Skip to main content

Punca Sebenar Perpecahan Dalaman PAS (Bahagian II)

Dalam Punca Sebenar Perpecahan Dalaman PAS (Bahagian I) saya telah menceritakan latar belakang bermulanya perpecahan dalam PAS dan sebab-sebab mengapa ianya berlaku. Seterusnya saya telah mendedahkan keinginan pimpinan utama untuk mengubah hala-tuju PAS atas sebab ketidak selesaannya berada di dalam PR. Akhirnya saya telah menyatakan bahawa untuk keinginan itu terlaksana, maka dua perkara perlu dilakukan. Pertama, saff pimpinan yang terlalu pro-PR perlu diganti dan kedua, sokongan ahli terhadap PR perlu dilunturkan.

Kaedah bagaimana saff pimpinan dijatuhkan telah saya dedahkan secara terperinci dalam Bahagian I. Dalam Bahagian II ini, saya ingin menjelaskan bagaimana sokongan ahli terhadap PR dilunturkan.

STRATEGI KEDUA: DIGODAKNYA HUBUNGAN PAS DAN PR

Sambil usaha dijalankan untuk menyisihkan saff pimpinan yang terlalu pro-PR, strategi untuk meyakinkan ahli bahawa PAS perlu keluar dari PR turut dilaksanakan. Ini diusahakan dengan mencetuskan perbalahan secara berterusan dengan PKR pada mulanya dan DAP kemudiannya.

FASA 1: PERTEMBUNGAN DENGAN PKR

Pada pilihan raya 2013 dengan tidak semena-menanya telah berlaku ‘drama’ Kota Damansara, tuduhan ‘pil kuda’ dan pertindihan di enam (6) kerusi. Suasana bersepakat yang selama ini tenang dan baik tiba-tiba bergolak seolah-olah tanpa sebab.

Kerusi Kota Damansara telah dipersetujui diperingkat Negeri dan Pusat sebagai kerusi milik PKR. Dr. Nasir yang menjadi ADUN sejak 2008 atas tiket PKR telah berkhidmat tanpa menerima sebarang aduan dari PAS Negeri Selangor, samada dari PAS Kawasan Subang ataupun Majlis Tindakan DUN PAS Kota Damansara. Tetapi secara tiba-tiba beliau dituduh “mempertuhankan Lenin dan Marx” dan oleh itu ahli PAS Subang menolaknya dan meletak calon PAS. Tindakan mereka yang disokong DS Presiden hanya memenangkan calon BN! Namun tiada kekesalan walaupun sedikit ditunjukkan mereka yang terlibat dengan menangnya calon UMNO sehingga ke hari ini.

Begitu juga dengan tuduhan adanya calon PKR yang jual pil kuda! Mengapakah tuduhan ini perlu dilakukan secara terbuka sebegitu rupa sambil pilihan raya sedang berjalan? Tidakkah lebih wajar ianya dijelaskan secara tertutup kepada PKR dengan dibawanya 2 orang saksi atau bukti lain? Tidakkah itu lebih selari dengan kehendak keadilan Islam tanpa dipalit mana-mana individu dengan tuduhan yang sembrono sebegitu rupa?

Berdasarkan tindakan sebegini, tidak salah sekiranya ada yang merumuskan bahawa ianya tindakan yang sengaja dilakukan untuk memulakan ketegangan antara PAS dan PKR!

Selepas sahaja PRU 2013, walaupun pencapaiannya membanggakan dengan PR memperolehi undi popular melebihi 50%, Dewan Ulama PAS Pusat telah mengadakan Multaqa Ulama pertama di mana diusulkan supaya tahaaluf siyaasi dikaji semula. Dalam usul itu, dicadangkan hubungan PAS dengan PKR dikaji kembali.

i) PR Merugikan PAS?

Keadaan di mana PAS kekurangan kerusi Parlimen dari 23 pada 2008 ke 21 pada 2013 digunakan sebagai hujjah betapa PR merugikan PAS. Sedangkan pengurangan tersebut berlaku hasil perbalahan dalaman PAS Kedah yang tidak ditangani dengan baik sehingga PAS bukan sekadar kehilangan 5 kerusi Parlimen di Kedah tetapi telah kehilangan kerajaan Negeri di Kedah!

Kehilangan kerajaan Negeri dan kerusi Parlimen di Kedah sebenarnya tiada kena-mengena dengan keberadaan PAS bersama PR. Ianya hasil perbalahan dalaman PAS sendiri tetapi seperti biasa, lebih mudah menuding jari pada pihak lain dari mengakui kelemahan sendiri. Pada masa sama, ianya digunakan sebagai alasan untuk memudahkan pencapaian agenda pimpinan utama iaitu menyalahkan PR.

Usul Multaqa Ulama pertama pada 2013 ini kemudiannya berjaya diketepikan dengan menyatakan istilah ‘kaji semula’ bermaksud ‘kaji semula untuk diperbaiki’. Ianya dapat diketepikan pada ketika itu kerana masih ramai AJK PAS Pusat yang pro-PR.

ii) Pertembungan Dengan PKR Ditingkatkan

Krisis MB Selangor pada 2014 merumitkan lagi suasana apabila DS Presiden berkeras ingin pertahankan TSKI sambil ramai dari pimpinan Pusat dan PAS Selangor sendiri menganggap sebaliknya. TSKI dianggap mempunyai kelemahan dalam pengurusannya dan isu cara penyelesaian hutangnya sebanyak RM56 Juta dengan BIMB turut dipersoalkan.

‘Langkah Kajang’ hasil penolakan terhadap TSKI meruncingkan lagi suasana. Pada ketika itu PKR dan DSAI dijadikan sasaran di ‘media sosial ahli PAS’ seperti FB ‘El-haraki’ dan pimpinan PAS yang menyokong penukaran MB dituduh boneka PKR.

Dalam menghadapi krisis ini Presiden PKR telah turut dihina secara terbuka oleh DS Presiden PAS. Sedangkan, semua memahami, kenyataan tersebut boleh dinyatakan secara tertutup sekiranya hubungan ingin dijaga. Walaupun dihina sedemikian rupa, PKR tidak bertindak balas kerana ingin menjaga hubungan PR.

Seterusnya, kemasukan DSAI dalam penjara berlaku tanpa sebarang tanda simpati atau pembelaan dari pimpinan utama PAS. Ada juga dari PAS yang menganggapnya sebagai ‘satu rahmat’ yang membebaskan PR dari ‘liabiliti’ DSAI! Yang kelihatan bersama DSAI di mahkamah terus dikeji dan dihina melalui media sosial pro-PAS sebagai ‘ahli PAS yang wala’ pada DSAI’.

Mungkin yang diharapkan adalah tindakan balas dari PKR sepanjang episod berbalah dengan PKR dilakukan. Malangnya bagi mereka, PKR tidak bertindak balas walaupun DSAI sendiri dilaporkan telah ditengking oleh dalam satu perjumpaan di Terengganu. Tanpa tindak balas dari PKR, apa yang dikehendaki tidak tercapai dengan sepenuhnya.

FASA 2 : PERTEMBUNGAN DENGAN DAP

>Krisis bersama DAP berhubung isu hudud pula dihadapi pada penghujung 2014. Ianya turut dimanfaatkan ke arah pencapaian matlamat yang diingini. Giliran untuk ‘pimpinan yang ingin dijatuhkan’ dituduh sebagai boneka DAP pula! Mereka yang sekian lama dituduh sebagai boneka PKR dibidas dan digelar sebagai boneka DAP pula kerana tidak membela DS Presiden apabila dikritik DAP.

Hakikatnya terdapat juga kesilapan dari pihak PAS sendiri dalam menangani persoalan ini. Semua sedia maklum bahawa krisis ini dicetuskan melalui tawaran yang dibuat seorang Menteri UMNO di Parlimen. Cara ianya disambut oleh pimpinan PAS sambil membelakangkan parti rakan dalam PR antara pencetus perbalahan. Pada masa sama ada juga persetujuan dan janji yang didakwa dimungkiri oleh pimpinan utama PAS.

i) Pertembungan Dengan DAP Ditingkatkan

Namun isu hudud ini lebih mudah diperalatkan untuk menimbulkan ketegangan antara PAS dan DAP. Ahli PAS akan melihatnya sebagai perbalahan yang wajar dan berasas. Amat patut untuk PAS memutuskan hubungan dengan DAP oleh keranannya mengikut pandangan ahli biasa.

Maka Multaqa Ulama kedua pada 2015 menimbulkan kembali kritikan terhadap PR tetapi kali ini disasarkan DAP. Usul Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat untuk memutuskan hubungan dengan DAP mengikuti sejurus selepas itu.

ii) Tercapainya Apa Yang Diingini

Maka akhirnya, selepas berusaha sejak 2008, demi menyelesaikan ‘ketidak selesaan’ pimpinan utama PAS, keputusan yang diingini tercapai melalui pemilihan Muktamar 2015. Pertembungan antara dua aliran pemikiran yang ingin mencorakkan hala-tuju politik PAS diselesaikan dengan kemenangan menyeluruh satu pihak.

Hala-tuju yang telah diikuti PAS selama ini, yang bersifat inklusif, ‘PAS for All’ serta kommited kepada PR, tidak lagi akan dipertahankan pimpinan PAS Pusat kerana hala-tuju itu bukan lagi pilihan DS Presiden dan MSU. Hakikatnya, hubungan DS Presiden dengan DSAI dan LKS sudah lama rosak dan oleh itu sudah tiada lagi sebarang kejujuran dalam hubungan bersama PR.

Malangnya kaedah yang digunapakai untuk mencapai perubahan pimpinan tidak merupakan kaedah yang telus dan jujur. Ianya tercapai melalui fitnah dan penyebaran kebencian terhadap pemimpin yang tidak dipersetujui mereka. Kempen fitnah dan kebencian ini mengharuskan juga amalan cai buat pertama kalinya di dalam sejarah pemilihan PAS.

Seterusnya melalui adu-domba yang sengaja diadakan antara PAS dan PKR pada awalnya, dan PAS dan DAP pada kemudiannya. Ahli PAS mula pertikaikan PKR dan lebih-lebih lagi DAP. Dengan itu sokongan terhadap PR itu sendiri telah dapat dilunturkan. Mereka yang kuat menyokong PR turut tidak lagi mendapat sokongan penuh seperti dahulu.

PEMBENTUKAN PARTI BAHARU

Dengan penguasaan menyeluruh oleh pihak yang ingin membawa perubahan hala-tuju, termasuk DS Presiden sendiri, maka pihak yang ingin meneruskan hala-tuju lama tidak mempunyai pilihan selain menubuhkan parti baharu. Dulu pandangan mereka dapat juga dikemukakan dan mempengaruhi perjalan PAS, tetapi dewasa ini pendekatan pilihan mereka telah ditolak Muktamar 2015 walaupun tanpa ianya dibahas. Yang dibahas sebaliknya adalah isu lain, seperti ‘anti-ulama’ dan ‘anti-hudud’. Sebenarnya kesemua isu ini adalah sekadar helah untuk menaikkan sentimen kebencian sambil matlamat yang diingini tercapai.

Penubuhan parti baharu yang akan meneruskan pendekatan lama ini terpaksa diusahakan oleh golongan yang telah difitnah. Dengan itu, paling kurang, imej perjuangan Islam yang inklusif dan terbuka, sebagai pembela nasib seluruh rakyat dapat mereka teruskan.

KESIMPULAN

Bagi diri saya, inilah sebenarnya punca perpecahan yang berlaku di dalam PAS. Perbezaan pendapat berhubung ‘wajibnya’ dominasi PAS atau ‘Melayu Islam’ adalah isunya! Malangnya ianya tidak dibincang atau dibahas, mungkin atas sebab ketidak-mampuan berhujjah, atau sangkaan buruk bahawa pihak satu lagi tidak akan menerima walau apa sekalipun hujjahnya! Sebaliknya pendekatan licik untuk menjatuhkan pimpinan dan mencorakkan pemikiran ahli dilaksanakan.

Hasil ketidak-telusan ini maka akhirnya ramai yang bertanya, apa sebenarnya hala-tuju politik PAS? Ramai tertanya-tanya samada PAS ingin bersama PR, bersendirian atau bersama UMNO/BN? Timbulnya soalan ini atas sebab dilihat PAS “cakap tidak serupa bikin”. Analisa saya berusaha untuk memberikan rasional terhadap tindakan PAS yang kelihatan amat bercelaru ini. Tidak dinafikan, bacaan saya mungkin betul, mungkin tidak. Tetapi ini sahajalah yang mampu dirumuskan berdasarkn bacaan dari yang tersurat dan yang tersirat. Ianya sesuatu yang sukar apabila terdapat pimpinan di dalam mana-mana organisasi yang tidak sanggup berterus terang berhubung apa yang dilihatnya sebagai ‘masalah’.

Perbahasan mengenai samada perlunya dominasi PAS dalam PR dan bagaimana pendekatan berbeza akan terhasil oleh kerana ‘syarat’ ini akan saya bincangkan dalam artikel yang berikutnya insyaAllah. Semoga Allah memberkati semua usaha kita ke arah menghayati agamaNya dan menzahirkan keadilanNya.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Saudara YB. saya sentiasa ikuti perkembangan dan tulisan YB. Seorang YB yang bijak berhujah dalam menyatakan fakta. Bila timbul isu GHB wakil2 rakyat dituduh dengan perkataan tidak amanah. Tidak istiqamah. Saya ada jawapan saya sendiri terhadap persoalan teersebut. Terkini ada pula pihak yang berpandangan pihak2 yang keluar jemaah itu telah mufaraqah secara tidak syarie. Minta pandangan Y dalam hal ini terutamanya dalam kepentngan politik dalam konteks Malaysia kini dalam keadaan kita menghadapi isu2 negara yang sangat serius
Izuddin said…
Yb tak balas comments kecuali awak perjelaskan diri dahulu
hari ini PKR minta maaf kepada Khalid Ibrahim. Apa cerita?
maksud tuan perjelaskan diri tu macamana ya. saya barangkali antara orang yang mencari rasional untuk berada dalam satu jemaah yang boleh bukan sahaja berdakwah malah berpolitik secara hikmah mengikut asas siasah syariyah
Izuddin said…
bukan pkr laaa minta maaf laaa. itu saman personal. yang betoi ki minta maaf kat saifuddin...haha
Izuddin said…
si beduh ni ckp besaq betoi sejak bapak dia mati.

pas ni dah sakit lama dah dan skrg nazak sejak nik aziz meninggai. dan selepas nik aziz meninggai, pemimpin2 baru pas ni ada penyakit dalam hati mereka...penyakit hasad dan dengki. pemimpin apa depa ni tak berani ambil tindakan utk mengubati pas. hoi sibeduh...ko suruh lah haron pakar halau jin, setan, jebon parasit, tu sembuhkan pas...haha


hang ni cakap bodoh lah, beduh. akai hang kat mana ?

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-