Skip to main content

Perbandingan Sikap Almarhum TGNA dan TGHH dalam Persoalan Tahaluf

Saudara Nordin Ali telah memberi respon kepada tulisan saya berhubung pengkhianatan yang dilakukan PAS terhadap PR semasa di bawah kepimpinan TGHH. Dia menjawab bahawa TGNA juga mempunyai sikap yang sama dengan TGHH dan oleh itu sepatutnya saya gelarkan tindakan Almarhum TGNA sebagai suatu pengkhianatan juga. Dia telah memberi beberapa hujjah dan alasan untuk menyokong dakwaannya itu.

Dia berusaha menyamakan tindakan TGHH di Kota Damansara dengan tindakan TGNA di Kota Bharu pada 2004 dan 2008 sedangkan kedua-dua peristiwa ini bukan sekadar berbeza tetapi bercanggah di antara satu sama lain. Sebelum saya jelaskan mengapa ianya bercanggah dan berlainan, biarlah saya kemukakan dulu hujjah saudara Nordin.

Kisah Tuan Syed Hussein Ali : PRU 2004

Tuan Syed Hussein Ali ingin diturunkan oleh PKR sebagai calon mereka di Parlimen Kota Bharu pada pilihan raya tahun 2004. Almarhum TGNA membantah cadangan itu dengan mengatakan bahawa selama ini orang Kelantan telah diajar bahawa “Sosialis itu adik beradik dengan Kommunis” maka sekiranya Tuan Syed diturunkan di Parlimen Kota Bharu, dikhuatiri beliau akan ditolak pengundi. Hasil dari itu maka PKR telah menukarkan calon mereka dan meletakkan Nik Mahmood Nik Hassan.

Kisah PRU 2008 : Diletaknya Dato Wan Rahim

Versi saudara Nordin ini dipertikaikan kesahihannya oleh Dato Wan Rahim sendiri. Namun saya bentangkan juga untuk pengetahuan semua dan sertakan sekali penjelasan saya walaupun versi ini dipertikaikan.

Pada PRU 2008 Almarhum berusaha meletakkan calon PAS di Parlimen Kota Bharu walaupun kerusi Parlimen Kota Bharu merupakan kerusi yang ditandingi PKR sejak 1999. Ini adalah atas sebab keputusan PRU 2004. Ketiga-tiga kerusi DUN di dalam Parlimen Kota Bharu dimenangi calon PAS tetapi kerusi Parlimen Kota Bharu yang ditandingi PKR dimenangi UMNO. Maka Almarhum membuat kesimpulan bahawa PKR bukan parti pilihan rakyat di Kota Bharu dan oleh itu berkeras untuk PAS bertanding di kerusi Parlimen tersebut.

Hasil dari tindakan Almarhum maka PKR Kelantan membuat keputusan untuk tidak bertanding di mana-mana kerusi di Kelantan. Almarhum seterusnya menyebut PKR sebagai parti yang mencelarukan dan PAS bersedia menghadapi BN secara bersendirian tanpa kerjasama PKR di Kelantan.

Walaupun demikian, hasil perbincangan, akhirnya PKR tetap bertanding juga di Kelantan pada 2008 dan telah berjaya memenangi beberapa kerusi DUN dan Parlimen.

ANALISA DAN RUMUSAN

Ini adalah dua hujjah utama yang dikatakan Saudara Nordin bahawa sikap Almarhum TGNA adalah sama sahaja dengan TGHH. Sebenarnya ianya adalah sebaliknya. Sekiranya peristiwa yang melibatkan Almarhum TGNA dibandingkan dengan TGHH, perbezaannya akan menjadi amat ketara bagi yang ingin mencari kebenaran.

1. Sikap dan Pernilaian Almarhum TGNA Kes Tuan Syed Hussein

Jika dilihat dari pendirian Almarhum TGNA, maka amat jelas bahawa keinginan Almarhum ialah supaya calon yang diletakkan akan menang atau mempunyai harapan untuk menang. Ini adalah kerana Almarhum tidak mahu melihat UMNO memenangi kerusi Parlimen tersebut. Pandangan Almarhum TGNA adalah sebagai seorang rakan Tahaluf yang jujur yang ingin melihat calon PR menang dan UMNO kalah. Oleh itu Almarhum menegur pilihan Tuan Syed Hussein sebagai calon di Kota Bharu. Ianya keputusan yang tidak mengambil kira waqi’ politik Kota Bharu dan Kelantan.

Harap maklum bahawa pencalonan Tuan Syed di kawasan lain TIDAK dibantah oleh Almarhum TGNA atau PAS pada ketika itu. Hakikat bahawa PAS tidak membantahnya sekiranya Tuan Syed ingin diturunkan di kawasan lain membuktikan bahawa ianya keputusan yang dibuat berdasarkan waqi’ politik Kelantan.

2. Sikap dan Pernilaian Almarhum TGNA Kes Kota Bharu 2008

Begitu juga dengan keadaannya pada PRU 2008. Berdasarkan fakta dan statistik, Almarhum menjelaskan bahawa amat sukar bagi calon PKR menang di Parlimen Kota Bharu. Maka adalah lebih baik letakkan calon PAS. TGNA menganggap tujuan bertanding adalah untuk menang, lebih-lebih lagi dalam keadaan kemenangan itu boleh diperolehi. Adalah tidak masuk akal demi mempertahankan kerusi sebagai milik parti PKR dalam keadaan diketahui berdasarkan keputusan PRU lepas, bahawa calon PKR akan kalah. Ini akan mnyebabkan UMNO menang dan dengan itu, Almarhum TGNA sebagai rakan PR, tidak sanggup membenarkannya.

Respon Almarhum TGNA terhadap pendirian PKR menarik diri bertanding di Kelantan pada tahun itu hasil pendirian beliau adalah kerana seolah-olahnya faktor menang itu tidak dipentingkan oleh PKR. Oleh itu dikatakan pemikiran PKR Kelantan ‘mencelarukan’. Ini adalah kerana faktor kemenangan adalah yang terpenting bagi sesebuah parti politik. Namun akhirnya ianya selesai dengan baik melalui perundingan.

Maka dalam kedua-dua peristiwa yang disebut oleh Saudara Nordin, kemenangan calon PR adalah matlamat utama Almarhum. Dalam soal ini kita boleh rumuskan Almarhum TGNA amat jujur dalam mengamalkan tahaluf siyasi ini.

3. Versi Dato Wan Rahim

Mengikut Dato Wan Rahim, sebenarnya kerusi Kota Bharu ditukar dengan kerusi Machang pada 2008 kerana PKR ingin meletakkan Saifuddin Nasution sebagai calon mereka. Ini disebabkan kerana Isteri Saifuddin adalah orang Machang maka lebih sesuai untuk beliau bertanding di situ. Machang asalnya kerusi PAS dan Kota Bharu pula kerusi PKR. Maka yang berlaku adalah pertukaran kerusi secara suka sama suka.

Sambil itu, Dato Wan Rahim sebagai YDP PAS Kota Bharu ditugaskan untuk bertanding di Kota Bharu.

4. Perbandingan Dengan Kes Kota Damansara

Bagaimana pendirian Almarhum TGNA boleh disamakan dengan pendirian TGHH dalam kes Kota Damansara? Ianya bagaikan langit dengan bumi.

Di Kota Damansara, Dr. Nasir adalah ‘incumbent’ atau mempertahankan kerusi yang telah dimenanginya pada 2008. Oleh itu, keadaan beliau tidak sama dengan Tuan Syed Hussein. Dr. Nasir telah menang dan beliau telah membuktikan bahawa beliau boleh menang. Maka ianya tidak sama juga dengan kes Kota Bharu pada 2008. Kalau Dr. Nasir telah kalah pada 2008 mungkin boleh digunakan sebagai hujjah untuk menolak beliau tetapi hakikatnya beliau telah menang.

Amat jelas, keputusan TGHH untuk membenarkan ‘sahabat menantunya’ bertanding bukan bertujuan menentukan kekalahan BN dan kemenangan calon PR. Sebaliknya ia dilakukan dengan penuh kesedaran bahawa melalui itu, calon UMNO berkemungkinan boleh dan akan menang!

Melakukan sesuatu yang memungkin rakan kalah dan lawan menang, itulah maksud dan takrif perkataan ‘khianat’. Maka inilah apa yang telah dilakukan di Kota Damansara dan yang paling malang sekali ialah TGHH langsung tidak berasa bersalah, walaupun sedikit, bahawa UMNO telah menang atas sebab tindakan beliau itu. Tiada kekesalan pada masa itu hingga ke hari ini.

Ini belum lagi kita ambil kira persetujuan bersama di semua peringkat untuk membenarkan Dr. Nasir bertanding sekiranya beliau menggunakan lambang PKR. Ini merupakan sayarat seperti yang dikenakan ke atas beliau pada 2008. Persetujuan ini dikhianati. Tiada persetujuan yang sebegitu yang telah dikhianati TGNA.

KESIMPULAN

Kita boleh terus berputar belit dengan hujjah itu dan ini demi menegakkan benang yang sudah basah. Kita juga boleh memberi seribu satu alasan untuk mempertahankan tindakan pemimpin yang disanjungi. Namun ia tetap alasan dan ia tetap putar belit yang dapat dilihat jelas oleh rakyat jelata.

‘Pengkhianatan’ terhadap PR yang dilakukan TGHH adalah terang lagi bersuluh. Saya dan rakan-rakan telah cuba menegur pengkhianatan itu tetapi kami pula yang dipersalahkan sehinggalah terjadi apa yang telah terjadi. Kejujuran dalam berpakat membezakan pendekatan Almarhum TGNA dan TGHH. Pendekatan TGNA adalah pendekatan berdasarkan prinsip Islam.

Kejujuran Almarhum terus terserlah apabila difikirkan bahawa Kelantan diperintah PAS sejak 1990, iaitu selama 25 tahun. Jika mahu difikirkan, PAS terkuat di Kelantan. PAS Kelantan yang paling layak untuk mendakwa mereka tidak memerlukan PKR atau DAP. Namun Almarhum terus menerima calon PKR untuk bertanding di Kelantan dan bermesra dengan pimpinan DAP. Almarhum menyebut “sebagai tanda persahabatan”. Ini jauh berbeza dengan apa yang telah berlaku di Terengganu yang mana tidak pernah diperintah PAS selama mana di Kelantan, tetapi amat sukar untuk berunding dan membahagi kerusi sepertimana di Kelantan.

Kejujuran, keikhlasan bersahabat serta berpakat dan keinginan yang bulat untuk menjatuhkan UMNO/BN. Itulah sebenarnya yang membezakan antara Almarhum TGNA dan TGHH.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

lan said…
Ya mereka boleh terus mencanang pelbagai hujah untuk mempertahankan pengkhiantanan pimpinan yang disayangi. Hanya akal dan jiwa yang sejahtera sahaja yang mampu membantu seseorang itu nampak kebatilan itu sebagai suatu kebatilan dan sebaliknya
fazurybeuteq said…
Antara dua insan tersebut tak payah untuk membandingkan dari segi tahaluf ,bandingkan aje dari segi perckapan dan bahasa yang digunakan dengan kelipan mata dan memek muka,.jauh bezanya TGNA ini. umpama air mineral dengan air tidak bertapis.nak kata air longkang tidaklah sekotor itu.
Izuddin said…
Zaman pas dulu dulu, Allahyarham tgna lawan umno. pas zaman tghh lawan dap. buatpa lawan dap? kan dap lawan umno?

kan dulu dulu masa misai dan janggut hadi masih hitam,hadi kata umno ni toghut lah kapiaq lah, .....

Izuddin said…
"Melakukan sesuatu yang memungkin rakan kalah dan lawan menang, itulah maksud dan takrif perkataan ‘khianat’. Maka inilah apa yang telah dilakukan di Kota Damansara dan yang paling malang sekali ialah TGHH langsung tidak berasa bersalah, walaupun sedikit, bahawa UMNO telah menang atas sebab tindakan beliau itu. Tiada kekesalan pada masa itu hingga ke hari ini."

Ni ayat POWER ! Saya SOKONG. Macam ni lah kata2 yang PASTI buat hadi kecik hati dan putus kasih sayang. SEMOGA DENGAN AYAT NI MEMASTIKAN HADI TAK KAN BUAT U-TURN UNTUK KEMBALI KEPADA PAKATAN RAKYAT SELAMA2NYA.

Padan muka dia...haha
Izuddin said…
Bukan lah nak suruh hadi baik dgn dap. nik aziz pun tak baik dgn dap tp dia cuma bersangka baik dgn dap. nik aziz hanya tunjuk umno boleh pi mamppuih kalau pas bertahakuk siyasi dgn dap. tapi malangnya hadi bersangka buruk dgn dirinya sendiri. dia mau tujuk dia lagi terer dari nik aziz....haha. berlagak sombong dgn kata2 dan bahasa bukan lah BERADAP kalau nak jadi presiden PAS !!!!!!!!!!!
Stone Column said…
Saya amat bersetuju dengan penjelasan YB Khalid yang membezakan cara kempimpinan antara 2 pemimpin TGNA & TGHH..pendekatan yang amat jauh berbeza.
Bang Am said…
YB mungkin terlupa, dengan keengganan TGNA menerima Syed Husin Ali menjadi calon di KB, beliau telah mengambil keputusan utk tak bertanding di mana2 kerusi pada PRU tersebut. Akhirnya kerusi Kota Bharu dimenangi Dato' Zaid Ibrahim, bekas MP UMNO yg berpendirian "terbuka@liberal". Berlaku perbalahan di kalangan pemimpin PKR yg menyerang keputusan TGNA tersebut.
myDesignWorld said…
YB tak perlu layan sgt tulisan Nordin Ali ni. Dia ni amateur propagandist. Apa saja berkait PH & Amanah dia akan tibai, walau pun fakta nya kabur atau di salah tafsir.
mohdhazwan said…
Beza..memang berbeza... (macam dalam iklan). mungkin itu adalah hasil pengalaman pembelajaran individu, sosio-budaya di kawasan selesa Melayu Islam sana dan interaksi sesama rakan ummah yg majoritinya Melayu Islam kawasan sana yang berpanjangan...tanpa adanya percampuran idea baru segar dan kritis dalam suasana yang lebih terbuka dan realistik dengan dunia global hari ini..

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan