Skip to main content

Ulasan Muktamar PAS Ke-60: Bahagian III

Hari ini saya akan menulis berhubung Muktamar PAS Pusat itu sendiri. Walaupun saya sudah menyentuh beberapa isu yang timbul di dalam Muktamar PAS Pusat dalam Bahagian Kedua dan Bahagian Pertama, iaitu semasa menyentuh Muktamar Dewan Pemuda, namun kali ini tulisan saya ditumpukan kepada isu yang timbul semasa Muktamar PAS Pusat semata-mata. Sememangnya ianya merupakan persoalan yang agak sukar untuk ditulis kerana terlalu banyak yang berlaku yang amat mendukacitakan. Saya tidak akan ceritakan mengikut berlakunya peristiwa tetapi sebaliknya dari sudut isu yang dibangkitkan.

Semestinya pandangan dan kesimpulan saya tidak akan dipersetujui oleh semua pihak. Malahan saya yakin akan ada yang akan menolaknya sambil menemplak saya tetapi sebagai salah seorang pimpinan Pusat, saya berkewajipan menyatakan pandangan saya dan menegur mana yang saya anggap tersalah. Dan sekiranya pandangan saya dianggap tidak betul, tidak wajar dan keterlaluan, maka semua tahu apa yang perlu dilakukan semasa pemilihan tahun depan. Sepertimana yang disebut wakil Selangor, “kalau tidak setuju dengan apa yang dilakukan oleh yang di atas sana (di atas pentas, iaitu AJK PAS Pusat) maka tahun hadapan jangan pilih mereka lagi”.

Namun selagimana rantai kepimpinan berada di leher saya, saya berkewajipan menyatakan yang haq walaupun ianya pahit dan boleh menyebabkan saya tidak lagi dipilih. Itu lebih mudah dari saya bertemu Allah dalam keadaan telah mendiamkan diri terhadap apa yang mampu merosakkan parti dan ahli.

UCAPAN PENANGGUHAN MENENGELAMI UCAPAN DASAR PRESIDEN
Bagi saya, perkara ini adalah di antara yang paling menyedihkan. Ucapan Dasar Presiden telah ditenggelamkan oleh ucapan penangguhan. Sedangkan Ucapan dasar Presiden adalah ucapan hala-tuju dan arahan tahunan yang disampaikan Presiden kepada seluruh anggota parti. Ia menggariskan tindakan yang perlu diambil secara jelas dan matlamat jangka pendek dan jangka panjang yang ingin dicapai. Malangnya Ucapan Dasar Presiden tahun ini tenggelam dengan apa yang telah disampaikan DS Presiden semasa ucapan penggulungannya. Sehingga anggota parti di semua peringkat bagaikan terpinga-pinga berhubung apa yang perlu mereka lakukan seterusnya selepas muktamar selesai. Persoalan samada PAS bersama dengan PR sepenuh hati atau sebaliknya menjadi soalan di bibir hampir semua ahli. Ini adalah kerana walaupun dalam Ucapan dasar dikatakan istiqamah bersama, tetapi di dalam ucapan penggulungan seolah-olah mempersoalkan kewajaran bersama dan bahayanya bersama.

Walaupun semua yang menyampaikan ucapan penggulungan telah menyeru ke arah perpaduan dan kesatuan, sambil menegaskan kesepaduan bersama PR, ucapan penggulungan Presiden telah merobohkan kembali kesemuanya itu sehingga akhirnya perwakilan kembali dari Muktamar dalam keadaan sama seperti apabila mereka datang. Segala keraguan terhadap kedudukan PAS dan PR, perpecahan dalaman PAS sendiri atas usaha adu-domba ‘golongan baru’ dan sebagainya, semuanya telah tidak diselesaikan dengan baik, malahan tidak diusahakan sesuatu penyelesaian pun.

Saya turut sedih kerana tindakan keterlaluan terhadap Timbalan Presider (TP) sendiri tidak ditegur oleh Presiden dan ini seolah-olah merupakan lampu hijau untuk ianya diteruskan oleh mereka yang menentang. Maka TP akan terpaksa harungi sendiri suasana ini sepertimana juga kami yang lain yang turut dijadikan sebagai sasaran mereka. Namun, insyaAllah akan mampu dengan bantuan Allah.

KEKHUATIRAN BAHAWA PARTI ISLAM MENJADI PARTI SEKULAR
Di antara yang paling kontroversi ialah tanggapan bahawa ada kemungkinan PAS akan menjadi sebuah parti sekular! Ini adalah di antara kekhuatiran yang disebut oleh DS Presiden sendiri di permulaan ucapan penggulungannya. Maka apabila DS Presiden sendiri menyebutnya, ahli bertanya, “mengapa DS Presiden menyebut persoalan ini? Adakah usaha ke arah itu dan sekiranya ada, siapa di sebaliknya?”

Saya sendiri tidak memahami mengapa secara tiba-tiba persoalan ini ditimbulkan DS Presiden sedangkan dalam mesyuarat PAS Pusat ianya tidak pernah disebut atau ditimbulkan. Adakah tiba-tiba DS Presiden beranggapan ada di kalangan pimpinan sendiri yang ingin menjadikan PAS parti sekular atas sebab perbezaan pandangan berhubung isu MB Selangor? Adakah oleh kerana ada yang beranggapan bahawa PAS perlu menyokong pencalonan DSWA sebagai MB maka DS Presiden terus beranggapan ianya sikap ‘sekular’? Sedangkan ianya merupakan pandangan dan adanya khilaf dalam persoalan hukum wanita menjadi pemimpin. Lebih-lebih lagi apabila disedari bahawa jawatan MB tidak memberikan seseorang itu kuasa ke atas tentera atau pun Polis serta banyak lagi aspek pemerintahan sesebuah Negara.

Sekiranya ada perbezaan pandangan dalam persoalan ini sekalipun, untuk menuduh bahawa PAS akan dijadikan parti sekular adalah bagi saya agak keterlaluan. Ini bererti bahawa sebahagian pimpinan dituduh berfahaman sekular dan saya rasa itu adalah tidak tepat mahu pun adil.

Saya tidak nampak wujudnya kelonggaran dari mana-mana pimpinan PAS dalam kommitmen mereka terhadap perjuangan Islam. Kalau dilihat kebanyakan pimpinan telah bersama PAS sejak tahun 80an lagi. Mereka telah bersama Almarhum TG Yusuf Rawa, Almarhum TG Ust Fadhil, TG Yahya Othman, TG Harun Taib dan sepanjang tempoh bersama mereka, tidak pernah mana-mana pimpinan dituduh mempunyai kecenderungan untuk menjadi sekular. Sudah pasti kalau mereka inginkan perjuangan sekular, PAS tidak menjadi pilihan mereka.

Atau adakah yang dimaksudkan adalah ketidak-mampuan PAS untuk melepaskan dirinya dari terikut-ikut agenda PKR dan DAP? Sekiranya ini yang dimaksudkan maka perlu pula ditanya agenda mana yang dibawa mereka yang PAS hanya sekadar terikut-ikut sehingga melanggari batas-batas syara’ dan menjadi bertambah sekular? Isu rasuah? Salah-guna kuasa? Ketidak bebasan mahkamah? Atau yang mana?

Dalam sesuatu Pakatan sudah pasti akan berlaku tolak ansur, sehingga akan ada yang kita perolehi sepenuhnya, ada yang kita perolehi hanya sebahagian dan akan ada juga yang kita tidak perolehi walaupun sedikit. Namun ia tidak bererti kita telah menjadi sekular sekiranya perkara yang tidak kita perolehi itu bukan sesuatu yang asas atau rukun. Sebagai contoh, kita tidak dapat kekalkan TSKI sebagai MB. Adakah ini bererti kita telah bertambah sekular? Islamis sangat ke TSKI? Ahli PAS pun bukan!

Sekiranya ianya dikhuatiri berlaku atas sebab tidak mampu melawan pengaruh PKR dan DAP, maka ini merupakan pengakuan akan kelemahan kepimpinan itu sendiri. Dan ini saya yakin adalah tidak benar kerana sepanjang keterlibatan PAS dalam PR, imej dan pendirian PAS sebagai sebuah parti Islam telah dapat kita pertahankan dengan baik. Kecuali sekiranya ada yang terpengaruh dengan pandangan UMNO/BN!

Pada masa yang sama perlu juga difahami bahawa ianya tidak semudah itu untuk merobah asas sesuatu parti. Perlembagaannya perlu ditukar. Muktamar perlu meluluskan pindaan yang ingin dibawa dengan majoriti melebihi 2/3. Dalam erti-kata lain ianya hanya mampu dilakukan dengan persetujuan hampir keseluruhan perwakilan dan ahli PAS. Bukan sekadar pemimpin tertentu sekiranya ada. Adakah ahli dan perwakilan telah juga menjadi semakin sekular? Saya yakin tidak!

SOAL ‘BARUA DAN BROKER’
DS Presiden juga malangnya telah menyebut soal “Barua dan Broker”. Saya rasa yakin ianya disebut dalam konteks andaian ada usaha ingin jadikan PAS sebuah parti sekular dan juga kerjasama PAS dengan PR, khususnya dengan PKR. Tuduhan DS Presiden bahawa adanya ‘Barua dan Broker’ (bagi pihak PKR khususnya) dalam PAS adalah tuduhan yang amat berat. Ianya dikaitkan dengan persoalan dua ADUN PAS yang telah menanda-tangani ‘Statutory Declaration’ menyokong DSWA sebagai calon untuk MB Selangor. Tuduhan ini di antara sebab mengapa Tamrin Ghaffar keluar PAS. Beliau tidak sanggup melihat seorang pemimpin Islam membuat tuduhan sedemikian rupa terhadap anak buahnya sendiri.

Siasatan yang telah dijalankan oleh SUA selepas Muktamar mendedahkan bahawa kesemua pimpinan yang dihubungi kedua-dua ADUN telah menasihati mereka untuk tunggu sehingga 17 Ogos sebelum bertindak. Namun oleh kerana TSKI telah dipecat dari PKR pada 9 Ogos, kedua-dua mereka berkeyakinan bahawa TSKI akan membubarkan DUN sebelum 17 Ogos. Ini adalah kerana pada ketika itu status sokongan terhadap TSKI adalah 28 menyokong dan 28 menolak.

Walaupun pimpinan PAS merasa yakin bahawa DUN tidak akan dibubarkan, namun dua ADUN berkenaan berkeyakinan sebaliknya. Mereka berpendirian bahawa kemungkinan itu wujud dan oleh itu ianya wajib dihalang secara muktamad dengan memberi sokongan majoriti secara jelas kepada pihak selain TSKI. Dengan adanya majoriti jelas di pihak lain, maka DUN tidak perlu dibubarkan (rujuk kes Perak). Pada masa sama, apabila dibuktikan TSKI tidak lagi mempunyai sokongan majoriti, maka TSKI akan terpaksa letak jawatan. Dan inilah apa yang telah berlaku sebaik sahaja 30 SD dimaklumkan kepada Istana. Esoknya TSKI menyerahkan surat perletakan jawatan kepada DYMM Sultan Selangor.

YB Shaari pernah sebut bahawa dia menyokong DSWA untuk membuktikan TSKI tidak lagi mempunyai sokongan majoriti sepertimana didakwanya. Dengan itu TSKI akan terpaksa letak jawatan. Pada masa yang sama, DUN tidak perlu dibubarkan. Segala perbezaan pandangan antara PAS, DAP dan PKR boleh diurus selepas perletakan jawatan TSKI, di bawah naungan kerajaan PR, bukan kerajaan TSKI.

Maka bagi saya terbukti bahawa tiada ‘Barua dan Broker’ PKR yang wujud dalam PAS. Dua ADUN berkenaan tidak ‘dibeli’ tetapi sebaliknya bertindak atas keyakinan mereka. Walaupun saya tidak setuju sepenuhnya dengan tindakan mereka, namun hakikatnya mereka tidak dibeli dan tidak juga bertindak atas niat mengkhianati PAS. Malangnya tanpa disengajakan, mungkin, tindakan mereka telah menyebabkan PAS kehilangan ‘bargaining chip’ dalam rundingan berhubung calon MB Selangor dan ini yang menyebabkan DS Presiden marah dan kecewa. Dengan adanya 30 Statutory Declaration menyokong DSWA, maka pandangan dan pilihan PAS dengan sendirinya menjadi tidak releven. Itu yang merupakan sebab mengapa tindakan disiplin diambil ke atas mereka.

Walaubagaimanapun, tuduhan ‘dibeli’, ‘broker’ dan ‘barua’ adalah tidak berasas dan tidak sepatutnya disebut. Bagi saya, kata-kata DS Presiden ini telah lebih mencederakan imej DS Presiden sendiri di kaca mata masyarakat. Sedangkan yang dituduh sedemikian tidak terjejas walaupun sedikit.

SOAL PERLEMBAGAAN: KUASA VETO PRESIDEN
Satu lagi isu yang hangat dibahas adalah berhubung kuasa veto Presiden, samada ianya wujud atau sebaliknya mengikut perlembagaan PAS. Bila membahas isu ini saya teringat perbahasan mengenai Royalti Minyak. Masing-masing membawa tafsiran masing-masing. Sedangkan yang menggubal Akta Petroleum masih ada dan telah menyatakan dengan jelas bahawa Royalti itu wajib dibayar. Untuk mendapat tafsiran yang tepat kita perlu rujuk kepada apa yang diinginkan apabila sesuatu Akta atau peraturan itu digubal.

Begitu juga dengan perlembagaan PAS. Ianya telah melalui beberapa pindaan dalam persoalan kuasa Presiden. Sebab mengapa ianya dipinda pun ada diperjelaskan dan nota serta rekodnya masih wujud. Mereka yang terlibat membuat pindaan berkenaan pun masih ada.

Oleh itu saya hanya mampu tersenyum apabila perbahasan ini merujuk kepada berbagai-bagai rujukan, termasuk apa yang pernah berlaku pada zaman Khulafa Ar-Rasyidiin. Sebenarnya bukan itu persoalannya. Soalannya bukan samada ketua boleh buat keputusan sendiri dan menolak keputusan syura mengikut peraturan Islam. Kita semua tahu ianya pernah berlaku pada zaman Nabi dan Khulafa ar-Rasyidin dan oleh itu hukumnya adalah harus. Tetapi persoalannya ialah semasa PAS menggubalkan perlembagaannya, di antara beberapa kaedah yang harus atau dibenarkan, kaedah yang mana satu telah PAS pilih untuk organisasinya?

Untuk menjawab soalan itu kita perlu memahami bahawa PAS telah baru sahaja melepaskan dirinya dari kepimpinan Almarhum Dato Asri Muda apabila perlembagaannya dipinda. Dato Asri sememangnya telah banyak berjasa kepada PAS dan perjuangan Islam yang dibawa PAS. Akan tetapi beliau telah terlalu lama berkuasa sehingga banyak keputusan tidak disyurakan dengan AJK PAS Pusat sendiri. Sebagai Presiden beliau terlalu kerap menggunakan ‘kuasa veto’ dan memutuskan sesuatu bersama rakan-rakan pilihannya. Oleh itu, apabila beliau dijatuhkan, perlembagaan parti dipinda.

Di antara matlamat di sebalik pindaan adalah untuk menentukan amalan syura dihayati dan pemusatan kuasa ditangan Presiden dihapuskan. Oleh itu perlembagaan PAS sekarang ini merujuk kepada peranan Presiden sebagai sebahagian dari ‘AJK PAS Pusat’. Ini tidak menafikan kemungkinan AJK PAS Pusat boleh memberikan Presiden hak untuk menentukan sesuatu mengikut pandangannya, walaupun tidak dipersetujui oleh majoriti AJK PAS Pusat. Mungkin ada isu yang mereka boleh beri laluan kepada Presiden untuk mengikut pandangannya sekiranya dituntut oleh Presiden. Tetapi hakikatnya perlembagaan PAS sememangnya bertujuan untuk menentukan amalan syura dihayati dan dikuatkuasakan secara umumnya.

Dalam soal ini saya yakin bahawa DS Presiden mampu berhujjah sehingga meyakinkan seluruh AJK PAS Pusat mengenai ketepatan pendiriannya. Dalam banyak hal sememangnya ada keselarasan dan kesamaan pandangan, kerana telah lama bersama. Dalam soal TSKI sekalipun, saya berpandangan bahawa keputusan sepakat telah dicapai pada 17 Ogos tetapi telah menjadi bercelaru selepas itu atas sebab-sebab yang hanya diketahui DS Presiden sendiri.

MSU BERKUASA UNTUK MEMBATALKAN TAHALUF SIYAASI?
Satu lagi isu yang perlu diperjelaskan ialah kuasa dan peranan MSU dan samada MSU boleh dengan sendirinya memutuskan supaya amalan tahalluf siyasi dibatalkan. Ini perlu diperjelaskan supaya tidak akan timbul masalah pada masa-masa akan datang.

MSU berperanan sebagai badan tafwidi, pentafsir nas dan dalil, untuk membimbing PAS dalam perjuangan yang didukunginya. Sebagai contoh soal muslimat menjadi calon, apa hukumnya. Begitu juga tahaluf siyaasi, apa hukumnya dan sebagainya.

Namun apabila hukumnya telah ditetapkan, maka persoalan perlaksanaannya adalah terserah kepada AJK PAS Pusat yang bersifat sebagai badan tanfizi dalam PAS. Ini telah saya jelaskan berdasarkan kertas AJK PAS Pusat tahun 2005 yang saya poskan di blog saya dahulu yang bertajuk: Peranan Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat.

Masing-masing ada peranannya. Oleh itu, samada hendak meletakkan calon muslimat atau tidak, di mana dan berapa ramai adalah pilihan AJK PAS Pusat tertakluk kepada panduan yang telah ditetapkan MSU.

Begitu juga dengan persoalan tahaluf siayaasi. Apabila telah ditentukan ianya harus, tertakluk kepada syarat tertentu, maka AJK PAS Pusat adalah badan yang menentukan samada ianya perlu diamalkan atau pun tidak, rugi atau untung dan sebagainya. AJK PAS Pusat sebagai badan tanfizi lebih memahami samada strategi tahaluf siyaasi ini menguntungkan atau merugikan PAS dalam usaha perjuangannya. Namun ianya perlu juga mendapat persetujuan pimpinan pertengahan, iaitu pimpinan peringkat kawasan, dalam muktamar melalui meluluskan Ucapan Dasar Presiden. Presiden sebagai ketua badan tanfizi ini, menyampaikan apa yang telah dipersetujui bersama untuk kelulusan muktamar.

Keadaannya boleh disamakan dengan Panglima perang yang berada di medan perang. Sudah pasti Panglima perang lebih tahu apa yang menguntungkan atau merugikan dalam sesuatu pertempuran berbanding Mufti dan golongan ilmuan yang berada di pusat pentadbiran. Berpandukan hukum yang telah dijelaskan dan syarat yang perlu dipatuhi, maka Panglima inilah yang akan membuat keputusan samada mara atau undur, bergabung atau berpecah, menyerang atau berkubu, ke atas bukit atau ke lembah dan sebagainya. AJK PAS Pusat adalah Panglima ini dan para perwakilan di Muktamar adalah pegawai-pegawainya.

Oleh itu keputusan untuk meneruskan atau menamatkan tahaluf siyaasi ini tidak terletak kepada MSU semata-mata. Sebaliknya, pandangan AJK PAS Pusat dan Muktamar adalah lebih awla.

MATI DENGAN ISLAM BUKAN DENGAN TG HADI AWANG!
Kenyataan ini dibuat oleh DS Presiden sendiri dalam ucapan penggulungannya. DS Presiden membaca ayat 102 Surah Al-Imran dan menekankan bahagian ayat “wa laa tamuutunna illa wa antum Muslimuun”, yang bermaksud “dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan kamu Muslim (tunduk menyerah diri hanya pada Allah)”. Mungkin ianya teguran sinis terhadap golongan yang sering mengulangi kata-kata memuji dan menyokong dirinya. Walau apa pun, ianya kenyataan yang amat sangat bermakna bagi diri saya secara peribadi.

Saya sendiri bersama PAS bukan kerana mana-mana individu. Saya bersama PAS kerana ianya parti yang ingin memperjuangkan Islam. Sebagai sebuah parti Islam, maka parti ini tidak mendewa-dewakan mana-mana individu atau kumpulan. Parti ini mendewa hanya Allah dan mengikuti Rasulullah (SAW) yang menunjukkan cara pendewaan itu perlu dilakukan. Dan inilah yang saya pegang dari dulu hingga ke hari ini.

Oleh itu saya akan terus berperanan, memberi teguran dan pandangan, mengikut kemampuan dan kefahaman saya, mengenai apa yang terbaik bagi perjuangan Islam dan PAS yang mendukungnya. Dan saya yakin ini lah sebab mengapa saya telah dipilih pada 2011 dan 2013 untuk menjadi salah seorang AJK PAS Pusat. Bukan untuk menjadi pengangguk atau pengampu kepada mana-mana orang atau kumpulan.

Samada teguran dan pandangan ini dipersetujui atau pun ditolak, itu terpulang kepada pernilaian masing-masing. Namun sekiranya ianya diterima, biarlah kerana ianya dianggap tepat dan sekiranya ianya ditolak, biarlah atas sebab ianya dianggap tidak tepat. Bukan diterima atau ditolak kerana ianya dari saya.

KESIMPULAN
Bahagian ini adalah yang paling sukar untuk saya tuliskan. Ramai akan mengatakan ianya kritikan terhadap pimpinan dan berniat jahat. Ketahuilah, yang berniat jahat biasanya bukan yang menegur dan mengkritik kamu secara berdepan. Yang berniat jahat, biasanya memuji kamu semasa berdepan tetapi mengutuk dan mengecam kamu semasa di belakang, kerana yang menegur secara berdepan masih boleh dibincang dan dibahas isu yang dibawa. Yang mengutuk kamu dari belakang tidak memberi kamu peluang mempertahankan diri. Bagaikan pisau pengecut yang menikam kamu dari belakang sambil kamu tidak mengetahuinya.

Semoga tulisan dan teguran saya ini bermanfaat dan sekiranya terserlah kelemahan, sama-sama kita perbaikinya bersama.

Yang benar adalah dari Allah dan yang silap adalah dari diri saya sendiri.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

boboyot said…
yerzzaaa.. YB always right... org lain sume salah.. xde yg betol pon pada org laen.. saya syorkan YB keluar PAS, join PKR.. konpem anwar sayang kat YB.. Ada can bertanding jawatan timb presiden tu.. jawatan presiden xleh bertanding coz jawatan tu dah dicop oleh.....
Asrul Sani said…
Fully agreed. Sungguh memalukan apabila Presiden sebuah parti Islam berucap di muktamar macam orang hilang akal dan mengeluarkan istilah buruk terhadap anak buah sendiri yang hanya berselisih pendekatan saja. Di manakah akhlak seorang pemimpin Islam...persis blogger papagomo saja.
4G said…
satu ulasan yg kmprehensif dan selari dgn fikrah dan apa yg ana pun faham..tahniah yb khalid teruskan perjuangan mu ana senantiasa mendoakan semuga peranan dan tanggungjawab anta sebagai JKP akan terus mantap dan berani menegur setiap benda yg tersasar sekalipun di lakukan oleh no 1..
Unknown said…
r u stupid or something?yb Khalid awal2 dah bagitau..dia hanya menyuarakan pendapat dia..xyah la nak mencemuh..buruk nampak perangai ko tu
Unknown said…
err xyah la kata sampai hilang akal..manusia xkan lari drp membuat silap..kalau ko rasa tgha salah tegur elok2 mcm yb Khalid buat..org lain yg baca dpt menerima dgn senang
zarra said…
Satu ulasan dan pandangan yang jelas. Atas prinsip "addeen nun nassihah", berkata benar biarpun pahit sekalipun kepada pemerintah zalim! Shocked when a president of an Islamist party bercakap dengan kata2 kesat-nista yang menuduh rakan2 seperjuangan barua, broket dsbnya... Your sincerity in bringing up .... sesuatu yang dibanggakan. Jelas, YB bukan daripada kelompak yang memuji melangit! Keep it up YB.

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-