Skip to main content

Kerjasama Dengan Tun M: Kenapa Ianya Perlu

Ada yang masih mempertikaikan, sehingga hari ini, keperluan untuk berkerjasama dengan Tun Mahathir. Mereka terus menimbulkan isu pertentangan yang dahulu antara pembangkang dan Tun semasa beliau masih Perdana Menteri. Maka di atas sebab segala yang telah berlaku maka ada yang menganggap kerjasama dengan Tun M sebagai suatu pengkhianatan terhadap perjuangan yang dibawa sekian lama. Sedangkan kemenangan perlu sekiranya agenda perjuangan ini akan dapat terlaksana.

KERJASAMA YANG KONTROVERSIAL

Saya tidak menafikan bahawa persoalan kerjasama ini merupakan sesuatu yang dianggap ‘kontroversial’. Sehinggakan ada yang menganggap bahawa sekiranya kita menang sekalipun pilihan raya ke 14 ini dan layak ke Putrajaya, Tun akan mengkhianati PH dan kembali untuk membentuk kerajaan bersama UMNO/BN. Oleh itu kerjasama dengan Tun tidak bermakna!

Saya juga tidak menafikan bahawa pengkhianatan yang disebut-sebut itu merupakan satu kemungkinan, namun ianya tetap sekadar hanya satu kemungkinan dan tidak lebih dari itu. Akan tetapi, melalui kerjasama ini, paling kurang, harapan untuk berjaya adalah lebih tinggi! Samada pengkhianatan tersebut akan berlaku atau sebaliknya masih tidak tentu lagi tetapi yang boleh ditentukan ialah, tanpa kerjasama ini, harapan untuk menang juga berkurangan.

Hakikatnya undi Melayu yang menjadi masalah pakatan pembangkang selama ini. Walaupun bersama PAS, kita masih gagal mendapatkan jumlah undi Melayu yang diperlukan untuk menang, apatah lagi tanpa PAS!

MASALAH UNDI MELAYU

Ya benar, AMANAH menggantikan PAS. Tetapi tidak dapat dinafikan bahawa AMANAH tidak mungkin mampu membawa seluruh undi PAS kepadanya, dan melaluinya kepada PH. Maka sudah pasti akan kurang daripada apa yang pernah diperolehi PAS dahulu kerana kali ini ianya terbelah kepada dua, iaitu sebahagian kekal bersama PAS dan sebahagian lain bersama AMANAH. Undi Melayu yang dibawa AMANAH tidak mungkin melebihi undi Melayu yang diperolehi PAS semasa PAS belum berpecah dua.

Melalui penyertaan PPBM, undi Melayu yang dari blok yang menyokong UMNO akan dibawa kepada PH. Ini bermakna PH akan menerima undi Melayu dari blok PAS melalui AMANAH dan dari blok UMNO melalui PPBM. Jumlah ini dijangka akan lebih dari jumlah yang dibawa lari PAS.

Pada masa yang sama undi yang dibawa PPBM adalah dari blok UMNO. Ini bermakna sambil undi PH bertambah, undi UMNO akan berkurangan. Pada dasarnya, undi yang dibawa lari oleh PAS tidak akan menyebabkan undi UMNO bertambah, sebaliknya kekal bersama PAS yang bertanding secara bersendirian. Ini akan menambahkan lagi potensi PH untuk menang.

Oleh itu apabila PPBM bersama PH, maka potensi dan kemungkinan menang adalah satu realiti. Tidak mungkin menjadi realiti tanpa mereka. Pada masa sama PPBM juga tidak mungkin menang tanpa PH! Hanya persoalan yang timbul adalah apa yang akan berlaku selepas kemenangan tercapai?

APA AKAN BERLAKU SEKIRANYA MENANG?

Apa berlaku sekiranya menang? Tiada yang boleh menjawab soalan ini dengan pasti. Namun saya merasakan tiada sebab PPBM perlu kembali kepada UMNO/BN sekiranya mereka melihat PH mempunyai potensi untuk menjadi sebuah kerajaan yang bersih dan cekap tanpa terkorbannya kedudukan orang Melayu yang menjadi asas perjuangan mereka. Lebih-lebih lagi sekiranya jumlah kerusi yang dimenangi PH adalah begitu menyeluruh.

Sekiranya PPBM dan Tun tidak mengkhianati undi rakyat dan kekal bersama PH, maka akan timbul pula soalan kedua, iaitu sejauh mana PPBM akan akur dengan pimpinan PH? Tidakkah mungkin mereka akan ulangi cara kepimpinan lama seperti semasa Tun Perdana Menteri? Apakah perbezaan di antara BN dan PH jika membentuk kerajaan nanti?

BEZA KEADAAN DALAM BN DAN PH

Hakikatnya keadaan PPBM dalam PH tidak sama seperti UMNO dalam BN. Dalam BN, UMNO sahaja parti Melayu. UMNO bertanding hampir semua kerusi majoriti Melayu. Jumlah kerusi yang ditandingi dan seterusnya dimenangi UMNO menyebabkan UMNO boleh mendominasi BN. Pada PRU ke 13, UMNO memenangi 88 kerusi Parlimen kesemuanya. Ianya lebih dari separuh dari kerusi BN di Parlimen sekarang!

Dalam PH, bukan hanya PPBM parti orang Melayu. Oleh itu kerusi majoriti Melayu akan dikongsi PPBM bersama AMANAH dan Keadilan. Dalam keadaan ini tidak mungkin PPBM akan bertanding 100 lebih kerusi sepertimana dilakukan UMNO. Oleh itu PPBM tidak akan mampu bertindak sebagai ‘diktator’ dalam PH sepertimana UMNO dalam BN.

Oleh itu tiada sebab perlunya ada takut dengan kemungkinan Tun bertindak seperti dahulu. PPBM dalam PH tidak seperti UMNO dalam BN. Terlalu banyak ‘check and balance’ wujud dalam PH untuk membenarkan mana-mana parti mendominasi PH. Termasuklah DAP.

PERUMPAMAAN YANG MENARIK

Pernah saya dengar satu perumpamaan dalam soal ini. Perumpamaannya adalah begini:

Dulu Tun M yang pegang pistol dan dia tembak ke arah kita. Maka kita lawan dia kerana pistol itu dipegangnya dan tembakannya menyulitkan kita. Sekarang yang memegang pistol tersebut dan menggunakannya untuk menembak kita adalah Najib. Pistol itu tidak lagi di tangan Tun. Maka tidak bermakna jika kita masih ingin berlawan dengan Tun. Bukan dia yang menembak kita sekarang. Malahan dia turut sama ditembak dan ingin bersama merampas pistol tersebut dari Najib.

Hanya apabila kita bersama Tun berjaya merampas pistol tersebut dari Najib, kita perlu tentukan, siapa sahaja yang pegang pistol itu selepas ini, maka peluru-pelurunya kesemuanya disimpan rakan-rakan lain. Yang pegang pistol tiada peluru.

KESIMPULAN

Sepertimana semua perkara dalam kehidupan ini, tiada yang terjamin atau pasti dalam perjuangan politik. Semua boleh berubah. Risiko perlu diambil. Pengalaman semasa saya bersama dengan PAS adalah bukti kebenaran dakwaan ini. Apabila Ku Li menubuhkan S46, ada yang takut mengambil risiko. Tetapi akhirnya diusahakan. Maka walaupun Ku Li kemudiannya balik kepada UMNO, namun PAS berjaya menang kembali Kelantan. Begitu juga dengan DSAI dan gerakan reformasi. Ada juga yang membantah dan tidak setuju. Namun akhirnya terbukti ianya mengukuhkan pembangkang dan juga PAS.

Tidak dinafikan ada juga yang berubah menjadi lebih teruk. Keadaan PAS sekarang ini sebagai bukti. Dahulunya begitu bencikan UMNO. Sekarang dianggap pilihan kedua selepas PAS bagi rakyat jelata.

Dalam politik, kita mesti sanggup mengambil risiko. Tetapi risiko yang dikaji dan dipertimbang untung ruginya atau ‘calculated risk’. Tiada risiko maka tiada kemajuan. Tidak sanggup mengambil risiko mengusahakan kemenangan melalui PH yang di dalamnya ada PPBM dan Tun, maka sudah hamper pasti kita akan terus menjadi pembangkang selepas PRU ke 14 ini. Dan mungkin juga untuk selama-lamanya sehingga akan ada yang sanggup mengambil risiko apabila peluang itu terbuka.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Dan said…
Dengan adanya PPBM maka persepsi pakatan yang dikuasai oleh DAP akan berkurangan. Inilah masa yang terbaik bagi PH untuk memerintah dan sy minta pimpinan janganlah bergaduh tentang siapa bakal PM dan berhentilah sesetengah pimpinan PKR yang masih gilakan PAS.
Miji said…
Dlm fikiran yb hanya nak menang saja perkiraannya.inilah ujian allah utk kita bila diberikan kemenangan.takut hilang kemenangan hingga sanggup buat apa saja.

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-