Skip to main content

Bersatu dan Politik Perkauman

Kenyataan saya berhubung penubuhan BERSATU tempoh hari telah mendatangkan teguran dan kritikan dari beberapa pihak. Saya telah menyebut bahawa “parti yang berasaskan kaum tidak semestinya membawa mesej atau risalah perkauman”. Turut saya nyatakan juga bahawa “cintakan kaum tidak bererti rasis, sebaliknya benci pada sesuatu kaum adalah rasis. Rasisme adalah terhasil dari sentimen kebencian, sesuatu yang bersifat negatif dan memusnahkan, sambil cintakan kaum sendiri adalah hasil sentimen positif, iaitu cinta, sentimen yang membina”.

Adakah cinta pada kaum sendiri memestikan benci terhadap kaum yang lain? Adakah untuk mengelak dari menjadi rasis, maka seseorang perlu bebaskan dirinya dari perasaan cinta pada kaumnya sendiri? Sudah pasti jawapannya tidak.

Ada di antara teguran dan kritikan yang timbul wajar dijawab. Ada juga yang perlu sekadar ditepis. Teguran atau komentar dari Dato Ibrahim Ali yang merasakan dirinya terbela dengan kenyataan saya perlu hanya ditepis. Maaf, kenyataan saya tidak membela Dato. Saya yakin ramai yang melihat kegiatan dan kata-kata Dato sebagai melampaui batas ‘parti berasaskan kaum yang tidak perkauman’ sepertimana saya sebutkan di atas.

MEMENTINGKAN PRINSIP DAN BUKAN PUAK

Untuk memberikan contoh praktikal kepada kenyataan saya, kita boleh lihat pada pengalaman PAS tempoh hari. PAS merupakan parti politik berasaskan agama dan keahliannya hanya terbuka kepada orang beragama Islam. Namun, pada tahun-tahun lewat 80an hingga ke 2015 mungkin, ia mendapat sokongan yang semakin bertambah dan padu dari masyarakat bukan Islam! Ini adalah kerana walaupun PAS parti yang berasaskan agama Islam, ianya tidak dilihat sebagai memusuhi agama selain Islam atau masyarakat bukan Islam. Sokongan terhadap PAS ketika itu membinggungkan BN khususnya parti-parti MCA, MIC dan Gerakan yang terkedu melihat sokongan bukan Islam terhadap PAS.

Pada ketika itu, walaupun PAS dikenalii sebagai parti yang berasaskan agama Islam dan keahliannya hanya untuk orang Islam, ia dilihat sebagai parti yang memperjuangkan prinsip-prinsip tertentu dan bukan ‘puaknya’ semata-mata. Ini tidak bererti PAS tidak cinta pada ‘puaknya’, iaitu orang Islam dan tidak hanya memperjuangkan kepentingan mereka. Perjuangan untuk ‘puaknya’, mengambil bentuk mengajar mereka untuk berpegang teguh kepada prinsip yang diperjuangkan termasuk prinsip keadilan, menentang kezaliman dan bebas perkauman.

Namun demikian, itu adalah dahulu. Sejak 2015 PAS semakin terpisah dari sokongan masyarakat bukan Islam kerana semakin dilihat mementingkan ‘puaknya’ dan agenda ‘puaknya’ sendiri semata-mata. Mereka yang tidak bersetuju dengan agenda PAS diistiharkan sebagai musuh Islam dan ditentang. Pada masa sama PAS dilihat sanggup bermesra dengan pemerintah yang memusuhi rakyat dan keadilan. Ini diakukan PAS demi mencapai agendanya. Apabila ini berlaku maka PAS menjadi semakin eksklusif dan tidak inklusif. Dalam erti-kata lain ia dilihat releven hanya bagi mereka yang sama dengannya dan tidak releven kepada yang berbeza. Pengistiharan bahawa yang berbeza adalah musuh semakin mirip pendekatan ‘perkauman’. Ini adalah kerana pendekatan perkauman juga menanam kebencian terhadap sebarang bentuk perberbezaan.

Walaupun begitu, tiada siapa yang boleh menafikan kenyataan sejarah bahawa PAS telah berjaya mencapai penerimaan oleh masyarakat keseluruhannya, Muslim dan bukan Muslim, pada satu ketika dahulu. Ini tercapai kerana PAS pada ketika itu dilihat ‘principle centric’ dan bukan ‘puak-centric’ atau mementingkan prinsip dan bukan mementingkan golongannya semata-mata.

SERUAN BAGI PARTI BERSATU

Maka begitu juga hendaknya dengan parti BERSATU. Ianya mesti dilihat sebagai parti yang bersifat ‘principle-centric’ iaitu berpegang kepada dan mementingkan prinsip tertentu. Perlu ditekankan bahawa kebangkitan orang Melayu dan Bumiputera, yang menjadi ahlinya, akan hanya tercapai dengan berpegang kepada prinsip ini. Hanya dengan itu, kaum dan ‘puaknya’ akan maju dan menjadi bangsa yang dihormati dan disegani. Maka sudah semestinya prinsip ini mengandungi persoalan keadilan, berkebajikan, ketelusan, pertanggung-jawaban, jati diri, bebas perkauman, keilmuan dan sebagainya. Ianya tidak boleh mengandungi mantra “cintakan bangsa sendiri sambil benci dan sangsi terhadap bangsa lain”.

Oleh itu, adalah sangat diharapkan bahawa BERSATU boleh mengumumkan prinsip yang ingin diperjuangkan. Prinsip yang merupakan seruan BERSATU kepada orang Melayu dan kaum Bumiputera untuk bersamanya. Iaitu satu kesatuan yang walaupun untuk yang sama bangsa atau suku kaum, tetapi dibina atas sebab prinsip yang ingin diperjuangkan, yang akan menjadikan kaum Melayu dan Bumiputera lebih dihormati dan disegani.

Sekiranya BERSATU dilihat sebagai sebuah parti yang ingin menyatu-padukan kaum Melayu dan Bumiputera atas prinsip-prinsip mulia dan dihormati, sudah pasti ianya tidak dilihat perkauman dan akan disokong dan disenangi walaupun oleh kaum lain. Sepertimana PAS suatu ketika dahulu.

PERSAMAAN ANTARA AMANAH DAN BERSATU

Sepertimana AMANAH berpisah dari PAS, atas sebab ingin mewujudkan kembali parti Islam yang ‘principle-centric’ atau berpaksikan prinsip yang diterangkan tadi, maka begitu jugalah BERSATU boleh menjadi parti Melayu yang berpisah dari UMNO atas sebab yang sama. Saya yakin bahawa semua setuju bahawa politik Islam dan Melayu dewasa ini amat sangat memerlukan satu nafas baharu yang membawanya dari politik ‘keagamaan dan perkauman yang sempit’ kepada satu cara politik yang lebih bermakna lagi inklusif. Sepertimana politik PAS dahulu dan mungkin juga politik UMNO pada asalnya.

Memang dan semestinya, AMANAH dan BERSATU tetap akan berbeza walaupun kedua-duanya, insyaAllah, akan menjadi parti politik yang berpaksikan prinsip. Kerana masih ada perbezaan dari segi rujukan dan panduan serta prinsip-prinsip yang ingin diperjuangkan. Namun perkauman, dalam erti-kata kebencian terhadap sesuatu kaum atau suku kaum yang lain, ditolak oleh kedua-duanya. Ini adalah kerana perkauman dalam erti-kata kebencian terhadap sesuatu kaum akan menyebabkan kezaliman dibenarkan terhadap kaum itu. dan ini telah ditegur dan diberi amaran oleh Allah di antara lain dalam ayat 8 Surah Al-Maidah yang bermaksud;

“Dan janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak berlaku adil. Berlaku adil! Sesungguhnya ia (berlaku adil) adalah lebih dekat dengan ketaqwaan”.

KESIMPULAN

Dalam bahagian kesimpulan bagus juga sekiranya diulangi sekali lagi isu utama yang ingin disampaikan. Walaupun secara peribadi saya sendiri tidak bersetuju dengan pendekatan parti berasaskan kaum, tetapi saya akui bahawa parti berasaskan kaum tidak semestinya perkauman. Dan walaupun saya tidak setuju dengan pendekatan ini, saya juga akui bahawa ianya mempunyai tarikan tersendiri bagi sebahagian masyarakat Melayu, khususnya mereka yang telah berada bersama UMNO untuk sekian lama. Oleh itu ia tetap boleh memainkan peranan penting dalam membangunkan politik masyarakat Melayu.

Jangan sekali-kali berusaha untuk menjadikan BERSATU ‘lebih Melayu’ dari UMNO. Itu akan menjunamkan BERSATU ke arah ekstrimisma kaum. Sepertimana juga Amanah tidak wajar diusahakan untuk menjadi ‘lebih islam’ dari PAS. Persaingan siapa yang ‘lebih’ akan menyebabkan ekstrimisme bertapak subur.

Peranan BERSATU perlu bersifat ‘principle-centric’ dan bertujuan membawa bangsa Melayu ke arah penghayatan prinsip universal yang diterima ramai sebagai prinsip yang mulia dan terpuji. Dikumpulkan kaum Melayu bukan untuk menyerang dan membenci kaum lain tetapi untuk membina kaum Melayu atas prinsip sedemikian rupa.

Saya yakin, bahawa sekiranya ini berjaya dilakukan BERSATU terhadap ‘parti Melayu’, sepertiman ianya diusahakan AMANAH terhadap ‘parti Islam’, maka masa depan politik Melayu dan politik Islam tidak lagi akan sesempit dahulu. Yang dilakukan BERSATU adalah untuk dikembalikan politik Melayu yang telah jauh tergelincir kepada asal usulnya semasa zaman kemerdekaan. Yang dilakukan AMANAH pula adalah meneruskan usaha Almarhum Tuan Guru Yusof Rawa, Ustaz Fadhil Noor dan Tuan Guru Nik Aziz ke arah politik Islam dijadikan politik arus perdana melalui pendekatan bebas perkauman dan berpaksikan prinsip yang teguh.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-