Skip to main content

Ulasan Muktamar PAS Ke-60: Bahagian I

Saya sebenarnya menunggu untuk pimpinan membuat teguran atau ulasan berhubung apa yang telah berlangsung sepanjang muktamar PAS yang ke-60 di Johor tempoh hari. Sebagai seorang yang telah bersama PAS semenjak tahun 1983, dan mengikuti muktamarnya setiap tahun, samada di Kelantan, Kedah, Selangor atau pun di Wilayah, saya melihat muktamar ini jauh berbeza dari muktamar yang lain. Saya menunggu dengan penuh harapan bahawa akan ada pimpinan yang akan ke hadapan untuk memperbetulkan segala kekalutan yang telah berlaku sepanjang muktamar tersebut. Malangnya kelihatan seolah-olah tiada yang merasakan ianya perlu atau sanggup melakukannya.

Pada semua muktamar yang berlangsung sebelum ini, ahli dan pimpinan mengakhiri muktamar dengan diwujudkan kata sepakat dan perasaan penuh ukhuwwah sambil berkongsi akan satu wawasan dan hala-tuju yang jelas untuk dilaksanakan seterusnya. Kali ini muktamar telah berakhir dalam keadaan yang sepertimana ianya bermula tanpa adanya bertambah perasaan ukhuwwah sesama sendiri atau wawasan hala tuju yang jelas. Oleh itu apa yang berlaku sebelum muktamar terus berlaku, amalan label-melabel, tuduh menuduh serta serang menyerang di antara ahli dan juga antara parti komponen PR.

Mahu tidak mahu ini merupakan bukti kelemahan pimpinan parti yang telah tidak berjaya untuk menangani masalah ini dengan cara yang sebaik mungkin. Maka hasil dari muktamar adalah tidak sepertimana yang diharapkan. Kita tidak mengakhiri muktamar dalam keadaan bertambah kukuh dan bersatu tetapi sebaliknya, ianya adalah ‘back to square one’ atau kembali kepada keadaan seperti yang asalnya ia itu seperti sebelum muktamar. Malahan mungkin tidak salah kalau saya katakan lebih parah dari sebelumnya.

Sebelum saya mengulas mengenai apa yang telah berlaku pada Muktamar PAS itu sendiri, izinkan saya mengulas dulu apa yang saya lihat dan dengar di muktamar Dewan Ulama PAS Pusat terlebih dahulu. Sebenarnya saya bersama YB Hanipa Maidin dan Tn. Hj. Razman, Pesuruhjaya PAS Perak telah ditugaskan sebagai pemerhati PAS Pusat di Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat yang telah berlangsung sehari sebelum Muktamar PAS Pusat.

MUKTAMAR DEWAN ULAMA PAS PUSAT

Semasa saya di muktamar Dewan Ulama PAS Pusat, ada banyak yang telah dinyatakan oleh perwakilan dan pimpinan. Banyak yang saya terima dengan hati terbuka dan bersetuju dengannya sepenuhnya. Hanya terdapat dua perkara yang telah timbul dalam perbahasan dan penggulungan yang tidak pula saya berpeluang bersuara kerana saya hanya pemerhati. Saya mengharapkan ianya disentuh oleh yang lain tetapi malangnya tiada yang menyentuhnya.

“Kalau ada 10 peluru...”

Persoalan pertama adalah berhubung ucapan wakil dari Perak yang membawa apa yang didakwanya adalah kata-kata atau tulisan As-Syahid Dr Abdullah Azam, seorang pejuang yang telah gugur Syahid di bumi Afghanistan.

Mengikut wakil Perak tersebut, As-Syahid Dr Abdullah Azam telah berkata bahawa sekiranya kita ada sepuluh butir peluru, maka hendaklah kita gunakan sembilan untuk pengkhianat di dalam jemaah kita dan hanya satu untuk musuh di luar. Kata-kata ini sebenarnya amat memeranjatkan saya, kerana saya tidak pernah dengar ianya disebut oleh mana-mana wakil atau pimpinan gerakan Islam semasa saya berjumpa mereka samada di Malaysia atau di luar Negara.

Lebih lebih lagi ianya kata-kata yang mencambahkan syak dan sangka-buruk di kalangan ahli sesuatu jemaah dan, dari apa yang disebut, akan menyibukkan kita bertelagah sesama sendiri lebih dari berlawan dengan musuh kita. Sedangkan saya ditarbiyah dengan kefahaman bahawa gerakan Islam adalah gerakan mahabbah atau kasih sayang dan ukhuwwah atau persaudaraan. Dan mahabbah serta ukhuwwah ini perlu diwujudkan di kalangan rakyat dan masyarakat awam dan lebih-lebih lagi di kalangan ahli! Sekiranya di kalangan ahli pun kita tidak mampu menghasilkan perasaan saling berkasih sayang dan ukhuwwah dan sebaliknya asyik bertelagah serta bersangka buruk, maka apakah yang mampu kita tawarkan kepada masyarakat? Tidakkah jemaah ini ingin dijadikan contoh corak masyarakat yang ingin kita bangunkan dengan tersebar-luasnya perasaan ukhuwwah dan kasih sayang? Atau tidak dan sebaliknya ingin kita jadikan masyarakat kita masyarakat yang dipenuhi syak dan dzan serta permusuhan sesama sendiri?

Lagipun, kalau dengan ahli kita digalakkan bertembung, sembilan kali lebih kerap dari dengan yang di luar, apa maknanya kita menjadi ahli? Lojik dan pemikiran yang di bawa sangatlah songsang dan saya merasa hairan mengapa ianya tidak ditolak oleh perwakilan lain. Mungkin mereka terpegun dengan perwakilan tersebut yang terpekik dan terlolong sambil membawa hujjah yang entah dari mana petikannya diperolehi. Atau mungkin juga mereka malas nak layan pemikiran yang jelas songsang dan terpesong dari apa yang ingin kita perjuangkan.

Bagi saya Al-Quran adalah panduan muktamad dalam semua hal, sepertimana juga ianya panduan PAS dan ahli-ahli PAS. Dan di dalam Al-Quran telah jelas Allah berfirman:

“Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah bersaudara. Maka perbaikilah di antara sesama saudara kamu dan bertaqwalah kepada Allah semoga kamu menjadi golongan yang mendapat rahmat”. (Al-Hujurat 10)

“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kamu dari kebanyakkan dari Dzan (syak wa sangakn). Sesungguhnya sebahagian dari Dzan itu adalah dosa. Dan jangan kamu mengintip satu sama lain dan jangan kamu memburuk-burukkan satu sama lain. Adakah kamu ingin memakan daging saudara kamu yang telah mati?” (Al-Hujurat 12)


Bagi saya, perintah Allah yang menegaskan persaudaraan dan menjauhkan diri dari banyak melakukan Dzan jelas bercanggah dengan pendekatan memperbanyakkan Dzan dan bertempur dalaman yang dibawa oleh wakil Perak. Ayat dari surah Al-Hujurat ini adalah di antara tarbiyyah asas yang telah saya lalui dan oleh kerana perasaan ukhuwwah dan tidak bersangka buruk yang ditanam, maka walaupun berbalah dalam perbahasan sesama ahli, perasaan baik sangka dan ukhuwwah akan menjadi jambatan yang merapatkan kami kembali setiap kali.

Ini tidak bermakna bahawa tidak perlu berwaspada terhadap tipu-helah dan penyerapan musuh. Sememangnya musuh sentiasa berusaha untuk menggagalkan perjuangan yang dibawa PAS. Tetapi waspada ini tidak boleh menjadi alasan untuk menyemarakan Dzan dan memutuskan ukhuwwah di kalangan ahli. Kalau ada yang dilihat tidak kena, maka adalah digalakkan supaya terus bertanya mengapa dan kenapa dari membuat bermacam-macam andaian buruk dan menyebarkannya sehingga amalan tersebut akhirnya tiada beza dengan amalan “memakan daging saudara kamu yang telah mati”.

“Label-melabel adalah Sunnah”

Ini juga kata-kata yang membinggungkan! Hujjahnya dibawa dari kisah Hatib yang membocorkan rahsia persiapan ketenteraan Rasulullh (SAW) untuk melakukan fathul Mekah. Maka apabila tindakan khianat ini terbukti dan Hatib dibawa berhadapan dengan para sahabat, Saidina Umar dengan marah menggelar Hatib seorang munafiq. Maka dari peristiwa itu ianya disimpulkan bahawa amalan label-melabel adalah ‘sunnah’. Turut dikemukakan sebagai hujjah adalah ayat-ayat Allah yang mengisahkan mengenai wujudnya golongan munafiq, fasik, kafir dan sebagainya.

Pada mulanya perlu disebut bahawa ayat-ayat Allah merupakan pengajaran untuk seluruh manusia akan wujudnya golongan sebegini supaya semua pihak mengambil iktibar dan menjauhkan diri dari sifat terkutuk yang dimiliki golongan ini. Ianya bukan alasan untuk melabel mana-mana kumpulan atau individu dengan sewenang-wenangnya sehingga mewujudkan kelompok dalam jemaah yang akan saling bertelagah antara satu sama lain. Label yang bertujuan memecah-belahkan jemaah, seperti label Anwarinas, Liberal, parasit, Erdogan, UG dan sebagainya bukan datangnya dari Sunnah Rasulullah atau Al-Quran. Malahan perbuatan melabel yang memungkinkan anggota jemaah Islam saling bergaduh sama satu lain dengan dikelompokkan melalui gelaran tertentu memang ditolak oleh Rasulullah (SAW). Rasulullah (SAW) sentiasa berusaha mewujudkan perpaduan dengan adanya persefahaman dan semangat persaudaraan.

Seperti di atas, rujukan kita juga adalah Al-Quran. Dalam Surah Al-Hujurat sekali lagi Allah telah berfirman,

“Wahai orang-orang yang beriman, jangan satu kumpulan merendah-rendahkan satu kumpulan lain, mungkin mereka (yang ditertawakan) adalah lebih baik dari mereka (yang mentertawakan). Dan jangan sekumpulan wanita mengelakkan sekumpulan wanita yang lain, mungkin mereka (yang ditertawakan) adalah lebih baik dari mereka (yang mentertawakan). Dan jangan kamu mencari kesalahan antara kamu dan jangan menggelar satu sama lain dengan gelaran (menghina). Amat buruklah nama-nama menghina setelah beriman. Dan sesiapa yang tidak berhenti (melakukan amalan ini) maka sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang zalim..” (Al-Hujurat 11)


Saya tidak nampak di ayat ini alasan untuk mana-mana pihak menghina di antara satu sama lain dengan gelaran seperti yang disebutkan di atas. Malahan diberikan amaran oleh Allah supaya jangan bersikap sedemikian rupa kerana, silap-silap mereka yang kamu kutuk itu lebih baik dari kamu! Begitu juga dengan amalan gelaran yang menghina dan bertujuan memperlekehkan sehingga diperintah untuk dihentikan dengan amaran keras bahawa yang tidak menghentikannya adalah orang yang zalim!

Oleh itu, bagi saya yang kurang berilmu ini, saya tidak memahami dari mana datangnya tanggapan bahawa label-melabel ini adalah ‘Sunnah’.

Dalam kes Hatib, memang betul Umar mendakwa Hatib sebagai seorang munafiq mengikut Hadis riwayat imam Baihaqi. Tetapi ianya disebut Umar setelah terbukti Hatib membocorkan rahsia persiapan perang orang Islam kepada musuh mereka, iaitu orang-orang kafir Quraisy. Ini bermakna kalau seseorang itu terbukti bersalah dan dalam keadaan terbukti bersalah itu datangnya yang lain dan mengutuknya dengan mengatakan tindakannya adalah tindakan terkutuk dan oleh itu beliau digelar sebagai seorang munafiq, maka ianya dibenarkan. Sebagai contoh, seorang perompak yang telah merompak dengan menggunakan senjata dan mencederakan mangsanya, maka datanglah mangsanya dan mengatakan kepada perompak itu “awak munafiq”, tiada salahnya. Ianya dituju khusus pada orang yang terbukti bersalah atas kesalahan yang khusus yang dilakukannya. Tetapi untuk menyebar-luaskan amalan label-melabel terhadap orang-orang yang entah benar atau tidak memiliki sifat yang didakwa, itu cerita lain!

Sedangkan berdasarkan hadis riwayat imam Al-Bukhari, berhubung kes Hatib, Rasulullah (SAW) telah bersabda setelah Hatib memberi penjelasan, “fa laa taquuluu lahu illaa khairan” iaitu “maka jangan kamu katakan berhubungnya kecuali yang baik”. Saidina Umar menjawab “sesungguhnya Hatib telah khianat terhadap Allah, RasulNya dan orang-orang beriman! Serahkannya kepada ku saya penggalkan lehernya”. Maka Rasulullah menjawab, “Wahai Umar, tidakkah kamu ingat apa yang Allah telah tetapkan bagi ahli Badr” dan Baginda mengingatkan dengan berkata: “Lakukan apa yang kamu ingini, telah diwajibkan bagi kamu Al-Jannah” Dengan berlinang air mata Umar menjawab “Allah dan RasulNya lebih mengetahui”.

Dalam riwayat ini, tidak pula disebut bahawa Umar mengelar Hatib munafiq. Hanya keinginan Umar untuk memenggal leher Hatib kerana tindakan khianat yang dilakukannya. Itu pun Rasulullah (SAW) menghalang dengan mengingatkan kembali Umar akan hakikat Hatib seorang ahli Badr yang telah dijanjikan Syurga. Maka kebaikan dan pengorbanan seseorang diambil kira dalam menetapkan sikap terhadap dirinya. Dan sekiranya dalam usaha melakukan sesuatu, yang pada dasarnya baik, seperti melindungi ahli keluarganya dalam kes Hatib, dia terlajak dan tanpa disengajakan membuka pintu kemudaratan kepada jemaah, kebaikan dan pengorbanan lampau digunakan sebagai hujjah membelanya. Kerana bukan niat Hatib untuk mengkhianati ummat Islam dan ini telah Hatib jelaskan sebelum itu.

Maka gelaran, kalau ingin digelarkan sekalipun sesama kita harus yang baik, seperti ‘ahli Badr’, ‘As-Siddiq’, ‘Al-Faruq’, ‘Saifullah’ dan sebagainya. Kalau ada yang buruk, ianya terhadap penentang perjuangan yang dibawa yang jelas memusuhi seperti ‘Abu Jahal’, ‘Al-Kadzab’ dan sebagainya. Itu pun untuk menolak dakwaan yang memuji mereka. Abu Jahal dikenali sebagai ‘Abul hakam’ maka dijawab dengan gelaran Abu Jahal. Musailima pula mendakwa dirinya adalah seorang Rasul selepas Nabi Muhammad (SAW) maka digelar Al-Kadzab iaitu Si Penipu.

Setakat yang saya tahu, tidak ada gelaran menghina sesama para sahabat, sehingga Rasulullah (SAW) sendiri melarang Abdullah ibn Ubay dan pengikut-pengikutnya digelar secara terang-terangan sebagai ‘munafiq’, samada haraki atau sebaliknya. Dan senarai golongan munafiq yang Allah beritahu Rasulullah siapa mereka, dirahsiakan. Dan tawaddhu’nya para sahabat, dan begitu takut mereka terhadap sifat munafiq yang mungkin ada pada diri sendiri, sehingga Saidina Umar telah bertanya kepada Huzaifah yang menyimpan senarai nama munafiq bagi pihak Rasulullah, samada nama beliau turut tersenarai!

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Ano Nyme said…
Satu ulasan yang mantap dan jelas. Alhamdulillah!
Anonymous said…
Khalid Samad,

Ayat2 Al QUran yang tuan sebut memang jelas kebenaranya. Tidak ada syak terhadap kebenaranya walaupun sedikit. Tetapi ingin saya nyatakan kenapa ayat ini tuan tak gunakan untuk komuniti islam Malaysia tetapi hanya kepada PAS? 70-80% umat islam di Malaysia memihak kepada UMNO pada PRU 13 jadi kenapa tidak gunakan ayat dari surah Al Hujurat tadi untuk kesatuan seluruh umat Islam tetapi hanya gunakan untuk PAS dan Anwar Ibrahim? kemana kiblat saudara? Adekah Anwar Ibrahim dan PR telah menjadi tuhan baru mengantikan Allah swt?

Lagi satu saudara, jangan hanya pandai ambil ayat Al Quran secara separuh2. Al Quran harus diimani keseluruhanya. Berapa banyak ayat dalam Al QUran yang menjelaskan jangan mengambil wali atau penolong dikalangan kafir jika terdapat golongan muslim yang lain. Ke saudara buat2 tak nampak supaya dapat membenarkan agenda liberal saudara?

Umat islam sekarang tidak bodoh. Pasal tulah saudara dikecam hebat kerana hanya memandang kejayaan apabila dapat berjaya bersama PR tetapi x nampak kejayaan dalam kesatuan umat islam Malaysia dan sejagat. Melabel orang lain sgt x dibenarkan oleh islam, tetapi kadang2 sikap kemunafikan itu jelas terpancar dari diri saudara. adekah islam melarang orang yang jelas kemunafikanya dari didedahkan?

Imanilah keseluruhan Al Quran. Jangan hanya mengambil sesetengah ayat dan membuka Al Quran untuk hanya berbantah bantahan.

Jelas, kalau Al QUran itu diimani, saudara tidak akan terlolong tentang kesatuan Pakatan Rakyat, Kesatuan PAS, kesatuan UMNo, Kesatuan PKR atau apa2 kesatuan lagi melainkan saudara akan terang terangan memperjuangkan kesatuan umat islam. Dan jelas saudara tidak memperjuangkan ini. Jadi kitab apakah yyang saudara imani?
Anonymous said…
Saya tidak mengatakan yang saya lebih islam dari saudara. tetapi saya rasa cukuplah saudara bercakap mewakili islam kerana tidak ada umat islam yang mencintai agama islam setuju dengan apa yang saudara katakan melainkan pencinta liberal dan kebebasan dunia dan pencinta Anwar Ibrahim. Setiap kali saudara berkata2 pasti ramai yang sesat dengan ideologi liberal saudara yang melampaui batas. terima kasih.
Izuddin said…
Istilah anwaris datang dari melayu umno. penyokong pkr tidak pernah label diri mereka anwaris, malah mereka2 ini adalah melayu2 yang benci korapsi, kurapsi dalam keseluruhan organisasi umno dari pihak atasan sehingga bawahan
Unknown said…
70-80 peratus umat islam malaysia yang dinyatakan oleh tuan ikram reduzan tu fakta ke auta

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan