Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Eidil Fitri, Maaf zahir dan Batin. Semoga kita meninggalkan Ramadhan dalam keadaan telah berjaya memperolehi keampunan Allah dan bertemu Syawal bebas dari segala dosa. Pada masa yang sama, ketaqwaan kita bersama telah ditingkatkan Allah agar dapat meneruskan perjuangan ke arah mengabdikan diri kita kepada Allah dengan lebih gigih lagi.
Selepas berhari raya, semestinya kebanyakkan kita memilih untuk berpuasa 6, iaitu puasa enam hari di Syawal agar mendapat balasan berpuasa sepanjang tahun. Supaya kegembiraan berhari raya tetap dikawal oleh kesedaran ingin mencari Redha illahi.
Disamping itu, semangat mengabdikan diri yang ditanam sepanjang Ramadhan perlu dipanjangkan ke dalam setiap aspek kehidupan kita. Bukan sekadar ibadah khususiyyah tetapi juga dalam alam sosial, ekonomi serta politik dan pemerintahan. Masyarakat perlu ditawarkan kerahmatan yang terkandung dalam ajaran Islam oleh yang menghayati dan menjiwai Islam sebagai panduan hidup mereka. Satu tawaran yang meyakinkan melalui contoh dan hujjah tanpa paksaan mahupun ugutan.
Perjuangan untuk mencorakkan Malaysia berdasarkan nilai dan akhlak Islam kini merupakan tugasan yang semakin mencabar. Kemampuan sebuah parti Islam untuk berkerjasama secara jujur dengan pihak lain dalam usaha memperbaiki masyarakat tetap perlu dibuktikan. Kejujuran dalam berpakat dan ketelusan dalam bertindak demi kebaikan semua perlu dibuktikan secara amali dan bukan sekadar retorik semata. Jauh sekali bercakap lain, tetapi dibuatnya yang lain. Keyakinan rakyat terhadap kesetiaan kepada janji oleh sebuah parti Islam apabila ia berjanji perlu kembali dizahirkan kepada semua.
Dalam usaha mengagungkan Allah dengan mengqasadkan segala usaha demi mencari keredhaanNya, maka insyaAllah Syawal ini bakal menyaksikan kemunculan sebuah parti Islam baharu dipersada politik Negara. Semoga niat ikhlas di sebalik penubuhan parti Islam ini akan dirahmati dan diberkati Allah dengan penerimaan yang melimpah ruah dari masyarakat Malaysia yang berbilang kaum serta berbagai agama.
Bersama kita doakan agar Allah mempermudahkan segala urusan semua pihak yang mendukung perjuangan Islam melalui kebenaran serta keadilannya.
WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
1 Syawal 1436H
Comments