Skip to main content

Bajet 2016: ‘Kegagalan Dibanggakan’

MUQADDIMAH

Saya tidak berpeluang untuk membahas bajet di Parlimen kali ini di peringkat dasar. Akan tetapi banyak dari apa yang perlu dinyatakan telah dinyatakan. Namun ada beberapa isu yang mungkin saya ulas dengan cara yang agak berbeza. Dan sambil sidang Parlimen berehat sempena perayaan minggu ini, saya ambil kesempatan untuk menulis apa yang ingin saya sampaikan.

UCAPAN PEMBENTANGAN BAJET

Kami terpaksa duduk diam selama 2 jam mendengar ucapan pembentangan bajet oleh PM. Bila ianya berakhir dan sambil PM mula duduk, tiba-tiba hampir kesemua Ahli Parlimen Pembangkang berdiri memegang plakard yang tertulis atasnya, “Mana RM 2.6 Billion?” PM jelas kelihatan tersentak oleh kerana tidak disangkanya tindakan sebegitu rupa oleh pihak pembangkang. Dia mungkin telah bersedia untuk melihat pembangkang menjulang buku Bajet alternatif Pakatan, seperti yang telah dilakukan sebelum ini, tetapi plakard itu sesuatu yang jauh berbeza.

Sebenarnya, secara terus terang saya nyatakan, saya hairan mengapa dia terkejut dengan tindakan kami. Ini adalah ISUNYA yang berlegar di minda rakyat selama ini dan ini adalah SOALANNYA yang perlu dijawab. Maka dia sepatutnya sudah menjangkanya. Akan tetapi, berada dalam singgasananya, sambil hanya dikelilingi oleh tukang bodek, dia langsung tidak sedar betapa rakyat dah naik sesak nafas oleh semua isu ini.

Mendengar ucapan pembentangan tersebut saya membuat kesimpulan bahawa kerajaan BN tidak mengetahui apa maksudnya ‘tata kelola yang baik’ atau apa itu pentadbiran yang berjaya, khususnya dari sudut ekonomi. Kegagalan dibanggakan sebagai kejayaan dan saya dah mula sangsi samada BN faham apa itu kerajaan berjaya dan cirinya.

Akan tetapi, untuk memendekkan cerita, saya putuskan untuk menamakan Bajet 2016 sebagai bajet “Kegagalan Dibanggakan”. Saya akan jelaskan sebabnya melalui empat contoh yang jelas lagi bersuluh seperti yang berikut.

Kegagalan Dibanggakan (1) – GST

Sambil saya mendengar PM membentangkan ucapan bajet, saya terkejut dengan pengakuannya bahawa kalau tidak disebabkan kerana kutipan GST, kerajaan tidak akan mempunyai duit untuk membayar gaji kakitangan kerajaan! Terus saya terfikir, adakag dia faham apa sebenarnya yang dia sebut?

Sudah pasti ianya pengakuan jelas di atas kegagalan dirinya sendiri dalam mentadbir. Kegagalan untuk melaksanakan dasar-dasar yang memungkinan hasil diperolehi dari sumber selain dari poket rakyat. Terkejut saya apabila ianya bukan sekadar tidak diakui sebagai satu kegagalan tetapi sebliknya disanjung sebagai satu ‘kejayaan’ kerajaan. Mengikut lojik songsang mereka, ianya membuktikan bahawa kerajaan betul dan bertindak tepat mengenakan GST walaupun ditentang pihak pembangkang.

Ditegaskan bagaimana GST telah mendatangkan hasil tambahan sebanyak RM 21 Billion kepada kerajaan dan bagaimana ia berjaya menampung berkurangnya hasil minyak dan gas. Hakikat bahawa ianya hasil dari rakyat dan bukan dari pertambahan produktiviti atau keuntungan dianggap tidak releven oleh mereka! Mana-mana badut sekali pun akan mampu menambahkan hasil dengan menaikkan cukai! Maka apa yang layak dibanggakan?

Apabila disebut bahawa GST menyebabkan inflasi dan kenaikan kos kehidupan bagi rakyat biasa, maka dijawab 160 negara mengamalkan sistem cukai GST! Adakah itu menjawab soalan inflasi dan kesannya? Soalannya mengenai inflasi yang disebabkan GST, BUKAN berapa negara mengenakan GST! Bagaimana untuk brerhujjah dengan orang sebegini terfikir saya. Lain ditanya, lain pula yang dijawab!

Apabila dihujah ianya tidak adil mencukai orang yang berpendapatan sekadar cukup untuk menyara hidup mereka, sekali lagi isu 160 negara disebut kembali. Adakah itu bermakna ianya adil? Sekali lagi isu yang ditimbulkan tidak dijawab. Isunya keadilan dan bagaimana GST yang merupakan sistem pencukaian bersifat regressif, mencukai walaupun yang miskin, BUKAN berapa negara mengutip GST!

Adalah mungkin wajar, untuk disimpulkan bahawa lojiknya ialah negara perlukan sesuatu untuk dibangga dan dipestakan, maka mengapa tidak GST!

Kegagalan Dibanggakan (2) - Pembayaran BR1M

Satu lagi usaha yang kerajaan BN kelihatan begitu bangga adalah pembayaran BR1M. Begitu bangga dengan usaha ini sehingga apabila kadar tol dinaikkan PM dengan megahnya menyatakan bahawa sekiranya kadar tol tidak dinaikkan maka BR1M tidak boleh dibayar. Atas nama BR1M maka kenaikan kadar tol yang tidak munasabah dipertahankan. Sambil syarikat Konsesi mencapai keuntungan yang disasarkan berjumlah ratusan juta, rakyat biasa mendapat kenaikan RM 50 berbanding tahun lepas.

Jumlah yang diperuntukkan untuk BR1M tahun ini diistiharkan lebih banyak berbanding tahun-tahun sebelumnya dan ini disambut dengan tepukan gemuruh dari beberapa MP BN. Dan disebut bahawa lebih ramai rakyat telah dikenal-pasti dan disahkan layak untuk menerima BR1M. Kenyataan ini juga disambut dengan tepukan gemuruh!

BR1M adalah bagi saya satu pengakuan tidak bermaruah akan kegagalan kerajaan dalam usaha mereka untuk menyelesaikan masalah kefakiran, kemiskinan dan golongan lemah, penghasilan peluang pekerjaan dan penjaminan pendapatan yang adil dan mencukupi. Namun entah bagaimana, ianya dijaja sebagai satu kejayaan! Di kebanyakan Negara menbangun dan maju, keadaan sebegini akan dilihat sebagai satu pengakuan kegagalan kerajaan, tetapi di Malaysia, di bawah BN, kegagalan sekali lagi dilihat sebagai satu kejayaan.

Kegagalan Dibanggakan (3) - Jatuhnya Nilai Ringgit

Saya terkejut apabila kejatuhan nilai Ringgit tidak diterima sebagai bukti kegagalan kerajaan oleh beberapa MP BN. Ia dihujahkan bahawa kejatuhan nilai ringgit adalah atas sebab ‘hegemoni’ atau ‘dominasi dan kepimpinan’ Amerika ke atas ekonomi dunia. Ianya bukan atas sebab salah tadbir kerajaan Malaysia! Hegemoni yang dipaksakan melalui kekuatan ketenteraan Amerika yang mana, didakwa, menyebabkan terhasil ekonomi palsu dan oleh itu keadaan nilai mata wang yang palsu juga!

Perancangan untuk menurunkan nilai (devaluation) mata wang Dollar Singapura dan Yuan China oleh kerajaan masing-masing dikemukakan, entah mengapa, sebagai bukti kebenaran dakwaan mereka. Mata wang Negara tersebut telah menjadi “terlalu kuat sehingga merugikan” dan oleh itu perlu diturunkan nilainya. Maka, dakwa mereka, tiada yang pelik apabila nilai ringgit jatuh kerana ianya sama sahaja dengan usaha devaluation atau menurunkan nilai! Hujah pelik sebegini menyebabkan kepala saya pusing!

Tidak cukup dengan itu, ia dihujahkan lagi bahawa penurunan nilai mata wang ringgit adalah baik untuk Malaysia, khususnya negeri Johor. Ribuan rakyat Singapura akan datang untuk membeli segala-galanya! Maka kejatuhan nilai ringgit juga dibanggakan oleh beberapa MP BN, walaupun diperakui, bukan semua.

Bagaimana, saya bertanya kepada diri saya sendiri, hendak berhujah dengan lojik yang songsang sebegini? Adakah kerajaan UMNO/BN begitu terdesak untuk mencari unsur kejayaan atau kredit dalam pentadbiran mereka sehingga kegagalan yang nyata sekalipun disenaraikan sebagai kejayaan?

Kegagalan Dibanggakan (4) - Tiada Sumber Pendapatan Baharu Dikenalpasti

Setelah mengangkat bakul sendiri dengan GST, BR1M dan kejatuhan nilai ringgit, kesemuanya digambarkan sebagai kejayaan, mereka lupa untuk menjelaskan bukan sahaja isu 1MDB dan RM 2.6 Billion, tetapi juga persoalan sumber pendapatan baharu negara untuk masa depan. Adakah kita akan tumpu kepada pembinaan industri berat, bidang ICT melalui ‘multimedia supercorridors (MSC)’, sektor perkhidmatan atau kembali kepada pertanian dan perikanan? Apa akan menjadi sektor tumpuan kita dalam usaha menjana pembangunan ekonomi negara setelah berlakunya kejatuhan hasil dari sektor minyak dan Gas? Takkan ianya akan ditampung oleh kenaikan kadar GST setiap tahun? Atau adakah itu yang dirancang?

Pendek kata, tiada hala tuju yang jelas dan di mana tiada hala tuju yang jelas, kita hanya mampu mejangkakan kegagalan.

KESIMPULAN

Bajet seperti dibentangkan gagal menangani masalah sebenar ekonomi negara, hilangnya keyakinan pelabur, skandal dan rasuah yang melanda dan ketiadaan hala-tuju yang jelas. Ianya bagaikan ‘bajet sama seperti biasa’ dan lebih teruk lagi, ianya tanpa kesedaran terhadap keperluan bertindak segera. Sedangkan Negara berada dalam keadaan krisis.

Saya bukan seorang ahli ekonomi dan saya tidak berhajat untuk berlagak sebagai seorang ahli ekonomi. Namun saya sebut sini dengan jelas, saya seperti ramai lagi rakyat Malaysi dapat mengenali kegagalan apabila melihatnya. Dan bajet ini bukan sekadar berbangga dengan kegagalan tetapi menjanjikan lebih banyak kegagalan pada masa akan datang.

Artikel ini telah diterbitkan dalam Bahasa Inggeris bertajuk Budget 2016 : ‘A Celebration Of Failures’ pada 11 November 2015.

WaLlahu 'Alam

KHALID SAMAD

Comments

Izuddin said…
azmin tak kata pkr akan kerjsama dgn pas. tapi azmin kata dia mahu pas kerjasama dgn pakatan harapan, iaitu pkr dap dan amanah.

tapi, pas mahu kerjasama HANYA dgn pkr dan jugak dgn umno.

kalau pas nak kerjasama hanya dgn pkr, hadi kena jilat pungkok anwar macam dia jilat pungkok umno...haha

Izuddin said…
Matkamat amanah cuma nak sambung semula usaha2 pakatan rakyat yg telah bawa kejayaan undi populariti 52% rakyatkpd pakatan rakyat pd ge13.

Amanah dah keluar pas tapi pas masih geram dan berdendam. Terpulanglah kpd pas tak mau Amanah bertanding kerusi pas pd ge14.

Amanah akan bertanding juga kerusi pas walapun pas pujuk Azmin supaya Amanah tak tading kerusi pas.

Amanah dah bosan dgn perangai pas benci sesama saudara.

Pkr ni bukan Azmin punya. Semuanya Allah yang punya....haha...macam lagu nasyid
Johan said…
Dimaafkan. Lagi pun Belanjawan Negara itu penting diluluskan kerana jika sebaliknya sukarlah negara ini berfungsi. Benda yg baik untuk rakyat usah dicerewetkan.
Izuddin said…
Tak lulus bajet bukan bermaksud negara tak dak bajet. ia bermaksud najib kena buat bajet lain lerrr. tu lah guna nya demokrasi dalam negara Demokrasi

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan