Skip to main content

Kontroversi Ucapan LKS Di Kota Bharu

Saya diberi teks ucapan Lim Kit Siang (LKS) yang disampaikan beliau pada 10 Mei sebelum mulanya sesi dialog saya di Hotel Habib Kota Bharu pada 14 Mei. Saya membacanya dan hingga sekarang masih merasa pelik mengapa ada yang begitu marah dengan ucapan beliau. Mereka menuduh LKS “menghina Islam, Hudud dan ummat Islam” dalam ucapannya. Sedangkan tidak terdapat kata-kata menghina yang saya dapati dalam teks ucapan tersebut.


Ayat dan kaedah yang digunakan mereka ini sama macam ayat dan kaedah PERKASA yang terkenal dengan usaha untuk mencetuskan perbalahan walau atas apa jua alasan. Sekiranya ada yang bukan Melayu bersin di depan Masjid pun mungkin boleh digunakan oleh PERKASA dan kumpulan ini sebagai bukti “tidak hormat kepada Islam”! Maka adakah pimpinan PAS telah turut mengikuti ‘tarbiyyah’ PERKASA kebelakangan ini? Harap-harap tidak serta bagi yang sibuk bergambar, hanya sekadar bergambar bersama sahaja dan tidak lebih dari itu.

ISI KANDUNGAN UCAPAN LKS

Saya ingin kemukakan di sini beberapa point utama dalam ucapan LKS untuk kita kongsi bersama dan boleh nilai sendiri transkrip ucapan Lim Kit Siang di ceramah ‘Kukuhkan Pakatan, Hancurkan Barisan’.

  1. Peluang Keemasan Untuk PR Berkuasa

    Merujuk kepada ucapan LKS, beliau menyebut mengenai perlunya PR bersatu dan mengambil peluang dan kesempatan ini untuk menjatuhkan BN dalam PRU akan datang. Menurut beliau peluang sebegini jarang sangat dijumpai dan oleh itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Point ini LKS nyatakan di awal dan turut diulangi di penghujung ucapan beliau.
  2. PR Bermasalah: Apa Masalah Sebenar?

    LKS mengakui terdapat masalah dan perbalahan sesama parti PR.

    LKS bertanya dalam ucapannya “Kenapa PR tidak boleh terus bersatu padu?” dan beliau menjawab soalannya sendiri. Jawapannya menarik dan perlu difahami ahli PAS. Jawapannya ialah:

    “Masalah sebenarnya bukan hudud”!

    Maka kalau hudud bukan masalahnya, apa masalahnya? Masalahnya, mengikut LKS adalah,

    “Masalah ialah sama-sama parti PR boleh jujur dan ikhlas untuk mengotakan apa yang kita janjikan. Apabila ditubuh PR pada 2008, bahawa dipersejutui mengenai dasar bersama”. Dalam ertikata lain, LKS ingin menegaskan bahawa yang menyebabkan PR berkocak bukan persoalan hudud sepertimana yang cuba digembar-gemburkan. Masalahnya ialah ada yang telah semakin jauh dari dasar yang telah dipersetujui bersama dulu semasa PR ditubuhkan. Dengan itu yang dipersetujui bersama tidak lagi dikotakan.
  3. DAP Tidak Anti-Islam Atau Anti-Hudud

    Apabila dinyatakan bahawa hudud bukan masalahnya, LKS juga ingin menegaskan bahawa DAP tidak anti-hudud atau anti-Islam. Hujjah DAP tidak anti-hudud atau anti-Islam diperluaskan LKS dengan dikemukakan pengalaman jelajah DAP ke Timur Tengah. Diceritakan pengalaman mereka di Mesir dan Jordan di mana mereka menyaksikan hudud tidak dilaksanakan walaupun Mesir dan Jordan mempunyai penduduk Islam melebihi 90%.

    Apabila disiasat mengapa tidak, maka dijelaskan kepada mereka bahawa ianya bukan kerana Mesir dan Jordan anti-hudud atau anti-Islam, tetapi syarat-syarat mewajibkan perlaksanaan hudud belum lagi dipenuhi maka ianya tidak boleh dilaksana. Disebut juga bahawa terdapat persoalan lain yang perlu diutamakan terlebih dahulu. Maka dirumuskan LKS bahawa sekiranya ada pihak menolak perlaksanaan hudud atas sebab syarat-syarat tertentu belum lagi dipenuhi, atau ada yang lain yang perlu diutamakan terlebih dahulu, maka ianya alasan yang boleh diterima dan tidak bererti mereka itu anti-hudud atau anti-Islam. Malahan syarat dan keutamaan itu sendiri adalah sebahagian dari ajaran Islam. Sempat juga LKS merujuk kepada tulisan Qaradhawi berhubung isu ini yang mungkin UMNO pun tidak rujuk.

    Pada masa yang sama turut dijelaskan LKS bahawa dari sudut pandangan DAP sendiri, perlembagaan Malaysia bersifat sekular dan oleh itu undang-undang hudud tidak boleh dilaksanakan kerana bercanggah dengan perlembagaan. Itu menurut fahaman DAP. Maka persoalan anti-hudud tidak timbul. Persoalannya perlembagaan Malaysia.

    Dalam menyampaikan kefahaman beliau terhadap persoalan ini, tiada LKS sentuh walaupun sekali berhubung usaha Kerajaan Kelantan untuk melaksanakan hudud. Dia kelihatan lebih memberi tumpuan untuk menegaskan bahawa DAP tidak anti-hudud atau anti-Islam.

RUMUSAN SAYA DARI UCAPAN LKS

Maka rumusan saya, sebenarnya LKS datang untuk menjelaskan sikapnya kepada rakyat Kelantan. Dalam menjelaskan sikap dan pendiriannya, beliau ingin menegaskan bahawa beliau bersama DAP tidak memusuhi Islam atau pun hudud seperti yang cuba digambarkan. Ianya satu usaha oleh LKS dan DAP untuk mencari perdamaian dan meredakan suasana dalam PR supaya kembali utuh. Dalam menjelaskan pendiriannya ini, tiada diperlekehkan rakyat Kelantan dan tidak juga dihina Islam atau ajarannya.

Kalau dikatakan ada, maka adalah amat diharapkan agar dikemukakan di perenggan mana dan ayat mana ianya dilakukan.

Bagi yang berpaksikan PERKASA dan UMNO, mungkin orang bukan Islam cakap mengenai Islam atau hukum Islam pun dianggap suatu penghinaan! Tetapi itu sekiranya menurut pemikiran PERKASA dan UMNO, sefaham saya dan bukan PAS. Ini kerana PAS sepatutnya berbangga apabila bukan Islam bercakap mengenai Islam dan sekiranya ada salah faham, maka ditegur dengan baik dan berhikmah. Lebih-lebih lagi apabila dilihat ianya atas sebab salah maklumat dan bukan bertujuan memperolok-olokkan.

Mungkin ada yang kita tidak setuju dengan kata-kata LKS, khususnya berhubung percanggahan dengan perlembagaan. Tetapi adakah perlu difitnahnya dengan menuduh beliau menghina Islam, ummat Islam dan hudud? Atau perkara ini dilakukan demi agenda tertentu tanpa menghiraukan dosa dan pahala. Perlu diingat bahawa fitnah tetap zalim dan berdosa walau pun terhadap yang bukan Islam.

PELUANG UNTUK MEMBUAT ‘TUDUHAN MELULU’?

Pada zaman kemunculan PAS Ekstrim, tuduhan melulu merupakan kebiasaan. Majlis ceramah yang diadakan pada 10 Mei merupakan peluang keemasan untuk membuat tuduhan ini. Maka dituduh yang hadir majlis ceramah itu ‘bersikap anti-hudud’ dan sebagainya. Yang menuduh didapati tidak pun hadir majlis tersebut dan mungkin tidak tahu pun hujung pangkal apa yang telah disampaikan. Hanya sekadar mendengar atas penilaian pihak lain.

Atau mungkin juga yang menuduh itu ingin mengambil kesempatan? Maklumlah tahun pemilihan. Mungkin boleh dijatuhkan orang-orang tertentu dan menangkan yang tertentu. Ingin jatuhkan Timbalan Presiden atau Ketua Dewan Muslimat? Atau cuba tunjuk kononnya ‘hero’ sanggup sanggah DAP.

Pengamal budaya ‘tuduhan melulu’ ni yang saya sebut sebagai “Islam tanpa akhlak”. Ianya jauh lebih teruk dari “Islam tanpa syariat”, yang kononnya diperjuangkan sebahagian pimpinan dalam PAS. Kononnya wujudnya golongan “Islam tanpa syariat” turut merupakan tuduhan melulu golongan “Islam tanpa akhlak”. Kalau akhlak yang asas pun tiada, jangan bersyarah mengenai syariat!

Dan mungkin juga nak capai matlamat PAS keluar PR dengan menanam kebencian terhadap DAP? Dan juga sekiranya boleh, terhadap PKR sekali! Kenapa tidak? Maka apabila PR berpecah PAS bersendirian, UMNO/BN berpesta keseronokan dan mungkin ada yang tumpang seronok sekali? Tidakkah mereka sedar bahawa melalui tuduhan “DAP anti-Islam” mereka menjadi bagaikan suara UMNO atau PERKASA dalam PAS? Mustahil tidak nampak implikasinya. Kecuali benar-benar buta politik!

KESIMPULAN

Sebenarnya keseluruhan teks ucapan LKS telah siap direkod, dicatit secara verbatim dan diviralkan. Videonya pun begitu. Masyarakat bermaklumat akan menilai sejauh mana kebenaran tuduhan sebahagian pimpinan PAS terhadap LKS. Jangan rosakkan imej PAS dan imej Islam oleh kerana mengejar matlamat politik murahan. Bersikap adil walaupun terhadap musuh, apatah lagi terhadap rakan persepakatan. Rakyat menilai dan lebih penting, Allah melihat dan tahu segala-galanya.


Ya, saya tahu dan faham bahawa saya akan turut ‘dibaruakan’ atas sebab tulisan saya ini. Biarkan. Golongan yang tiada hujjah akan menggunakan pendekatan caci maki. Biasalah. Kalau sudah akhlak mereka begitu, memang tidak mampu saya katakan apa-apa. Namun bukan keredhaan mereka yang saya inginkan pun, maka ada saya kisah?

Hanya Allah tempat saya mengadu dan kepadaNya akan kita semua dikembalikan.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Unknown said…
golongan penyokong pas pro ulama dah macam macai penyokong umno je lebih beremosi dr berhujah secara fakta
Unknown said…
AKu dah baca transkrip ucapan LKS, tiada apa yang perlu Nik Abduh, MB Kelantan dan sesiapa terasa. Malah untuk apa dikisahkan sangat jika LKS dan DAP sekali pun menolah Hudud. Bukankah LKS bukan Islam pun...Namun dalam DAP ada juga ahli-ahlinya yang Islam, maka dengan berhujah DAP menolak Islam sebenarnya mencerminkan tidak bijaknya orang yang membuat tohmahan liar seperti itu.

Beberapa pemimpin PAS ini perlu bijak memahami ucapan LKS dan juga memikirkan apakah yang boleh PAS lakukan untuk meluaskan pemahaman yang benar dan jelas tentang hudud kepada bukan Islam. Jika dikatakan hudud itu hukum yang wajib disokong oleh orang Islam memang sesuai untuk orang Islam saja penjelasannya. Tetapi dalam berhadapan dengan orang bukan Islam, yang perlu ditekankan ialah berhikmah dengan menjelaskan keistimewaan hudud dan kesannya serta dijelaskan cara pelaksanaannya. Tentulah gambaran sebat 100 kali bagi penzina takut didengar dan dilihat amat zalim jika yang digambarkan sebatannya seperti sebatan hukum sivil sekarang. Perlu dijelaskan bagaimana bentuk hukumannya, cara pukulannya dan kaedah pelaksanaannnya. Itulah yang akan memberikan pemahaman dan gambaran keindahan Islam dalam membentuk masyarakat yang aman dan sejahtera.

Pihak pas perlu segera mengambil kesempatan untuk bertemu LKS daripada membuat kenyataan kepada akhbar2 semata-mata menghentam LKS. Yang ditunjukkan kelak bukanlah semangat anda untuk mempertahankan hudud tetapi kebodohan anda menghentam orang bukan Islam yang cuba menyampaikan pemahamannya dan pandangan sisinya yang tidak tertakluk pun kepada hudu. Apakah yang sebenarnya ingin LKS sampaikan...kenapa berlaku ketidak sukaannya kepada hudu walaupun orang bukan Islam terkecuali? Inilah yang perlu difahami.

Kita juga perlu melihat, kenapa DAP menghantar delegasinya ke Timur Tengah, sesuatu yang tidak pernah mereka lakukan? Inilah yang kita lihat, bahawa mereka mengkaji proses pelaksanaan dan implementasi hudu dengan pergi sendiri ke negara berkenaan. Kenapa kita tidak mengajak mereka untuk memahami bagaimana hudud dilaksanakan di negara lain seperti Arab saudi.

Usahlah berkeras sangat dengan hudud semata-mata sedangkan usaha memahamkan rakyat dan pemimpin Islam sendiri pun masih perlahan dan bermusim apatah lagi untuk memahamkan orang bukan Islam.

Orang Islam sejujurnya menerima dan mengakui hudud wajib dilaksanakan, yang perlu diperlihatkan sekarang ialah usaha berdakwah secara berhikmah membawa hudud kepada masyarakat. Bukannya secara keras melabel orang itu, orang ini menolak hudud.
4G said…
Sokong anta yb khalid..very true to those who subscribe clear vision on islam n knowledge
bat8 said…
Sedih melihat puak yg mengaku berjuang atas nama Islam memilih untuk menggunakan cara yang Islam larang. Berbokong, putar belit isu. Ini cara untuk menang dengan apa cara sekalipun....hanya untuk menang puak. Bandingan dengan Perkasa àmat tepat tetapi mereka lebih bahaya kerana Perkasa jelas berpakaian sekuler tetapi mereka berpakaian ISLAM.
Izuddin said…
Perkasa jelas berpakaian sekuler tetapi mereka BERTOPENG ISLAM.
wargabebas said…
Yang Berhormat Khalid Samad, masalahnya ialah ada banyak antara ahli-ahli PAS yang nampaknya seperti Tun Dr M. Iaitu, Melayu utama, Muslim kemudian. Apatah lagi kalau kapten kapal pun mempunyai pendirian yang begitu rupa. Ke arah mana parti PAS akan pergi?

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-