Skip to main content

Syarat Pembentukan ‘Grand Coalition’ Menghadapi BN

MUQADDIMAH

Seluruh rakyat sedang bercakap mengenai persoalan pembentukan ‘Grand Coalition’ untuk hadapi BN dalam PRU ke 14. Ramai yang menyatakan keseronokan mereka dan bersikap begitu optimis akan kejayaan yang akan tercapai melaluinya. Pada masa yang sama ada juga yang bersikap pesimis sambil mengatakan ‘Grand Coalition’ ini akan berbalah satu sama lain dan tiada sebab menganggap ianya tidak akan senasib dengan Pakatan Rakyat dahulu.

Ya, sememangnya pembentukan Grand Coalition ini sesuatu yang mencabar. Sudah pasti dengan adanya komponen yang tidak sehaluan, khususnya parti baharu yang ingin ditubuhkan Tun M bersanma TS Mahyudin Yasin, dan begitu juga dengan sikap suka berbalah PAS, maka rakyat berhak bersikap pesimis. Namun demikian kesedaran oleh semua pihak mengenai masalah Negara yang akan menimpa sekiranya UMNO/BN terus memerintah pasti mencukupi untuk menghasilkan ‘Grand Coalition’ yang lebih committed kepada agenda penubuhannya. Oleh itu, agenda disebalik penubuhannya semestinya difahami semua, kalau tidak ianya akan berpecah sebelum ianya bermula.

Maka persoalan yang perlu dibahas dan dikupas terlebih dahulu ialah apakah agenda besar yang mampu menyatukan parti-parti di dalam Grand Coalition ini.

AGENDA BESAR GRAND COALITION

Biar semua jelas bahawa agenda besar disebalik pembentukan Grand Coalition ialah untuk berganding bahu dalam usaha untuk menjatuhkan kerajaan BN dalam PRU ke 14 dan membentuk kerajaan baharu untuk menggantikannya. Kerajaan baharu ini adalah kerajaan GC. Ianya bukan sekadar menggantikan Najib atau mana-mana individu. Ianya untuk menggantikan parti pemerintah sekarang dengan parti-parti ‘Grand Coalition’ dalam pembentukan kerajaan baharu.

Maka kerajaan baharu ini hendaklah dibentuk oleh parti-parti Grand Coalition, bukan satu ‘coalition baharu’ yang ditubuhkan selepas kemenangan dicapai! Biar ini jelas dari awal. Kerana kemenangan setiap satu calon GC adalah hasil usaha dan undi mereka yang menyokong GC. Kita tidak mahu lihat ada yang setelah menang lupakan diri dan berunding dengan BN untuk membentuk kerajaan bersama BN sambil berhujah “ianya ‘coalition baharu’, ianya bukan BN! Matlamat GC sekadar jatuhkan BN dan telahpun tercapai”.

Tindakan sebegitu rupa adalah pengkhianatan yang jelas dan nyata.

Semestinya untuk mendapat persetujuan memerintah bersama, satu kerangka dasar bersama yang akan dilaksanakan apabila membentuk kerajaan perlu dikenalpasti. Ini seperti apa yang pernah dilakukan PR dahulu dengan Buku Jingganya. Namun lebih basic dari itu adalah persetujuan untuk memerintah bersama dan tidak bertindak khianat. Di sini terletaknya kegagalan PR dahulu, bukan atas sebab buku jingganya atau persefahaman politiknya. Ketidaksetian terhadap PR dan ketidakfahaman terhadap apa yang merupakan tindakan khianat telah menggagalkan PR. Oleh itu ianya perlu diperjelaskan dari awal supaya masalah sama tidak akan timbul dengan GC.

SISTEM PILIHAN RAYA MEREKA BERBEZA

Mungkin ada yang akan mengatakan bahawa membentuk kerajaan selepas pilihan raya melalui rundingan dengan semua parti yang mempunyai kerusi adalah perkara biasa. Kononnya sesuatu coalition atau gabungan sepatutnya dibentuk selepas keputusan pilihan raya dan bukan sebelumnya. Dan tidak salah sekiranya sesuatu parti tiba-tiba berkerjasama dengan parti-parti kerajaan sebelumnya sekiranya didapati parti-parti berkenaan tidak cukup kerusi untuk membentuk kerajaan kembali. Dalam erti-kata lain, sekiranya BN kalah dan tidak cukup kerusi untuk membentuk kerajaan maka tidak salah sekiranya salah satu parti atau beberapa parti dari GC membelakangkan GC dan membentuk kerajaan bersama BN!

Kata mereka, “itu adalah perkara biasa dan dilakukan di seluruh dunia”.

Ya memang benar, ianya dilakukan diseluruh dunia tetapi dalam keadaan sistem pilihan raya mereka adalah sistem ‘Proportionate Representation’. Melalui sistem ini semua parti bertanding di kerusi pilihan mereka secara bersendirian dan mendapat undi atas sokongan terhadapa parti tersebut semata-mata. Di setiap kerusi mungkin lima atau enam parti bertanding dan jumlah undi diperolehi setiap parti diambil kira dan dijumlahkan sehingga akhirnya mengetahui peratusan undi rakyat yang diperolehi setiap parti. Kerusi dewan diagihkan antara parti berdasarkan peratusan yang diperolehi. Dalam keadaan itu tiada salahnya sesuatu parti bertindak untuk berunding dengan mana jua parti selepas pilihan raya untuk membentuk kerajaan. Ini adalah kerana undi diperolehi parti adalah atas sokongan terhadap parti tersebut semata-mata.

SISTEM PILIHAN RAYA KITA LAIN

Sistem kita bukan sistem ‘Proportionate Representation’. Ianya sistem ‘first past the post’ dan dalam sistem ini sesuatu ‘coalition’ ditubuhkan sebelum pilihan raya. Ini adalah untuk menentukan ‘satu lawan satu’ supaya yang berkuasa dapat dikalahkan. Ini adalah kerana yang diambil kira hanya yang menang. Yang kalah walaupun dengan satu undi tidak akan diambil kira dan tiada nilai. Maka untuk menentukan undi tidak disia-siakan dengan keadaan berpecah tiga atau empat, disatukan melalui pembentukan ‘coalition’ sebelum pilihan raya.

Dalam keadaan itu semua parti yang menganggotai sesuatu coalition akan berusaha memenangkan calon coalition mereka dan kemenangan yang dicapai adalah kemenangan coalition berkenaan. Ianya BUKAN kemenangan satu-satu parti anggota coalition. Maka amatlah pelik setelah menang boleh dikatakan kemenangan itu adalah milik parti tertentu dan parti berkenaan berhak untuk membentuk ‘coalition’ baharu dengan parti coalition yang ditentanginya sebelum itu.

Oleh itu biarlah komitmen untuk membentuk kerajaan bersama dijelaskan dari awal. Kita tidak mahu melihat peristiwa 2008 berulang kembali mahupun peristiwa 2013 semasa krisis MB Selangor. Biar semua mengakui kemenangna itu adalah kemenangan bersama dan jangan ada yang membawa hujah “GC tidak berdaftar” dan sebagainya sebagai hujah tidak perlu komitted kepada GC.

CADANGAN TITM SUATU KETIKA DAHULU

Dengan difahami persoalan ini maka apa yang pernah dicadangkan TITM satu ketika dahulu tidak boleh diterima. PAS dan TITM mesti menarik balik kenyataan ini sebelum mereka boleh diterima sebagai anggota GC. Ia itu kenyataan di mana beliau menyatakan PAS boleh pilih untuk samada bersama BN atau PH (pada ketika itu) sekiranya PAS menang 20 kerusi sambil BN dan PH seri atau tak cukup kerusi untuk membentuk kerajaan. Tindakan sebegitu boleh sekiranya PAS bertanding secara bersendirian tetapi adalah salah sekiranya bertanding sebagai anggota atau sekutu GC.

Saya sebut TITM kerana dia pernah membawa kaedah ini secara terbuka. Kalau ada juga yang lain, maka begitu jugalah kehendaknya.

PENDIRIAN GC TERHADAP SIKAP ‘BEBAS MESRA BN’

Bagi ramai pemerhati politik, Icon melambangkan tindakan menjadi ‘bebas mesra BN’ setelah menang adalah Dato Ibrahim Ali. Pada 2008 beliau menang atas tiket PAS dan turut dibantu penyokong Barisan Alternatif (BA). Selepas menang beliau istihar dirinya sebagai ‘bebas’ dan melalui tindakannya seterusnya digelar ‘bebas mesra BN’. Kata beliau ianya kesemuanya telahpun dipersetujui terlebih dahulu oleh PAS Kelantan termasuk almarhum TGNA. Kalau sekiranya benar dakwaan beliau maka kita tidak boleh persalahkan tindakan beliau, kerana telah dipersetujui terlebih dahulu. Namun dari sudut lain, ianya tindakan salah kerana mengkhianati undi yang diberi rakyat kepadanya. Mungkin beliau sudah tahu dan bersedia menghadapinya.

Walaupun beliau tidak menyertai BN, sikap ‘bebas mesra BN’ tetap dikutuk sebagai satu tindakan khianat. Ini adalah kerana beliau dimenangkan atas sentimen anti-BN dan bukan mesra BN.

Begitu juga perlu dipertegaskan, tindakan ‘bebas mesra BN’ tidak boleh diamalkan oleh mana-mana parti setelah menang bersama GC. Tindakan mana-mana parti untuk tidak bersama GC setelah menang dan bersikap ‘berkecuali’ atau ‘bebas’ dan mesra BN pula selepas itu adalah satu tindakan yang tidak boleh diterima. Tindakan sebegitu merupakan pengkhianatan terhadap cita-cita untuk membentuk kerajaan baharu di bawah naungan GC.

KESIMPULAN

Sememangnya cita-cita sebalik pembentukan GC amat tinggi dan sukar tercapai. Oleh itu ianya memerlukan pendekatan yang sangat-sangat berhati-hati dalam menentukan keanggotaannya. Biar semua mempunyai visi dan wawasan yang sama. Rakyat inginkan kerajaan ditukar maka GC ditubuh. Biar ianya ditubuh dan diurus untuk mencapai kehendak rakyat, ia itu pembentukan kerajaan baharu di bawah GC. Bukan kerajaan baharu BN++ atau sebagainya.

Bagi yang berniat begitu, malahan sudah mempunyai rancangan begitu, harap istiharkan niat dan rancangan kamu sambil menjauhkan diri kamu dari GC.

Artikel ini telah diterbitkan di dalam Akhbar Amanah Edisi 12

WaLlahu 'Alam

KHALID SAMAD

Comments

Unknown said…
Analisa yg amat baik YB

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-