Skip to main content

Kemunculan ‘Golongan Kanan’ Melayu Islam

Bulan Ramadhan yang mulia adalah sebuah bulan yang penuh maghfirah dan barakah. Bulan di mana ummat Islam di seluruh dunia diwajibkan untuk berpuasa. Pada masa yang sama, bulan Ramadhan juga merupakan masa yang terbaik untuk kita bermuhasabah dengan apa yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Saya telah terlibat di dalam satu perbincangan ‘inter-faith’ atau antara agama di Petaling Jaya beberapa beberapa bulan sebelum Ramadhan. Di antara ahli panelnya ialah seorang Sami Buddha. Ada dari kalangan hadirin yang telah bertanya kepadanya berkenaan peristiwa pembunuhan ummat Islam bangsa ‘Rohingya’ di Myanmar. Mereka hairan bagaimana agama Buddha yang masyhur sebagai agama yang mencintakan keamanan boleh membenarkan tindakan kejam sebegitu rupa. Beliau menjawab dengan wajah yang suram, “apabila fahaman kebangsaan disatukan dengan agama, maka kerosakan akan terhasil”.

IMBASAN SEJARAH
Jawapan mudah sebegitu dari Sami Buddha berkenaan adalah satu kebenaran yang tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak. Di dalam sejarah terdapat banyak bukti yang boleh menyokong dakwaan ini sebagai contohnya kumpulan ‘white supremacist’ atau ‘keagungan kaum kulit putih’ seperti Klu Klux Klan (KKK) di Amerika yang membunuh dan memusnahkan harta milik kaum kulit hitam dengan mengenengahkan justifikasi keagamaan mereka yang kononnya bersandarkan dari agama Kristian. Di antara simbol yang kerap dikaitkan dengan golongan KKK adalah salib terbakar yang menandakan hubung-kaitnya gerakan mereka dengan agama Kristian. Begitu juga tentera Serb semasa perpecahan Yugoslavia yang membunuh dan merogol wanita Islam dan Croat tanpa perasaan bersalah malahan menganggap ianya tindakan yang adil! Mereka ini pula dikuasai semangat kebangsaan Serb yang dikaitkan juga dengan pegangan Kristian Orthodox. Paderi Orthodox sering kelihatan bersama mendoakan keberkatan untuk tentera Serb yang mengganas pada ketika itu.

Di Myanmar, sami Buddha memberi sokongan dan dokongan secara terang-terangan terhadap tindakan ganas golongan Myanmar yang menyerang dan membunuh rakyat Rohingya dengan kejam. Mereka diapikan semangat kebangsaan dan perkauman dan diberitahu bahawa orang Rohingya adalah bukan orang Myanmar dan adalah pendatang dan wajar diusir! Warna kulit mereka berbeza, sepertimana juga bahasa mereka dan agama mereka.

KEBANGSAAN MEROSAKKAN AGAMA
Maka benarlah kata-kata Sami Buddha tersebut. Agama, apabila dikuasai semangat dan kefahaman kebangsaan menjadikan segala yang diajar agama, supaya manusia berakhlak tinggi, berkasih sayang dan bertindak adil, terus dilupai. Sebenarnya apa yang dikatakannya telah lama disebut Al-Quran apabila Allah mengisahkan kaum Bani Israel. Mereka satukan agama dengan bangsa dan ingin kebenaran hanya bagi kaum mereka. Menzalimi dan menindas kaum lain tidak salah, malahan adalah dianggap sesuatu yang wajar kerana kononnya mereka sahajalah yang dikasihi Allah!

Semangat kebangsaan tidak kenal batas halal dan haram. Bagi golongan nasionalis, semua yang dilakukan oleh bangsanya terhadap bangsa lain adalah betul dan perlu disokong! Walaupun ianya membawa kepada pembunuhan dan kezaliman. Agama pula digunakan mereka sekadar sebagai penawar untuk mengaburkan mata sehingga tidak disedari betapa tindakan mereka merupakan tindakan yang bercanggah dengan ajaran agama. Sebagai ‘jampi-jampian’ dan ‘pelali’ terhadap tindakan mereka yang dikutuk agama mereka sendiri.

Sekiranya tidak diberikan justifikasi dan sokongan golongan agama, maka tindakan mereka akan jelas kelihatan kepada diri mereka sendiri sebagai tindakan yang kejam dan dikutuk agama. Dalam keadaan itu tindakan mereka akan terhenti dan agama akan berjaya menjadi penghalang kepada berlakunya kezaliman dan kekejaman. Tetapi apabila golongan agama juga dikuasai kebangsaan, maka di mana akan terdapat pembela kemanusiaan dan semangat kasih sayang sesama manusia?

Penyakit sama yang tersebar luas di kalangan orang Myanmar sekarang dilihat menjangkit ke Sri Langka pula. Fahaman sama, pegangan yang sama dan kezaliman yang sama. Manusia dibunuh kerana bezanya agama dan bangsanya atas sebab kebangsaan.

Adakah penyakit sama juga bakal dijangkiti orang Melayu Islam?

KEBANGSAAN/PERKAUMAN DAN ISLAM
Adalah dianggap mustahil agama Islam akan turut diresapi fahaman perkauman/kebangsaan sempit sepertimana agama lain. Ini adalah atas sebab penolakan yang tegas dan jelas oleh Rasulullah (SAW) berhubung fahaman assobiyyah melalui beberapa hadis yang masyhur. Dan sememangnya Allah telah rancangkan supaya para sahabat Nabi sendiri terdiri dari Bilal Al-Habsyi, Syuib Al-Rumi, Salman Al-Farsi dan dari berbilang kaum dan kabilah. Dan para sahabat pula telah berurusan dengan berbilang bangsa dan kaum serta mentadbir negara di bawah pemerintahan Islam dengan penuh hormat terhadap semua bangsa.

Namun seruan ala jahiliyyah sememangnya akan sentiasa kedengaran, walaupun telah secara jelas dicerca Rasulullah (SAW). Dan itu jugalah sebabnya ianya dikutuk dengan begitu keras sekali oleh Baginda. “Laisa minnii…” atau “bukan dari aku” sabda baginda Rasulullah, samada yang menyeru, berperang mahupun yang mati atas landasan kebangsaan dan perkauman. Namun yang jahil di kalangan Melayu tetap tertipu.

Dengan disatukan Melayu dengan Islam maka disatukan bangsa dan agama. Maka perjuangan bangsa adalah perjuangan agama. Mempertahankan Melayu adalah mempertahankan Islam, kata mereka lagi. Dan Islam tidak salah maka tidak mungkin Melayu itu salah! Sedangkan si Melayu yang dipertahankan melakukan apa yang tidak diperintahkan Islam! Maka apakah bezanya dengan apa yang pernah dan sedang dilakukan kaum Yahudi atau Bani Israel yang dimurkai Allah?

Kebetulan pula yang Cina dan India secara amnya bukan Islam. Bangsa lain, agama lain, bahasa pun lain. Dan suasana seperti di Myanmar dan Sri Lanka dengan sendirinya ditimbulkan. Kebencian terhadap bangsa lain, agama lain disemai, kononnya atas nama Islam sedangkan Islam tidak mengajar manusia saling membenci atas sebab bangsa, bahasa mahupun agama.

Oleh itu kemunculan golongan ‘Islamist Chauvinist’ merupakan sesuatu yang amat mengecewakan. Kemunculan ‘golongan kanan’ Islam yang bersikap chauvanis dan menyemaikan kebencian terhadap kaum dan agama lain adalah bukti bahawa seruan jahiliyah masih mampu berpengaruh di kalangan ummat Islam. Kumpulan yang sehaluan ini mencemarkan imej Islam yang merupakan rahmat bagi seluruh alam. Adalah diharapkan daengan terserlahnya sikap chauvanis mereka, maka ummat Islam akan menjauhkan diri mereka dari golongan ini dan sebaliknya menempelak mereka dengan kutukan “laisa minni” sepertimana ditempelak oleh Rasulullah (SAW).

Kumpulan sebegini hidup atas emosi dan kejahilan ummat. Apabila melihat sokongan semakin merosot di kalangan bukan Islam, maka dilepaskan kumpulan haluan kanan ini sebagai ugutan kepada asyarakat bukan Melayu. Itu perkara biasa dan sudah dilakukan sejak sekian lama. Atas nama kebangsaan Melayu sahaja, ramai dari ummat Islam tidak terasa terpanggil untuk bersama. Maka bezanya sekarang adalah ditimbulkan kumpulan Chauvanis Islam dalam bentuk NGO Islam yang sehaluan dengan mereka. Topeng Islam yang digunapakai sebagai justifikasi moral untuk mengambil sesuatu tindakan yang chauvanistik dan rendah akhlak. Dan harapan mereka adalah lebih ramai akan terpanggil untuk bersama kerana mereka turut kibarkan panji-panji Islam.

Golongan ini tidak kisah sekiranya imej Islam tercemar, prinsip dan ajarannya menjadi kabur dan rahmatnya tidak diserlahkan; asalkan kekal memerintah. Perjuangan dan dakwah Islam sememangnya bukan agenda mereka. Oleh itu golongan Chauvanis Islam dibela dan fahaman mereka disuburkan.

KESIMPULAN
Bagi yang memahami Islam dan memahami juga pendekatan yang digunakan Allah dan RasulNya, semestinya pendekatan golongan Chauvanis Islam wajib ditolak dan ditentang. Ia bercanggah dengan pendekatan Islam sebagai rahmat bagi seluruh alam dan akan mencemar imej Islam sekiranya ianya dibenarkan bertapak di kalangan ummat Islam. Pada masa yang sama semakin ramai ummat Islam akan berjaya disesatkan atas seruan emosi chauvanis dan perkauman sehingga terjerumus dalam politik berdosa dan tidak berakhlak. Demi membela imej Islam, kesucian ajarannya dan demi menyelamatkan ummat Islam dari disesatkan olehnya, kita mesti bersuara. Islam menolak perkauman dan chauvanisma kaum. Dan Melayu hendaklah kembali kepada Islam, ajarannya dan pendekatan tersendirinya serta menolak sama sekali desakan emosi dan semangat perkauman.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Izuddin said…
Ada kesedaran di kalangan Melayu Umno kini bahawa terdapat pemimpin2 umno sudah jadi 'dead wood' dan tidak lagi inteligen. Dan, mahu transformasi dibuat supaya umno dapat hadapi challenges intelek dari pembangkang, terutamanya dari kalangan politician Cina dari DAP dan PKR. Politician melayu dari PAS dan UMNO langsung lah takda kemuka chalenges intelek.

Golongan ini kecil dan TIDAK akan berjaya menghambat objektif tersebut kerana politican dari pembangkang lebih cepat dan fleksibel dalam melaksana reformasi utk mematah langkah2 transformasi yang dilaksana oleh Team Najib. Malah golongan ini, saya khuatiri, akan terjerumus ke arah kemunafikan sebaliknya.

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-