Skip to main content

Oktoberfest dan Pendirian Saya

Temuramah saya yang dibuat oleh ISMA berhubung isu Oktoberfest telah banyak menimbulkan kontroversi. Mungkin kerana ramai hanya membaca tajuk. Sepertimana biasa. Malas untuk membaca dan faham tetapi teringin sangat mengutuk. Lebih-lebih lagi bila yang memberi komen itu adalah diri saya. Malang sungguh nasib mereka ini. Tidak faham dan terus menceritakan mengikut selera mereka. Sampai ada yang mengatakan saya ‘sokong’ dan ucapkan tahniah. Biasalah. Kalau semua sudah faham, kurang pulalah kerja untuk saya!

NEGARA MAJMUK
Perenggan pertama ada disebut, penganjuran Oktoberfest ini tidak boleh dihalang kerana Malaysia adalah Negara Majmuk. Ada yang tanya pada saya, apa beza pendirian saya dengan UMNO? Sama sahaja, ujar mereka.

Bagi UMNO, bila dikatakan masyarakat majmuk ini bererti syariat Islam tidak boleh diguna-pakai. Bagi saya bila saya sebut masyarakat majmuk, maka kemajmukan itu perlu ditangani mengikut kehendak syariat Islam! Rasanya jauh berbezakan?

Mengikut syariat Islam, yang sememangnya direka Allah untuk masyarakat manusia yang bersifat majmuk, orang bukan Islam boleh hidup dengan aman di bawah pemerintahan Islam. Hak mereka tidak akan dicerobohi termasuk agama mereka. Mereka tidak akan dipaksa memeluk agama Islam dan mereka dibenarkan mengikut ajaran agama mereka dengan aman damai. Apa yang dibenarkan oleh agama mereka untuk dimakan minum, mereka akan terus dibenarkan makan dan minum. Maka mereka dibenarkan makan makanan yang haram bagi ummat Islam seperti daging khinzir, daging binatang yang tidak disembelih atas nama Allah dan sebagainya. Begitu juga dengan minuman mereka. Apa yang haram bagi ummat Islam tetapi halal mengikut agama mereka, mereka tidak akan dihalang meminumnya. Termasuklah beer dan wine yang merupakan minuman arak yang memabukkan.

SOAL ‘KETUANAN ISLAM’
Ada yang membantah kenyataan saya atas alasan ‘ketuanan Islam’, ‘Islam berkuasa’, ‘Islam agama persekutuan’ dan sebagainya. Saya cadangkan sekiranya ingin ikut kehendak Islam maka tangani persoalan ini mengikut ajaran Islam. Ikut syariat, bukan ikut emosi.

Kebebasan sebegini yang dijamin syariat Islam terhadap orang bukan Islam di bawah pemerintahannya adalah di antara bukti kebenaran dan keagungan Islam. Ianya juga merupakan bukti bahawa Islam mampu memerintah Negara yang bersifat majmuk.

‘Ketuanan Islam’, ‘Islam agama persekutuan’ dan sebagainya bukan merupakan alasan untuk ummat Islam untuk menyimpang dari syariat sehingga prinsip hormat kepada hak bukan Islam menjadi kabur. Ianya bukan alasan untuk menekan bukan Islam sehingga memaksa mereka mengikut kehendak orang Islam. Itu merupakan Islam chauvanis seperti yang diperjuangkan ISMA.

Hujjah sensitiviti dan sebagainya adalah persoalan yang boleh ditangani dalam keadaan hak bukan Islam terus dijamin. Ianya ditangani dengan dikenakan syarat tertentu ke atas penganjurnya seperti tidak dibenarkan orang Islam bersama, tidak diiklankan di kawasan dan akhbar kebiasaan orang Islam, dianjurkan di kawasan majoriti orang bukan Islam dan sebagainya.

MASALAH ARAK DAN PEMERINTAHAN ISLAM
Dalam soal arak di kalangan masyarakat bukan Islam yang duduk di bawah pemerintahan Islam, ianya merupakan persoalan yang telah wujud sejak dari dulu lagi dan ianya bukan perkara baru.

Sebagai contoh, dalam soal percukaian, para ulama’ berbahas samada cukai boleh dikenakan atas arak yang dimiliki dan diniagakan oleh orang bukan Islam yang hidup di bawah pemerintahan Islam. Ada mazhab yang mengatakan tidak boleh dan tidak perlu kerana ianya barangan haram. Ada juga mazhab yang mengatakan ianya harta rakyat bukan Islam dan oleh itu ianya boleh dikenakan cukai tetapi cukai yang dikutip dari sumber sebegini perlu diasingkan dari cukai dari sumber yang halal dan bersih. Dan ianya juga perlu digunakan hanya untuk perkara tertentu seperti pembinaan jalan dan kemudahan awam. Ia boleh juga digunakan untuk pembaik-pulihan rumah ibadat yang bukan Islam. Ia tidak boleh digunakan untuk membayar gaji dan sumbangan kepada ummat Islam.

Maka perbahasan ulama’ adalah berhubung samaada dibolehkan mengambil cukai atau tidak ke atas arak. Maka tidak timbul samada ianya dibenarkan untuk orang bukan Islam memilikinya, kerana semua faham ianya hak orang bukan Islam. Ianya makan minum mereka.

Mengambil dari prinsip itu, maka saya sebut bahawa program Oktoberfest yang dianjurkan untuk orang bukan Islam tidak boleh dihalang. Kerana Syariat Islam menjamin kebebasan beragama bagi mereka. Namun ianya tidak boleh dihadiri orang Islam dan dari sudut perlaksanaannya dan cara ianya diurus, pihak PBT perlu memantau dan mengawal. Ini telah juga saya sebutkan dalam interview berkenaan.

Pendirian Islam yang sebegini menjadikan Islam mampu memerintah dunia yang bersifat majmuk.

ISLAM AGAMA RAHMAT
Ada yang berhujjah bahawa arak ini sesuatu yang buruk. Keburukannya bukan sekadar untuk orang Islam, tetapi juga bagi yang bukan Islam. Oleh itu sebagai penganut agama yang membawa rahmat untuk semua, maka kita perlu melarangnya. Ini golongan orang yang menentukan hukum mengikut akal dan nafsu mereka.

Kalau ikut lojik sebegitu, rahmat yang terbesar adalah Islam maka adakah kita boleh selepas itu memaksa yang bukan Islam memeluk Islam? Atas sebab sayangnya kita terhadap semua manusia? Sudah pasti tidak!

Sememangnya Islam itu rahmat untuk semua dan antara rahmatnya ialah dasar menghormati hak penganut agama lain dan ini dipertahankan Islam. Namun tidak boleh berhujjah untuk menyelamatkan mereka dari bencana arak dengan menyeru kepada Islam atau paling kurang dari sudut kesihatan dan sebagainya. Tetapi bukan dengan paksaan dan menggunakan kuasa. Ini akan memberi gambaran bahawa Islam tidak menghormati hak mereka untuk mengikut agama mereka.

KISAH PENDEK
Saya ingin berkongsi cerita yang pernah saya dengar semasa saya sedang belajar di United Kingdom. Yang menceritakannya adalah seorang alim dari India. Dia menyebut bahawa apabila Islam membuka bumi India, pada mulanya pada zaman Abasiyyah melalui seorang general bernama Muhammad bin Kassim, maka ummat Islam bertemu dengan masyarakat Hindu. Bila ditanya kepada Muhammad bin Kassim berhubung kuil Hindu yang penuh dengan berhala, Muhammad bin Kassim jawab, kuil Hindu diberikan kedudukan sama seperti rumah ibadah ahlul kitab, iaitu tidak akan diroboh atau dicerobohi.

Pada masa yang sama, di dalam kawasan yang diperintah ummat Islam, mereka telah melihat berlakunya amalan suttee iaitu amalan di mana janda dibakar hidup-hidup bersama jenazah suaminya apabila suaminya meninggal. Dia mengisahkan satu peristiwa dua orang Islam yang berkuda sedang melihat seorang janda dibawa untuk dibakar bersama jenazah suaminya. Ahli keluarga wanita malang itu menangis kesedihan. Wanita itu pun kelihatan keliru dan sedih. Maka salah seorang dari orang Islam tersebut bertanya kepada rakannya, “tidakkah sepatutnya kita halang amalan ini?” Rakannya jawab, “ianya ajaran agama mereka. Kita tidak boleh campur.” (Kecuali sekiranya janda itu memeluk agama Islam). Maka jawab yang pertama tadi, “Alhamdulillah syukur kita kepada Allah yang telah menentu untuk kita agama Islam yang adil dan benar yang penuh dengan rahmat”.

Mengikut alim ini, melalui dasar tidak campur tangan dalam urusan agama lain, maka kebenaran Islam terserlah. Akhirnya amalan ‘suttee’ ini dikurangkan di kalangan masyarakat Hindu kerana terdapat wanita Hindu yang tidak ingin melakukannya. Sebahagian masyarakat Hindu memeluk Islam dan ada juga yang mengugut untuk memeluk agama Islam sekiranya terus dipaksa melakukannya.

Sedangkan sekiranya amalan itu dihentikan secara paksa oleh ummat Islam, maka para pemimpin Hindu akan menyeru masyarakat mereka bersatu menentang ummat Islam yang ingin merosakkan agama mereka. Dengan itu permusuhan akan terhasil dan penyebaran risalah dan dakwah Islam akan terbantut.

SELEPAS INI PESTA SEKS?
Ada juga yang berhujjah kalau begitu maka lain kali sekiranya orang bukan Islam inginkan pesta seks dan porno maka kita perlu benarkan juga? Saya ingin tanya, ada ke mana-mana agama yang membenarkan seks bebas dan porno? Setahu saya tiada. Kecuali bagi yang tidak beragama. Bagi yang tiada agama maka tidak perlulah dibawa berbincang kerana sudah pasti mereka tidak boleh menyatakan “agama saya membenarkan”. Mereka tiada agama maka hujjah itu tidak boleh diguna-pakai oleh mereka.

Satu lagi sumber perundangan Islam adalah kebiasaan atau adat/budaya. Sudah jelas bahawa kebiasaan atau adat/budaya yang wujud di Malaysia, termasuk bagi yang bukan Islam, seks bebas dan porno merupakan sesuatu yang dianggap jelek. Ianya bukan sesuatu kebiasaan. Oleh itu ia tidak boleh dijadikan hujjah dalam soal membenarkan orang bukan Islam meminum arak.

Hujjah itu adalah ‘Qias maal faariq’ atau qiasan yang tidak kena kerana tiada persamaan.

IKLAN BILLBOARD PALSU
Ada juga yang timbulkan, ya benar kata YB! Tetapi billboard yang ada di Shah Alam ni bagaimana?

Saya jawab, “ada ke billboard tu? Di mana?”

Hakikatnya MBSA sudah sebut tiada billboard sedemikian rupa yang telah diluluskan oleh MBSA. Hakikatnya sebelum ini tidak tahu mengenai program Oktoberfes. Dikatakan ianya telah diadakan di Subang pada 20 September. Ada yang tahu? Atau adakah yang hadir?

Kita tidak tahu kerana ianya tidak diiklankan di akhbar atau kawasan orang Islam. Ianya mungkin diiklankan di akhbar Cina, mungkin juga di akhbar Inggeris dan di tempat-tempat tertentu melalui media tertentu. Di papan tanda Masjid sudah pasti tiada. Utusan dan Berita Harian saya tidak tahulah sebab saya tidak baca, tapi rasanya tiada juga. Begitu juga di Sinar Harian. Maka, ummat Islam tidak tahu.

Masyarakat Islam hanya mula tahu apabila ISMA yang mengiklankan dan mempopularkannya. Sekira ISMA yang mengiklan dan mempopularkannya, maka adakah patut mempersalahkan orang bukan Islam? Yang ISMA sibuk sangat iklankan siapa suruh?

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

ibnmustaffa said…
Ade sedikit penghinaan pada saya yg membaca akhbar inggeris tiap2 hari. Jgn andai org Melayu tak Baca akhbar inggeris..
YB KHALID SAMAD kata pesta seks bukan amalan mana-mana agama kecuali mereka yang tidak beragama.

Persoalan, pesta arak amalan agama mana pula ya? Semua maklum Oktoberfest itu amalan warga Jerman yang tiada kaitan dengan ritual agama.

Mengapa dikatakan itu hak mereka sedangkan tiada kaitan dengan ritual agama berdasarkan contoh-contoh yang YB telah beri banyak menjurus kepada ritual agama lain. (contoh suthee)

Bezakan hak mereka untuk meminum arak dari membuat pesta arak secara besar-besaran.
KK said…
Sir, you are fair and respectful person. I hope there will be more of you that is able to see rational, logic and believe.

There is needs to take a step back and think. Be rational and make calls that valid and be respectful.
Anonymous said…
Saudara YB tidak lain seorang ahli politik yang sangat pandai bermain kata.

Beza UMNO dan anda satu sahaja. UMNO tak pandai nak sulamkan tindakan mereka dengan hujah-hujah agama sedangkan saudara YB pandai sekali menyulamnya dengan hujah agama untuk kelihatan Islamik. Itu sahaja.

YB berpusing-pusing dengan segala istilah, tetapi hakikatnya YB tiada beza langsung dengan UMNO, malah lebih teruk lagi. Kemunafikan YB juga terserlah kerana apabila UMNO buat, pihak politik YB kutuk habis-habis dan YB buat diam aje sedangkan apabila pihak YB menjadi pemerintah, pandai pula YB keluarkan macam-macam hujah.

Hujah-hujah yang YB kemukakan sepatutnya YB kemukakan dahulu apabila UMNO menjadi pemerintah kerana mereka juga kerajaan orang Islam yang menghadapi "MASALAH ARAK DAN PEMERINTAHAN ISLAM" dan juga mengamalkan "ISLAM AGAMA RAHMAT"

Tetapi nampaknya YB hanya keluar hujah bila pihak sendiri kena, sedangkan bila pihak lain yang berada dalam situasi yang sama, YB tidak pertahankan. Kalau masa UMNO kena dulu YB masih tak tau hujah-hujah ini, maka ini bermakna selama ini PAS berjuang dengan kejahilan. Sekiranya YB dah tau hujah ini, bermakna Pas berjuang dalam kemunafikan kerana menyembunyikan ilmu untuk menjatuhkan musuh politik.

Hujah YB tu pun bukanya baru. Tidak perlu mendakwa tindakan YB menurut syariat sedangkan orang lain tidak. Padahal, ramai orang pun tau akan hujah-hujah ini. Cuma mereka tak de la mendakwa tindakan mereka membenarkan arak pada non-Muslim adalah berdasarkan syariat.

Semakin hari, semakin banyak pekung YB didedahkan.

Yb kata tiada bilboard. Jadi saya cuma nak tau, sama ada YB dan MBSA bohong ataupun pihak Kosmo yang berbohong
Unknown said…
Maksiat secara terbuka dilarang di dalam islam. Ia boleh mempengaruhi bi'ah masyarakat. Apabila masyarakat melakukan maksiat tanpa segan silu, akan runtuhnya akhlak & perasaan malu. Perasaan malu/berdosa dengan maksiat yg dilakukan menjadikannya syarat pengampunan oleh ALlah. Apabila tiada rasa malu, bahkan berbangga, ia mungkin akan menjerumuskan kita dgn dosa besar.

Dari Abu Hurairah semoga Allah meridhainya, dia berkata: "Aku pernah mendengar Rasulallah Shalalahu 'alaihi wa sallam bersabda: "Semua umatku di ampuni kecuali orang-orang yang bangga atas dosanya, dan diantara bentuk membanggakan dosa adalah; seseorang yang melakukan perbuatan dosa diwaktu malam lalu di pagi harinya, dan Allah telah menutupinya, dia berkata: 'Ya fulan, saya semalam melakukan ini dan itu. Malam harinya dalam keadaan Allah ditutupi dosanya namun pada pagi harinya dia sendiri yang membuka aibnya". HR Bukhari dan Muslim.

Bagaimana dgn non muslim dalam hal maksiat yg dibenarkan disisi agama mereka (minum arak dll - tanpa merujuk kpd Octoberfest sbb x tau statusnya). Ia juga tidak dibenarkan dilakukan secara terbuka, tetapi dibenarkan secara tertutup.

Mazhab syafie :
- Muhazzab : Dan jika seseorang ahli zimmi melakukan jenayah, saya akan mempertimbangkan samada perkara jenayah adalah diharamkan oleh agamanya atau tidak. Jika ya, seperti pembunuhan, zina, sariqah (curi) dan qazaf, dia akan terbeban dengan hukuman sebagaimana hukuman orang Islam. Dan dalilnya sebagaimana diriwayatkan oleh Anas r.a. bahawa dua orang Yahudi telah membunuh seorang jariah lantaran merebut perhiasan, maka Rasulullah saw telah membunuhnya dengan dihimpit antara dua batu, dan diriwayatkan juga dari Ibnu Abbas bahawa Nabi telah dihadapkan dengan dua orang yang berzina sesudah pernikahan yang sah, maka Rasulullah saw memerintahkan keduanya untuk direjam, kerana ianya dilarang dalam agama mereka dan terikat dengan hukum-hakam Islam dengan akad zimmi maka diwajibkan ke atas mereka sebagaimana orang Islam. Kalaulah pegangan mereka membolehkan seperti arak, maka tidak wajib hudud ke atas mereka kerana mereka tidak berpegang dengan keharamannya maka tidak wajib ke atas mereka hukuman seperti kafir, maka jika mereka melakukan secara terbuka, dikenakan takzir kerana menzahirkan kemungkaran dalam Negara Islam, akan ditakzir kerananya. [Al-Muhazzab II : 256]

Mazhab Hambali
- Tidak dikenakan zimmi kerana minum arak, namun jika mabuk dikenakan hudud. Pendapatku jika mabuk dikenakan had, tapi sebaliknya tidak. [ Maharrar II : 163]

Mazhab Maliki
i. Malik berkata “Jika ahli kitab dijumpai minum arak atau melakukan zina, mereka dibiarkan (tanpa hukuman), kecuali mereka menzahirkannya maka mereka akan dihukum. [A-Mudawanatul Kubra 4:256]
ii. Jika orang kafir ditemui mabuk maka dibiarkan kecuali jika dizahirkan perbuatannya (minum arak secara terbuka). [ Al-Mudawwanah 4:256 ]

Sesuatu maksiat yg dilakukan secara terbuka, akan mempengaruhi bi'ah sesuatu masyarakat. Ini akan menjurus kpd penerapan ideologi secara unconscious, sudut pandangan & menjadikannya satu kebiasaan dlm masyarakat. Perkara ini boleh meruntuhkan akhlak sekaligus menjadikan kita masyarakat yg tidak peka dengan isu2 kemaksiatan yg terbuka.

secebis pandangan dari seorg penduduk malaysia.
Yg benar,
Dr Zulhusni
Anonymous said…
YB,

paku dulang paku serpih, kata orang dia yang lebih.

saya ternanti-nanti pembaharuan di Selangor apabila PAS menjadi sebahagian dari parti pemerintah Kerajaan negeri Selangor.

sedihnya apabila melihat adik-adik saya yang bekerja sebagai juruwang di 7 eleven di sekitar Selangor terpaksa memegang botol minuman arak. rupa-rupanya tiada perubahan pun. bezanya alasan YB berselindung syariat.

Syukurlah saya bukanlah orang yang percaya dengan teori tukar kerajaan segala yang buruk bertukar menjadi sebaliknya seperti yang biasa dimomokkan dalam kempen-kempen politik. syukur atas nikmat kehidupan dan islam yang Allah berikan.

Mudah-mudahan saya, keluarga saya, guru-guru saya, saudara-mara, sahabat handai, jiran tetangga dan seluruh kaum muslimin dan muslimat termasuk YB sentiasa menjadi hamba yang sentiasa muhasabah diri sendiri dan berada di dalam peliharaan dan rahmatNya.
Izuddin said…
Islam bukan IDEALOGI. Ia cara, dan tentunya cara yang baik, bukan utk hidupan ukrawi tapi duniawi.

Ia di rekomen kpd manusia dan tidak kepada haiwan.

Tapi 4 mazhab ini bercerita ttg idealogi yang mana ia sempurna dan diguna pakai di akhirat. kenyataan 4 mazhab ini tidak praktikal dalam menghayati realiti dunia.

Yang mereka cerita adalah JALAN2 BENAR, tapi tak semua manusia ikut KEBENARAN.

Apa yang sepatutnya ialah mereka berempat ini bercerita ialah cara2 bersemuka dgn keadaan semasa yang dok ada di dunia ini yang berliku liku dan tidak tetap.

Mereka berempat ni sepatutnya TURUN dan berjalan di muka bumi daripada terawang awang di langit.
Sheik said…
Apa yang haram bagi ummat Islam tetapi halal mengikut agama mereka, mereka tidak akan dihalang meminumnya. Termasuklah beer dan wine yang merupakan minuman arak yang memabukkan.


Ini para yg paling mengejutkan boleh ditulis oleh orang Islam yg terpelajar.

Follow tge scriptures of other religion. Sejak bila kitab bible menghalalkan arak? Di mana pula dlm ajaran Buddha dan Hindu menghalalkan arak.

Rasa nak lepuk kepala awak ni tapi salah pula kalau dilepuk.
Izuddin said…
Lepuk sajalah kepala awak kalau tak boleh lepuk kepala yb

Statement yb berlapik ‘tetapi halal mengikut agama mereka’

Betul lah tu. Ugama kamu utk ugama kamu, ugama kami utk ugama kami.

Bodoh betul lah awak ni…haha
Ridd said…
Kesalahan apa yang dia YB2 DAP tu buat. mereka orang ISLAM ke? Kalau kita ingin mereka hormat dengan budaya kita, Kita juga harus lah hormat budaya mereka.

Habis tu nak suruh mereka buat MAJLIS TAHLIL....!

Dia buat pesta di tempat terbuka ke? tengok dan perhatikan gambar tu dengan baik sebelum buat tuduh yang tak tentu arah.

Pesta Arak ni dah lama ada kat Malaysia. jangan buat terkejut macam orang baru lahir lah.

1. Kedai2 KOPI yang jual ARAK cina di Malaysia ni semuanya tertutup ke?

2.Kelab2 Malam yang bersepah kat kat KL di buka tempat tertutup ke?

3.Arak2 yang jual di 7-Eleven ada sapa2 pergi buat report kat JAKIM?


Ini semua letak kat diri kita. Kita sendiri tahu benda tu hukumnya HARAM.

Parti PAS kalau dah nak buat ONAR jangan lah sampailah Agama lain jadi Mangsa. kenapa tahun 2010 takda seorang pemimpin PAS menjerit perkara ni, kenapa bila masalah MB timbul dan PAS cuma dapat 3 tempat sebagai EXCO bising macam tak tentu hala.

Kalau PAS tidak mampu atau menjalinkan hubungan dengan parti bukan ISLAM baikkeluar dan jangan bersama PR. Rakyat N. Selangor pun dah JELAK dan BOSAN dengan perangai yang BODOH.

Kita ni hidup dalam sebuah Negara yang MAJMUK, jadi kita kenalah menghormati budaya bangsa lain.

Kalau kita tak puashati suruh JAKIM buat Undang2 yang ARAK dan BABI haram untuk seluruh RAKYAT MALAYSIA.

Boleh ke BN buat ? Nampak sangat sapa sebenarnya Golonga2 UG ni...! UG ni lah Golongan2 yang berselindung disebalik Agama ISLAM. Rupa Islam tapi tamak untuk memenuhi nafsu sendiri.
Abu Aliya said…
Madinah juga masyarakat majmuk sewaktu Nabi SAW perintah.
Agaknya kalau org kafir minta nak buat Arakfest kpd Nabi SAW, beliau benarkan ke?
Berbelit2 YB kita nak bela kawan2 mereka.
Minum dgn pesta minum takkan tak boleh bezakan
Unknown said…
hanyut dibawa oleh DAP

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-