalah akhlak buruk ummat Islam boleh menjadi penghalang kepada orang lain supaya beriman kepada Allah. Semestinya termasuk juga yang jahil di kalangan orang Islam.


KESIMPULAN

Selain dari mengemukakan hujah dalam menangani masalah tersebarnya fahaman Ateis di kalangan orang Islam (khususnya yang muda), ummat Islam sendiri perlu ikhlas dalam beragama. Biar dilihat atas tuntutan agama maka ummat Islam bangun menentang kezaliman dan rasuah, bukan membelanya. Dengan itu akan terserlah hakikat bahawa agama Islam itu adalah pembawa rahmat kepada manusia dan ianya dari Allah bukan ciptaan golongan berkuasa untuk mempertahankan jawatan dan kedudukan mereka.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Neutronboy said…
Penulis kutuk orang lain guna agama untuk pertahankan kedudukan. Pandangan ni jelas penulis juga gunakan agama dengan fahaman hizbiyah untuk jatuhkan seteru politik.

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan