Skip to main content

‘Liberal’ dan ‘Ekstrimis’: Apa Perbezaan Sebenar?

Setelah saya menulis berhubung sikap ‘Syadid’ atau ‘Ekstrimis’ yang ditunjukkan oleh Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang, saya terus diajukan tuduhan bahawa saya pula membawa sikap ‘Liberal’. Walaubagaimanapun, label ‘Liberal’ yang sering digunakan ini tidak pula diberikan takrif dan penerangan berhubung apa yang dimaksudkan dengan istilah tersebut. Sepertimana biasa, yang dikemukakan hanyalah sekadar ‘sindiran’ dan ‘qiasan’ akan apa yang dimaksudkan. Silap-silap yang tukang label pun tidak faham apa yang dimaksudkan!

TAKRIF MAKSUD ‘LIBERAL’

Namun takrif tetap diperlukan supaya dapat difahami apa yang dimaksudkan. Oleh kerana tukang label sendiri tidak mampu memberikan takrif, maka terpaksalah saya kemukakan satu takrif atau definasi!

Berdasarkan sindiran dan qiasan yang dibuat oleh mereka yang gemar melabel dengan label ‘Liberal’ ini, saya rumuskan yang dimaksudkan dengan istilah ‘Liberal’ itu adalah sikap ‘menolak hudud’, ‘tidak menghormati ulama’, ‘pentingkan kemenangan dunia lebih dari akhirat’, ‘pentingkan akal lebih dari wahyu’, ‘wala’ pada DAP dan PKR, bukan kepada PAS’ dan ‘suka membocorkan rahsia parti’. Kalau saya tersilap atau ada yang tercicir, harap betulkan saya.

Sekiranya itu semua adalah apa yang dimaksudkan dengan istilah itu, maka saya menafikan kesemuanya itu ada pada diri saya. Ia tiada juga pada pimpinan lain yang disangkutkan label yang sama secara sewenang-wenangnya. Ianya tidak berbeza dengan penggunaan istilah ‘Jebon’ dan ‘Parasit’ yang telah saya telah kupaskan terlebih dahulu yang hanya bertujuan menjatuhkan beberapa orang pemimpin PAS demi agenda politik yang tersirat. Ianya hanya sekadar rekaan untuk menaikkan sentimen kebencian terhadap golongan yang digelar ‘Liberal’.

Sebahagian besar dari masalah yang ditimbulkan tidak pernah dialami sehingga kemunculan kumpulan yang bersikap syadid dalam jemaah. Sebagai contoh, masalah ‘bocorkan rahsia’ tidak pernah berlaku kecuali setelah munculnya beberapa pemimpin ‘syadid’ di peringkat Nasional. Sebelum ini, yang digelar ‘Liberal’ telah berpuluh tahun lama berada sebagai AJK PAS Pusat, tidak pernah ianya berlaku. Maknanya, ianya masalah baru yang mungkin dilakukan oleh yang baru, tetapi ditempelak yang lama!

TAKRIF MAKSUD ‘EKSTRIMIS’

Tidak seperti mereka, saya telah memberikan takrif sikap ekstremis atau ‘syadid’. Dan takrif saya, seperti yang saya sebut dalam tulisan saya sebelum ini, adalah seperti berikut:

“Waspada terhadap kewujudan sikap ‘PAS Ekstrim’ dengan pendekatan memaksa dan mengugutnya dan ketidak-mampuannya untuk berkawan dengan yang berbeza dengan mereka, walaupun sejemaah, apa tah lagi dari jemaah lain. Sikap ini yang menyebabkan PAS berpecah dan akan kecundang kerana pendekatannya ‘ekstrim’ tanpa hikmah mahupun kebijaksanaan. Sikap ini bakal menjadikan PAS terpencil, dibenci dan dipinggirkan oleh rakyat jelata.”

“Mereka bagaikan ‘tukang fatwa’ dan ‘tukang hukum syadid’ atau ekstrim.”


Sifat yang saya gelar sebagai sifat ‘PAS ekstrim’ ini sememangnya wujud dan berbeza dengan pendirian saya. Saya gelar sikap mereka ‘Ekstrim’ dan mereka pula gelarkan sikap saya ‘Liberal’. Sedangkan maksud ‘Liberal’ tidak dijelaskan dan hanya sindiran dan qiasan yang sengaja direka-reka.

Walaupun gelaran ‘Liberal’ tidak sepertimana yang disindir dan diqiaskan dan ianya hanya rekaan, namun sikap golongan yang digelar ‘Liberal’ dibenci teramat sangat oleh mereka. Begitu benci sehingga sanggup memfitnah dengan fitnah yang berat dan sanggup juga dengan itu menanggung segala dosa yang datang dengan kerja memfitnah itu? Percayalah, sekiranya ‘ustaz’ sekalipun, mereka tidak akan terlepas dari dosa memfitnah apabila memfitnah. Malahan mungkin ditimpa Allah dengan balasan dosa berganda atas sebab dirinya Ustaz!

APA SEBENARNYA PERBEZAAN ANTARA ‘EKSTRIMIS’ DAN YANG DIGELAR ‘LIBERAL’

Sebenarnya sikap yang digelar ‘Liberal’ yang dibenci sangat adalah sikap yang berlawanan dengan sikap ‘Ekstrimis’. Saya senaraikan sebahagiannya di sini:

1. ‘PAS Ekstrim’ suka memaksa dan mengugut. Pendekatan mereka di Permatang Pauh jelas memperlihatkan kaedah ini. Tiada hikmah mahu pun berhemah.

Pendekatan yang digelar ‘Liberal’ pula suka memujuk, berbahas dan memberi penerangan. Ianya pendekatan yang bertujuan memahamkan dan mengubah sikap, bukan memaksa sikap ke atas seseorang.

2. ‘PAS Ekstrim’ suka sesama mereka dan tidak pandai berkawan dengan yang tidak sependapat dengan mereka. Yang tidak sependapat dilekehkan dan boleh difitnah dengan berbagai-bagai gelaran. Kalau sesama jemaah pun sanggup difitnah, apatah lagi yang luar jemaah! Ini termasuklah fitnah yang dilemparkan terhadap DS Wan Azizah kononnya ‘menolak hudud’ dan Lim Kit Siang yang kononnya ‘mengherdik agama Islam’ semasa berucap di Kota Bharu baru-baru ini.

Oleh kerana tidak pandai berkawan dengan yang berbeza pandangan, maka program yang dijalankan hanyalah sesama PAS dan tidak melibatkan pihak lain.

Sikap yang digelar ‘Liberal’ pula selesa berkawan dengan semua, yang sependapat dan yang tidak sependapat. Saling hormat menghormati perbezaan, samada dalam jemaah yang sama atau pun yang di luar jemaah. Program mereka melibatkan semua yang ingin menentang kezaliman dan menegakkan keadilan seperti program bantah GST pada 1 Mei yang lalu. Maka kedudukan sebagai ‘pemimpinan rakyat’ diusahakan melalui keterlibatan sebegini.

Asalkan tidak menentang perjuangan Islam melalui kekerasan atau kuasa politik dan undang-undang seperti UMNO/BN, maka tidak dianggap musuh.

3. ‘PAS Ekstrim’ sanggup melihat PAS berpecah dengan yang tidak sealiran dengan mereka dikeluarkan dari PAS. Ini adalah kerana mereka melihat pandangan yang berbeza itu adalah sesat dan salah. Ini jelas dari isi kandungan FB mereka, di antaranya seperti yang dikatakan milik Ketua Dewan Ulama Pahang, Mokhtar Senik. Samada benar ianya miliknya atau tidak saya tak tahu tetapi setakat ini dia tidak menafikan. Saya letakkan di sini salah satu tulisan di FB beliau yang menzahirkan sikap ekstrim yang dibawanya.


Sikap yang digelar ‘Liberal’ pula ingin PAS kekal bersatu sambil mengamalkan ‘adaabul ikhtilaf’. Perbezaan diurus melalui perbahasan ilmiah dan pihak yang berbeza pandangan tidak dianggap semestinya ‘sesat’ tetapi dianggap perbezaan kaedah dan pendekatan.

4. ‘PAS Ekstrim’ menolak perlunya berhikmah dan bijaksana dalam mendokong perjuangan Islam. “Rempuh sahaja, yang penting kita dapat pahala dan keredhaan Allah” kata mereka lagi.

Sikap yang digelar ‘Liberal’ pula menganggap hikmah dan kebijaksanaan sesuatu yang amat diperlukan. Tidakkah ‘FaTaanah’ salah satu sifat yang wajib bagi Nabi? Maka dalam mendukung perjuangan, perlu ada strategi dan taktik, ada awlawiyyat atau keutamaan dan ada juga keperluan untuk bertolak ansur (tasaamuh) berhubung yang kurang utama demi mencapai yang lebih utama.

Apabila PR dibentuk dahulu, sepertimana juga BA, sikap yang digelar ‘Liberal’ ini difahami dan diguna-pakai oleh semua. Maka adanya persetujuan untuk menumpu kepada perkara yang dipersetujui bersama. Isu ini yang perlu ditonjolkan supaya kesepaduan PR dapat dizahirkan.

Dalam isu yang tidak dipersetujui bersama, setiap parti boleh membawanya atasnama parti tersebut, tetapi tidak boleh membawanya atas nama PR. Oleh itu, satu persefahaman dapat dibentuk dan dilaksana dengan baik.

Kebelakangan ini sikap ‘Ekstrimis’ semakin ditonjolkan. PAS seolah-olah tidak lagi berminat membawa isu yang ada persefahaman tetapi sebaliknya hanya ingin menonjolkan isu yang tidak dipersetujui bersama dan dengan itu mencetus perbalahan.

5. ‘PAS Ekstrim’ amat gemar ‘menghukum dan berfatwa’ selari dengan pendekatan ‘memaksa dan mengugut’. Mudah keluar dari mulut-mulut mereka tuduhan ‘Munafik’, ‘Rosak Aqeedah’, ‘Kafir’, ‘Tolak Syariat’, ‘Haram ini dan itu’ dan sebagainya. Lihat kembali kepada Pilihan Raya kecil Permatang Pauh dan bagaimana sikap ini dizahirkan.

Sikap yang digelar ‘Liberal’ pula lebih cenderung kepada konsep “Nahnu Duat laa Khuda” atau kami pendakwah/penyeru bukan penjatuh-hukum atau Qadi.

PERBEZAAN PENDEKATAN DAN KAEDAH DAKWAH

Oleh kerana wujudnya sikap yang berbeza ini, maka terhasil perbezaan dalam kaedah dan pendekatan dakwah terhadap masyarakat. Yang bersikap ‘Ekstrimis’ lebih suka bersendirian untuk menyatakan pendirian tanpa dikongkong oleh mana-mana perjanjian atau persepakatan. Oleh itu mereka melihat PR sebagai sesuatu yang menyekat dan tidak membantu perjuangan Islam. Hasil dari itu mereka ingin sangat-sangat untuk membawa PAS keluar dari PR dan ini terbukti dengan kecenderungan mereka untuk sentiasa mencetuskan perbalahan antara PAS dan rakan PR.

Demi mencapai matlamat ‘murni’ keluar PR, mereka tidak merasa bersalah sekiranya memfitnah DS Wan Azizah atau Lim Kit Siang sekalipun. Matlamt ‘murni’ mereka perlu dicapai dengan apa jua cara. Menuduh DS Wan Azizah ‘menolak hudud’ adalah fitnah sepertimana dijelaskan oleh Dato Tuan sendiri sambil ucapan LKS yang dituduh “mengherdik hudud” sebenarnya menunjukkan tahap kefahaman yang jauh lebih baik berbanding ungkapan “langkah mayat saya dulu”.

Mungkin antara contoh yang paling jelas sikap ekstrimis ini adalah ‘WhatsApp jentik’ Dr Zuhdi. Pendedahan WhatsApp ini mungkin bertujuan untuk menyedarkan ahli PAS bahawa wujudnya sikap ‘Ekstrimis’ ini di kalangan pimpinan supaya ianya ditolak. Ianya satu sikap asing dengan PAS! Ianya begitu rasis dan tidak berprinsip. Malangnya, seperti dalam kes Tabung Haji, ahli disibukkan dengan persoalan siapa ‘bocorkan’ WhatsApp tersebut dan bukan dengan isi kandungannya yang begitu songsang.


KESIMPULAN

Sebelum kemunculan sikap ‘ekstrimis’ ini, PAS telah berjaya membina hubungan yang baik bersama PKR dan DAP. Tetapi semenjak kemunculan sikap ini, sedikit demi sedikit, perbalahan semacam sengaja dicetuskan sehingga hubungan PAS dan rakan-rakan PR menjadi semakin tegang.

Oleh itu saya yakin, sekiranya golongan yang digelar ‘Liberal’, (mereka ini juga digelar ‘Jebon’, ‘Parasit’, ‘Anti-Hudud’, ‘Anti-Ulama’ dan lain-lain), dikalahkan dalam pemilihan dalam muktamar tahun ini, maka akan muncul PAS berwajah baru. Wajah baru yang ‘syadid’ atau ‘Ekstrimis’ seperti disebut di atas yang lebih mirip kepada ISMA dari PAS yang kita kenali selama ini.

Pada masa itu, PAS akan mula bergerak keluar dari PR dan realiti politik Malaysia akan berubah. UMNO/BN yang ketika ini bagaikan telur di hujung tanduk, akan mendapat talian hayat yang baru. Ini adalah kerana ketiadaan saff yang bersatu untuk menentangnya.

Hasil usaha yang bersikap ‘Ekstrimis’, UMNO/BN akan kekal berkuasa. Sedangkan ianya lebih sukar untuk PAS berkembang di bawah BN kerana disekat dari setiap pelusuk dan yang berlaku sebaliknya di bawah PR. Maka inilah sebabnya golongan yang digelar ‘Liberal’ ingin pertahankan PR. Bukan kerana wala’ kepada PKR atau DAP seperti yang dituduh tetapi demi memperkukuhkan PAS melalui diperkukuhkan PR.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

yer yer la, orang lain ekstremis. bila nak tutup kilang arak di Shah Alam?
Munculnya golongan 'ekstremis' dalam PAS adalah atas kesilapan pemimpin2 PAS yang 'LIBERAL' yg lebih suka mengikut telunjuk DAP dan PKR. Anda semua adalah pemimpin PAS, bukannya pemimpin PKR dan DAP. Jadi, kenapa pemimpin2 PAS sekarang ramai yang lebih berjiwa PR daripada jiwa PAS.

Di mana suara-suara pemimpin PAS yang tegas mempertahankan hudud adalah sebahagian daripada perjuangan PAS? Pemimpin2 PAS lebih rela mengikut rentak DAP untuk tidak banyak membicarakan tentang hudud, tetapi boleh pula membawa Lim Kit Siang ke Kota Bharu untuk memberikan ceramah disana supaya hudud bukan menjadi asas perjuangan dalam PR. Lim Kit Siang mengajar umat Islam supaya tinggalkan dahulu hudud, dan sama2 menjatuhkan UMNO tanpa hudud. Kenapa PAS sanggup biarkan Lim Kit Siang berikan ucapan mcm ni? Apabila ramai pihak membantah dikatakan tak menghormati PR, cuba bermusuh dengan pemimpin PR, fitnah Lim Kit Siang dan macam-macam lagi.

Khalid Samad berhujah ekstremis PAS mcm ni, mcm tu tetapi lupa siapakah yang memutuskan hubungan dengan Presiden PAS? BODOH sangat ker tak nampak siapa yang nak bermusuhan dengan PAS? Khalid Samad buat mata ker DAP Sabah dan Sarawak putuskan hubungan dengan PAS? Bila orang panggil JEBON marah tetapi pihak satu lagi buat mcm2 dekat PAS, PAS bertindak dikatakan PAS ekstrem. Ini sebijik mcm Israel, serang org, lepas tu org serang balik dikatakan orang lain esktremis.

Nasihatkan DAP, tak perlu nak vokal dalam menolak hudud. GUnakan kebijaksanaan dalam menolak hudud. Ini pun susah ker pemimpin2 PAS nak bagitau. Kalau ustaz2 dalam PAS tak boleh nak nasihatkan DAP, pemimpin2 PAS Liberal inilah yang perlu jelaskan dekat pemimpin2 DAP.

Kegagalan kamu semua merapatkan hubungan dengan DAP kamu salahkan pihak lain. PAS tak akan bising salahkan DAP kalau DAP tak buat masalah. PAS perlukan sokongan umat Islam, jadi DAP jangan senang2 main lepas cakap ikut suka sahaja nak komen apa2 berkaitan umat Islam. Umat Islam tak ganggu bukan Islam di Malaysia, kenapa DAP pula bising terlebih-lebih.

Dengan UMNO tegas, tetapi dengan DAP lembik.

Kalau tak suka lagi nak perjuangkan PAS, kenapa tak pilih sahaja DAP dan PKR? Apa bezanya pemikiran pemimpin2 PAS sekarang yang lebih suka corak politik PR, dengan pemikiran pemimpin2 DAP dan PKR?

Biarlah pemikiran2 yg membela PAS kekal, yang terhegeh2 nak bela DAP silakan bertukar parti.

Sejak berkawan dengan DAP, kamulah yang berubah bukannya PAS berubah.
Unknown said…
YB Khalid Samad and others worked hard explaining to non-Muslim about Islam. They are willing to protect non-Muslim rights. They are willing discuss with non-Muslim on different issues in a respectful manner. They do not threaten others when non-Muslim disagree. It is their sincerity that a lot of younger generation Malaysian voted for PAS. We all believed PAS for All. We trusted PAS leaders. Sadly, certain ignorant members and leaders from PAS started making threatening others that disagree with them. These people sounded more like UMNO then the PAS we learned to know. Is this the type of Tok Guru Nik Aziz?

For years, MCA (UMNO) friend told us PAS is like taliban. They will threaten Non-Muslim rights etc. And now certain PAS leaders willing to join with UMNO. I guess these PAS folks have know idea that MCA is sharpening the knife for UMNO. Bodoh! Tidak tahu UMNO sedang menggunakan MCA untuk menghabiskan Pakatan dan PAS!

We have more critical issues like ISA, racism, economy, unemployment rate, corruption, the threaten of Chinese Navy in Malaysia territory, etc. I bet the ignorant "extremis PAS" members have no clue about the Chinese navy in Malaysia terroritory and claiming almost all South China Sea!

What do this Extremis PAS knows? Nothing. Did you know there are a lot of young Malay graduate unemployed? How do you solve it? Aaaa... The young Ustaz "extremis" probably do not how to create jobs. You need people like Mat Sabu, Dr Zul, YB khalid samad, etc to fix social problems. They solve problems! Unlike young ustaz knows how to threaten others and not doing anything!

Once again, it is ashame that you do not understand YB Khalid Samad article.

Lastly, these past few months PAS sounded more like racist UMNO then anything.

Salam
Unknown said…
It is because of YB and others we learned more about Islam. We learned to respect PAS but it is Extremist PAS disgust us. They make PAS into UMNO.
Izuddin said…
Yang tak nak kawan dgn DAP boleh sila keluar dari Pakatan

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-