Skip to main content

Kontroversi Ucapan LKS Di KB (Bhgn II)

Ada yang kurang berpuas-hati dengan ulasan saya berhubung ucapan LKS yang saya siarkan kelmarin. Maka berbagai komen dan soalan ditanya melalui media sosial. Salah seorang yang mengemukakan soalan adalah saudara Hizman Husin. Maka di‘PM’nya saya melalui akaun FB dan ditanya saya dua soalan seperti berikut:

1. Kenapa beriya2 sangat mempertahankan LKS walaupun dia tidak bersalah pada pandangan YB ? Adakah ingin menimbulkan polimik or perhatian?

2. Kenapa tidak beriya2 mempertahankan Presiden bila mana DAP memutuskan kerjasama dengan Presiden? Adakah ini demi PR?

Di sini saya sertakan jawapan saya kepada Saudara Hizman dengan lebih jelas lagi agar lebih mudah difahami dan dapat dikongsi bersama.

JAWAPAN KEPADA SOALAN PERTAMA

a) STRATEGI PECAH DAN PERINTAH UMNO

Bukan lagi menjadi satu rahsia bahawa UMNO dapat mengekalkan pemerintahannya selama lebih 58 tahun dengan mengamalkan dasar ‘pecah dan perintah’ yang telah diamalkan oleh penjajah British. Dalam melaksanakan helah ini, PAS digambarkan sebagai ekstrimis Islam yang akan menzalimi orang Cina dan bukan Islam. Pada masa sama DAP perlu digambarkan sebagai ekstrimis ‘bukan Islam’ yang akan menzalimi ummat Islam dan orang Melayu. Dengan cara ini PAS tidak akan mendapat sokongan bukan Islam dan DAP pula tidak akan dapat sokongan orang Islam. Melalui ini sokongan berbilang kaum hanya diperolehi UMNO/BN. Dan dengan itu UMNO/BN akan kekal berkuasa.

Melalui kaedah ini juga, di dalam kawasan calon UMNO bertemu calon PAS, calon UMNO akan menang kerana hampir kesemua pengundi bukan Melayu akan menyokongnya. Sebaliknya, di kawasan calon DAP bertemu calon Gerakan, MCA atau MIC dan calon DAP akan dikalahkan kerana hampir kesemua pengundi Melayu akan mengundi mereka. PAS akan hanya mampu menang di kawasan majoriti Melayu melebihi 90% seperti Kelantan dan Terengganu dan DAP pula di kawasan majoriti bukan Melayu.

Untuk mengatasi strategi ini dan sokongan berbilang kaum dapat diperolehi maka PAS telah bersama dengan DAP dan PKR membentuk PR. Namun itu hanya permulaan. Kebersamaan semata-mata tidak mampu mengatasi fitnah yang tersebar sekian lama melalui strategi pecah dan perintah UMNO. Usaha gigih ke arah membersihkan fitnah dan tohmahan terhadap PAS dan DAP tetap perlu dilaksanakan bersama.

b) PERLU BERSIHKAN IMEJ PAS DAN DAP!

Orang bukan Islam perlu diyakinkan bahawa PAS tidak bencikan mereka dan orang Islam pula perlu diyakinkan DAP tidak bencikan Islam dan ini adalah keadaan sebenarnya! Dengan itu kerjasama PAS dengan DAP tidak akan dilihat sebagai satu ‘marriage of convenience’ atau ‘perkahwinan beragenda’ demi mencapai kuasa, tetapi kerjasama ke arah kebaikan atau ‘taawanu alal biir’.

Menyakinkan orang Islam bahawa DAP tidak ‘memusuhi Islam’ adalah penting bagi PAS, sepertimana juga menyakinkan bukan Islam bahawa PAS tidak ‘memusuhi bukan Islam’ adalah penting bagi DAP. Sekiranya imej ‘memusuhi Islam’ tidak berjaya dibersihkan dari DAP, maka PAS akan ‘terpalit’ melalui kerjasamanya dengan DAP!

PAS akan dituduh menggadai prinsipnya demi kuasa sehingga sanggup berkerjasama dengan parti yang ‘memusuhi Islam’. Justifikasi berkerjasama dengan DAP berpaksi atas kejayaan DAP membuktikan, dengan bantuan PAS, bahawa DAP tidak memusuhi Islam. Orang Islam perlu yakin bahawa DAP bukan sekadar tidak ‘memusuhi Islam’, malahan adalah jauh lebih baik dari Gerakan, MCA dan MIC. Hanya dengan itu imej PAS akan turut bersih dan tidak dianggap melakukan kesalahan kerana berkerjasama dengan DAP.

Dan begitu juga bagi DAP. Sekiranya imej PAS sebagai parti yang ‘memusuhi bukan Islam’ tidak dapat dibersihkan, DAP akan terpalit atas sebab kerjasamanya dengan PAS!

c) PIMPINAN YANG FAHAM POLITIK JAHAT

Pimpinan PAS dan DAP yang memahami keadaan ini dan menyedari strategi pecah dan perintah yang digunakan UMNO akan saling membantu ke arah saling membela satu sama lain demi mengatasi tipu helah UMNO. Untuk meyakinkan orang bukan Islam terhadap keadilan PAS, PAS dibantu DAP dengan dimudahkan akses kepada masyarakat bukan Islam. Begitu juga DAP lebih mudah mendapat akses kepada masyarakat orang Islam dengan bantuan PAS berbanding berusaha sendiri. Orang bukan Islam lebih mudah diyakinkan akan sifat keadilan dan persahabatan PAS dengan adanya sokongan dan pengesahan DAP sepertimana juga orang Islam lebih mudah diyakini DAP tidak memusuhi Islam dengan pengesahan PAS!

Kalau dilihat pada Selangor, usaha saling membantu membersihkan tohmahan dan fitnah UMNO telah dilakukan dengan baik. Pimpinan DAP berdamping dengan masyarakat Islam, menziarahi Masjid dan Surau, sambil pimpinan PAS berdialog di Gereja dan Kuil. Maka tohmahan memusuhi Islam atau bukan Islam tidak lagi berkesan.

Melalui pendekatan sebegini, saling membantu membersihkan imej dari tohmahan UMNO, maka sokongan berbilang kaum terhadap PAS dan DAP dapat dicapai. Dengan itu barulah akan ada kemungkinan UMNO/BN dijatuhkan dan PAS bersama PR akan berkuasa!

Hakikatnya, sokongan berbilang kaum diperlukan untuk menang dalam Pilihan Raya bagi membentuk kerajaan. Itu realiti atau waqi’ masyarakat Malaysia. Maka dalam soal ini di kalangan parti politik yang mendapat sokongan bukan Islam dan bukan Melayu, DAP adalah di antara rakan terbaik untuk PAS membina sokongan berbilang kaum dan berbilang agama. Atau ada dalam PAS yang lebih yakin pada Gerakan, MCA dan MIC?

d) PERMUSUHAN TERHADAP PERJUANGAN ISLAM DAN PAS

Dalam soal memusuhi Islam, Gerakan, MCA dan MIC jauh lebih anti terhadap perjuangan PAS berbanding DAP. Oleh itu membantu DAP akan bererti membantu mengalahkan Gerakan, MCA atau MIC! Ini tidak sepatutnya merupakan satu masalah bagi PAS. Hakikatnya pilihan orang bukan Islam adalah DAP atau Gerakan, MCA dan MIC! DAP tidak bertanding melawan UMNO dan jauh sekali lawan PAS!

Begitu juga, bagi DAP, membantu PAS mengalahkan UMNO yang jelas anti-DAP tidak merupakan masalah bagi DAP. Tiada mana-mana parti terpaksa menggadaikan prinsipnya dalam soal ini. Ini adalah kerana parti komponen BN sememangnya bersekongkol dalam urus tadbir yang buruk.


e) KEPIMPINAN YANG KURANG BIJAK POLITIK

Kepimpinan yang kurang bijak politik adalah pimpinan yang percaya pada dakyah dan fitnah musuh! Oleh itu dia akan berkerja ke arah yang diinginkan musuh. Tapi sebodoh-bodoh pemimpin yang sebegini, ada yang lagi tidak bijak.

Yang lebih tidak bijak adalah yang tidak kenal siapa musuh! Maka dengan sendirinya dia tidak mengenali maklumat mana adalah dakyah dan fitnah musuh.

Saya minta maaf, tetapi mana-mana pimpinan PAS, yang atas sebab agenda sempit mereka, sanggup memfitnah DAP sebagai parti yang “anti-Islam, menghina Islam dan ummatnya” adalah pimpinan yang tidak bijak politik. Suara mereka seperti suara UMNO dan PERKASA. Melalui kata-kata mereka, tanpa mereka sedari, mereka mengiyakan tohmahan UMNO bahawa kononnya PAS berkerjasama dengan ‘musuh Islam’ kerana kemarukkan kuasa!

Tidak saya sangka akan ada pimpinan PAS yang sanggup menembak PAS sendiri dengan cara sebegini. Ianya menafikan segala usaha yang pernah dilakukan Almarhum Yusuf Rawa, Ustaz Fadhil dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sendiri. Seolah-olah mereka sanggup bersekongkol dengan ‘musuh Islam’ demi kuasa.

Mungkin ini semua berlaku kerana soal menggantikan UMNO sebagai kerajaan, supaya Islam dapat dizahirkan, tidak lagi penting bagi barisan pemimpin seperti ini. Mungkin seperti yang pernah dikatakan oleh salah seorang dari mereka, “UMNO sudah tidak ada agendanya sendiri dan sekarang hanya membawa agenda PAS”. Oleh itu, implikasinya, tidak perlu ditukar!

Oleh itu, adakah rasuah, kronisma, perkauman, kezaliman adalah agenda PAS? Oh maaf, ‘Melayu’ dan ‘Islam’ adalah agenda PAS! ‘Melayu’ dan ‘Islam’ ala UMNO?. Selama ini yang diiktiraf sebagai musuh utama PAS yang menghalang perjuangan Islam adalah UMNO. Mungkin perspektif ini telah mula hilang dari wawasan mereka. UMNO sudah menjadi kawan dan DAP/PKR sebagai lawan?

JAWAPAN KEPADA SOALAN KEDUA

Jawapan kepada soalan ini pernah saya jawab di blog saya bila isu ini timbul. Secara ringkasnya jawapan saya begini;

DAP menuduh DS Presiden sebagai seorang yang mungkir janji dan langgar persetujuan. Kononnya, semasa mesyuarat Majlis Presiden bulan Februari lepas (kalau tidak salah saya), telah dipersetujui (menurut DAP) bahawa Private Member’s Bill atau Rang Undang-Undang Peribadi Ahli Parlimen berhubung hudud akan dibentangkan di Majlis Presiden terlebih dahulu sebelum ianya dibawa ke Parlimen. Didapati DS Presiden telah membawanya ke Parlimen tanpa terlebih dahulu membentangnya di Majlis Presiden.

Saya tidak boleh kata apa-apa berhubung tuduhan itu kerana saya tidak hadir mesyuarat Majlis Presiden berkenaan dan tiada juga videonya atau minit mesyuaratnya dengan saya. Tidak seperti ucapan LKS di KB. Lagi pun yang dituduh dan yang turut hadir pun ada dan mampu memberi jawapan.

Oleh itu, saya telah minta isu ini diperjelaskan oleh DS Presiden sendiri atau siapa sahaja yang telah hadir mesyuarat berkenaan. Permintaan saya telah saya sampaikan semasa mesyuarat AJK PAS Pusat bulan Mac lepas. Saya menyatakan bahawa tuduhan “tidak pegang pada janji” adalah satu tuduhan serius. Sebagai parti Islam kita mesti dilihat sebagai parti yang ‘sidiq dan amanah’. Saya telah turut menggesa supaya DS Presiden atau SUA menjelaskannya dengan segera dengan diadakan sidang media mengenainya.

Itu yang mampu saya lakukan memandangkan saya bukan ahli kepada mesyuarat tersebut dan tidak mampu mengiyakan atau menidakkannya.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

wargabebas said…
Yang Berhormat Khalid Samad, adakah kamu pernah fikir kalau pemimpi-pemimpin yang tidak bijak itu mungkin musuh dalam selimu? Benar juga, sesetengah pemimpin itu sudah lama dalam parti. Bagaimana boleh jadi begitu? Adakah punca sebab kelakuan ini ialah anggapan bahawa Melayu itu mesti Muslim dan Muslim itu adalah Melayu. Pendek kata, Islam adalah milik Melayu. Walaupun tidak betul sebenarnya tapi takrifan perlembagaan Malaysia untuk orang Melayu adalah begitu. Suatu perlembagaan yang dikarang oleh pihak penjajah. Kalau kaum Melayu berpegang kepada pendekatan itu, jahanam lah orang bukan Melayu yang beragama Islam. Dan yang bukan Muslim, tidak ada harapan langsung. Saya percaya, ini adalah suatu masalah besar yang dihadapi oleh pucuk pimpinan DAP dengan PAS yang kelambatan ini dilihat lebih Melayu daripada Muslim. Sebab itulah DAP kelewatan sejak tahun 2000 dilihat giat menggalakkan Melayu progresif masuk parti dan berjuang untuk masa depan Malaysia yang lebih sederhana. Kita boleh lihat antara tokoh-tokoh Melayu DAP yang menonjolkan seperti YB Khairil dan Dyana Sofya. Tambahan pula, DAP juga menamakan sebuah jalan raya baru di Pulau Pinang untuk mendiang Ahmad Nor.
Izuddin said…
Saudara Hizman, apa yang YB ternangkan adalah POLITCAL SCIENCE.

Saudara Hizman umur berapa ?

2. Pertanyaan kedua Saudara Hizman itu tak boleh dijawap oh YB kerna YB tak tau apa yg berlaku di Majlis President.

Saudara Hizman boleh kah pertahan Hadi jika Hadi belum pun BERI jawap-balas kpd pertuduhan LGE bahawa HaDI MUNGKIR JANJI?
Izuddin said…
Facing accusations agaisnt 1MDB, najib seems to be confident with 1MBD dreams. Is Najib showcasing his ability of making ridiculous and unpopular positions appear stronger?

I dont believe Najib showcasing comes from himself, but rather was taught to him to do that. Perhaps Najib is now being taught on public speaking as well.
Izuddin said…
I have a feeling the works APCO was employed to do, whatever they are, had forced the PMO to the extent they have to lie to keep the works of APCO going(???)
Izuddin said…
Hadi is lying to himself. Like Najib is lying to himself. Madey is conniving.
nasidagang said…
Sebagai bukan Islam LKS patut hormat pada org Islam dan pendirian syariat mereka (kerajaan kelantan)..Berbeza pandangan boleh, tapi dengan menghentam memperlekeh Hudud didepan org Islam dan Pas K.Bharu satu penghinaan.

Jikalau tiada sedetik pun perasaan sedih dan marah, boleh nilailah sendiri iman seseorang itu.

Wahai YB, kita diberi kemuliaan dengan ISLAM,,Islam akan menang juga, dan sememangnya melaksanakan sunnah di akhir zaman ibarat menggenggam bara api. itulah yg dihadapi oleh TGHH....
Izuddin said…
Najib kata semua support dia. Even Sultan pun support dia. Sampai ke situ dia pi minta support....haha
Izuddin said…
Najib has lots of 'government' projects in mind, but he wants all these projects to make profits. He is running the country by making the rakyat pay.

I dont think it is his idea. He has no idea on running a country...haha.

Najib ni BETOI BENDOI and he is carrying out others' ideas. They will leave Najib when the ideas generate no more money.

Najib is not fit to be the PM.
Ahu said…
MAT SABU CAKAP XPA LKS CAKAP GITU SBB DIA BUKAN ISLAM. KALAULAH STATEMENT NI YG DIGUNA PAKAI, NABI SAW PUN DIORG BOLEH CACI SBBNYE PUAK2 NI BUKAN ISLAM..PEMIKIRAN SEJENGKAL PUNYA STATEMENT..
Izuddin said…
Ko pi jual nasidagang lagi baguih
Unknown said…
Mr. Khalid Samad, from this post, i can tell you are a wise politician. I thank you for your moderation view in all aspects of this country and stay faithful to your faith as a Muslim. I would not vote for PAS, but i would vote for the one who lead the party.
Unknown said…
Rakyat Malaysia memerlukan suatu PERKONGSIAN KUASA yg bersikap sederhana dan tdk mengabaikan bahawa memaksakan kehendak majoriti ke atas manoriti dalam soal kepercayaan,dsbnya akan menyebabkan akan berlaku kepincangan dalam nilai luhur bahawa kebebasan yang perlu seseorg itu miliki.

Saling menghargai adalah kunci kebersamaan.
Kita perlu melihat kpd apa yg telah berlaku di dunia luar bahawa ketaksuban tentang agama menyebabkan berlakunya saling bertelingkah dan berbunuhan yakni menggantikan PENCIPTA utk menamatkan riwayat seseorg. Apa yg dilakukan oleh IS amat kejam dan di luar kewarasan dgn bertopengkan agama.

Persoalannya ialah ada pilihan bagi seseorg sejauh ia tdk menyalahi undang - undang dan perlembagaan negara.Dan setiap kita akan akhirnya berhadapan dgn PENCIPTA bahawa kita layakkah ke Sorga atau Neraka ? Jadi kita perlu menghormati kepercayaan masing - masing dan tdk memaksakan kepercayaan kita pada org lain. Kita boleh berbincang bagi menyatakan kepercayaan kita tapi ianya bukan menarik dan membuat seseorg itu menjadi sealiran dgn kita. Ia ada pilihan dan ada tanggapan sendiri. Pun asasnya adalah kerukunan kita bersama sebagai warganegara yg berdaulat perlu diperkokohkan.

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-