Skip to main content

PRU-14: Segalanya Mungkin

Perubahan suasana politik Negara yang begitu pantas pasti menyebabkan ada yang kebingungan. Apabila telah muncul beberapa parti baharu dalam pentas politik negara, pasti ada yang bertanya, kita nak undi siapa? Turut ditanya juga adalah samada mungkin tercapainya satu lawan satu?

UNDI SIAPA?

Persoalan hendak undi siapa mungkin lebih mudah untuk dijawab. Semestinya jawapannya adalah undi pihak yang telah bergabung untuk menjatuhkan BN. Yang bersama dalam gabungan ini memahami betapa berat implikasinya sekiranya BN terus memerintah. Atas kesedaran itu mereka telah sanggup bergabung menepikan perbezaan antara mereka.

Gabungan parti politik ini pula mesti bersatu atas satu visi yang lebih menyeluruh berbanding sekadar untuk “jatuhkan DS Najib”. Satu visi dan dan wawasan yang boleh dipersetujui bersama oleh semua. Ke arah ini Amanah menyambut baik kenyataan TS Mahyuddin bahawa matlamat BERSATU adalah bukan sekadar menjatuhkan Najib tetapi menggantikan kerajaan BN. Dengan itu boleh difahami bahawa yang ingin ditukar bukan sekadar individu tetapi juga budaya dan cara pemerintahan BN yang perlu turut ditolak. Maka satu visi dan wawasan pemerintahan baharu dengan kaedah dan dasar-dasar yang tersendiri perlu dikemukakan.

PEMBENTUKAN GABUNGAN BAHARU

Pakatan Harapan perlu memainkan peranan sebagai nucleus penyatuan dalam pembentukan gabungan baharu ini. Ke arah itu kekuatan dan kesepaduan Pakatan Harapan perlu diserlahkan. Kekuatan dan kesepaduan PH harus dilihat sebagai membantu ke arah pembentukan gabungan yang diinginkan dan bukan sebaliknya. Apabila dilihat PH kuat dan padu maka ianya akan mempunyai daya-penarik untuk yang lain bersama. Amat silap dan malang sekiranya ada yang menganggap kesatuan dan kesepaduan PH sebagai penghalang kepada pembentukan gabungan yang lebih besar sehingga berusaha menjauhkan dirinya dari memperlihatkan kekuatan dan kesepaduan PH.

Dari lima parti politik pembangkang yang bersifat Nasional, tiga telah bersama Pakatan Harapan iaitu Keadilan, Amanah dan DAP. Setelah memperolehi kesepakatan dari tiga parti utama ini, adalah agak mudah untuk mendapatkan kerjasama, kalau tidak kebersamaan dan penyertaan dari dua lagi parti pembangkang yang bersifat Nasional iaitu PAS dan BERSATU. Tetapi ini hanya atas syarat tiga yang sudah bersama itu memperlihatkan kesatuan dan kesepaduan. Kalau tidak, apa sebab pihak lain ingin bersama?

Melalui gabungan ini maka sokongan terhadap setiap parti disatukan dalam pengundian menolak BN dan memenangkan calon anggota gabungan tersebut. Ini bermakna penyokong Keadilan, Amanah, DAP dan juga PAS dan BERSATU akan mengundi calon yang sama. Calon BN pula akan kehilangan sokongan ahli UMNO yang telah bersama dengan BERSATU dan dengan itu prestasi BN semasa PRU ke 13 tidak akan dapat diulangi.

MAQASID SYARIAH: ASAS KESATUAN DAN KERJASAMA

Amanah mengesyorkan bahawa Maqasid syariah diguna sebagai asas kesatuan dan kerjasama gabungan baharu ini. Ketiga-tiga parti yang telah bersama dalam PH telah pada dasarnya menyatakan kecenderungan mereka terhadap pendekatan Maqasid Syariah. Ini termasuk juga DAP. Ini bukan sesuatu yang menghairankan kerana Maqasid syariah meletakkan matlamat yang boleh diterima semua seperti menjaga agama, aqal, nyawa, harta dan keturunan. Semua pihak yang bertanggung-jawab dan mengambil berat persoalan masyarakat dan negara, samada yang beragama Islam atau sebaliknya boleh bersetuju dengan matlamat-matlamat ini.

Hanya ianya perlu diperhalusi dan dikembangkan lagi sehingga semua memahami bahawa ianya bukan sesuatu yang mengancam hak dan kepentingan mana-mana pihak. Sebagai contoh, matlamat ‘menjaga agama’ bukan membawa erti menjaga hanya agama Islam tetapi semua agama sepertimana yang dituntut ajaran Islam. Ini adalah kerana agama mengekalkan kepercayaan manusia terhadap kewujudan tuhan dan ini merupakan asas dan permulaan bagi semua manusia kepada usaha mencari dan mengenal tuhan.

Begitu juga persoalan menjaga akal. Termasuk di bawahnya persoalan pendidikan, pemikiran kritis, hak bersuara dan sebagainya. Ia merupakan penolakan terhadap corak pemerintahan kuku besi, mengongkong dan menindas. Dan pendekatan ‘terima tanpa bahas’yang disukai setengah pihak.

MENOLAK ‘PENDEKATAN MAQASID’

Ada yang pernah meluahkan pandangan bahawa kononnya pendekatan Maqasid syariah diguna-pakai orang yang inginkan Maqasid syariah tetapi menolak syariah, seperti ingin manis gula tetapi menolak gula. Dengan kata-kata tersebut mereka memperlekehkan pendekatan Maqasid itu dan menolaknya.

Saya merasa pelik dengan sikap sebegini. Tidakkah mereka sedar bahawa kaedah dakwah Rasulullah (SAW) sendiri bermula dengan wawasan yang umum dan besar sebelum menjurus kepada yang lebih khusus kemudiannya? Sepertimana ayat-ayat Al-Quran semasa zaman atau fasa Mekah yag menceritakan keadaan golongan miskin dan anak yatim dan bagaimana mereka dizalimi? Dan ditarik perhatian penduduk Mekah pula sebagai perbandingan bahawa Allah yang mencipta alam menciptanya atas keadilan dan dalam keadaan keseimbangan. Bermula dengan aqeedah dan akhlak dan kemudiannya baru ditetapkan syariat.

Amat kesal lagi apabila yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan seperti itu adalah dari golongan lulusan agama. Amat benarlah kata-kata yang menjelaskan bezanya ‘faham’ dan ‘tahu’. Ramai yang tahu tetapi tidak ramai yang faham.

Sebagai perumpamaan, supaya ianya mudah difahami, biarlah kita lihat kepada contoh pemilihan bas untuk sesuatu perjalanan. Sudah pasti sebelum dipilih bas mana yang paling selesa dan selamat, dipilih dulu kumpulan bas mana yang akan ke destinasi yang diinginkan! Setelah mengesahkan kumpulan bas yang akan ke destinasi tersebut, maka barulah dipilih bas mana yang paling selesa dan selamat dari kumpulan tersebut. Jarang sekali saya melihat yang memilih bas selesa tanpa mengambil-kira destinasi bas tersebut terlebih dahulu.

Maka apabila dipersetujui terlebih dahulu Maqasid syariah sebagai asas pembentukan kerajaan baharu, ianya bukan sesuatu yang menghairankan. Ini adalah kerana ianya seperti memilih bas berdasarkan destinasinya terlebih dahulu. Selepas itu, apabila kerajaan yang bersetuju memerintah bersama atas asas sedemikian rupa telah dibentuk, maka kaedah untuk mencapai matlamat yang dipersetujui bersama boleh dibahaskan dan diusahakan bersama. Melalui proses percubaan dan perbahasan, akan tercapai yang terbaik mungkin dalam keadaan dan suasana yang ada. Sejauhmana ianya akan menepati kehendak syariah sepenuhnya bergantung kepada kemampuan parti Islam seperti Amanah untuk meyakinkan semua pihak atas ketepatan syariah islam dengan Maqasid syariah itu sendiri. Apa jua kekurangan adalah termasuk dalam kaedah “kalau tidak dapat melakukan semua, maka jangan ditinggalkan semua”.

Namun demikian, itu sekadar cadangan dari Amanah. Samada ianya diterima atau sebaliknya masih boleh bincang dan perhalusi. Akan tetapi samada ianya disebut sedemikian rupa atau sebaliknya, hakikatnya mana-mana kerajaan yang dibentuk, yang bertanggung-jawab dan perihatin, semestinya akan melaksanakan dasar-dasar yang selari dengan Maqasid syariah.

SATU LAWAN SATU:ADAKAH IANYA MUNGKIN?

Yang lebih rumit adalah mengusahakan satu lawan satu. Ini akan hanya tercapai apabila semua sepakat bahawa kerajaan perlu diganti. Sekiranya ada yang beranggapan pilihan raya ke-14 adalah seperti pilihan raya-pilihan raya sebelumnya, BN menang pun kita tetap boleh hidup, maka keadaan satu lawan satu tidak akan tercapai. Ini adalah kerana untuk ianya tercapai, semua parti mesti menyertai gabungan parti politik pembangkang dan bersedia juga untuk memberi laluan sesama sendiri. Dan ini dilakukan kerana diinsafi betapa buruknya kerajaan UMNO/BN dan bagaimana kerjasama menjatuhkan UMNO/BN akan menyelamatkan negara dan mengukuhkan semua parti pembangkang.

Saya melihat semua akan sanggup kecuali PAS. Dan kesimpulan saya yang sebegitu bukan atas sebab syak wasangka atau sangkaan buruk semata-mata. Ianya berdasarkan kata-kata dan tindakan PAS sendiri.

PAS dengan pemikiran baharunya tidak seperti PAS dahulu. PAS dahulu sanggup memberi laluan kepada Keadilan semasa Keadilan baru ditubuhkan. Mereka yang berhujh mendesak supaya PAS beri laluan kepada Keadilan dahulu hari ini digelar ‘pengkhianat’ dan ‘lebih mementingkan Keadilan’. Mereka dituduh sebagai pemimpin yang menyerahkan ‘kerusi PAS’ kepada pihak lain, ‘musuh dalam selimut’ dan sebagainya. Maka dalam keadaan itu, bagaimana pimpinan PAS baharu, yang telah naik melalui serangan dan tohmahan sedemikian rupa terhadap pimpinan lama, boleh bersedia memberi laluan kepada BERSATU dan Amanah? Tidakkah tindakan sebegitu akan mengundang tuduhan sama terhadap mereka pula?

Saya melihat PAS sebagai parti yang paling banyak perlu memberi laluan. Ini adalah kerana kedua-dua parti baharu iaitu Amanah dan BERSATU ingin bertanding di kawasan PAS bertanding. Sedangkan PAS merupakan parti yang paling tidak bersedia memberi laluan. Ini adalah atas dua sebab. Pertama kerana PAS berpegang kepada tafsiran ‘kerusi yang pernah ditandingi PAS adalah milik PAS’. Ini termasuk juga kerusi yang ditandingi Keadilan yang dianggap ‘dipinjamkan’ kepada Keadilan. Kedua kerana PAS baharu melihat UMNO/BN “tidak sama seperti firaun”, maka tidak jatuh pun tidak mengapa.

BERTANDING TIGA PENJURU

Oleh itu, walaupun saya sendiri bersetuju bahawa satu lawan satu adalah pendekatan terbaik untuk menjamin kemenangan, namun tiada jaminan ianya akan tercapai. Oleh yang demikian, semua pihak perlu bersedia untuk menghadapi keadaan tiga penjuru. Selalu dikatakan “usahakan yang terbaik tetapi bersedia untuk yang terburuk”. ini adalah kerana kita hanya mampu merancang tetapi Allah juga yang menetapkan. Kali ini saya yakin, Allah telah menetapkan bahawa PAS akan bersendirian, terpinggir dan tidak lagi releven.

Dalam keadaan itu, Amanah perlu bersedia untuk mengagihkan kerusi yang pernah ditandingi PAS di antara Amanah dan BERSATU. Sedikit penyelarasan kembali mungkin boleh juga dilakukan bersama Keadilan. Namun, walau bagaimana sekalipun ianya perlu dikaji dari sudut kemungkinan dicapai kemenangan mengambil kira kekuatan sokongan, ketokohan calon dan sebagainya. Amanah, tidak seperti PAS, sentiasa bersedia untuk berbincang.

KESIMPULAN

Tiada yang mengetahui secara pastinya apa yang akan berlaku menjelang PRU ke-14. Tetapi bagi saya ianya menjanjikan satu potensi kemenangan yang cerah.

Memecahkan sokongan Melayu terhadap UMNO/BN satu ketika dahulu dilihat amat sukar. Tetapi Allah tetapkan BERSATU muncul sebagai saingan kepada UMNO/BN.

PAS pula telah berubah menjadi sebagai penghalang kepada kesatuan pembangkang. Apa sebab dan puncanya hanya Allah mengetahui dengan tepatnya. Tetapi Allah telah tetapkan Amanah muncul dan insyaAllah akan menjadi sebagai pengganti kepada PAS.

Saranan saya kepada semua pimpinan parti pembangkang, khususnya yang ingin bersama menjatuhkan UMNO/BN, bina kekuatan dengan yang ada dan yang sanggup bersama. Ketepikan seketika mereka yang masih teragak-agak dan leka. Seperti yang terkandung dalam lirik lagu ‘Rindu bayangan’, “lupakan saja, cerita lama, usah dirayu pada yang tak sudi”.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

hjmalek said…
Lirik Rindu Bayangan tu yg klasik YB
Bodohkan Orang Kampung - Perjuangan UMNO Busuk Hingga Ke Usus!!

Sumber Berita


>>> Klik Di Sini <<<




UMNO PARTI PENJARA - Anak Muda Tak KEBULUR Jawatan Dlm UMNO!

Sumber Berita


>>> Klik Di Sini <<<





Pukulan Maut Anak Johor - Kami Tidak Mahu Menjadi Kuli Batak UMNO Lagi!

Sumber Berita


>>> Klik Di Sini <<<

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan