Skip to main content

Deklarasi Rakyat dan Kerjasama Bersama Tun Mahathir

MUQADDIMAH

Terdapat pihak yang mempertikaikan penglibatan AMANAH dan Pakatan Harapan bersama Tun Mahathir dalam Deklarasi Rakyat. Mereka sentiasa mengingatkan kami bahawa kesemua masalah Negara, khususnya dari sudut sistem pemerintahan dan kuasa semak imbang telah dirosakkan Dr. Mahathir. Oleh itu, menurut mereka ini, berkerjasama dengan Tun Mahathir adalah satu pengkhianatan dan tidak wajar dilakukan.

Turut ditekankan adalah bahawa beliau hanya ingin menjatuhkan Najib dan bukan kerajaan UMNO/BN. Oleh itu menurut mereka lagi, kebersamaan dengan Mahathir akan hanya menyelamatkan UMNO/BN dan bukan menjatuhkannya. Ini adalah kerana sekiranya Najib dijatuhkan dan diganti dengan pimpinan UMNO yang lain, maka UMNO/BN akan mendapat nafas baru di bawah pimpinan baru.

Saya akan cuba menjawab kegelisahan pengkritik dengan menjelaskan niat dan matlamat di sebalik keterlibatan bersama Tun Mahathir dalam usaha menjatuhkan Najib. Matlamat kami sebenarnya bukan sekadar menjatuhkan Najib tetapi UMNO/BN. Kami yakin matlamat ini pada dasarnya lebih mudah dicapai dengan keterlibatan semua pihak di dalam Deklarasi Rakyat dan bukan sebaliknya.


MASALAH UNDI MELAYU

Majoriti masyarakat Melayu masih belum bersama Pakatan Harapan. Ini satu hakikat yang perlu diakui semua pihak. Berdasarkan PRU yang lepas, perat Melayu yang mengundi Pakatan Rakyat adalah hanya sekitar 40% secara pukul rata.

Pada ketika itu PAS bersama Pakatan Rakyat menentang UMNO/BN. Apabila sekarang PAS mengambil sikap tidak bermusuhan dengan UMNO/BN dan memberikan gambaran seolah-olah apa yang perlu adalah sekadar memberi nasihat kepada UMNO/BN maka undi Melayu menjadi semakin rumit. Apabila PAS memberikan gambaran “UMNO/BN tidak sezalim” dan “tidak perlu dijatuhkan, sekadar dinasihat”, ada kemungkinan semakin ramai Melayu akan terus menyokong UMNO/BN.

Walaupun mungkin ada yang menafikan bahawa itu adalah mesej terbaru PAS kepada masyarakat, namun itulah yang difahami umum.

Oleh itu perlu diakui hakikat bahawa sehingga ke hari ini, masih ramai dari golongan Melayu yang mempertikaikan samada pertukaran kerajaan adalah sesuatu yang perlu.

Dalam suasana begini, di mana undi dan sokongan Melayu masih ramai bersama UMNO/BN atas berbagai alasan, maka satu usaha untuk merobah keadaan dengan tindakan-tindakan yang akan membuka minda Melayu wajar dilakukan. Supaya Melayu melihat dan memahami bahawa Kerajaan telah selama ini menipu dan menzalimi mereka. Ke arah ini, suara Mat Sabu, Rafizi, DS Wan Azizah mahu pun DS Anwar Ibrahm telah tidak berjaya menyakinkan kebanyakan masyarakat Melayu. Apatah lagi suara LKS dan LGE!

Masyarakat Melayu menganggap mereka semua ini suara pembangkang yang hanya merupakan golongan pengacau dan berkepentingan.

Oleh itu suara lain yang masih berpengaruh di kalangan masyarakat Melayu, khususnya Melayu yang tidak yakin dengan ‘pembangkang’, adalah amat diperlukan untuk menyatakan apa yang cuba dinyatakan selama ini. Semoga dengan itu golongan yang tidak percaya ini akan mula terbuka minda dan menyatakan bahawa pihak pembangkang selama ini telah menyatakan yang benar! Dan di sini antaranya terletak alasan untuk bersama Tun Mahathir.

MATLAMAT TUN DAN PIMPINAN UMNO YANG BERSAMA

Ya benar, Tun dan pimpinan UMNO lain yang bersama tidak mempunyai matlamat jangka masa panjang yang sama. Matlamat mereka adalah untuk jatuhkan Najib demi menyelamatkan UMNO. Itu tiada yang boleh menafikan. Kalau ada yang menafikan, ianya sekadar membohongi diri. Begitu juga pandangan mereka terhadap reformasi sistem dan pembebasan DSAI juga tetap berbeza. Ini juga tiada yang boleh dinafikan.

Namun demikian, adakah wajar, oleh kerana matlamat jangka masa panjang berbeza, maka tidak boleh berkerjasama dalam mencapai matlamat jangka masa pendik yang sama? Ianya hanya wajar sekiranya matlamat jangka masa panjang akan terjejas dengan tindakan sebegitu. Tetapi adakah ianya akan terjejas?

Adakah dengan didedahkan kebobrokan kerajaan UMNO/BN bawah Najib dan ketidak-mampuan UMNO sebagai sebuah parti menghalang Najib dari terus bertindak melampau akan menambahkan sokongan masyarakat terhadap UMNO? Kalau jawapannya adalah “Ya masyarakat akan bertambah yakin dengan UMNO” maka benarlah bantahan yang dibuat terhadap penglibatan kumpulan ini bersama Deklarasi Rakyat.

Jikalau jawapannya adalah “mungkin ya, mungkin tidak” maka bererti ada kemungkinan sebaliknya. Maka adalah wajar untuk bersama dan usahakan sehingga tercapai apa yang diinginkan kerana kemungkinan itu ada.

Tetapi kalau jawapannya adalah “tidak”, iaitu apabila didedahkan itu semua maka masyarakat TIDAK akan bertambah yakin dengan UMNO, malahan semakin meluat, maka adalah jelas bahawa wajib untuk turut serta menyertai Deklarasi Rakyat!

Bagi kami, berdasarkan pernilaian yang dibuat, adalah diyakini bahawa segala penjelasan dan pendedahan ini tidak akan menambahkan keyakinan rakyat terhadap UMNO. Ianya memperlihatkan kelemahan dan kerosakan yang wujud dalam UMNO dan dengan itu adalah sesuatu yang pasti menguntungkan. Adalah agak sukar untuk diterima hipotesis yang menyatakan bahawa pendedahan kelemahan UMNO yang didedahkan akan membantu UMNO.

Yang menganggap bahawa UMNO/BN masih mampu mendapat keuntungan walaupun diadakan pendedahan dan penjelasan ini, mereka sependapat dengan Dr. Mahathir. Beliau yakin bahawa setelah dipecahkan segala tembelang Najib dan dengan itu UMNO/BN, bahawa beliau masih mampu menyelamatkan dan mendatangkan kemenangan kepada UMNO. Kami pula sebaliknya.

RISIKO TINGGI ADALAH BAGI TUN

Sebenarnya jika dikaji dengan teliti, risiko yang lebih tinggi adalah di pihak Tun Mahathir. Apabila beliau memberi penjelasan sepertimana sekarang, UMNO berpecah, rakyat naik meluat dengan UMNO dan perangai pimpinan UMNO. Kalau Najib berjaya diturunkan sekalipun, rasa meluat dan marah itu telah dan masih memuncak. Kami yakin tempoh masa untuk hadapi PRU terlalu singkat untuk dipulihkan kembali imej UMNO/BN, walaupun itulah yang ingin diusahakan Dr. Mahathir selepas Najib diturunkan. Itu pun kalau dapat diturunkan.

Kalau Najib tidak berjaya diturunkan, maka UMNO/BN akan hadapi PRU dalam keadaan berpecah teruk. Ini lagi merumitkan UMNO/BN dan menguntungkan pihak kita.

Risiko berpecah di atas sebab penerangan Tun adalah minima dan hanya menjadi sesuatu kemungkinan apabila ianya ‘akibat yang dipilih’. Maksud saya ada yang sengaja ingin berpecah. Saya berkata begitu kerana tiada apa yang dikatakan Tun Mahathir yang dapat merugikan kita. Tetapi atas sebab tidak setuju bersama maka berpecah. Walaupun tiada yang memaksa untuk berpecah, kita memilih untuk berpecah.

Yang saya hairan ialah pihak yang berisiko tinggi berani tetapi yang berisiko rendah takut. Takut mengharungi jalan perjuangan yang semestinya ada risiko tetapi ingin kononnya mendukung perjuangan! Adakah mereka ingin mendapat jaminan bertulis akan ada keuntungan baru sanggup mengambil risiko? Kalau begitulah kehendak mereka, maka mereka tidak sanggup mengambil risiko walau sekecil mana sekalipun. Jika begitu, sila kembali berpelukan dengan bantal tidurmu dan kami kejutkan bila kerjanya sudah selesai.

Apa yang ingin dihasilkan ialah suatu gelombang kemarahan rakyat terhadap Najib dan partinya sehingga gelombang tersebut terus mengganas sehingga rombakan menyeluruh terhadap kepimpinan dan sistem pemerintahan tercapai. Gelombang setelah ianya terhasil, tidak semudah itu dikawal. Agak mustahil dengan hanya berkata “berhenti!” maka ia akan berhenti. Ia akan terus sehingga segala yang menyebabkan ianya terhasil akan dibersihkan, termasuk UMNO/BN.

KHIANAT AGENDA REFORMASI?

Ada yang menuduh mereka yang bersama dengan Tun Mahathir telah khianat terhadap agenda Reformasi. Adakah agenda Reformasi berhubung Mahathir secara peribadi atau terhadap apa yang dia lakukan dahulu semasa beliau memerintah? Kalau ianya terhadap peribadi maka sudah selesai agenda reformasi kerana Mahathir bukan lagi PM! Tetapi kalau ianya terhadap apa yang dilakukannya, maka sila ambil maklum bahawa bukan dia yang melakukannya sekarang tetapi Najib! Beliau sudah lama pencen sebagai PM.

Bagaimana boleh dikatakan khianat terhadap agenda Reformasi sedangkan agenda itu terus dibawa? Lainlah kalau sekarang ini kita mengatakan bahawa Tun Mahathir betul dalam tindakannya semasa beliau PM tetapi setahu saya tiada yang menyatakan begitu.

Dan golongan yang menolak usaha menjatuhkan Najib bersama Tun Mahathir, tidakkah mereka lihat bahawa tindakan mereka menguntungkan Najib? Sedangkan Tun Mahathir sekarang ingin menyatakan keburukan Najib kepada rakyat dan khususnya ahli UMNO/BN sendiri? Dan beliau mempunyai akses kepada ahli UMNO/BN yang tidak ada pada yang lian. Maka adakah perkara ini ingin dihalang?

KESIMPULAN

Benar, ada banyak yang kita marah dengan Tun Mahathir. Samada sudah hilang kemarahan terhadapnya atau sebaliknya tidak releven masa ini. Kita sedang berhadapan dengan masalah yang jauh lebih besar. Iaitu sebuah kerajaan yang komitted kepada jalan penyalah-gunaan kuasa sehingga memungkinkan keadaan Negara rosak dan ekonomi negara hancur. Maka perlu dihadapi ancaman ini bersama dengan penuh waspada akan segala kemungkinan. Namun membenarkan seorang pemerintah untuk terus bermaharajalela; tidak sama sekali!

Paling kurang akan dapat dibuktikan pada semua bahawa rakyat mampu bersatu untuk menjatuhkan mana-mana pemimpin yang zalim. Ini akan menjadi pengajaran kepada semua pemimpin yang bakal menerajui pemerintahan Malaysia.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Anonymous said…
Seperti biasa, sebagai seorang ahli politik, lidah mesti pandai putar. Kalau tuan Khalid boleh pi kutub utara, dia boleh jual bongkah ais kat orang eskimo.

Pendirian, kebenaran, fakta tidak penting. Yang penting matlamat perlu dicapai dengan apa saja cara.

Percayalah, kalau dia mahu, esok dia boleh tulis lagi satu artikel, kenapa kita perlu sokong Najib, kalau dia lihat sokongan pada Najib boleh mencapai matlamatnya. Pokoknya, penyokong ni dianggap sebagai catur untuk digerakan menurut apa yang akan memanfaatkan matlamat beliau.

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan