Skip to main content

POTA: Di Antara Hak Dituduh Pengganas dan Hak Rakyat

Ada yang masih keliru mengapa Ahli Parlimen PR membantah POTA (Prevention of Terrorism Act) dengan begitu gigih sekali sehingga melakukan belah-bahagi di setiap peringkat sehingga jam 2.30 pagi. Ini dilakukan walaupun kami tahu bahawa kami akan kalah apabila dilakukan belah-bahagi. Sebenarnya, kami melakukannya demi membantah undang-undang zalim sampai ke tahap maksimum, sehingga tiada lagi yang mampu kami lakukan untuk menzahirkan bantahan. Saya telah menjelaskan proses belah-bagi yang telah dijalankan di dalam artikel saya sebelum ini yang bertajuk: Perbahasan dan Bantahan Terhadap POTA di Parlimen Pada 6 April 2015.

Apabila kami lakukan itu, ada pula yang menuduh kami sebagai Ahli Parlimen yang ingin mempertahankan ‘hak pengganas’ sambil mengabaikan ‘hak masyarakat dan rakyat umum’. Hakikatnya kami sememangnya ingin membenteras dan memeranjakan pengganas tetapi pada masa yang sama kami ingin menjamin bahawa undang-undang yang digubal akan menjamin hak yang tertuduh akan turut dibela. Mengimbangi kedua-dua hak ini, tanpa mencabuli salah satu darinya adalah sebahagian dari tugas Ahli Parlimen. Ini adalah untuk menentukan tiada yang tidak bersalah akan turut dihukum atas sebab kelemahan undang-undang yang digubal. Adakah semestinya hak individu tertuduh dicabuli untuk menjamin hak masyarakat awam? Kami yakin tidak.

Untuk mencapai matlamat keadilan untuk semua ini, beberapa prinsip keadilan perlu dipertahankan apabila sesuatu undang-undang digubal. Di antaranya adalah hak membela diri di mahkamah terbuka dan tiada penahanan tanpa perbicaraan. Itulah juga sebab mengapa undang-undang ISA terdahulu telah ditolak tempoh hari.

PROSES ‘PENGADILAN’ DI BAWAH POTA
Di bawah POTA, tiada perbicaraan. Hakim atau Majistret ‘dikembirikan’. Mereka tidak boleh membicarakan kes yang dibawa di depannya bawah POTA tetapi hanya sekadar meluluskan permohonan Polis untuk mereman yang tertuduh.

Apabila seseorang tertuduh dibawa dihadapan majistret, maka majistret “hendaklah” membenarkan Polis meremannya selama 21 hari, pada peringkat pertama; iaitu setelah pegawai polis mengemukakan pernyataan bertulis bahawa polis mempunyai sebab untuk mensyaki tertuduh terlibat dengan kegiatan keganasan.

Selepas selesai tempoh 21 hari, tertuduh dibawa pula ke hadapan seorang Majistret sekali lagi dan sekali lagi Majister “hendaklah” membenarkan Polis meremannya selama 38 hari lagi; iaitu setelah pegawai polis mengemukakan pernyataan bertulis bahawa polis mempunyai sebab untuk mensyaki tertuduh terlibat dengan kegiatan keganasan.

‘Pernyataan bertulis’ tersebut adalah hujjah muktamad, tidak boleh diminta bukti atau penjelasan dan yang tertuduh langsung tidak diberi peluang membela diri. Hakim tidak boleh tanya bukti apa yang dimiliki polis dan sejauh mana tersabit kesalahan tertuduh.

Terdapat juga Ahli Palimen yang cuba membuat lawak jenaka dengan pada awalnya terdapat Ahli Parlimen UMNO yang begitu lantang medakwa bahawa tertuduh ‘dibicarakan’ dan dakwaan ‘tahanan tanpa bicara’ adalah fitnah semata-mata. Tetapi apabila akhirnya terbukti ianya sebaliknya, Ahli Parlimen tersebut tetap menyokongnya! Dasar Ahli Parlimen UMNO sokongan mutlak terhadap pimpinan UMNO walaupun melanggari prinsip keadilan!

PEGAWAI PENYIASAT DAN LEMBAGA PENCEGAH KEGANASAN
Dalam tempoh reman ini, tertuduh akan disiasat oleh seorang pegawai penyiasat yang dilantik oleh Menteri. Pegawai penyiasat ini boleh dilantik Menteri berdasarkan ‘nama atau jawatan’ dan tidak boleh merupakan seorang pegawai polis. Itu sahaja kelayakan yang diperlukan untuk dilantik sebagai seorang pegawai penyiasat sedangkan peranannya untuk menentukan nasib seseorang tertuduh adalah begitu penting.

Selepas 60 hari ini, tertuduh akan dibawa ke Lembaga Pencegahan Keganasan untuk diadili. Berdasarkan laporan dari Pegawai Penyiasat dan laporan yang disediakan pegawai polis, Lembaga menentukan samada tertuduh akan dibebaskan atau ditahan selama 2 tahun. Selepas tempoh 2 tahun ini berakhir, Lembaga boleh lanjutkan lagi untuk tempoh 2 tahun lagi dan proses ini akan berulang tanpa had.

Bagaimana proses sebegini mampu menjamin keadilan terhadap seorang tertuduh sedangkan dia tidak ada proses yang adil dan telus untuk membuktikan dirinya tidak bersalah? Tanpa adanya proses yang adil dan telus, sudah pasti semua bergantung kepada ‘keikhlasan’ pegawai penyiasat serta kebijaksanaannya, yang dilantik oleh Menteri, untuk melaporkan keadaan yang sebenarnya. Dalam erti kata lainnya, seseorang tertuduh boleh dengan mudah difitnah dan ditahan dan seterusnya terus ditahan untuk tempoh 2 tahun dan dilanjutkan 2 tahun lagi tanpa had.

MAKLUMAT BOLEH DIPEROLEHI DENGAN ‘APA CARA SEKALIPUN’
Yang lebih memeranjatkan lagi ialah kebenaran untuk mendapatkan maklumat dengan apa cara sekali pun termasuk melalui ugutan, paksaan atau penyeksaan (torture). Maklumat yang diperolehi walaupun melalui cara begini sekalipun, hendaklah diterima sebagai maklumat yang sahih dan benar.

Dalam rang undang-undang tersebut dinyatakan bahawa:-

“Pegawai Siasatan boleh, bagi maksud mana-mana siasatan di bawah Akta ini:

(a) mendapatkan dan menerima segala keterangan, dalam apa-apa bentuk dan sama ada keterangan itu boleh diterima atau tidak boleh diterima di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang sedang berkuat kuasa yang berhubungan dengan keterangan atau tatacara jenayah, yang difikirkannya perlu atau wajar; ”

Maka apabila disebut “boleh diterima atau tidak boleh diterima di bawah mana-mana undang undang...” ini bermaksud bahawa maklumat yang biasanya ditolak oleh mahkamah tetap akan diterima sebagai maklumat yang sahih dan muktamad. Ini termasuk maklumat yang diperolehi melalui ugutan, paksaan atau pun seksaan (torture) dan inilah yang ditentang sepenuhnya oleh kami pada pagi tersebut.

Pokoknya undang-undang ini direka dengan tujuan menjamin seseorang yang disyaki bersalah akan didapati bersalah, kecuali atas ehsan Pegawai Penyiasat dan Lembaga Pencegah Keganasan.

SIKAP AHLI PARLIMEN BN
Ahli Palimen BN biasanya akan menyokong apa jua yang dikemukakan oleh pihak eksekutif atau kerajaan. Kecuali ianya menjejas kedudukan mereka sebagai wakil rakyat. Akta dadah berbahaya yang dibentangkan yang ingin menyenarai Ketum sebagai dadah merbahaya ditentang mereka kerana mereka tahu ramai orang kampung di Kedah ada terdapat pokok Ketum di rumah mereka. Maka ini akan menimbulkan masalah bagi mereka, khususnya Ahli Parlimen Kedah dan mungkin juga Perlis.

Tetapi apabila mereka menganggap undang-undang ini tidak akan menjejas diri mereka atau sokongan rakyat terhadap mereka, maka mereka langsung tidak ingin mengambil tahu samada undang-undang tersebut adil atau sebaliknya. Kata-kata masyhur mereka adalah “biarkan mahkamah tentukan” atau dalam kes ini, Pegawai Penyiasat dan Lembaga Pencegah Keganasan. “Biar mereka buat kerja mereka...” kata mereka. Masalahnya, Ahli Parlimen pun kena buat kerja kita, iaitu menggubal undang-undang yang adil dan bukan sekadar membasuh tangan selepas meluluskan undang-undang dan menyerahkannya kepada pihak seterusnya untuk membuat kerja mereka. Sedangkan kita tidak buat kerja kita! Dan bagaimana pihak mahkamah ataupun mana-mana pihak yang lain mampu melaksanakan kerja mereka dengan baik sedangkan undang-undang yang digubal tidak memenuhi keperluan keadilan sepertimana sepatutnya?

KESIMPULAN
Penggubalan undang-undang adalah satu tugas yang penting dan merupakan amanah yang berat yang mesti ditunaikan dengan penuh perasaan bertanggung-jawab. Kalau tidak, kezaliman akan diinstitusikan. Ini akan berlaku walaupun undang-undang itu tidak disalah-gunakan dan hanya ditujukan terhadap yang disyaki sebagai pengganas. Ini adalah kerana undang-undang tersebut adalah dengan sendirinya tidak adil dan memungkin seseorang yang tidak bersalah didapati bersalah. Kalau dalam keadaan ianya tidak disalah-gunakan sekalipun ianya tidak mampu menjamin keadilan, maka apatah lagi sekiranya ianya sengaja disalah-gunakan terhadap orang-orang yang tidak terlibat dengan keganasan sama sekali tetapi difitnah sedemikian, seperti pimpinan pembangkang.

Prinsip tahanan tanpa bicara perlu ditolak oleh semua masyarakat yang bertamaddun. Begitu juga undang-undang yang membenarkan seksaan atau torture. Jika tidak maka kezaliman pasti akan terhasil.

Itulah sebabnya POTA ditentang sehingga jam 2.30 pagi. Demi membela hak tertuduh yang mesti dibuktikan kesalahannya sebelum ditahan dan demi menafikan kerajaan BN satu undang-undang yang mempunyai potensi untuk disalah-gunakan sepertimana ISA pada satu ketika dahulu.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-