Skip to main content

Tabung Haji Dan Krisis Keyakinan Terhadapnya

1. Tabung Haji (TH) merupakan institusi kewangan umat Islam hasil buah fikiran Profesor Di Raja Ungku Abdul Aziz. Ia bertujuan memudahkan urusan dan bebanan kewangan jemaah haji Malaysia. TH sebuah institusi unggul di dunia Islam yang boleh kita banggakan.

2. Untuk mencapai tujuan penubuhannya, operasi TH dibahagikan kepada dua, iaitu bahagian urusan jemaah Haji dan kegiatan pelaburan pendeposit. Keuntungan dari kegiatan pelaburan membantu menampung sebahagian kos jemaah haji.

3. Sejarah prestasi tadbir urus TH adalah baik dan memuaskan dan punya rangkaian urusniaga yang luas melalui pelaburan dan pembelian aset strategik dalam dan luar negara.

4. Mutakhir ini TH ditanggapi umum sebagai bermasalah, khasnya setelah surat dari Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) tersebar luas. Secara lebih khusus tentang pertikaian pemberian dividen melebihi keuntungan dan pembelian hartanah tertentu dengan harga tinggi. Dakwaan urus niaga dan pelaburan TH dipengaruhi oleh pimpinan politik sukar disangkal.

5. Dalam soal pemberian dividen dan bonus yang melebihi keuntungan perniagaannya untuk sesuatu tahun berkenaan, AMANAH menyedari bahawa pemberian bonus setinggi 5% dan bonus sebanyak 3% yang diumumkan semalam hanya dilakukan TH setelah beberapa asetnya di London dijual. Aset-aset yang selama ini mendatangkan pendapatan yang lumayan kepada TH terpaksa dikorbankan demi memenuhi matlamat jangka pendek untuk menggambarkan bahawa perniagaan TH masih utuh dan berkeuntungan.

6. Amalan sebegini tidak wajar atau berhemah dan tidak mampan. Teguran oleh pihak BNM tentang polisi rizab secara komprehensif dan pengurusan risiko amat mustahak untuk dipatuhi.

7. AMANAH mengutarakan kebimbangan perihal tanah TR Exchange yang awalnya didakwa dijual tetapi didapati tidak begitu. Kami mendapat faham, keputusan mengenai perkara ini belum lagi muktamad. Justeru kerana pelbagai versi dan cerita berada di pasaran hartanah dan media, maka AMANAH sarankan TH segera tangani isu ini secara tuntas dan muktamad sesuai dengan perhitungan strategik TH.

8. Amat malang sekiranya keputusan pembelian sepenting ini berlaku tanpa adanya kajian dan perancangan khusus, selain untuk memenuhi kehendak pemimpin politik negara. Dasar sebegini mesti dihentikan jika ada, supaya TH dapat diselamatkan.

9. Tindakan membayar dividen atau bonus melebihi keuntungan merupakan suatu ketidakpatuhan amalan perniagaan baik dan digunakan untuk menarik lebih ramai penyimpan. Ini jelas akan menghakis rizab serta memudaratkan TH. Wujudnya simpanan yang besar tanpa adanya satu perancangan pelaburan yang baik boleh mendatangkan kesan yang merugikan. Akhirnya simpanan itu hanya mendatangkan pulangan biasa, sebagai contoh 3% sedangkan TH terus memberikan dividen atau bonus yang lebih daripada biasa, seperti 5%.

10. Maka dengan itu AMANAH mendesak supaya:

a) Pengurusan dan Lembaga Pengarah TH sedia ada dikaji dari segi kelayakan dan kemampuan mereka seperti disentuh BNM.

b) Jawatan Pengurusan dan Lembaga Pengarah TH wajib diserahkan kepada mereka yang layak dan bukan sebagai habuan politik.

c) Senarai pengurusan TH perlu diluluskan terlebih dahulu oleh Bank Negara sepertimana senarai pengurusan bank komersil di negara ini. Ini bertujuan untuk menjamin hanya yang layak diberi jawatan di institusi kewangan yang menyimpan hampir RM54 billion aset umat Islam.

d) Demi menjamin wujudnya ketelusan dan amalan semak dan imbang, maka AMANAH mengesyorkan agar pihak Ketua Pembangkang sewajarnya diberi peluang untuk menamakan calon Lembaga Pengarah TH dengan syarat calon yang dinamakan layak dan diluluskan Bank Negara.

e) Satu audit menyeluruh terhadap kegiatan dan pelaburan TH serta kesemua anak syarikatnya perlu segera dilakukan oleh Ketua Audit Negara dan juga firma juruaudit bebas bertaraf antarabangsa. Segala yang tidak mematuhi piawaian profesionalisme dan amalan pengurusan yang baik perlu ditamatkan. Ini termasuk menutup syarikat yang tidak mendatangkan keuntungan dan sebaliknya hanya menjadi tempat berteduh ahli dan penyokong politik untuk sekian lama, sekiranya ada.

f) Sistem tangga gaji dan elaun sama ada untuk Ahli Lembaga Pengarah atau Pengurusan TH perlu disemak kembali. Mana-mana yang didapati melampau dan tidak seimbang dengan tugas dan tanggungjawab yang dimainkan, perlu diubah.

g) Sebagai langkah pengurusan risiko tambahan, TH diminta menjalankan satu ujian ‘stress test’ untuk institusi kewangan mengikut panduan di bawah kelolaan BNM. Hasil ujian tersebut perlu diterbitkan kepada umum untuk memberikan gambaran tahap keutuhan kewangan TH dan mengembalikan keyakinan penyimpan dan seluruh rakyat jelata.

11. AMANAH mengambil berat teguran Bank Negara. Hanya pengurusan yang tidak bertanggungjawab sahaja akan sanggup menepis teguran berkenaan dengan berbagai alasan.

12. AMANAH melihat TH bakal dilanda krisis keyakinan penyimpan dan pelabur yang akan menjejaskan kewujudannya kecuali tindakan segera diambil untuk memulihkan keyakinan ini.

13. AMANAH memandang serius tindakan kerajaan melantik Peguam Negara sebagai Ahli Lembaga TH. Tindakan susulan berhubung persoalan ini akan diambil.

"Harapan Baru"

Sekian, terima kasih,

SALAHUDDIN HJ AYUB
Timbalan Presiden
Parti Amanah Negara
5 Februari 2016

Comments

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan