Skip to main content

Majlis Makan Malam Sambutan Hari Jadi Ke-75 Lim Kit Siang

Saya telah menerima jemputan untuk hadir majlis makan malam sambutan hari jadi ke 75 YB Lim Kit Siang pada hujung Disember 2015. Apabila menerimanya saya pada awalnya teragak-agak samada mahu hadir atau tidak. Maklumlah dengan segala fitnah dan tohmahan yang dilemparkan bahawa saya dan rakan-rakan AMANAH adalah dibiaya oleh DAP, sudah pasti kehadiran saya di sambutan hari jadi LKS akan merancakkan lagi fitnah dan tohmahan itu.

Namun apabila saya ingat kembali usaha Almarhum TGNA dan betapa beliau dengan berani menghadirkan diri ke majlis hari jadi mendiang Karpal Singh, saya berteqad untuk hadir. Pada ketika itu PAS dan Almarhum TGNA dituduh bermacam-macam oleh UMNO. Antaranya sebagai kuda tunggangan DAP, pengkhianat dan sebagainya. Tetapi Almarhum terus hadir kerana dia sedar apa yang sedang diusahakan beliau jauh lebih besar dan lebih penting dari tohmahan dan celaan orang yang mencela. Dan oleh itu saya juga bertekad untuk berpegang kepada prinsip yang sama.

Malangnya yang berlaku sekarang ialah ada pihak yang ingin menggantikan UMNO dalam soal ini dan tanpa sedar berusaha meruntuhkan apa yang telah dibina oleh Almarhum TGNA. Begitulah ironisnya perkembangan politik Negara apabila yang mengikut tidak faham dan sekadar mengikut selama ini atas semangat dan retorik semata.

MAJLIS MAKAN MALAM DI PULAU PINANG

Maka pada 20 Februari lepas saya telah bertolak menaiki kereta dari Shah Alam ke Pulau Pinang. Bermula jam 4 petang dan sampai lebih kurang jam 7.30 mlm. Sepanjang perjalanan memikirkan bagaimana hendak membersihkan imej yang telah dibina berhubung AMANAH dan DAP. Sampai sahaja ke Hotel maka saya terus ke dewan dan bertemu ramai rakan taulan yang telah bersama berjuang sekian lama untuk menjatuhkan UMNO/BN. Ada yang dari DAP, PKR, NGO dan rakyat biasa. Semua saling mengucapkan selamat maju jaya. Saya ditempatkan di meja 58 dengan beberapa rakan. Tidak lama kemudian majlis pun bermula.

Majlis bermula dengan dijemput semua makan terlebih dahulu dan sambil menjamu, di antara satu hidangan dan satu hidangan lain, ada juga diselangi dengan beberapa ucapan. Antara yang menarik adalah ucapan anak bongsu LKS yang tidak begitu dikenali warga politik, iaitu seorang Doktor pakar perubatan Dr. Lim Guan Choon. Ucapannya diisi pujian terhadap ayahnya yang dilihatnya sebagai seorang yang gigih dan tegas berprinsip serta ibunya yang tabah mengharungi segala kesukaran termauk tahanan suami dan anaknya di bawah ISA. LKS ditahan sebanyak dua kali di bawah ISA iaitu 1969 dan 1987 sambil LGE pula dipenjarakan atas pembelaannya terhadap seorang gadis Melayu yang didakwa diperkosa pemimpin UMNO dan di bawah ISA pada 1987 bersama LKS.

Kisah riwayat perjuangan LKS sekeluarga menyebabkan saya rasa malu dengan diri sendiri. Sebagai seorang Muslim yang yakin perjuangan menegakkan keadilan dan menentang kezaliman adalah tuntutan keimanan, saya merasa malu bagaimana seorang bukan Islam telah sanggup berkorban begitu sekali dalam usaha mencapai cita-cita keadilan untuk rakyat Malaysia. Namun walaupun ucapannya amat sangat menarik dan menyebabkan diri saya terasa malu atas kesungguhan dan kegigihan LKS sekeluarga, ucapan seorang lagi selepas itu lebih menarik perhatian saya. Dan kata-katanya masih berdesing di telinga saya walaupun majlis tersebut sudah berakhir sekian lama.


UCAPAN KERK KIM HOCK MANTAN SUA DAP

Saya tidak begitu mengenali Saudara Kerk, walaupun pernah mendengar namanya. Beliau tidak begitu aktif selepas didapati mengidap sejenis barah dan sedang menerima rawatan hingga ke hari ini. Ucapan beliau banyak menceritakan sejarah LKS dan DAP termasuk kisah mendiang Karpal Singh. Antara apa yang disebutnya menarik perhatian saya, walaupun ia mungkin tidak menarik perhatian ramai, tetapi ia telah menyebabkan saya tersentak dan termenung seketika.


Saudara Kerk menceritakan satu episod dalam sejarah DAP apabila salah seorang pimpinan kanannya keluar DAP dan mula menyerang DAP. Tidak disebut nama pemimpin itu pada malam itu tetapi kalau tidak silap saya disebut beliau dari Negeri Sembilan. Bermacam-macam yang buruk dikatakan bekas pimpinan DAP ini terhadap DAP dan semua menunggu LKS untuk menjawab setiap dan segala serangan itu. Tetapi LKS sekadar berdiam diri tidak menjawab.

Saudara Kerk menceritakan lagi bagaimana beliau sendiri bertemu dengan LKS dan bertanya kepadanya, “kenapa tidak dijawab serangan-serangan itu?’ LKS sekadar menyatakan, “telah banyak dia (pemimpin yang keluar itu) sumbangkan kepada DAP”.

Saya tersentak dengan kata-kata dan sikap LKS. Walaupun pemimpin itu keluar DAP, atas apa sebab sekalipun dan menyerang DAP, LKS masih menghargai jasa dan pengorbanan bekas pemimpin tersebut. Dia menghormati jasa dan pengorbanan bekas pemimpin tersebut sehingga enggan menjawab balik. Bagi saya itu merupakan akhlak yang terpuji yang sesuai dengan ajaran Islam.

Amat sedih apabila akhlak Islam ada pada yang bukan Islam dan akhlak yang tercela di sisi Islam berada pada yang kononnya memperjuangkan Islam. Mungkin itulah sebabnya ummat Islam berada dalam keadaan sebegini, lemah dan ketinggalan dan ummat lain jauh ke depan.

JIKA DIKENANG KEMBALI KISAH LAMA

Ya dulu PAS juga menghadapi keadaan sebegitu. Dato Ahmad Fuad pergi. Dato Asri pergi. Ust Nakhaie pergi. Ada yang tubuh parti baru seperti Hamim, Berjasa dan Islah. Tetapi pimpinan dahulu berakhlak tinggi dan tidak menyumpah mereka atau mendoakan bala dan kehancuran terhadap mereka.

Apabila diserang oleh mereka, pimpinan tidak menjawab dengan tuduhan-tuduhan melulu. Saya sendiri melalui zaman Dato Asri dan Ust Nakhaie meninggalkan PAS tetapi saya tidak melihat apa yang seperti saya lihat sekarang. Tuduhan-tuduhan melulu dan melampau. Kebencian yang menggunung. Kemarahan yang merosakkan hati. Sedangkan yang keluar pun sebelum itu dicaci dan dicerca dengan begitu teruk sekali.

Ke mana perginya akhlak Islam? Tanpa akhlak ini, sudah pasti tidak akan ke mana. Cakap tidak serupa bikin. Kosong dari segi nilai dan budi pekerti.

PENGORBANAN DAN JASA YANG DIKENANG

Berani saya katakan, dari sudut pengorbanan dan jasa untuk membangunkan PAS, tiada yang boleh menandingi Saudara Muhammad Sabu. Beliau dipecat dari UiTM atau ITM pada ketika itu, atas penglibatan beliau dalam demonstrasi Baling. Seterusnya beliau ditahan di bawah ISA bukan sekali tetapi dua kali. Dibuang daerah ke Kuala Pilah untuk beberapa ketika.

Tiada demonstrasi menentang UMNO/BN yang tidak beliau hadiri dan ceramah beliau semasa zaman Almarhum TG Yusuf Rawa, Ust Fadhil Noor dan TGNA semuanya menyumbang kepada tersebar luasnya kesedaran terhadap perjuangan Islam. Rakyat kampung hadir beribu-ribu untuk mendengar ucapan beliau.

Tetapi apabila dilihat beliau tidak ingin mengikut kecenderungan dan pendekatan baharu, maka dirancangkan kejatuhannya. Dicaci dan dicela serta dituduh dengan berbagai tuduhan. Akhirnya bagaikan diusir keluar dan didoa laknatkan. Segala jasa dan pengorbanannya dilupai kerana PAS sudah berada di zaman kemenangan dan ramai pula yang inginkan jawatan. Seolah-olah PAS telah menjadi kuat dengan sendirinya dan pengorbanan berpuluh tahun dilupai begitu sahaja.

KESIMPULAN

Ada ramai orang Islam yang bangga dengan ‘Islam mereka’ sedangkan akhlak Islam tiada pada mereka. Dipandang rendah pula orang bukan Islam, sambil akhlak Islam berada pada yang bukan Islam. Ditepis kelemahan mereka dengan dikatakan “kami Islam” dan ditepis juga kelebihan masyarakat bukan Islam dengan dikatakan “mereka bukan Islam, maka tiada makna kelebihan mereka!” Sedangkan Islam mereka bagaikan hanya di hujung lidah.

Saya bertambah kagum dengan akhlak LKS pada malam itu setelah mendengar ucapan yang menceritakan pengorbanan dan akhlaknya. Saya mengharapkan harinya akan tiba apabila akhlak mulia seperti ini akan kembali dimiliki ummat Islam. Sekarang ini ummat Islam di Malaysia hanya masyhur dengan rasuah dan perkauman, sikap dengki dan adu-domba dan penyelewengan dan salah guna kuasa. Mungkin itu antara sebab Almarhum TGNA ingin bezakan Melayu dan Islam. Malangnya ada pula yang berusaha keras untuk menyamakannya kembali.

Jangan dibanggakan serban dan jubahmu,
Sedangkan hatimu penuh kebencian.
Jiwai Rahmatal-lil-a’lamin Nabimu,
Berdiri tegak, perjuangkan keadilan!

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

lan said…
Perkongsian yang menarik tuan bagaimana nilai-nilai islami semakin hilang dari orang islam sendiri dan nilai-nilai tersebut dipegang oleh yang bukan islam dengan amat baik sekali. Biarlah Pas mengharungi era kehancuran dan menjahanamkan diri sendiri, kelak suatu hari nanti dengan ilmu,akal yang celik orang awam terutamanya yang Islam sendiri dapat menilai Pas yang ada kini.

Hanya dengan ilmu dan akal yang sejahtera akan menyebabkan melayu islam berubah ke arah kebaikan termasuklah dalam hal politik.
Izuddin said…
Timbul dalam diri saya perasaan gembira, sayang dan rindu yang amat terhadap kawan2 yang sama-sama belajar di Universiti Malaya setelah berjumpa semula disuatu reunion setelah berpuluh-puluh tahun tidak berjumpa selepas graduate.

Tak mengapapa lah depa pandang rendah terhadap pandangan saya bersabit Ugama, Falsafah dan Politik. Tapi saya harap mereka akan tetap ingati saya sebahagian dari coursemate final year di Jabatan........, University Malaya.
Izuddin said…
takiyudin cakap merepek. mengarut lah dia ni....haha
e4sa khalid said…
Mudah2an kit sang terbuka hidayat peluk islam. Tak seorang pun yg berani dakwah kit siang. Kolid somad kecut perut agaknya nak nyatakan islam kpd kit siang ataupun si kolid nih memang tak pernah terfikir nak islamkan kit siang. Cer ko beri komen kpd aku wahai kolid ?
Izuddin said…
Raman said argue as follows for his reasoning on 1MDB transaction :

Bank Negara approves 1MDB transactions.
The approvals mean the money transact is legal

This is an example of Induction

But the problem with Induction is the philosophical question(Ethics) of whether inductive reasoning leads to knowledge understood about 1MDB businesses?

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan