Skip to main content

‘PC Antiklimaks’ Najib dan Kisah 8 Adun Keadilan Yang Nak Melompat

Kesian Perdana Menteri kita. Kembali daripada satu program ‘fail’ kepada satu program yang ‘super fail’! Adakah ini petanda bahawa Najib sedang hilang kawalan ke atas program-program yang direncanakannya dalam persiapan untuk menghadapi PRU ke 14? Dan sekiranya jawapannya adalah “Ya”, sudah pasti Najib dan pasukanya sedang ketakutan! Kegagalan pada saat-saat terakhir seperti ini hanya menjamin kekalahan BN semasa PRU kelak!
<@--more-->
LAWATAN KE AMERIKA

Program ‘fail’ yang pertama adalah lawatan Najib ke Amerika Syarikat. Mungkin dia tidak sedar ucapan sumpah setia dan sedia berkhidmat untuk Amerika Syarikat ditularkan sedemikian rupa. Kelihatan dan kedengaran secara jelas, Perdana Menteri Malaysia meletakkan segala kekayaan Negaranya di kaki Presiden Amerika untuk digunakannya mengikut keperluan dan kepentingan Amerika Syarikat, maka terus terbayang mentaliti seorang anak jajahan yang membodek penjajahnya. Tidak saya terfikir satu aksi dan senario yang lebih menghina dari apa yang telah saya saksikan ketika itu.

Ada yang kata video 6 minit itu bukan keseluruhan pertemuan dan perbincangan Najib dengan Trump. Ya benar, tetapi yang selainnya kita tak nampak atau dengar. Yang 6 minit itu sudah cukup memperlihatkan sikap cium tangan Najib terhadap Trump! Apa alasan untuk kita meyakini 30 minit yang seterusnya tidak juga sebegitu?

Namun Najib kembali dengan penuh ‘bravado’ atau kebanggaan diri. Najib kata KWSP sudah banyak berlabur di Amerika, sejak 2005 dan kita untung bila kita labur di Amerika. Siap disebutnya keuntungan 1 Billion atas sebab pembelian saham Ali Baba di Amerika. Dan 1 Billion itu dilaburkan lagi di Amerika!

Kalau benar sudah banyak dilaburkan, maka mengapa perlu tambah lagi? Tidakkah ianya ‘prudent’ atau bijak untuk tidak melaburkan terlalu banyak di satu tempat? Dan apa implikasinya melabur di luar negara sambil mengabaikan negara sendiri? Tidakkah kita sepatutnya mengekalkan atau menambah pelaburan di negara kita kerana kadar pengangguran bertambah, pekerjaan kurang? Apa maknanya mendapat keuntungan tetapi keuntungan itu juga terus dilaburkan di Amerika membantu ekonomi Amerika? Sedangkan di sini syarikat-syarikat dan perniagaan-perniagaan kecil sedang menggulung tikar!

Najib ingin memberikan gambaran ‘kejayaan’ dengan keuntungan berbillion. Tetapi kalau sudah banyak untungnya maka kenapa semakin terbeban dan sempit kehidupan rakyat jelata di Malaysia? Apa maknanya keuntungan itu kalau tidak dimanfaatkan untuk rakyat? Atau adakah beliau terpaksa mengutamakan keuntungan kewangan melalui pelaburan di Amerika,dan meremehkan pelaburan di negara sendiri kerana inginkan wang untuk dibayar hutang-hutang 1MDB?

PC ANTIKLIMAKS NAJIB

Apabila mengetahui bagaimana rakyat kecewa dengan tindakannya semasa di Amerika, Najib pasti seronok apabila dimaklumkan bahawa akan diadakan PC (Press Conference atau Sidang Akhbar) untuk mengumumkan kembalinya beberapa bekas pimpinan UMNO ke pangkuan UMNO. Mereka telah meninggalkan UMNO beberapa tahun sebelum ini dalam era Najib. Diharapnya program PC ini boleh menutup kegagalan programnya di Amerika yang memperlihatkannya seolah-olah sebagai khadam Amerika!

Malangnya bagi Najib, PC itu pun tidak seperti yang diinginkannya! Perdana Menteri kita ini bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga!

Majlis PC itu terlewat beberapa puluh minit. Mungkin kerana mencari yang lain yang tidak tiba. Kononnya akan ada beberapa bekas pimpinan UMNO tetapi akhirnya hanya seorang sahaja yang muncul! Maka keseluruhan pimpinan UMNO telah hadir untuk menyambut Tan Sri Mohd Taib. Hebatnya TSMT kita.

Saya kesian TSMT. Saya sebenarnya tidak tahu apa sebab sebenarnya dia melompat lagi. Asal dari UMNO kepada PAS pada 2013. Selepas itu setelah dilihat PAS berubah, maka dari PAS ke Keadilan pada 2015. Selepas itu entah mengapa dari keadilan kembali ke UMNO pada 2017. Walau apa pun sebabnya, saya yakin jiwa TSMT tidak akan tenteram bersama UMNO. Kalau pada 2013 didapati tidak sesuai dengan jiwanya, UMNO 2017 jauh lebih rakus dan akan memeranjatnya! Walaubagaimana pun, biarlah kita lihat apa yang akan berlaku selepas ini.

Yang saya ingin sebut sikit ialah berhubung khabar angin kononnya TSMT membawa 8 ADUN Keadilan bersamanya. Dengan itu maka UMNO bersama PAS, TSMT berserta 8 ADUN Keadilan dan TSKI boleh membentuk kerajaan Selangor yang baharu. Kononnya itulah sebabnya seluruh kepimpinan UMNO dipanggil untuk hadir. Bukan untuk sambut TSMT tetapi menyambut pembentukan kerajaan baharu di Selangor! Dan ianya digagalkan kononnya oleh kuasa yang teratas, yang saya faham, DYMM Sultan Selangor! Dan kerana apa? Kerana Baginda tidak suka TSMT bersama!

Saya pada awalnya terpegun juga apabila membaca teori ini. Memang wajarlah dipanggil semua pimpinan UMNO kalau begitu kata saya. Namun, adakah ianya benar?

Bagi saya, ianya khabar angin yang sengaja disebarkan untuk menjadikannya peluru untuk menembak pihak lawan khususnya Keadilan. Keadilan dianggap musuh terkedepan di Selangor, Negeri yang diidam-idamkan. Mereka ingin mengubah program yang jelas ‘fail’ kepada sesuatu menguntungkan UMNO dengan membuat cerita ini. Amat bijak dan licik mereka yang menghasilkan cerita dongeng yang disebarkan ini.

Melalui kisah ini akan tersemai kesangsian dan kecurigaan di kalangan parti komponen PH terhadap Keadilan. Sedangkan 8 ADUN adalah jauh ‘terlalu ramai’! Kalau cuba menipu sekali pun, biarlah berpada-pada supaya orang boleh percaya. Kalau PAS melompat satu parti itu rakyat boleh percaya kerana hampir berlaku semasa krisis MB Selangor zaman TSKI dahulu. Tetapi 8 ADUN Keadilan?

Sedangkan seorang pun tidak lompat pada zaman TSKI. Sedangkan semasa kes TSKI, boleh dikemukakan beberapa justifikasi untuk melompat. Dan sekarang apa justifikasinya? Tiada angin bertiupan tiba-tiba pokok bergoncang? Ya, ada monyet. Monyet yang sekadar penyebar khabar angin.

Saya merumuskan bahawa Najib semakin terdesak sekarang. Dia sedang berusaha mencari formula penyelamat sambil semua yang diusahakannya tidak kesampaian. Mungkin ini ‘petanda’ bahawa Najib akan juga gagal dalam PRU akan datang? Sekiranya Najib seorang yang percaya kepada ilmu ‘petanda’, maka sudah pasti dia dalam kepanasan.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-