Skip to main content

Pendekatan Inklusif Almarhum Ust. Fadhil Mohd. Noor (UFN)

Almarhum Ust. Fadhil Noor sememangnya mempunyai pendekatan yang begitu terbuka dan inklusif dalam usaha membawa perjuangan Islam. Dan ini adalah antara sebab Almarhum akan sentiasa dirindui ramai.

Pada minggu lalu saya telah menceritakan pendekatan Almarhum UFN dan TGNA terhadap masyarakat umum dan parti pembangkang lain. Pendekatan inklusif atau terbuka yang membanyakkan interaksi atau saling berbincang dan berhubung telah menghasilkan pembentukan Barisan Alternatif (BA) pada 1999. Melalui BA, prestasi PAS melonjak sehingga memenangi 27 kerusi Parlimen dalam pilihanraya tahun itu.

Prestasi ini dengan sendirinya membuktikan keberkesanan dan kebijaksanaan pendekatan inklusif Almarhum.

KETERBUKAAN TERHADAP NGO ISLAM

Pada hari ini saya ingin menceritakan pula sikap keterbukaan Almarhum terhadap NGO Islam yang tidak bersama PAS.

Hubungan NGO Islam dengan PAS sebelum itu dipenuhi syak wasangka dan ketidak-kepercayaan antara satu sama lain. Masing-masing mendakwa mereka berada di pihak yang betul dan lebih menepati kehendak dan tuntutan perjuangan Islam. Masing-masing mendakwa yang pihak satu lagi telah tergelincir dengan tidak membawa mesej Islam dengan sifat kesyumulannya. Di kalangan Mahasiswa khususnya, persaingan untuk mengukuhkan pengaruh menghasilkan suasana yang agak tegang.

PEMBENTUKAN GERAK

Almarhum UFN telah memanfaatkan peristiwa pemecatan dan fitnah terhadap DSAI pada 1998 untuk mengenepikan segala perbalahan antara NGO Islam dan PAS melalui pembentukan GERAK. GERAK telah menyatupadukan keseluruhan NGO Islam dan NGO bukan Islam dalam satu gelombang kebangkitan rakyat menentang kezaliman UMNO/BN. Melalui GERAK, maka NGO Islam seperti JIM dan ABIM telah dibawa berkerjasama dengan PAS dan persamaan diraikan dan perbezaan diketepikan. Dalam menghasilkan gelombang kebangkitan ini, maka hubungan antara PAS dan NGO Islam menjadi semakin rapat sehingga kebanyakan dari prejudis dan buruk sangka di antara satu dengan lain dapat di atasi.

MEMBETULKAN PERSEPSI NGO TERHADAP PAS

Pada masa yang sama, melalui kerjasama ini, pimpinan NGO tersebut mula menyedari bahawa PAS tidak sepertimana yang disangka mereka selama ini. PAS dilihat lebih terbuka dan prihatin terhadap masalah semasa dari apa yang dianggap mereka sebelum ini. Oleh itu beberapa pimpinan dan ahli NGO Islam telah menyertai PAS. Ada dari mereka dilantik sebagai pimpinan. Selepas beberapa tahun, prestasi dan pengorbanan mereka disaksikan oleh ahli-ahli PAS sendiri dan mereka turut dipilih sebagai pimpinan.

RESPON UFN KEPADA BANTAHAN

Walaupun keterlibatan mereka dibantah oleh sebahagian pimpinan dan ahli PAS yang berjiwa sempit, Almarhum terus dengan dasar terbukanya. Almarhum pernah menyebut kepada saya bahawa persoalan kesatuan ummat Islam perlu diusahakan melalui pendekatan yang terbuka dan sifat tasaamuh antara kita. Beliau menjelaskan, “Kalau kita yang sama-sama bersetuju untuk menerima Al-Quran dan Sunnah Rasulullah (SAW) sebagai dasar perjuangan tidak boleh bersatu dan mengurus perbezaan pandangan antara kita dengan baik, maka bagaimana kita boleh harapkan ummat Islam sendiri akan bersatu”?

Almarhum juga selalu menyebut bahawa PAS sepatutnya bersikap sebagai ‘abang sulong’ kepada NGO Islam ini dan membimbing mereka ke arah yang lebih baik. Maka perlu kepada ‘abang sulong’ yang berjiwa besar, mengalah kepada adik dalam isu-isu sampingan demi kebaikan bersama.

KETERLIBATAN SECARA BERSUNGGUH-SUNGGUH

NGO yang bersama PAS selepas itu memberi sumbangan tenaga, ilmu dan kepakaran masing-masing untuk melonjakkan imej PAS sebagai parti politik yang bergerak atas dasar Islam di kalangan masyarakat. Mereka membawa bersama mereka segala networking atau hubungan kenalan mereka di institusi pengajian tinggi, Jabatan Kerajaan, Swasta dan semua kenalan yang lain untuk turut sama berkempen memenangkan PAS. Ke arah itu mereka turut mengambarkan PAS dengan gambaran yang positif dan baik.

Hasil dari usaha ini, maka imej PAS sebagai parti kampung, tidak berkemampuan dan tertutup berjaya dibasmikan di kalangan masyarakat tahun demi tahun. Ianya juga turut dibantu oleh NGO lain seperti GMI, Bar Council, SUARAM dan sebagainya. Semakin lama maka semakin naik imej PAS samada di kalangan masyarakat Islam mahupun masyarakat bukan Islam.

Dan lebih penting, matlamat ‘wehdatul fikr’ di kalangan Parti dan NGO Islam semakin tercapai.

Usaha-usaha sebegini diteruskan selepas pemergian UFN di mana TGNA terus menyokong usaha-usaha ini serta menyemarakkan lagi keterlibatan PAS bersama NGO Islam dan bukan Islam. Kerjasama dengan IKRAM, ABIM, Haluan, TERAS dan sebagainya diteruskan sambil keterlibatan PAS dengan BERSIH, SUARAM dan sebagainya menjadi satu kebiasaan.

KEMPEN BAWAHAN YANG BERJIWA SEMPIT

Malangnya sikap keterbukaan yang sepertimana yang ditunjukkan Almarhum tidak mampu dibawa oleh golongan yang berjiwa sempit. Tuduhan-tuduhan ‘penyusupan’, ‘ingin mengambil alih kuasa’ dan ‘grand design’ sering disebut-sebut oleh mereka di kalangan ahli bawahan yang tidak bersetuju dengan pendekatan ini. Walaupun sekiranya ada sekalipun pemikiran yang sebegitu di kalangan beberapa pimpinan NGO, usaha besar dan baik yang dilakukan oleh UFN seharusnya difahami dan diutamakan oleh pimpinan dan ahli PAS. Jangan oleh kerana sebahagian yang berjiwa sempit menyebabkan usaha Almarhum dihentikan.

SUASANA DEWASA INI

Dewasa ini sikap berjiwa sempit kembali menguasai sebahagian pimpinan PAS, seperti sebelum zaman UFN. Teori ‘penyusupan’ kembali dipopularkan dan perasaan benci dan sangsi terhadap kumpulan NGO Islam kembali mula ditanam. Dalam keadaan perjuangan Islam sudah serba kekurangan, dikurangkan lagi dengan sikap suka berbalah di antara ummat Islam.

Tuduhan liar yang tidak berasas mula dilemparkan dengan sewenang-wenangnya sehingga saya melihat apa yang pernah dibina oleh Almarhum UFN mula dirobohkan satu per satu. Dengan sikap berjiwa sempit itu, PAS tidak akan mungkin mencapai kedudukan sebagai pemimpin atau penyatu keseluruhan gerakan Islam di Malaysia sepertimana diharapkan Almarhum.

KESIMPULAN

Usaha Almarhum UFN perlu diteruskan dan diperhebatkan. Tetapi ia tidak akan mampu dilakukan oleh mereka yang berjiwa sempit dan tidak sanggup menghormati perbezaan pandangan antara kumpulan Islam di Malaysia. Penyatuan dan penyelarasan usaha semua pihak akan hanya mampu dilakukan oleh pimpinan yang berkeyakinan diri dan kasih kepada kesatuan sambil menghormati perbezaan pandangan. Sekiranya PAS ingin menjadi sebagai wadah yang memainkan peranan itu, maka sikap dan pendekatan yang sepertimana yang ditunjukkan dewasa ini perlu dirombak.

Malangnya berdasarkan corak kempen menjelang muktamar ke-61, saya tidak melihat kemampuan ini di kalangan saff pimpinan yang ada ini. Saya turut yakin bahawa ketegangan antara PAS dan NGO Islam lain akan semakin ditingkatkan sepertimana juga antara parti-parti rakan dalam PR. Kalau ini yang berlaku maka PAS akan gagal dalam menunaikan tanggung-jawab dan amanahnya untuk membawa perjuangan Islam ke arah kejayaan.

Sekiranya ini berlaku, maka ia perlu diganti atau dibantu.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Unknown said…
kami hanya menunggu bro khalid. sediakan wadah baru. kami akan ikut inshallah.

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-