Skip to main content

Kukuhkan PR, Hargai Kekuatan Rakan

Saya melihat dengan penuh kerisauan, arah tuju yang ingin dibawa oleh beberapa pemimpin PAS berhubung kedudukan PAS dalam PR dan sesama PAS. Kenyataan sombong dan angkuh yang tidak sama sekali menggambarkan usaha menyatupadukan atau mencari perdamaian atas asas yang dipersetujui bersama. Yang mana asas yang dipersetujui bersama ini amat banyak atas sebab keinginan bersama untuk menyelamatkan Malaysia dari terus dirosakkan oleh UMNO dan BN.

Maka di sini mungkin terdapat perbezaan antara cara kepimpinan yang ingin mencari persamaan dan yang ingin mencari perbezaan, inginkan persepakatan dan inginkan perbalahan. Saya telah sebut sebelum ini bahawa amat mudah mencari perbezaan dan perbalahan. Mana-mana ‘samseng jalanan’ pun mampu melakukannya. Tetapi untuk mencari persamaan dan persepakatan, ianya hanya mampu dilakukan pemimpin yang bijak dan berhemah.

Oleh itu, di sini terletaknya kelebihan Almarhum Ustaz Fadhil Mohd Noor dan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Mereka memahami bahawa walaupun wujud perbezaan antara PAS dan DAP serta PKR, namun usaha mencari keadilan dan keselamatan untuk Malaysia boleh menyatukan ketiga-tiga parti dalam satu pakatan politik yang kukuh dan mantap. Maka itulah yang telah mereka usahakan dengan jayanya sehingga Allah membawa mereka kembali ke pangkuanNya.

MENGAPA SUASANA BERTAMBAH BAIK TAPI KEADAAN PR SEMAKIN RAPUH?

Ada yang menyamakan keadaan 2002 apabila DAP tinggalkan BA dengan suasana yang sedang berlaku sekarang. Sedangkan ianya amat sangat jauh berbeza.

Pada 2002 DAP mensyaratkan PAS menggugurkan dasar perjuangannya untuk menegakkan sebuah Negara Islam dan terima dasar Sekular. Kalau tidak DAP akan keluar dari BA. Dengan diberi syarat sedemikian, maka Almarhum Ust Fadhil menyebut PAS tidak akan gadaikan dasar perjuangannya walaupun akibat dari itu, DAP keluar dari BA. Dan sepertimana diketahui semua, akhirnya DAP keluar dan PAS terus bersama PKR dalam BA.

Sekarang suasananya sudah jauh berbeza. Dengan pembentukan PR pada 2008, satu penyelesaian terhadap masalah perbezaan dasar perjuangan telah tercapai. Iaitu setiap parti berhak memperjuangkan dasarnya masing-masing atas platform atau wadah partinya sendiri, tetapi sebagai PR, setiap parti perlu berpegang kepada dasar yang dipersetujui bersama. Oleh itu persoalan menggugurkan dasar perjuangan tidak lagi timbul. Suasana sebegini jauh lebih baik berbanding 2002.

Oleh itu dalam menangani persoalan perbezaan ini, maka pimpinan kesemua parti hendaklah bertindak secara tenang dan bijaksana. Jangan marah apabila ada yang tidak bersetuju atas isu yang memang telah tidak dipersetujui dari asalnya. Jangan cuba memaksa persetujuan atau menyerang dan mengutuk apabila ada yang nyatakan tidak bersetuju. Kerana sememangnya ianya tidak dipersetujui dari awal. Dalam erti kata lain, jangan marah apabila PAS membawa isu hudud untuk Kelantan dan jangan juga marah apabila DAP tidak bersetuju. Uruskan perbezaan ini dengan penuh bertanggung-jawab melalui semangat ‘setuju untuk tidak bersetuju’ sambil saling menghargai satu sama lain.

Malangnya bukan ini yang kelihatan sedang berlaku. PR dilihat berada di penghujung hayatnya oleh sebahagian pemerhati politik atas sebab tidak bijaknya cara perbezaan ini diurus. Walaupun kaedahnya cukup jelas disediakan oleh pimpinan terdahulu. Mengapa begitu?

KEINGINAN MENUNJUK KEKUATAN MASING-MASING!

Dalam suasana ini muncul pimpinan yang ingin menyatakan kekuatan masing-masing dan ketidak-perluan kepada bantuan dari rakan masing-masing. Perbezaan yang sudah lama wujud dijadikan alasan untuk terus berbalah. Sehingga ada yang tertanya, “bagaimana PR dapat diwujudkan pada asalnya kalau inilah suasananya??" PR dapat diwujudkan dulu dalam keadaan di mana perbezaan yang sama wujud, oleh kerana adanya kebijaksanaan dan sikap tawadhu’ dan rendah diri di semua pihak.

Dahulu PAS mengaku DAP ada kekuatannya dan DAP mengaku PAS ada kekuatannya. Sambil itu, yang lebih penting, bersama saling mengaku bahawa ada persamaan dalam matlamat yang ingin kita capai bersama. Itu sebabnya kedua pihak saling membantu! Sama-sama ada kekuatan dan sama-sama akui tidak mampu menang secara bersendirian sepertimana UMNO tidak boleh memerintah secara bersendirian.

Soal siapa lebih kuat dan siapa tidak kuat bukan isunya. Isunya adalah adakah mana-mana parti cukup kuat untuk menjatuhkan UMNO/BN sendirinya? Adakah PAS dengan DHPPnya boleh menang kerusi yang cukup, dalam suasana sekarang, untuk membentuk kerajaan menggantikan UMNO/BN? Dan sekiranya tidak mampu, tidakkah kerjasama yang sepertimana diusahakan dan dipertahankan oleh Almarhum UFN dan Almarhum TGNA perlu diteruskan?

Atau persoalan gantikan UMNO/BN tidak lagi releven bagi semua? Sekadar untuk dipertahankan kerusi di kubu masing-masing dan kekalkan UMNO/BN di Putrajaya?

MENGAPA PERLU JATUHKAN UMNO/BN

Almarhum Ust Fadhil Noor dan Almarhum Tok Guru Nik Aziz juga memahami bahawa walaupun wujud persamaan dengan UMNO, keinginan UMNO untuk mengekalkan sebuah regim yang terkenal dengan rasuah serta bobrok, bersikap perkauman dan rasis menghalang PAS berkerjasama dengan UMNO. Sifat UMNO sedemikian rupa akan menghalang bukan sekadar matlamat jangka masa pendek tetapi jangka masa panjang PAS tercapai. Malahan mereka, iaitu UMNO, adalah penghalang dari manusia mengenali kebenaran Islam dan itulah sebabnya PAS menentangnya sejak dulu.

Kalau ada pendekatan baru di mana permusuhan dengan DAP ingin ditanam dan kerjasama dengan UMNO ingin diutamakan, maka pendekatan ini merupakan satu penyimpangan asasi dari apa yang diusahakan selama ini. Asas dan sebab perubahan sikap serta U-turn ini perlu diperjelaskan. Adakah PAS telah mula berpegang kepada pendekatan ‘Islam dan Melayu’ yang selama ini PAS tolak? Kerana selama ini PAS berpegang kepada keyakinan bahawa Islam itu memadai dan tidak perlu ditokok tambah dengan Melayu atau apa jua sekali pun. Apabila Islam itu dihayati dan terlaksana, maka Melayu dan semua bangsa akan turut terbela. Adakah keyakinan ini sudah tidak lagi dipegang PAS?

Persoalan ini perlu dijawab dengan hujjah yang menyakinkan. Harap-harap tidak dengan sekadar dikeluarkan ‘fatwa’ dan dipaksakan ‘fatwa’ tersebut ke atas keseluruhan ahli.

KESIMPULAN

Saya menyeru semua pihak, samada PAS atau DAP, supaya kembali kepada pendekatan dan kaedah yang telah dipersetujui bersama sekian lama, yang merupakan latar belakang sebalik pembentukan PR. Sebenarnya pendekatan dan kaedah yang digunakan terbukti berkesan dan telah menambah-kukuhkan kedudukan PAS di kalangan rakyat. Pada masa yang sama, kefahaman dan penghayatan ummat Islam terhadap agama Islam juga turut ditingkatkan.

Sebagai parti politik Islam yang terlibat dalam arena politik mewakili perjuangan Islam, PAS hendaklah bersama dengan kehendak rakyat yang ingin menolak rasuah, kezaliman dan perkauman. Janganlah PAS dilihat sebagai parti yang ingin pertahankan regim yang digelumangi rasuah, zalim dan perkauman ini demi kononnya menjaga ‘kepentingan Islam dan Melayu’. Sedangkan kepentingan Islam dan Melayu sebenar telah digadaikan UMNO/BN sejak lama dulu; kini dan selamanya?

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Ridzuan said…
Sdra YB Tuan Khalid,

Maaf, saya kurang jelas dengan apa yang dimaksudkan .."setiap parti berhak memperjuangkan dasarnya masing-masing atas platform atau wadah partinya sendiri, tetapi sebagai PR, setiap parti perlu berpegang kepada dasar yang dipersetujui bersama"...Adakah ia bermaksud dasar setiap parti boleh berbeza tetapi PR mempunyai dasar yang dipersetujui bersama secara jelas dengan tujuan dan batas-batasnya? Sekiranya sudah jelas, apakah dasar-dasar itu sudah dibahas dan diperjelaskan sehingga ke peringkat akar umbi SETIAP PARTI? Atau dasar persetujuan itu hanya difahami (kalau difahami) oleh peringkat tinggi parti sahaja? Sebagai contoh, apakah orang DAP memahami secara mendalam dasar parti PAS atau sebaliknya?

Kenapa saya bertanya demikian? Ini kerana saya tidak begitu faham maksud semangat "setuju untuk tidak bersetuju" di dalam PR. Apa yang berlaku di Kelantan membuatkan saya lebih tertanya-tanya dgn pegangan semangat tersebut. Apakah PAS ingin menjalankan hudud di Kelantan (sefaham saya adalah dasar perjuangan PAS) boleh tidak dipersetujui oleh PR dan PAS harus mendapat restu dari parti-parti lain dalam PR (untuk melaksanakan hudud)? Itu belum lagi persoalan tentang sokongan. Atau ribut badai yang berlaku sekarang ini masalahnya dari sudut "approach" sahaja?

Pada pandangan saya, semangat "setuju untuk tidak bersetuju" inilah yang akan menjadi pokok pangkal kemajuan PR di masa akan datang. Bagi saya, perbezaan dasar yang ekstreme di antara ketiga-tiga parti dalam PR harus di bahas secara mendalam dan SATU dasar yang jelas dibuat untuk menjadi pegangan ketiga-tiga parti. Kalau tidak, bagaimana PR boleh memerintah secara semangat "setuju untuk tidak bersetuju"? Apakah PAS terpaksa berjuang dari dalam untuk menjalankan hukum hudud kalau ditakdirkan PR memerintah Malaysia? Atau PAS terpaksa "mengorbankan" dasarnya (untuk melaksanakan hudud) demi cita-cita untuk bersama PR memerintah Malaysia? Atau nanti hukum hudud akan menjadi polemik lagi atas dasar menyalahi perlembagaan Malaysia?
Izuddin said…
Hadi memperjuangkan Bangsa Melayu, Melayu Muslim dan Kesultanan Melayu. Dia ni RASIS.

Dia tak perjuang ISLAM dalam ertikata utk semua bangsa termasuk Cina, dan India.

Pemahaman Hadi ttg ISLAM adalah asabiyah sempit yang menjerumus kpd perkauman Melayu-Muslim. Hadi mesti juga ambil kira usaha kpd keujudan Cina Muslim dan India Muslim.

Terok la ko hadi. Makin tua makin BODOH...haha
Ahu said…
Izzuddin, ko faham x pengertian asobiyah?
Kalau x tahu, apa yg ko cakap kat haji hadi tu
Patah balik kat ko...
P/s: menyokong sesuatu kezaliman yang dilakukan oleh puaknya..
Rasis bukannya asobiyah..xtepat kalau kita kata rasis adalah asobiyah.
Izuddin said…
Wan mungkin susah nak fahami ayat "setuju untuk tidak bersetuju". Ayat ni dicedok dari bayat English "agree to disagree".

Agree to disagree membawa erti 'jangan bergaduh mengenai perkara yang tidak dipersetujui bersama. Biarkan saja.

Bermakna, bila PAS, DAP, PKR berjuang dasar2 pasti sendiri DALAM WADAH yang sama(iaitu PAKATAN) dan terdapat 'disagreement', maka setiap parti tidaklah boleh bertelagah seterusnya malah kena lah henti dan hormati satu sama lain.

Ketiga-tiga parti KENA LAH balik kepada WADAH PERJUANGAN, iaitu menewas UMNO dan BN utk hentikan rasuah, dan lain2 yg bermaharajalela selama 22 tahun masa pemerintahan madey dan menjadi legacy sehingga kini dalam pemerintahan pak lah dan najib.

Dasar perjuangan DAP atau PKR dan PAS(walaupun PAS mahu dasarnya iaitu ISLAm dan HUDUD dilaksana) MESTI dihentikan kerana tiga-tiga parti tu ada WADAH yang lebih BESAR iaitu PAKATAN RAKYAT.

Adakah ISLAm dan Hudud akan hanya jadi polemik bila PAKATAN RAKYAT menumbang UMNO/BN?

DAP tahu tanpa sokongan MELAYU PKR dan PAS, PAKATAN RAKYAT tidak boleh ujud. DAP akan bersetuju utk ISLAm dan Hudud dilaksana. Tak tau lah macam mana prosesnya kita tunggu dan lihat.

Buat masa ni, ABU - Asal bukan UMNO
Izuddin said…
hadi kata kit siang tak tau apa ada dalam hati hadi dan hadi pun tak tau apa ada dalam hati kit siang. hoi hadi....kit siang tau apa dia MAU. Hang hadi tau ka dak apa hang MAU?

hadi tak tau juga apa akan jadi sekiranya pas progresif menang. Hadi, hang apa pun tak tau !

hadi kata perkara masa depan hanya tuhan yang tau. hoi hadi.....AKU TAK TANYA APA TUHAN TAU. AKU TANYA APA HANG TAU ! KALAU BEGITU HANG NAK MAIN BODOH....HANG BLAH SAJA LAH DAN BAGI TUHAN JADI PRESIDEN PAS

Bila ditanya mungkinkah masa depan PAS masuk umno, hadi jawap perkara esok dia tak tau sebab DIA BELUM HIDUP ESOK LAGI TAPI HIDUP SKRG...haha. Aku rasa hadi dah ada jawapan...esok lepas muktamar dia tak hidup lagi...haha

Hoi hadi...mana pi istilah INSYA ALLAH??? Sepatutnya HANG as a president LEADS the WAY, tell your aspirations, etc ....and thereon say INSYA ALLAH for the things you aspire to be good.
Izuddin said…
Najib betoi2 pandai putar belit.

Dia tuduh madey "twisted the facts about financial challenges facing 1MDB" that IMBD had lost RM42 billion.

Madey and the opposition TIDAK kata RM42 billion are lost.

RM42 billion itu adalah jumlah WANG HUTANG(DEBT) yang di pinjam oleh 1MDB sejak 2009 dan termaktub dalam Account Balance Sheet.

Yang dipertikai oleh madey dan opposition ialah dari RM42 billion ni, RM14 billion telah diguna utk ACQUIRE assets seperti IPP, tanah TRX, tanah di Penang, dan lain2 yang Delloite kata assets ni worth RM51 billion. RM51 billion ni HANYALAH on PAPER(PAPERWORTH). Belum tentu lagi value sebenar selagi belum dijual.

Mana pi BAKI RM28 billion dari RM42 billion yang 1MDB pinjam? Hanya RM14 billion diguna utk acquire assets. Tapi , mana dia baki RM28 billion tu? Baki RM28 billion tu ada lagi ka dak?

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-