Skip to main content

Tahniah TS Muhyiddin Yassin

Di dalam sidang media saya semalam mengucapkan tahniah kepada TS Muhyiddin dengan ‘ikhlas dan tanpa syarat’, atas kenyataannya yang jelas memberi sokongan tanpa syarat kepada TSKI. Ini adalah kerana selama ini ramai yang meramalkan bahawa sokongan BN terhadap TSKI adalah hanya sebagai pengacau dan bertujuan memecah-belahkan PR semata-mata. Akhirnya apabila PR berpecah, maka BN akan mencapai kehendak mereka yang sebenar iaitu pembubaran DUN dan Pilihan Raya peringkat Negeri Selangor. Dalam keadaan PR bertelagah satu sama lain, maka pada ketika itu, BN akan berpeluang untuk merampas kembali Negeri Selangor dan membentuk kerajaan BN peringkat Negeri Selangor.


Namun, berdasarkan kenyataan TS Muhyiddin adalah jelas bahawa BN tidak akan berusaha untuk DUN dibubarkan. Hakikatnya tanpa sokongan BN, sudah pasti TSKI tidak boleh menyatakan beliau masih mempunyai sokongan majoriti di DUN Selangor. Sekiranya BN tarik sokongan mereka terhadap TSKI, dengan sendirinya DUN akan terpaksa dibubarkan. Tetapi BN tidak melakukannya dan sebaliknya memberi sokongan padu pada TSKI. Dengan itu TSKI diselamatkan oleh sokongan BN juga termasuk yang dari PAS sehingga menunggu 17 Ogos.

Jelas juga sokongan BN terhadap TSKI adalah ikhlas dan kukuh! Perkataan ‘tanpa syarat’ menggambarkan satu tahap keyakinan yang tidak dialami atau diterima oleh Menteri Besar UMNO/BN sendiri selama ini. Semestinya peribadi seperti YB Ahmad Said, mantan MB Terengganu, terpinga-pinga dengan sokongan sekukuh itu. Sudah pasti kata-kata ‘tanpa syarat’ berdesing-desing berulang kali di telinga beliau. Dia sendiri pun tidak pernah menikmati sokongan sekukuh itu dari pemimpinnya sendiri sepertimana yang dinikmati TSKI.

Kekukuhan sokongan sebegini, sehingga tidak mengambil kesempatan membubarkan DUN demi memenangkan BN di Selangor pasti menghairankan ramai termasuklah diri saya sendiri. Adakah dakwaan penentang-penentang TSKI selama ini bahawa BN selesa dengan kepimpinan beliau kerana BN mendapat yang diinginkan mereka terbukti benar melalui pengisytiharan ini? Sudah pasti sekiranya kepimpinan TSKI merugikan BN, Maka TS Muhyiddin tidak akan menyokongnya! Atau adakah BN sekarang ini sudah berubah dan mementingkan ketelusan dan kecekapan pentadbiran sesebuah kerajaan Negeri (tetapi hanya di Selangor) sehingga mengenepikan kepentingan politik BN sendiri? Sudah pasti, cita-cita pimpinan BN seperti DS Noh Omar untuk menjawat jawatan MB terpaksa dikorbankan demi TSKI. Keikhlasan sebegitu rupa, dari ahli politik BN, sudah pasti sesuatu yang ganjil dan menghairankan bagi mereka yang tidak mengenali BN sekalipun. Dari apa yang digambarkan, jawatan exco pun tidak akan dikongsi bersama. TSKI sanggup dan mampu katanya, memerintah dengan 4 orang exco PAS yang turut bersama beliau buat masa ini.

Saya harap TS Muhyiddin tidak marah sekiranya ada pihak yang mempertikaikan keikhlasan disebalik ‘sokongan tanpa syarat’ ini. Tambahan pula, ungkapan kata-kata masyhur “apa saya dapat?” apabila didatangi rakyat meminta tandatangan memohon bantuan dan kelulusan, masih tersemat di ingatan rakyat. Maka sudah pasti ramai yang mula mengandaikan semestinya ada sesuatu perjanjian sulit antara BN dan TSKI sehingga sokongan kukuh sebegitu rupa dinikmati beliau.

Oleh yang demikian berbagai andaian mula berlegar; adakah ianya melibatkan tanah? Adakah melibatkan projek? Kiddex, Langat II atau... atau....??? Sudah pasti soalan sebegini mula ditanya oleh kebanyakan rakyat Selangor apabila secara tiba-tiba BN kelihatan ‘ikhlas’. Dalam erti-kata lain, adakah TSKI seorang MB yang telah terikat dan tidak bebas?

Begitu juga yang antara soalan yang turut ditanya ialah samada tindakan TSKI selama ini, iaitu tidak mengendahkan arahan partinya sendiri, mahu pun keputusan Majlis Presiden PR, adalah kerana beliau selama ini telah mempunyai perjanjian rahsia dengan BN dan yakin bahawa walau apa pun berlaku, BN akan menyokongnya? Maka dengan itu beliau tidak akan jatuh sebagai MB?

Walaupun soalan ini tidak akan dijawab oleh watak utama dalam drama ini, keadaan sebenarnya menjadi semakin jelas melalui tingkah-laku mereka. Rakyat Selangor pasti mampu membacanya dan dengan itu, justifikasi untuk menukarkan TSKI sebagai MB menjadi semakin difahami semua. Mungkin akan ada yang berkata, “patutlah PKR melakukan “Kajang Move”...”

Walau apa pun, kedudukan TSKI disokong dengan sepenuh hati oleh BN. Maka adakah ‘Senario Satu’ nukilan Dr. Zuhdi akan menjadi realiti atau sebaliknya semua berada di tangan PAS. Bersamalah kita berdoa semoga PAS membuat keputusan yang tepat demi perkukuhkan PR insyaAllah dan bukan sebaliknya.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-