Skip to main content

Kerajaan PR Memerintah di Selangor?

Ada yang bertanya kepada saya samada benar “kerajaan PR yang memerintah di Selangor?”. Saya jawab PR telah lama terkubur dan yang memerintah di Selangor sejak selepas Muktamar PAS tahun 2015 bukan lagi kerajaan PR tetapi satu gabungan longgar antara Keadilan, DAP, AMANAH dan PAS. Ianya gabungan yang sekadar ingin memenuhi janji-janji manifesto PR 2013 walaupun gabungan PR itu sendiri sudah tiada.

APA ITU GABUNGAN ATAU ‘COALITION’ PARTI POLITIK

Untuk memahami keadaan ini dengan jelas, kita terlebih dahulu perlu memahami apa itu maksud ‘gabungan atau coalition’ parti politik. Sesuatu gabungan atau coalition parti politik muncul setelah wujudnya persetujuan dan perjanjian antara beberapa parti politik untuk berkerjasama atau memerintah bersama berdasarkan garis panduan yang dipersetujui bersama. Mereka akan sering bertemu dan berbincang sambil merangka tindakan bersama dalam menangani masalah rakyat. Pertemuan dan perbincangan mereka dilakukan atas nama parti masing-masing dan bukan atas kapasiti individu atau jawatan yang disandang.

Oleh itu apabila hubungan antara parti-parti politik telah pun diputuskan, sepertimana yang telah dilakukan PAS pada 2015 terhadap DAP, maka gabungan yang diwujudkan sebelumnya telah dengan sendirinya terkubur. Dalam erti-kata lain, PR telah dikuburkan melalui usul yang diluluskan tanpa bahas dalam muktamar PAS 2015. Hakikat bahawa ada pimpinan dan ahli PAS yang tidak faham maksud serta implikasi ‘usul yang diluluskan tanpa bahas secara sebulat suara’ tidak mengubah kenyataan bahawa usul itu telah diluluskan. Apabila usul itu diluluskan maka dengan itu terputuslah hubungan antara PAS dan DAP dengan sendirinya. Dan dengan itu juga terkuburlah PR.

MAKSUD DAN IMPLIKASI MELULUSKAN USUL

Keadaan di mana maksud dan implikasi meluluskan sesuatu usul tidak difahami oleh ahli dan pimpinan PAS terus terserlah apabila sekali lagi mereka meluluskan usul untuk memutuskan hubungan dengan Keadilan tetapi terus bersama dalam kerajaan Selangor di bawah kepimpinan Keadilan! Mungkin perkataan ‘usul’ itu difahami PAS dalam konteks penggunaannya dalam istilah seperti ‘usul Fiqh’ dan ‘usul Tafsiir’ dan bukan sebagai suatu penetapan pendirian yang memerlukan tindakan selepasnya. Maka walaupun diluluskan sesuatu usul, tiada tindakan yang perlu diambil mengikut fahaman mereka. Dan begitu juga apabila sesuatu usul tidak diluluskan, ianya tiada masalah kerana usul dibawa. Mungkin juga membawa ‘usul’, meluluskan atau ditolaknya adalah sesuatu kebanggaan dan hobi PAS. Tiada makna atau implikasi. Hanya gah semata-mata.

Maka setelah hubungan antara PAS dan DAP serta Keadilan diputuskan oleh PAS, melalui usul-usul yang diluluskan, maka adalah amat pelik apabila didengari ada yang masih mendakwa “PR memerintah di Selangor”.

PERUMPAMAAN PERKAHWINAN

Untuk memudahkan persoalan ini difahami, biar saya umpamakan gabungan dan coalition antara parti politik sebagai satu perkahwinan. Apabila seorang lelaki dan perempuan dikatakan sudah berkahwin ini bermakna adanya hubungan peribadi rasmi di antara mereka berdua. Hubungan itu ada ditetapkan hak dan peranan masing-masing terhadap satu sama lain dan mereka saling menjaga kepentingan hubungan itu dan anggota di dalam hubungan tersebut. Si isteri menjaga hak suami dan si suami menjaga hak isteri. Begitu juga mereka menjaga kepentingan dan hak anak-anak serta kaum keluarga masing-masing. Dan masyarakat pada ketika itu akan menggelar mereka sebagai ‘keluarga si polan dan si polan’.

Apabila, atas apa jua alasan, perkahwinan itu ditamatkan melalui perceraian, maka walaupun mereka masih ada hubungan sebagai bekas suami dan isteri serta ibu dan bapa kepada anak-anak hasil perkahwinan mereka, namun hanya yang kurang maklumat akan berkata bahawa mereka masih suami isteri dan perkahwinan tersebut tetap kekal. Malahan istilah ‘keluarga si polan dan si polan’ tidak akan digunapakai lagi lebih-lebih lagi sekiranya si suami atau si isteri telah berkahwin semula dengan pasangan baharu.

Hakikat bahawa mereka telah bercerai dan telah tamat gabungan mereka sebagai suami isteri akan tetap diakui walaupun mereka terus berkerja di syarikat yang sama sekiranya itulah yang dilakukan sebelum perceraian mereka. Dan sekiranya syarikat itu merupakan syarikat usahasama antara mereka berdua, hakikat mereka terus berusaha menjayakan syarikat tersebut tidak mengubahkan bahawa mereka tetap tidak lagi suami isteri. Kewajipan mereka terhadap satu sama lain juga berubah dan sememangnya si bekas suami wajib mengutamakan hubungannya dengan isterinya yang baharu, atau gabungannya yang baharu sepertimana juga si bekas isteri.

Amat malang sekiranya mereka terus berlagak seperti masih berkahwin dan si bekas suami atau si bekas isteri mengutamakan hubungan dengan ‘bekasnya’ lebih dari dengan pasangan baharu mereka masing-masing. Jika itu yang berlaku ada yang tak kena!

Berdasarkan perumpamaan mudah yang telah saya berikan rasanya amat jelas bahawa dakwaan kerajaan Selangor adalah kerajaan PR amat meleset sama-sekali. Saya tidak hairan sekiranya PAS tidak faham maksud dan implikasi meluluskan usul sendiri tetapi takkan ada orang lain yang tak faham?

Kita akui dan boleh terima bahawa hubungan sebagai ‘bekas’ masih membawa tanggung-jawab bersama tetapi hakikat bahawa sudah bercerai wajib diakui. Hakikatnya PR sudah tiada. Kerajaan Selangor bukan kerajaan PR dan PAS khususnya adalah bakal saingan dalam PRU ke 14 samada kita inginkan atau sebaliknya.

MENYERU ‘ROH’ PR SUPAYA SATU LAWAN SATU DIAPAT DILAKSANA

Ada yang mendakwa gabungan PR Selangor itu perlu disebut-sebut dan diseru ‘rohnya’ walaupun ianya sudah terkubur. Ini adalah untuk menentukan ‘satu lawan satu’ dalam PRU ke 14. Bagi saya penegasan terhadap satu lawan satu adalah kesilapan besar. Apa makna adanya satu lawan satu dengan diberikan kerusi untuk ditandingi PAS dengan disokong PH sekiranya setelah menang, PAS entah ke mana?

Dijawab balik bahawa kerusi yang PAS menang tidak penting. Yang penting adalah kerusi yang dimenangi PH apabila PAS tidak bertanding di kerusi yang sama!

Jawapan ini mengandaikan PAS akan menyokong calon PH apabila kerusi itu tidak ditandingi PAS. Andaian ini tidak berasas. Hakikatnya PAS telah TIDAK menyokong calon PR di beberapa kerusi pada 2013 dahulu walaupun pada ketika itu PAS bersama PR! Maka apa jaminan PAS akan menyokong calon PH sedangkan mereka bukan bersama PH? Kalau semasa bersama PR pun PAS mengkhianati PR, apatah lagi mengkhianati PH? Lebih-lebih lagi apabila sudah jelas bahawa PAS sebagai ‘King Maker’ akan sanggup bersama UMNO membentuk kerajaan. Oleh itu apa masalahnya bagi PAS sekiranya calon PH kalah? Mungkin ianya lebih disukainya kerana DAP dan AMANAH tidak bersama UMNO tetapi bersama PH!

KESIMPULAN

Saya tidak percaya bahawa dakwaan “kerajaan PR memerintah di Selangor” adalah dakwaan yang serius. Tak mungkin ada yang berkeyakinan sebegitu. Semua tahu PR telah terkubur. Namun malangnya ada yang masih berpegang kepada keyakinan bahawa PH tidak boleh menang tanpa PAS dan dalam keadaan tiga penjuru. Oleh itu maka dibuat dakwaan yang terdesak sebegitu rupa.

Bagi saya, yang menganggap PAS diperlukan untuk menang sedang terperangkap dalam minda dan pemikiran lama. Oleh kerana minda mereka terperangkap maka disukarkan penyelesaian sebenar tanpa mereka menyedarinya. Roh yang diseru pasti tidak akan kembali. Namun yang perlu diperkukuh dan diperkuatkan, iaitu PH, akan sedikit terabai kerana sibuk menyeru ‘roh lama’.

Namun saya yakin bahawa insyaAllah PH akan terus membina kekuatan hari demi hari walaupun tidak dibantu sepenuhnya. Bak kata orang putih, “we will grow strong in spite of you!”

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

BE PART OF SOLUTION NOT PROBLEM

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan