Skip to main content

Gerakan Islam: Pemikiran Bercelaru Mengenepikan Tertib Dan Susunan Kerja

Antara yang terpenting dalam menentukan kejayaan sesuatu usaha besar adalah mengenali dan mengikut tertib atau susunan gerak kerja. Dalam erti-kata lain, perlu didahulukan yang dahulu dan dikemudiankan yang kemudian. Persoalan tertib ini diajar Islam kepada penganutnya tetapi malangnya ianya diikuti dengan begitu taat sekali tetapi hanya dalam amal ibadah khususiah. Dalam melaksanakan amal ibadah khususiah, seperti solat, takbiratul ihram mesti didahulukan sebelum membaca Al-faatihah sepertimana juga rukuk sebelum iqtidal dan begitulah kisahnya dalam setiap amalan. Sekiranya amalan tidak mengikut tertib yang ditetapkan, maka amalan itu dianggap tidak sah. Namun, pada hakikatnya, tertib juga penting dalam kerja ibadah keduniaan.

Sebagai contoh, dalam membina sebuah bangunan, amat perlu dibina dahulu asasnya dan diikuti pula dengan tiang-tiangnya. Kemudian barulah dibina bumbungnya. Amatlah pelik kalau dibina dahulu bumbungnya dan selepas itu berusaha untuk membina asas serta tiangnya di bawah bumbung tersebut! Atau, mengangkat bumbung yang sudah siap, lengkap dengan rangkanya, untuk diletakkan ke atas tiang dan asas yang dibina kemudiannya.

Maka begitu juga dalam persoalan membina sebuah masyarakat dan negara yang ingin dicorakkan dengan nilai Islam. Perlu disebar dan diperluaskan pengaruh nilai islam tersebut terlebih dahulu sebelum boleh dikuat-kuasakannya melalui perundangan. Dan kalau persoalan ini dilihat dari sudut proses perjuangan Rasulullah (SAW), inilah apa yang dilakukan Baginda.

TERTIB PERJUANGAN RASULULLAH (SAW) KEKAL DALAM KHAZANAH KEILMUAN ISLAM

Semestinya ada sebab mengapa Allah tentukan segala maklumat berhubung sirah perjuangan Rasulullah (SAW), termasuk susunan turunnya ayat-ayat suci Al-Quran, bersama asbabu-lnuzulnya, terus kekal dalam khazanah keilmuan ummat Islam. Tiada seorang, yang menganggap dirinya sebagai yang ‘memperjuangkan islam’, yang tidak tahu wujudnya wahyu zaman Baginda di Mekah (Makkiah) dan zaman Baginda di Medina (Mediniah) serta perbezaan isi kandungan di antara kedua-dua wahyu tersebut. Dan tiada seorang yang menganggap dirinya sebagai yang ‘memperjuangkan Islam’ jahil terhadap sebab mengapa perbezaan itu perlu dan telah ditetapkan sebegitu oleh Allah.

Sekiranya pemahaman terhadap ‘tertib’ dalam apa yang sering disebut sebagai ‘manhaj illahi’ atau ‘metodologi Allah’ ini diingat dan diambil iktibar, maka saya yakin gerakan Islam dewasa ini tidak akan berada dalam keadaan bercelaru sepertimana sekarang. Malangnya, apabila didorongi semangat semata-mata dan kurang pula kefahaman terhadap ilmu yang ada, dengan kerana sekadar menghafalnya, maka sering berlaku ‘yang kemudian didahulukan dan yang dahulu dikemudiankan’.

Malangnya ada juga yang menganggap ilmu berkenaan tertib dalam manhaj illahi sebagai tidak releven dan dengan sewenangnya mengistiharkan bahawa segala wahyu sudah diterima maka yang terakhir itu adalah yang perlu diikuti bukan yang terawal. ‘Dakwah bil-hikmah’ serta pendekatan secara aman adalah bersifat Makkiah sedangkan perang dan perbalahan dengan golongan kuffar adalah bersifat Mediniah! Bagi mereka saya pesankan, “terimalah Islam itu dengan keseluruhannya, termasuk pendekatan yang ditetapkan Allah (SWT) untuk diikuti Ar-Rasul (SAW). Kalau benar dakwaan kamu, maka sudah tentu Allah telah musnahkan segala wahyu dan ilmu bersifat Makkiah”.

IMEJ GERAKAN ISLAM

Bagi yang ingin memahami tertib manhaj illahi, maka perlu menyedari bahawa antara persoalan yang terpenting yang perlu didahulukan ialah imej perjuangan Islam itu sendiri. Imej yang perlu ditonjolkan ialah Islam adalah mesej yang penting untuk seluruh kaum manusia, samada yang dilahirkan sebagai seorang Muslim atau sebaliknya, membawa mesej kerahmatan untuk dunia dan juga akhirat.

Malangnya Islam sering digambarkan sebagai agama untuk hanya orang Islam dan segala komentar atau teguran daripada bukan Islam mengenai Islam ditepis dengan kata-kata seperti “orang bukan Islam jangan campur hal orang Islam” atau “ini urusan orang Islam, yang bukan Islam diam!” Dalam pada itu Islam digambarkan sebagai kuasa untuk memenangkan orang Islam ke atas yang bukan Islam dan dengan itu terus diperkenalkan Islam dalam nada adu-domba dan pertentangan antara orang Islam dan bukan Islam. Sedangkan itu bukan pendekatan Islam. Hakikatnya Islam bukan senjata untuk digunakan oleh satu kelompok terhadap satu kelompok yang lain, atau satu kaum terhadap satu kaum yang lain. Islam didatangkan untuk semua dan sebagai pembawa rahmat untuk semua.

‘Acid test’ atau ‘ujian muktamad’ terhadap kejayaan sesebuah gerakan islam membawa mesej islam dengan tepat adalah melalui reaksi terhadap kewujudannya. Kalau rakyat awam sesebuah masyarakat merasa selamat dan terbela dengan kehadiran sesebuah gerakan Islam, maka gerakan Islam tersebut berjaya menghayati mesej Islam dengan baik dan tepat. Tetapi sebaliknya, sekiranya rakyat awam merasa takut dan gerun dengan kewujudan gerakan islam tersebut, maka gerakan Islam berkenaan telah gagal menzahirkan imej islam dengan tepat secara keseluruhannya. Ini biasanya berlaku apabila mesej yang dibawa berat sebelah dan songsang seperti gerakan yang sekadar menyebarkan kebencian dan adu-domba. Walaupun islam membenarkan kebencian, malahan mewajibkannya, ianya adalah kebencian terhadap kezaliman dan penindasan yang menghalang manusia dari menikmati kerahmatan illahi.

Yang sedihnya, ada juga yang merasa bangga apabila gerakan Islam yang disertai mereka digeruni dan ditakuti, dilihat sebagai punca perbalahan dan ketidak amanan. Walaupun gerakan tersebut bernama ‘Islam’, ia gagal menghayati maksud dan makna perkataan ‘Islam’ yang ada pada namanya. Mereka sering menggunakan pendekatan emosi, berbicara berhubung izzah agama islam itu sendiri dan bagaimana yang bukan islam mencabarnya. Sedangkan pada hakikatnya hilangnya izzah islam atas perbuatan dan pendekatan mereka sehingga Islam dilihat berwajah hodoh dan penuh kezaliman.

Memang perjuangan para Anbaiya’ telah ditentang dan ditakuti. Tetapi ditentang dan ditakuti oleh pembesar dan pemerintah yang ingin terus mengekalkan kezaliman dan penindasan yang mereka lakukan. Sedangkan rakyat marhain melihatnya sebagai seruan kepada keadilan, kehormatan diri dan kebebasan.

KEWAJIPAN MENEGAKKAN KEADILAN

Mesej kedua adalah mengenai Islam sebagai agama keadilan dan hubung-kait rapat antara ketaqwaan dan keadilan. Al-Quran menceritakan bagaimana golongan zalim adalah golongan yang berpura-pura dan menipu dalam soal keagamaan. Allah adalah tuhan yang Maha Adil yang cintakan keadilan. Setiap jenis kezaliman dan penindasan dibenciNya lebih-lebih lagi apabila ianya dilakukan golongan agamawan seperti kaum Quraisy yang mendakwa diri mereka sebagai penjaga kaabah dan agama Nabi Ibrahim (AS).

Maka apabila manusia memahami bahawa usaha mencari keredhaanNya dan mengabdikan diri kepadaNya adalah berpaksikan perjuangan untuk menegakkan keadilan dan menentang kezaliman, maka kemenangan Islam adalah dalam menghasilkan masyarakat yang adil. Dan itulah tugasan manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi. Bukan untuk melakukan adu-domba antara yang dilahirkan sebagai orang Islam dengan yang tidak, atau Melayu dan bukan Melayu tetapi adu-domba di antara keadilan dan kezaliman.

“Dan Kami lemparkan kebenaran terhadap kebathilan dan kebathilan hancur berkecai dan hilang..”

(Surah Al-Anbiya’ 18)

Apabila kefahaman dan nilai-nilai sebegini tersebar dan berpengaruh dalam masyarakat maka penguasa yang zalim akan ditolak dan tidak lagi diterima rakyat walaupun kadar BR1M dinaikkan sepuluh kali ganda. Ini adalah kerana rakyat memahami bahawa sekadar menerima BR1M tidak memadai sekiranya amalan merompak dan mencuri serta menyamun harta rakyat tetap diteruskan.

Malangnya ada juga gerakan Islam yang menganggap bahawa persoalan nilai sebegini tidak perlu didahulukan. Sebaliknya yang perlu didahulukan adalah perlaksanaan hukuman seperti hudud dan melalui perlaksanaan itu maka masyarakat akan dipaksa untuk mengikut acuan Islam. Pendekatan ini adalah pendekatan golongan musta’jilun atau gopoh yang mungkin berilmu tetapi tidak mempunyai kefahaman terhadap ilmu mereka. Pengalaman dari kegelojohan Taliban dan sebagainya perlu diambil sebagai pengajaran dan iktibar. Pendekatan memaksa bukan dari Islam.

Dalam kitabnya ‘Al-Ijtihad; An-NaSs, Al-Waqi’, Al-Maslahah’, Sheikh Ahmad Raisuni, Naib Pengerusi Persatuan Ulama SeDunia, (Naib Qaradhawi, yang disindir sebagai ulama’ uzur dalam Persatuan ulama’-ulama’ uzur yang tunduk pada Qatar) telah menulis :-

“Hudud adalah juzu’ kecil dan yang terakhir dalam tertib susunan peta gerak-kerja menegakkan syariah Islam…”


KESIMPULAN

Maka apabila tertib seperti di atas diamalkan dan nilai yang dibawanya dihayati dan akhlak manusia berubah mengikutnya, iaitu, mementingkan kebaikan dan rahmat untuk semua, menegakkan keadilan dan menentang kezaliman, maka masyarakat akan menjadi bagaikan tanah yang subur untuk Islam hidup dengan sihatnya. Namun ianya bukan sesuatu yang mudah dan boleh dicapai dengan segera. Perlunya kesabaran, istiqamah, kebijaksanaan dan hikmah. Sifat Siddiq, Amanah, Tabligh dan Fataanah yang wajib atas Nabi wajib juga diusaha untuk dicontohi mereka yang ingin memperjuangkan Islam.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-