Skip to main content

PRU14: Menunggu Kucing Bertanduk atau Harimau Vegetarian?

Keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) untuk tidak berunding dengan PAS telah memeranjatkan ramai. Sambil ada yang menyambutnya dengan baik dan menganggapnya satu keputusan yang tepat dan wajar, ada juga yang mempertikaikannya.

Mereka mempertikaikan kebijaksanaan keputusan berkenaan dan hairan ada yang “memilih pertandingan tiga penjuru”. Kehairanan mereka adalah disebabkan hampir semua pengalaman lepas berhubung pertandingan tiga penjuru, kecuali yang melibatkan calon bebas yang bertanding secara bersendirian, telah menghasilkan kemenangan bagi Barisan Nasional (BN).

Memang diakui, pertandingan satu lawan satu hasil dari kesatuan pembangkang, adalah keadaan yang terbaik dan paling ideal yang diinginkan semua. Ini akan menjamin semua undi pro-pembangkang akan diraih oleh calon pembangkang yang bertanding menentang parti pemerintah secara satu lawan satu. Dengan itu kemenangan berada dalam genggaman.

Akan tetapi, kadangkala keadaan sebenar tidak selari dengan kehendak yang ideal.

Hakikatnya pada hari ini pembangkang tidak bersatu sepertimana ia bersatu menjelang Pilihan Raya Umum 2013. Untuk memikirkan keadaan ideal sedangkan keadaan sebenar adalah jelas sebaliknya adalah sebahagian dari sindrom penafian. Lebih cepat kita mengakui keadaan sebenar, walau sepahit mana sekalipun keadaan itu, lebih awal kita boleh menetapkan strategi yang efektif demi mencapai yang terbaik dalam keadaan yang kita hadapi.

Ramai yang mengelirukan diri sendiri apabila berhujah bahawa satu lawan satu semestinya lebih baik dari pertandingan tiga penjuru. Isu sebenar bukan samada satu lawan satu lebih baik dari pertandingan tiga penjuru. Itu persoalan bersifat akademik dan mempunyai jawapan yang jelas. Isu sebenarnya adalah:

Sama ada persetujuan berhubung pertandingan satu lawan satu benar-benar mampu tercapai dan sekiranya mampu adakah kerjasama tersebut membantu kita mencapai matlamat yang dikongsi bersama melalui PH untuk mengalahkan BN dan membentuk kerajaan baharu di Putrajaya.

Maka biarlah kita jelas berhubung persoalan ini. Ia bukan perbahasan antara “yang menyokong satu lawan satu” dan “yang menyokong tiga penjuru!” Ia sebenarnya perbahasan antara mereka yang yakin kerjasama dengan PAS bukan sahaja mungkin tetapi bermanfaat dengan mereka yang menganggap sebaliknya.

Izinkan saya mengupas dua persoalan ini secara berasingan dan dengan lebih mendalam supaya semua akan lebih memahaminya. Izinkan saya menjawab persoalan samada kita boleh berkerjasama dengan PAS terlebih dahulu.

BOLEHKAH KITA BEKERJASAMA DENGAN PAS?

Sejak 2013 untuk dikatakan PAS adalah rakan yang sukar untuk bersama adalah kata-kata yang terlalu berlapik. Walaupun ada perjanjian secara bertulis yang diketahui semua, PAS tetap melanggar janji-janjinya. Pimpinan PAS yang bersuara mengkritik pengkhianatan PAS di Kota Damansara dan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara dituduh “kurang setia kepada parti” dan seterusnya dicabar keluar parti.

Begitu juga apa yang berlaku semasa Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh. “Pimpinan tidak setia” ini akhirnya meninggalkan parti dan sekarang bersama Amanah sambil golongan yang menyokong tindakan khianati rakan Pakatan Rakyat (PR) sekarang menguasai PAS. 

Sekiranya PAS tidak mampu menghormati perjanjian kerjasama yang bertulis, sepertimana yang wujud dengan PR pada ketika itu, maka apa jaminan PAS akan berakhlak mulia apabila tiada perjanjian bertulis?

Ini menjadikan persoalan kerjasama dengan PAS sesuatu yang meragukan. Apa yang akan menghalang PAS dari meletakkan calon pada saat terakhir, seperti di Kota Damansara, dan dengan itu menghasilkan pertandingan tiga penjuru, walaupun setelah berjanji mereka tidak akan melakukannya?

Dan sekiranya ia berlaku, tanpa apa-apa persediaan untuk menghadapi keadaan sebegitu, kita akan keliru dan tersentak sepertimana juga pengundi.

Dewasa ini kita semua tahu bagaimana PAS ingin bertanding di kerusi-kerusi yang kita ingin bertanding. Pada 2013 kita boleh kata kita jahil dan tidak tahu, tetapi alasan tersebut tidak boleh diguna pakai dewasa ini. PAS telah menyatakannya secara jelas berkali-kali dan dalam beberapa bahasa “PAS tidak minat berkerjasama dengan PH”.

Terimalah hakikat ini dan tanganinya.

ADAKAH KERJASAMA INI BERMANFAAT?

Isu kedua adalah berhubung samada kerjasama ini bermanfaat dan diinginkan dalam usaha kita untuk mengalahkan BN dan membentuk kerajaan baharu di Putrajaya.

Untuk menjawab soalan ini biarlah kita andaikan bahawa kita telah berjaya bekerjasama dengan PAS dan kali ini mereka mengotakan janji mereka dengan menentukan pertandingan satu lawan satu. Dalam keadaan begitu ada dua isu yang perlu dijawab seperti berikut:

• Semasa bertanding apa jaminan ahli PAS akan mengundi calon kita?
• Selepas menang apa yang akan menghalang PAS dari membentuk kerajaan bersama BN?

Semasa Pilihan Raya Umum 2013, calon Parlimen PKR di Kelantan kalah kepada calon BN sedangkan calon PAS di semua kerusi DUN di Parlimen berkenaan telah menang.

Ini bermakna penyokong PAS mengundi calon PAS di peringkat DUN tetapi tidak mengundi calon PKR di peringkat Parlimen. Apabila disiasat didapati bahawa mereka telah diarah oleh pimpinan tertentu untuk tidak mengundi calon PKR. Ini dalam keadaan adanya perjanjian bertulis.
Apa jaminan perkara yang sama tidak akan berulang kembali?

Dalam persoalan pasca pilihan raya, diketahui umum bahawa PAS telah mengisytiharkan bahawa mereka ingin menjadi “king maker” selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Mereka akan pertimbangkan pilihan yang ada dan membuat keputusan berdasarkan apa yang diyakini akan lebih menguntungkan PAS. Sekiranya niat mereka telah dinyatakan dengan begitu jelas, maka apa maknanya kita membantu calon mereka menang?

Apabila diberi pilihan samada PH atau BN masih ada ke yang tidak tahu mana satu pilihan yang lebih disukai PAS?

Semestinya PAS akan memilih gabungan yang tidak disertai parti yang diisytiharkan PAS sebagai “musuh Islam”, iaitu DAP dan “pengkhianat Islam” iaitu Amanah. Sikap mereka terhadap Bersatu dan PKR tidak pula kurang kebenciannya .

Apabila ini semua diketahui, adakah sesiapa yang boleh nyatakan dengan penuh keyakinan bahawa kerjasama ini bermanfaat dan menguntungkan?

PERSOALAN PERTANDINGAN TIGA PENJURU YANG TIDAK MUNGKIN DIMENANGI

Kita tersilap sekiranya membuat kesimpulan kurang matang berdasarkan pengalaman kita dengan pertandingan tiga penjuru. Hakikatnya setiap kali ianya berlaku, khususnya apabila PAS meletakkan calon di kerusi yang ditandingi calon PR, kita tidak membuat apa-apa persedian untuk menghadapinya.

Apabila ia berlaku secara mengejut, tak banyak yang boleh kita lakukan. Dan sekiranya kita sendiri terpinga-pinga hasil pengkhianatan PAS, gambarkan kekeliruan pengundi!

Pengundi pasti akan keliru, sepertimana pengundi di Kota Damansara pada 2013, tidak tahu nak undi siapa kerana ia pertandingan antara “rakan-rakan”. Usaha untuk menjelaskan keadaan dengan diumumkan Dr. Nasir sebagai calon rasmi PR, walaupun oleh pimpinan PAS yang tidak merestui tindakan khianat tersebut, merupakan usaha terlalu lambat dan terlalu terhad. Pengundi mungkin lebih bersedia menghadapi kekeliruan tersebut sekiranya dimaklumkan lebih awal mengenai niat PAS untuk khianat.

Mungkin lebih ramai akan mengundi Dr. Nasir pada ketika itu dan dia mungkin boleh dimenangkan!

Dalam erti kata lain, kita kalah pertandingan tiga penjuru bukan kerana ianya pertandingan tiga penjuru tetapi kerana kita tidak membuat apa-apa persediaan untuk menghadapinya. Dan pengundi juga tidak disediakan untuk menghadapinya. Memaklumkan semua, secara seawal mungkin, mengenai akan berlakunya pertandingan tiga penjuru adalah strategi tepat sekiranya kita mengetahui mengenainya lebih awal. Ini jauh lebih baik berbanding berpegang teguh kepada mimpi kosong ingin “bekerjasama” dengan PAS.

Begitu juga kita kena belajar dari pengalaman kita semasa Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Begitu banyak masa dibazirkan memujuk PAS, masa yang sepatutnya digunakan untuk menyediakan semua untuk menghadapi persaingan tiga penjuru.

Akhirnya PAS tidak berganjak, tidak untuk Amanah dan walaupun untuk PKR. Maka kita terperangkap dalam suasana tiga penjuru tanpa persediaan untuk menghadapinya dan pengundi kekal keliru berhubung siapa mereka perlu undi.

Berdasarkan keadaan sekarang, tiada apa-apa tanda PAS bersetuju berkerjasama dengan tidak bertanding di kerusi-kerusi yang kita ada harapan untuk menang. Membuang masa memujuk mereka untuk bersetuju bererti kita akan melakukan kesilapan yang sama sepertimana kita lakukan di Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Sepatutnya kita gunakan masa itu membuat persediaan untuk menghadapi pertandingan tiga penjuru yang sudah tidak boleh dielak lagi.

Kedua, pertandingan tiga penjuru yang melibatkan rakan anggota gabungan pasti mengelirukan pengundi. Ini perlu dielak walau dalam keadaan apa sekalipun. Akan tetapi ini tidak lagi keadaannya apabila berlaku pertandingan tiga penjuru yang melibatkan PAS. PAS tidak lagi merupakan parti rakan dan tidak juga menyertai PH. Oleh itu ia tidak lagi mengelirukan bagi yang mengikuti perkembangan. Dan lebih awal kita maklumkan masyarakat umum bahawa PAS bukan lagi rakan dan bukan lagi anggota gabungan kita, lebih baik.

Dalam keadaan sebegitu semua yang inginkan perubahan akan mengundi calon PH. Keterlibatan PAS dalam PRU14 ini perlu dijelaskan kepada masyarakat sebagai keterlibatan secara main-main tanpa adanya niat untuk membentuk kerajaan baharu. Sebaliknya keterlibatan PAS bertujuan mempertahankan kerajaan yang sedia ada.

KESIMPULAN

Pertandingan secara tiga penjuru bukan pilihan pertama mana-mana pihak. Namun berdasarkan keadaan sekarang, itulah apa yang perlu kita harungi. Lebih awal kita bersedia untuk menghadapinya lebih baik. Ia amat mencabar tetapi harapan untuk menang ada sekiranya masyarakat dimaklumkan mengenai keadaan sebenar.

Sebaliknya, pertandingan satu lawan satu yang berjaya serta bermakna bergantung sepenuhnya kepada keikhlasan PAS. Buat masa ini ia sesuatu yang terlalu sukar untuk diyakini. Ia bagaikan mengharapkan kucing bertanduk atau harimau menjadi vegetarian.

Artikel ini telah diterbitkan pada 30 Ogos 2017 dalam Bahasa Inggeris GE14, PAS and three-cornered fights (Malaysiakini) dan dalam bahasa Melayu PRU14 dan pertandingan 3 penjuru (The Malaysian Insight).

WaLlahu 'Alam

KHALID ABD SAMAD

Comments

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-