Skip to main content

Persoalan Ekstrimisme Dan Budaya ‘Takfiri’

MUQADDIMAH

Baru-baru ini YB Dr. Mujahid Yusuf Rawa telah mengeluarkan kenyataan bersama YB Dato Raja Kamarul Bahrin berhubung masalah ekstrimisme. Dalam kenyataan tersebut Mujahid dan Raja Bahrin telah berusaha menjelaskan bahawa antara punca utama ekstrimisme adalah sikap ‘hanya kami betul, yang lain sesat’. Ini seterusnya membawa kepada budaya ‘takfiri’ ia itu menghukum dengan menyatakan kumpulan atau orang ini terkeluar dari Islam. Hasil dari itu maka akan menular sikap dan tindakan ekstrim sehingga menghalalkan penumpahan darah dan mungkin membawa kepada pembunuhan terhadap golongan yang berbeza pandangan.

Kenyataan mereka ini dispin sehingga ditokok tambah dengan apa yang tidak dinyatakan beliau. Tujuan di sebalik usaha spin ini ialah supaya isu yang ditimbulkan mereka berdua ditenggelamkan dan apa yang tidak dinyatakan sebaliknya menjadi isu perbahasan.

Saya ingin membawa balik perbincangan kepada apa yang telah dinyatakan Dr. Mujahid dan Raja Bahrin, dan bukan tokok tambah yang dibuat pihak lain. Pihak lain ini telah mensasarkan Dr. Mujahid dan oleh itu tulisan saya seterusnya menyebut Dr. Mujahid sahaja.

KESINAMBUNGAN USAHA ALMARHUM TG YUSUF RAWA

Saya melihat kenyataan Dr. Mujahid sebagai satu usaha untuk menghalang timbulnya kembali budaya takfiri yang pernah satu ketika dahulu menghantui gerakan Islam di Malaysia. Oleh itu usaha beliau bukan sebagai satu usaha memperlekehkan Almarhum ayahnya sendiri, seperti yang didakwa melalui media sosial; tetapi sebaliknya mempunyai kesinambungan terhadap usaha Almarhum.

Budaya ‘takfiri’ ini merupakan budaya yang telah mula bertapak di kalangan masyarakat Melayu satu ketika dahulu sehingga membawa bermacam-macam masalah dan angkara. Budaya ini telah dapat dikekang dan ditangani pengaruhnya hasil usaha gigih pimpinan PAS yang muncul bersama ‘kepimpinan Ulama’ pada tahun 1982.

Kumpulan ulama’ yang menerajui kepimpinan baru ini pada ketika itu terdiri dari Almarhum TG Yusuf Rawa, Almarhum TG Nik Abdul Aziz Nik Mat, Almarhum Ustaz Fadhil Mohd Noor, Almarhum Ust Hassan Shukri, Almarhum Ust Yahya Othman, Ust Abdul Hadi Awang, Ust Nakhaie Ahmad dan ramai lagi. Mereka telah berjaya memperjelaskan usaha sebenar perjuangan Islam sebagai satu usaha memberi penerangan berhubung Islam sambil menyeru manusia kepadanya. Ia bukan usaha untuk menghukum manusia sebagai kafir, munafik, fasik atau sebagainya. Antara ungkapan yang dimasyhurkan pada ketika itu adalah “Duat laa Qhuda” atau “(kami) Duat bukan Qadhi”. Duat adalah plural kepada Da’i atau pendakwah.

Turut juga dipopularkan konsep “Muwajjahah Silmiyah” atau “berhadapan (dengan masyarakat) secara damai”. Adunan dua konsep ini, iaitu ‘Duat Laa Qhuda’ dan ‘Muwajjahah Silmiyah’ adalah antara rahsia kejayaan PAS meletakkan dirinya di arus politik perdana mulai tahun akhir 80an. Ia adalah juga rahsia kejayaan PAS membendung munculnya ekstrimisme dalam PAS sendiri.

KESAN PENOLAKAN PENDEKATAN ‘TAKFIRI’

Melalui penolakan pendekatan takfiri ini dan kepimpinan yang jelas fikrah mereka serta berhikmah, maka budaya takfiri dapat dibendung PAS dari terus menguasai gerakan Islam di Malaysia. Bagi PAS, ini telah membuka jalan kepada pendekatan yang lebih inklusif, saling berkerjasama antara kumpulan gerakan Islam dan parti politik pembangkang lain. Malahan, kerjasama dengan golongan bukan Islam juga dimulakan dengan adanya engagement atau perhubungan dengan persatuan pendidik dan guru-guru Sekolah Cina serta aktivis masyarakat berbangsa Cina yang lain sehingga terbentuknya Chinese Consultative Council (CCC). Ini semua berlaku dengan pesatnya pada pertengahan 80an.

Penolakan pendekatan menghukum dan takfiri ini juga telah memungkinkan usaha bersama Semangat 46 melalui Angkatan Perpaduan Ummah (1990), Reformasi melalui Gerak (1998), Barisan Alternatif (1999) dan seterusnya Pakatan Rakyat (2008 - 2015).

Oleh itu usaha untuk menghalang timbulnya kembali budaya menghukum dan takfiri seharusnya dialu-alukan dan tidak dibantah melalui penyebaran maklumat yang keliru dan mengelirukan.

SPIN DAN SERANGAN PERIBADI TERHADAP DR. MUJAHID

Malangnya kenyataan Dr. Mujahaid dispin sehingga dikatakan ianya kutukan terhadap usaha ayahnya sendiri. Ditambah lagi bahawa ianya kutukan terhadap golongan Syuhada’ Memali. Ditambah lagi bahawa kononnya ia mengaitkan PAS dengan Al-Maaunah dan sebagainya!

Sedangkan kenyataan beliau langsung tidak menyentuh peristiwa-peristiwa tersebut! Dan sikap Dr. Mujahid terhadap syuhada’ Memali adalah sepertimana sikap Almarhum ayahnya, bahawa mereka adalah mangsa politik rakus UMNO/BN dan mereka telah gugur sebagai syuhada’. Mereka dibunuh dalam keadaan diserang dan bukan menyerang, terus berada dalam rumah mempertahankan diri dan hak mereka.

Begitu juga difitnahkan bahawa Dr. Mujahid hanya memanjangkan agenda Amerika kerana agenda ekstrimis adalah agenda Amerika! Adakah mereka menafikan wujudnya masalah ekstrimis ini? Sedangkan apa yang dimaksudkan sebagai agenda Amerika adalah bahawa Amerika sebenarnya disebalik golongan ekstrimis ini supaya imej Islam tercemar dan sentiasa kelihatan ganas! Maka penolakan pendekatan ekstrimis adalah penolakan agenda Amerika bukan memanjangkannya.

Dan berbagai lagi serangan peribadi yang dilemparkan terhadap Dr. Mujahid semata-mata kerana beliau ingin menghalang timbulnya kembali budaya menghukum dan takfiri yang pernah ditentang PAS satu ketika dahulu. Dan sememangnya ianya dilihat seolah-olah ingin ditimbulkan kembali dengan kecenderungan menghukun sebagai fasik, munafik dan sebagainya kebelakangan ini.

Kalau tidak bersetuju dengan apa yang dinyatakan Dr. Mujahid sekalipun, nyatakan apa yang tidak dipersetujui, dengan hujah, tidak perlu dilakukan fitnah atau ‘character asassination’ atau menyerang peribadi beliau.

Saya tidak berhajat untuk menjawab setiap satu dari fitnah tersebut kerana usaha sedemikian akan mencapai tujuan dan matlamat golongan pemfitnah. Sememangnya mereka ingin supaya perbahasan diselewengkan dari persoalan asal.

Saya hanya ingin menegaskan bahawa budaya menghukum dan takfiri yang ingin dihalang Dr. Mujahid perlu disambut baik oleh semua ummat Islam dan bersama memikul bertanggung-jawab untuk menentukan bahawa ianya tidak kembali mempengaruhi masyarakat Islam Malaysia. Jika tidak, maka bahaya kemunculan IS seperti yang disebut Dr. Mujahid akan menjadi satu realiti di Malaysia, naudzubillahi min dzaalik.

KESIMPULAN

Islam merupakan agama yang meraikan perbezaan pendapat. Asalkan ianya bukan isu yang menyentuh persoalan aqeedah, maka perbezaan pandangan ini wajar dibahas dalam suasana ukhuwwah dan saling menghormati. Masing-masing mempunyai hujah dan setiap hujah ada asasnya. Akhirnya kebenaran hujah akan terbukti melalui pengamalannya.

Kecenderungan untuk mengaitkan semua persoalan ummat Islam dengan aqeedah, walaupun tiada kena-mengena dengan aqeedah, akan menghasilkan sikap yang keras atau syadid dan mendatangkan masalah ‘takfiri’. Para sahabat sendiri pernah berbeza pandangan dengan Nabi (SAW) atas persoalan urusan dunia dan Nabi tidak mengkafirkan mereka atas sebab berbeza pandangan dengan Baginda. Atau menuduh mereka menghinanya kerana berbeza pandangan. Ada kalanya Nabi mengakui kebenaran pandangan sahabat dan adakalanya sebaliknya.

Jika berbeza pandangan dengan Nabi sendiri, atas soalan urusan keduniaan, yang tidak ada hukum yang jelas mengenainya, tidak dianggap menghina atau derhaka kepada Nabi oleh Nabi sendiri, bagaimana ianya boleh dianggap sebaliknya apabila berbeza dengan manusia lain. Walaupun manusia itu ‘ulama besar dunia’ sekalipun.

Oleh itu biarlah pendekatan kita lebih terbuka, jangan menghukum dan mengkafirkan dengan semudah itu. Supaya trend ke arah ekstrimisme ini dibendung dan perbezaan pandangan dihargai dan dibincang dengan baik dan waras. Supaya akhirnya ummat Islam ini dapat maju ke hadapan tanpa dimomok ketakutan yang diada-adakan.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

mumtaz harun said…
Putar beli cakap,pusing2 nak buat gambaran IS dalam gerakan islam/pas. Sengaja mengundang persepsi buruk pada orang yang nak berjuang untuk islam.jgn mainkan politik keganasan atau perkauman lah! Klu nak berpolitik pun,jgn mengundang amerika campur tangan dgn hujjah2 anda dari kalangan ahli politik sendiri.biasanya,org yang menentang islam yang menggunakan hujjah pengganas dan keganasan oleh kelompok islam,bagi menjatuhkan politik islam. Kini anda pula cuba guna cara sama seperi musuh islam dengan menggunakan point ada/bakal wujud golonga pengganas.

Jangan disebabkan nak menang politik,anda sanggup buat apa sahaja hingga menggunakan senjata " keganasan dan pengganas di malaysia " maka 2x5 je anda dengan kumpulan penentang islam,cuma anda laksanakan dari dalam sama ada sengaja atau tidak sengaja. Fikir2kan
mumtaz harun said…
Putar beli cakap,pusing2 nak buat gambaran IS dalam gerakan islam/pas. Sengaja mengundang persepsi buruk pada orang yang nak berjuang untuk islam.jgn mainkan politik keganasan atau perkauman lah! Klu nak berpolitik pun,jgn mengundang amerika campur tangan dgn hujjah2 anda dari kalangan ahli politik sendiri.biasanya,org yang menentang islam yang menggunakan hujjah pengganas dan keganasan oleh kelompok islam,bagi menjatuhkan politik islam. Kini anda pula cuba guna cara sama seperi musuh islam dengan menggunakan point ada/bakal wujud golonga pengganas.

Jangan disebabkan nak menang politik,anda sanggup buat apa sahaja hingga menggunakan senjata " keganasan dan pengganas di malaysia " maka 2x5 je anda dengan kumpulan penentang islam,cuma anda laksanakan dari dalam sama ada sengaja atau tidak sengaja. Fikir2kan
Izuddin said…
Mat Sabu kata pas mengamal takfiri kerana ada org2 pas yg rela mati dihantar ke syria utk lawan assad. Nik Aboduh kata mat sabu jumpa assad. bermaksud, pas menuduh assad kafir. skrg pas mengamal takfiri keatas Amanah. Dulu pas terang2 tuduh umno kapiaq.

hadi sesat dihujung jalan.

melayu tak mau halang mungkar dalam umno. biar saja cina kapiaq halang mungkar dlm umno
Miji said…
Khalid samad pun pemikiran mcm amerika bila nak menang dan malukan musuh.inilah sebenarnya geng ghb .haru biru dibuatnya.kesian khalid sekarang ni
Izuddin said…
Tahalul siyasi adalah org islam kerjasama dgn org kafir, dan bukan org kafir kerjasama dgn org islam.

Kalau Azmin kata okr akan terus tahakul siyasi dgn pas, bermakna pkr adalah org2 islam dan pas org2 kafir.

Azmin tak tau atau dia perli pas...haha

Dulu pas setuju tahalul siyasi dgn dap kerana pas ingat depa org islam dan dap org kafir. tujuan tahalul siyasi adalah utk jaga org2 kafir dinegara Islam.

Dinegara bukan Islam macam singapore takda tahalul siyasi kerana melayu atau org2 islam diSpore adalah AJAM(org yg tak cakap, hidup, percaya) macam org2 kafir.
aku paham apa yang dikatakan oleh khalid... malangnya masih ada komentar yang terbeku mindanya...

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan