Skip to main content

Diantara Ijazah, CGPA dan Kebijaksanaan


Biasanya kebijaksanaan seseorang dapat dilihat dari kata-kata atau tulisannya. Mendengar kata-kata seseorang atau membaca tulisannya memadai untuk dinilai bahawa seseorang itu mempunyai akal yang sihat dan daya pemikiran yang baik. Jarang sekali perlu ditunjukkan sijil ataupun ijazah. Kebiasanya juga, ijazah terpaksa digunapakai apabila kebijaksanaan dipertikai disebabkan ucapan dan tulisan menzahirkan seakan-akan ada ‘kekurangan’.

Bagi yang sering menzahirkan ‘kekurangan’ ini, mungkin setiap tulisan dan kata-kata perlu dipamirkan di hujungnya ijazah dan CGPA. Ini adalah kerana kebijaksanaannya hanya atas sijil-sijil itu dan tidak terzahir selain dari di atas kertas-kertas itu. Mungkin ini yang dimaksudkan pepatah “bodoh tidak boleh diajar dan pandai yang tidak boleh diikut”. Tidak boleh dimanfaatkan kerana hanya atas kertas.

Saya telah membaca beberapa tulisan yang mungkin perlu diamalkan apa yang saya cadangkan. Sekurang-kurangnya yang membaca mengetahui penulis ada ijazah dan CGPA yang baik walaupun tulisannya agak cetek dan dangkal. Paling kurang tidak akan dikatakan penulis itu bodoh walaupun penulisannya kurang cerdik.

PENSYARAH YANG BELUM MENJADI PROFESSOR

Penulisan yang begitu banyak dan kerap oleh pensyarah bernama Dr. Kamarul Yusoff antara tulisan yang saya maksudkan. Dia telahpun mempamirkan ijazah dan CGPAnya atas sebab teguran saya yang sekali itu. Dulu saya ingat dia seorang Professor tetapi kemudiannya saya diberitahu dia bukan seorang Professor. Mungkin itu antara sebab disebalik kekerapan dan jumlah penulisannya. Namun saya yakin kekerapan dan jumlah bukan ukuran terpenting. Yang penting adalah kualiti penulisan.

Tulisannya yang bertajuk ‘Pemimpin AMANAH Bodoh Kuda Tunggangan DAP’ telah saya baca sepintas lalu. Ianya tidak menarik sama sekali dan nilai intelektualnya, bagi saya, terlalu rendah. Kualitinya tidak kurang lebih dari kualiti cyber-trooper. Dari tajuknya pun kita sudah boleh agak kurangnya kualitinya. Kalau ingin dapat ‘Professorship’ dengan tulisan sebegini saya rasa lama lagilah jawabnya.

Teguran sinis Dr. Muhaimin Sulam pun tidak mampu difahaminya, siap diucapkan terima kasih lagi!

AMANAH KUDA TUNGGANGAN DAP?

Dalam mempertahankan tuduhannya bahawa AMANAH adalah ‘kuda tunggangan DAP’ Kamarul mengemukakan beberapa hujah. Malangnya tidak satu pun yang boleh dikatakan kukuh dan muktamad. Sebaliknya ianya sekadar membuktikan agenda dirinya sendiri sehingga sanggup menggadaikan maruah diri melalui hujah dangkal yang tidak layak bagi seorang berijazah dan CGPA tinggi. Di sini saya kupas kembali hujah Kamarul tersebut.

I. Amanah Paling Keterdepan

Soal AMANAH paling keterdepan membela Hannah dan DAP apabila diserang digunakan sebagai hujah. Sebenarnya beliau tidak faham. Yang ingin dibela pada hakikatnya bukan Hannah atau DAP tetapi yang ingin dibela adalah imej Islam yang tercalar melalui serangan yang rasis dan berfikiran sempit yang dilemparkan terhadap mereka. AMANAH ingin menzahirkan sikap Islam yang sebaliknya supaya Islam dilihat sebagai agama yang terbuka dan bersifat adil.

Sepatutnya apa yang perlu dilakukan Kamarul adalah membuktikan bahawa AMANAH membela sesuatu yang tidak wajar dibelanya. Bukan sekadar mengkritik AMANAH kerana membela! Apa salah membela yang difitnah dan dizalimi? Adakah mengikut fahaman Kamarul membela pun sudah salah kerana yang dibela adalah DAP dan Hannah? Dan Hannah pula tidak layak dibela kerana beragama Kristian? Maka di atas sebab itu maka AMANAH adalah kuda tunggangan? Aduuuiii..

Saya hanya mampu mengatakan “Harap tunjuk sijil dan CGPA kembali…”

II. DAP Ghairah Menyokong Amanah

Dakwaan bahawa DAP kononnya begitu ghairah menyambut kehadiran AMANAH dan membantu AMANAH dengan segala cara turut dikemukakan Kamarul sebagai hujah dan bukti bahawa AMANAH adalah kuda tunggangan DAP. Maaf, saya keliru. Kalau DAP yang bertungkus-lumus membantu AMANAH maka bagaimana dikatakan AMANAH kuda tunggangan DAP? Tidakkah sepatutnya sebaliknya? Bukankah kuda tunggangan itu yang ditunggang ia itu yang bertungkus lumus? Kalau dikatakan AMANAH bersusah payah membantu DAP barulah dakwaannya lojik!

Namun, saya faham apa yang dimaksudkannya walaupun tidak dijelaskannya secara yang terbaik. Dan di sini sekali lagi ianya berdasarkan pra-sangka hasil agenda tersembunyi yang ada pada doktor PhD ini. Kamarul ingin semua percaya bahawa AMANAH ditubuhkan demi kepentingan DAP walaupun tiada sebarang bukti untuk menyokong dakwaan tersebut. Hakikatnya, samada dengan atau tanpa DAP, AMANAH akan tetap ditubuhkan, bukan untuk membantu DAP tetapi untuk meneruskan perjuangan Islam dalam bentuk yang pernah dibawa pimpinan PAS dahulu sebelum zaman Hadi, iaitu perjuangan yang adil terhadap semua, menentang kezaliman dan bebas perkauman.

Dan apa hairannya sekiranya DAP seronok dengan kehadiran AMANAH dan berusaha untuk membantu AMANAH? Mungkin mereka melihat AMANAH mempunyai ciri yang sepertimana ada pada PAS dahulu yang pernah mereka berkerjasama dan berkawan. Iaitu PAS Almarhum TG Yusof Rawa, Almarhum Ust Fadhil Noor dan Almarhum TG Nik Aziz.

Ketiga-tiga pimpinan ini, termasuk Almarhum TG Yusof Rawa, saya berpeluang mengenali dan berkerja rapat dengan mereka semua.

Sambil PAS semakin dihanyutkan UMNO, DAP berterima kasih dengan kewujudan AMANAH yang akan menentang kezaliman, menegakkan keadilan dan menolak perkauman. AMANAH akan membela mereka dan sesiapa sahaja tanpa mengira latarbelakang agama atau kaum apabila mereka difitnah dan ditohmah dengan berbagai fitnah serta tohmahan termasuk oleh PAS dan juga UMNO. Oleh itu DAP sedar, AMANAH berpegang teguh kepada keadilan Islam dan atas sebab itu DAP sanggup membantu AMANAH sekiranya diperlukan.

Hanya yang hidup dalam perigi buta dan beragenda sahaja akan mengatakan bahawa PAS tidak berubah. Satu Malaysia mengetahui PAS sudah berubah dan turut diakui oleh pimpinan PAS sendiri, maka mustahil ianya tidak disedari oleh seorang yang berijazah dan berCGPA tinggi. Kecualilah beliau beragenda sendiri.

III. Bantuan Kerajaan Pulau Pinang

Kamarul timbulkan juga isu bantuan dan jawatan dalam kerajaan Pulau Pinang. Soal bantuan kerjaan Pulau Pinang itu perkara biasa, Dr Oooooi. Keadilan pun menerimanya. Ianya atas sebab kebersamaan dalam kerajaan PH di Pulau Pinang. Takkan itu pun tak boleh faham? Kalau ya pun carilah hujah lain.

Terpaksa juga saya katakan sekali lagi, “Harap tunjuk sijil dan CGPA kembali…”

IV. Thesis Andy Mickey Choong Tek Choy

Kamarul ada juga membuat petikan dari kenyataan Lim Kit Siang kepada seorang yang bernama Andy Mickey Choong Tek Choy. Kenyataan Kit Siang ini dimuatkan dalam thesis beliau. Ia menceritakan bagaimana DAP membantu pembangunan Keadilan supaya dapat dikawal dan diimbangi kekuatan PAS. Saya pelik ini turut ingin dijadikan isu oleh Kamarul. Semua parti politik mempunyai kepentingan mereka masing-masing dan walaupun dalam koalisi ada juga persaingan untuk pengaruh dan saling mengimbangi pengaruh. Dan ini bukan sesuatu yang pelik. Adakah Kamarul menganggap DAP harus membantu PAS menjadi kuat sehingga menguasai seluruh negara? Nanti dituduh pula PAS dikudakan DAP! Atau membantu Keadilan untuk menguasai kesemuanya? Nanti dituduh pula Keadilan dikudakan DAP! Semestinya di dalam mana-mana politik berpakat atau berkoalisi, usaha untuk saling mengimbangi akan dilakukan semua pihak supaya menentukan tiada yang terlalu kuat sehingga mendominasi koalisi tersebut. Itu perkara biasa dan sesuai dengan thesis Andy yang bertajuk “Politics of Opposition Coalition Building” atau “Politik Pembinaan Gabungan Pembangkang”.

Lagipun ianya kenyataan 2006 yang pada ketika itu PR belum lagi diwujudkan. Yang ada hanya BA dan DAP. Di mana DAP pula berada di luar BA. Maka kehendak DAP untuk mengawal pengaruh PAS pada ketika itu juga adalah bertambah wajar.

KESIMPULAN

Saya merasakan apa yang dikemukakan sebagai hujah dan bukti ‘AMANAH KUDA TUNGGANGAN DAP’ adalah amat sangat rapuh dan tidak bernilai. Ianya tidak layak digelar bukti atau hujah sekalipun, melainkan leteran seorang yang beragenda busuk.

Sebagai penutup ingin juga saya sebut sebenarnya istilah ‘dikudakan’, ‘khadam’ dan sebagainya merupakan istilah-istilah yang tiada tempat dalam PH. Ianya sebaliknya istilah yang disukai PAS dan UMNO, pasangan baharu yang sedang bermain mata dan bercumbu-cumbuan.

Banyak lagi yang ingin saya jawab balik terhadap tulisan doktor PhD yang mempunyai banyak masa untuk berleter tanpa hujjah dan hala tuju ini. InsyaAllah, kalau tiada kerja lain dalam masa seminggu dua ini.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

BE PART OF SOLUTION NOT PROBLEM.

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-