Skip to main content

Kenyataan Media Isu Dr. Zakir Naik: Reaksi Amanah Terhadap Tulisan Prof. Ramasamy

1. Parti Amanah Negara (AMANAH) mengucapkan terima kasih kepada Prof. Ramasamy kerana telah menggugurkan perkataan ‘Satan’ yang digunakannya terhadap Dr. Zakir Naik dalam penulisan asalnya. Budaya gelaran menghina dan mencaci adalah sesuatu yang wajar dihalang kerana amalan ‘name calling’ ini tidak mendatangkan apa-apa manfaat kecuali menyemarakkan lagi kepanasan suasana yang sudah panas.

2. Tindakan Prof. Ramasamy menggugurkan perkataan tersebut boleh dipuji kerana walaupun tidak bersetuju dan tidak berpuas hati, beliau masih rasional dan bersedia menerima teguran. Ini berbeza dengan sikap sebahagian yang lain yang terus mempertahankan penggunaan istilah menghina walaupun mengetahui ianya amalan tidak berakhlak.

3. Prof. Ramasamy menyatakan bahawa Dr. Zakir Naik menyeru orang Islam untuk membenci orang bukan Islam. Kami tidak faham dari mana datangnya tanggapan sedemikian. Setakat yang diketahui Dr. Zakir Naik hanya menjelaskan bahawa terdapat aspek-aspek tertentu di dalam kitab-kitab agama Hindu berhubung konsep ketuhanan yang selari dengan ajaran Islam. Ia bukan bertujuan menyebarkan kebencian terhadap orang Hindu, tetapi menjelas secara ilmiah berdasarkan kajian akademik tesis beliau bahawa ajaran agama Hindu ada persamaan dengan Islam dalam aspek tertentu. Tesis beliau ini boleh diterima atau ditolak oleh pendengar dan ianya dikemukakan secara ‘matter of factly’ dan bukan secara menghina. Jika dilihat secara posistif tesis yang dikemukakan sebenarnya berpotensi untuk merapatkan jurang sedia wujud atas sebab adanya persamaan seperti yang dinyatakan.

4. AMANAH tidak menafikan kemungkinan ada yang tersinggung dengan pembentangan Dr. Zakir Naik kerana ianya mencabar kepercayaan dan pegangan sedia ada. Namun, jika ianya berlaku sekalipun ia tidak bererti ada niat tidak baik di sebalik pembentangannya. Sememangnya tajuknya rumit dan berupaya menimbulkan salah faham sekalipun ianya dibentang secara berhemah. Malah lebih lagi jika ada pihak-pihak tertentu sengaja ingin menimbulkan perbalahan.

5. Oleh itu sekiranya timbulnya reaksi negatif daripada masyarakat Hindu terhadap pembentangan Dr. Zakir Naik, ianya sepatutnya sudah dijangka. Ini adalah kerana Dr Zakir Naik merupakan seorang beragama Islam yang ingin menceritakan mengenai aspek ajaran Hindu yang tidak pernah didengari masyarakat Hindu.

6. Oleh kerana ianya boleh dijangka maka cara bagaimana untuk mengurus reaksi negatif ini sepatutnya difikirkan lebih awal. Ianya semestinya bersifat bijak lagi berhemah untuk meredakan kemarahan tersebut. Di antara cara memberi reaksi yang baik adalah seperti yang terkandung dalam kenyataan Mufti Pulau Pinang. Beliau tidak menjawab kemarahan dengan kemarahan tetapi sebaliknya menyeru dengan tenang supaya masyarakat bukan Islam mendengar terlebih dahulu pembentangan Dr. Zakir Naik dan menilai fakta-fakta yang dikemukakan. Sikap beliau adalah sikap seorang pendakwah yang ingin membawa masyarakat kepada kefahaman dan pencerahan.

7. Sebaliknya ada juga di kalangan masyarakat yang ingin mengambil kesempatan untuk melakukan perbalahan melalui isu ini. Mereka menjawab kemarahan dengan kemarahan sambil mencabar dua-dua pihak untuk berbalah dan bergaduh. Dengan itu masyarakat akan berpecah dan bergaduh atas isu ini dan segala penyelewengan yang telah mereka lakukan akan ditutup dan dilupai.

8. AMANAH menyeru semua pihak untuk berhati-hati dengan golongan ini. Mereka tidak bersikap sebagai pendakwah tetapi sebagai agen provokator. Mereka wujud di kedua-dua belah pihak dan seruan mereka perlu ditolak.

9. AMANAH ingin menyeru seluruh masyarakat, sama ada Islam dan bukan Islam untuk mempunyai sikap terbuka terhadap perbincangan yang menyentuh perbezaan kefahaman dan kepercayaan selagi mana ianya dilakukan secara tertib dan berhemah agar segala hujah dinilai secara ilmiah dan bebas dari sentimen dan emosi. Perbincangan ilmiah tidak semestinya menyebabkan perbalahan tetapi sebaliknya boleh menghasilkan persefahaman antara yang berbeza pandangan dan kepercayaan.

“Harapan Baru”

KHALID ABDUL SAMAD
Pengarah Komunikasi
Parti Amanah Negara

12 April 2016
www.amanah.org.my

Comments

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-