Skip to main content

Kenyataan Media Amanah Mengenai RUU 355



Muqaddimah

Amanah menganggap mahkamah syariah sebagai institusi penting dalam usaha menzahirkan kebenaran dan keadilan Islam. Oleh itu imejnya sebagai institusi yang cekap dan berwibawa perlu sentiasa dijaga. Amanah bersetuju bahawa segala usaha ke arah memperkasakan mahkamah syariah, dari segi kecekapan perlaksanaan undang-undang Islam, perlu disokong dan dibantu.

Pada masa yang sama, Amanah amat khuatir terhadap kemungkinan usaha yang ditaja sebagai memperkasakan mahkamah syariah mendatangkan kesan sebaliknya. Mahkamah syariah perlu dijaga dan dilindungi dari dirosakkan hasil tindakan yang mungkin berniat baik tetapi tidak cermat, gelojoh dan tidak berpandangan jauh.

Oleh itu, walaupun Usul Persendirian yang dibawa YB Marang dinyatakan mempunyai tujuan “memperkasakan mahkamah syariah”, namun isi kandungan usul tersebut perlu diperhalusi dari semua segi sebelum ianya mendapat sokongan Amanah.

Ini adalah kerana apa yang dikatakan sebagai yang ingin diusahakan tidak semestinya apa yang akan tercapai apabila isi kandungan usul tersebut dilaksanakan. Perlu diperhalusi dan difahami terlebih dahulu kesan dan implikasi usul tersebut terhadap perjalanan mahkamah syariah sepertimana apa yang sedia ada dewasa ini. Ke arah itu Amanah menganggap beberapa persoalan perlu diperjelaskan oleh YB Marang berhubung isi kandungan usul persendirian yang ingin dibawanya.

Untuk perbincangan ini, Amanah menggunakan Usul Persendirian yang telah dibaca pada sesi kedua Parlimen pada tahun ini.

Perbincangan meja bulat anjuran Amanah


Amanah telah mengadakan beberapa program forum dan ‘Round Table Discussion’ sejak pembacaan Usul Persendirian YB Marang berhubung RUU 355. Hasil dari program-program ini didapati telah timbul kekeliruan berhubung usul tersebut. Pada dasarnya kekeliruan disebabkan tindakan membaca usul tanpa dibahas dan dijelaskan maksud dan tujuan usul berkenaan. Kekeliruan ini telah menyebabkan berlakunya ketakutan, kerisauan dan ketegangan di kalangan sebahagian masyarakat. Ada yang mendakwa ianya berhubung perlaksnaan hudud di Kelantan; ada yang kata ianya tiada hubungan dengan soal hudud. Ada yang kata ianya bercanggah dengan perlembagaan; ada yang kata sebaliknya.

Kekeliruan ini telah menyebabkan adanya usaha mengutip sejuta tandatangan oleh persatuan Hokkien, sebagai contoh dan ini pula menghasilkan laporan polis terhadap usaha persatuan Hokkien oleh Geng Ustaz!

Amanah menganggap tindakan membaca usul berkenaan tanpa dibahasnya serta menangguhkan perbahasan selama 5 bulan adalah satu tindakan yang bukan sahaja tidak berhemah tetapi tidak bertanggung-jawab dan ‘reckless’ atau membahayakan. Selain dari menghasilkan ketegangan ia adalah satu tindakan yang menyulitkan proses dakwah Islamiah dengan menghasilkan penentangan atas sebab kekeliruan.

Usul Persendirian YB Marang dan Titah DYMM YDP Agung

Usul Persendirian yang dibawa YB Marang dikatakan untuk menyahut gesaan DYMM YDP Agung yang terkandung di dalam ucapan Baginda semasa peresmian pembukaan Dewan untuk sesi tahun 2016. Baginda telah mentitahkan;

“Beta berharap langkah-langkah ke arah memperkukuhkan institusi agama dan kecekapan perlaksanaan Undang-undang pentadbiran agama Islam melalui pemerkasaan Mahkamah syariah dapat disegerakan”.

Adalah jelas dari petikan ucapan Baginda, yang ingin dicapai melalui pemerkasaan mahkamah syariah adalah kecekapan perlaksanaan undang-undang pentadbiran agama Islam. Umum mengetahui bahawa undang-undang sedia ada tidak dapat dilaksanakan dengan cekapnya atas sebab beberapa halangan dan kekangan yang terdapat pada kuasa mahkamah syariah. Oleh itu apa jua tindakan yang didakwa sebagai menyahut gesaan DYMM YDP Agung semestinya mensasarkan halangan dan kekangan ini.

Amanah ingin YB Marang jelaskan, halangan dan kekangan mana yang disasarkan oleh usul persendirian yang dibawa beliau dan bagaimana ianya akan menambahkan kecekapan perlaksanaan undang-undang pentadbiran agama Islam oleh mahkamah syariah. Itu adalah sekiranya benar bahawa Usul Persendirian YB Marang adalah untuk menyahut gesaan DYMM YDP Agung.

Sekiranya itu bukan tujuannya maka Amanah meminta YB Marang menjelaskan apa sebenarnya yang dimaksudkan beliau dengan ‘pemerkasaan’ yang ingin dicapai melalui usul berkenaan dan bagaimana ianya akan tercapai.

Pemerkasaan melalui menaikkan kadar hukuman

Ada yang mendakwa bahawa pemerkasaan dicapai melalui penambahan kadar hukuman. Namun demikian, usul tersebut tidak menyentuh persoalan penambahan kadar hukuman secara jelas.

Sebaliknya YB Marang mencadangkan melalui Usul Persendirian beliau supaya keseluruhan seksyen 2 digantikan dengan seksyen 2 dan 2A yang dicadangkan beliau.

Pengguguran keseluruhan seksyen 2 yang asal menambahkan kekeliruan terhadap niat dan tujuan di sebalik usul YB Marang dan menimbulkan tuduhan wujudnya agenda tersembunyi di sebalik usul tersebut. Selain itu ianya juga menimbulkan kerisauan terhadap kemungkinan tafsiran yang berbagai terhadap seksyen 2 yang dicadangkan. Keperluan ianya digantikan keseluruhannya tidak dijelaskan. Adakah wujud cacat-cela pada perenggan pertama seksyen 2 seperti asalnya? Sekiranya ada, apa cacat celanya? Sekiranya hanya pertambahan hukuman diinginkan maka tidakkah ianya memadai untuk dipinda perenggan kedua Seksyen 2 sahaja?

Amanah meminta YB Marang menjelaskan rasional di sebalik cadangan beliau untuk menggantikan keseluruhan seksyen 2 tersebut dengan seksyen 2 dan 2A seperti mana beliau cadangkan.

Seksyen 2A tidak menyebut bentuk dan had hukuman

Usul Persendirian YB Marang tidak menyebut, melalui seksyen 2A, bentuk dan had hukuman yang boleh dikenakan mahkamah syariah kecuali “yang dibenarkan oleh undang-undang syariah........selain dari hukuman mati”.

Apabila bentuk hukuman tidak ditetapkan maka adakah YB Marang bertujuan untuk membenarkan jenis hukuman selain penjara, denda dan rotan dijatuhkan mahkamah? Boleh YB Marang berikan contoh-contoh hukuman yang beliau ingin dikenakan terhadap pesalah jenayah syariah oleh mahkamah syariah?

Seksyen 2A yang dicadangkan seolah-olah memberikan ‘blank cheque’ kepada mahkamah syariah dalam persoalan bentuk hukuman dan hadnya, selain hukuman mati. Adakah ini yang diinginkan YB Marang dan sekiranya ya, maka harap dijelaskan mengapa.

Amanah ingin YB Marang menjelaskan samada implikasi ‘blank cheque’ ini difahami dan samada ini yang diinginkan YB Marang melalui pindaan ini?

Berdasarkan jawapan yang bakal dikemukakan YB Marang, Amanah akan menetapkan pendiriannya terhadap Usul Persendirian yang dibawa YB Marang.

Perlu ditegaskan Amanah menyokong segala usaha untuk memperkasakan mahkamah syariah dari segi kecekapannya dalam semua bidang. Namun usul yang dikemukakan perlu diperjelaskan terlebih dahulu maksud dan natijahnya sebelum mendapat sokongan Amanah. Oleh kerana usul YB Marang membicarakan perkara yang penting bagi seluruh ummat Islam, maka ia perlu diperhalusi bukan sekadar dari sudut niat dan tujuan serta semangat di sebaliknya tetapi juga natijah yang boleh terhasil dari usul tersebut.

Oleh itu Amanah inginkan satu jawapan yang jelas dan tuntas dari YB Marang terhadap apa yang telah dikemukakan. Jangan diberi jawapan bersifat retorik semata-mata. Setiap perkataan dan ayat yang digugurkan atau ditambah perlu ada sebab dan alasannya serta diperjelaskan juga implikasi secara praktiknya. Apa jua pindaan yang melibatkan mahkamah syariah perlu diambil berat dan diperhalusi kerana ianya institusi yang membawa syiar Islam dan oleh itu perlu dilindungi.

Sekiranya YB Marang tidak mampu memberikan penjelasan yang mantap dan kukuh, berhubung pindaan yang dicadangkan beliau, dikhuatiri cadangan pindaan ini akan dilihat sebagai ‘mainan politik’ semata-mata. Dan tiada yang lebih keji dari menjadikan agama bahan mainan politik.

Oleh kerana usul YB Marang membicarakan perkara yang penting bagi seluruh ummat Islam, maka ia perlu ditangani dan digarap dengan penuh tanggungjawab, ketelitian dan keseriusannya sesuai dengan pesanan lisan Baginda (SAW) yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah,

"Sesungguhnya Allah menyukai apabila salah seorang daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan, ia melakukannya dengan baik, sempurna dan teliti." (Riwayat al-Baihaqi).

*JAWATANKUASA PINDAAN RUU355*

*PARTI AMANAH NEGARA*
6 SEPTEMBER 2016
4 ZULHIJJAH 1437

Comments

Aljantan said…
memang PAN terutama (khalid samad)tak suka sebab sifat dengki yang tebal diatas kekalahan. Sifat dengki yang amat tebal
Unknown said…
Walaun2 pas sememangnye hentam buta..terikot2 dgn kebangangan presidennya yg selalu ponteng parlimen..klu dh selalu ponteng..cam mane nk terangkan kat parlimen..tapi yg usulkn mp umno...boddow la pas ni
myownbiz said…
Muka tak malu..ngaku amanah..bawak lari kerusi amanah la sangat..dasar ngikut telunjuk dap.. Macam2 la alasan..

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-