Skip to main content

Sambil Melayu Islam Bergelut Dengan Perkauman dan Ekstrimis Agama

Saya tertarik dengan berita laporan Malaysiakini berhubung peristiwa di Portland Oregon yang berlaku pada Jumaat lalu. Tiga orang bukan Islam telah berusaha meredakan keadaan dalam sebuah tren komuter apabila dua wanita Islam diganggu seorang lelaki bukan Islam. Hasil dari keadaan itu, dua dari tiga lelaki tersebut telah mati ditikam sambil yang ketiga cedera parah.

Lelaki yang menimbulkan ketegangan itu dan menikam ketiga-tiga mereka telah melarikan diri selepas itu dan kemudiannya ditahan polis. Beliau akan dihadapkan ke mahkamah di bawah tuduhan membunuh.

Dua lelaki yang mati ditikam bernama Rick Best dan Namkai Meche. Rick Best adalah seorang bekas tentera Amerika, berkahwin dan meninggalkan seorang isteri dan 4 orang anak. Namkai Meche pula seorang pemuda yang berusia 23 tahun yang baru sahaja menamatkan pengajian dalam bidang ekonomi peringkat ijazah muda. Lelaki ketiga, ia itu Micah Fletcher, berusia 21 tahun merupakan pekerja di sebuah kedai pizza berhampiran tempat kejadian. Beliau sedang dirawat di hospital dengan kecederaan parah.

Hasil tindakan berani mereka bertiga, dua wanita islam berkenaan terselamat dari gangguan dan ancaman. Mereka bertiga tidak mengenali dua wanita Islam berkenaan. Mereka bukan beragama Islam dan mungkin juga tidak sebangsa, namun mereka sanggup membela kehormatan dau wanita Islam tersebut. Walaupun imej Islam, khususnya di Amerika, begitu terpalit dengan tindakan golongan ‘pengganas islam’, tiga lelaki ini menyedari bahawa pengganas yang mengganas atas nama Islam, kononnya, tidak mewakili semua orang Islam. Dan dua wanita berkenaan, walaupun beragama Islam, tidak wajar diherdik dan dicaci sebegitu rupa.

Tindakan mereka bertiga, yang mampu membezakan pengganas dari ummat Islam secara amnya, harus dicontohi semua. Menghukum kesemua ummat Islam sebagai ‘pengganas’ adalah tidak tepat dan tidak adil. Begitu juga sebaliknya. Menghukum semua bukan Islam sebagai ‘musuh Islam’, ‘anti-Islam’ dan sebagainya adalah juga tidak tepat dan tidak adil.

Nabi (SAW) sendiri telah menunjukkan kepada kita bagaimana bukan Islam boleh bersikap adil dan melindungi ummat Islam. Raja Najashi di Habsyah yang beragama Kristian telah menjadi tempat berlindungnya ummat Islam dalam peristiwa Hijrah pertama. Malahan dewasa ini sendiri, berapa ramai ummat Islam telah berhijrah mendapat perlindungan di negara-negara Eropah dan Amerika? Dalam banyak keadaan, mereka berhijrah melarikan diri dari pemimpin zalim yang beragama Islam.

Sikap menghukum keseluruhan bukan Islam sebagai ‘musuh Islam’ dan menanam kebencian terhadap mereka adalah punca berlakunya tindakan keganasan. Turut dihukum adalah mereka yang dikatakan ‘berlembut’ dengan yang bukan islam yang dilihat menggadai kepentingan agama. Inilah sebabnya golongan pengganas tidak berasa bersalah dengan tindakan membunuh secara rambang, termasuk wanita dan kanak-kanak, seperti yang berlaku di Manchester dan juga di Mesir sehari sebelum Ramadhan. Begitu juga yang berlaku di Indonesia dan Filipina. Sebahagian yang terkorban adalah ummat Islam sendiri. Siapa sahaja yang tidak bersama mereka boleh dikorbankan kerana hanya mereka kononnya yang berada di jalan Allah.

Dalam peristwa keganasan di Mesir yang menjadi sasaran adalah sekumpulan Kristian Koptik yang dalam perjalanan ke tempat ibadah mereka. Mereka diserang dan dibunuh semata-mata kerana mereka kristian koptik. Sedangkan semua tahu bagaimana Umar Al-Khattab pernah membela hak Kristian Koptik yang dizalimi oleh anak gabenor Mesir yang beragama Islam. Umar berpihak kepada Kristian Koptik tersebut dan menghukum si zalim yang beragama Islam! Islam mengajar kita untuk bersama keadilan dan kebenaran bukan bersama orang Islam secara membabi buta. Janganlah atas desakan ‘solidariti bersama Islam’ maka kita bersolidariti dengan penzalim yang menzalimi pihak lain khususnya bukan Islam.

Istilah seperti ‘musuh Islam’ dan ‘anti-Islam’ adalah istilah-istilah yang suka digunapakai oleh golongan pengganas dalam usaha menanam kebencian terhadap masyarakat atau kumpulan tertentu. Dengan menggunakan istilah yang begitu ‘emotif’ atau ‘merangsangkan perasaan’, khususnya perasaan kemarahan dan kebencian, mereka mengharapkan ummat Islam akan menyokong tindakan mereka. Sehingga pembunuhan rambang wanita dan kanak-kanak oleh ‘pengganas Islam’ akan dianggap ‘harus’ dan tidak menimbulkan kemarahan ummat Islam. Ianya seolah-olah sesuatu yang boleh diterima kerana ianya balasan terhadap mereka yang dikatakan ‘musuh Islam’ dan ‘anti-Islam’.

Sebenarnya golongan pengganas dan ‘berpemikiran pengganas’ menggunakan agama untuk kepentingan politik mereka. Dengan ‘imej keislaman’ mereka menanamkan nilai-nilai yang bercanggah dengan ajaran Islam itu sendiri. Mereka melakukan kerosakan terhadap Islam yang jauh lebih dahsyat berbanding tindakan-tindakan tertentu yang sedang dihebohkan yang kononnya menghina Islam dan mencabar ummat Islam.

Kekecohan terhadap laporan muka depan akhbar The STAR Sabtu lalu agak membinggungkan apabila dibandingkan dengan berita tindakan pengganas yang dilapornya. Saya hairan kenapa ummat Islam diajak memarahi The STAR atas kesilapan lay-out berita tersebut dan tidak pula terhadap kegiatan pengganas yang melibatkan ummat Islam dari Malaysia? Sepertimana juga kemarahan terhadap kesilapan seorang Ahli Parlimen bukan Islam yang mengucapkan “Selamat Menyambut Bulan Ramadhan” selepas dijemput ahli qariyah ke dalam dewan salat Masjid.

Saya melihat satu perancangan untuk menimbulkan kemarahan dan kebencian ummat Islam terhadap bukan Islam sedang sengaja dijalankan. Isu yang sepatutnya dimarahi ummat Islam, iaitu keganasan, dan usaha untuk menangani falsafahnya tidak dilakukan. Akan tetapi yang dilakukan adalah yang sebaliknya. Kempen ini, yang bertujuan menanam kebencian dan kemarahan ummat Islam terhadap bukan Islam, perlu ditolak dan ditentang semua yang waras dan bertanggung-jawab. Bukan sahaja ianya mampu memusnahkan negara, ia merosakkan ummat Islam dan imej Islam.
Ummat islam kena sentiasa diingatkan, Islam datang bukan untuk menghasilkan kebencian dan pertembungan dengan bukan islam. Islam datang sebagai rahmat untuk semua, samada muslim atau bukan muslim. Kalau bukan islam boleh mempertahankan hak dua wanita islam di Portland Oregon, sehingga tergadai nyawa, tidakkah ummat Islam mempunyai kekuatan moral untuk melakukan yang sama, atau lebih dari itu?

Sambil Melayu Islam bergelut dengan semangat perkauman dan ekstrimis agama, dengan mengemukakan berbagai hujah dan dalil, tiga lelaki bukan Islam di Portland Oregon menunjukkan akhlak mulia yang sepatutnya ada pada ummat Islam.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-