Skip to main content

ISMA Tidak Mampu Faham?

Saya dimaklumkan mengenai ‘jawapan’ dari ISMA berhubung tulisan saya pada hari Jumaat lepas oleh seorang wartawan. Namun saya tidak sanggup kekhusyukan beribadat pada bulan Ramadhan yang mulia ini diganggu, lebih lebih lagi oleh ‘jawapan’ dari organisasi seperti ISMA. Dengan segala yang sedang berlaku, khususnya serangan Israel ke atas Bumi Gaza, saya tiada masa melayan penulisan mereka dengan pemikiran songsang mereka. Lagipun tulisan saya Kemunculan ‘Golongan Kanan’ Melayu Islam tidak saya tujukan kepada sesiapa secara khusus. Ianya tulisan umum, berhubung betapa buruknya fahaman kebangsaan dan perkauman dan bagaimana ia mampu merosakkan agama yang mengajar manusia berbuat baik sesama manusia tanpa mengambil kira bangsa mahu pun agama yang berbeza.

Namun, “siapa yang makan cili”, kata orang-orang lama, “dia merasa pedas”.

Walaubagaimanapun, akhirnya saya membaca juga ‘jawapan’ dari ISMA pada hari Ahad dan hanya mampu tersenyum lebar memikirkan bagaimana jawapan mereka hanya mengesahkan apa yang saya kemukakan dalam tulisan asal saya.

Seperti yang dijangka, ‘jawapan’ dari ISMA memang tidak layak untuk saya benarkan menggangu kekhusyukan beribadat bulan Ramadhan. Sesiapa yang telah membacanya bukan sahaja akan mengakibatkan kekhusyukan beribadat pada bulan Ramadhan mereka terganggu, tetapi akan mendapati bahawa Ianya amat cetek dan agak tersasar, seolah-olah yang menulis tidak faham apa yang ingin saya sampaikan. Sesiapa yang mempunyai kemampuan untuk berfikir dan menilai hujjah akan memahami maksud saya setelah membaca ‘jawapan’ mereka. Itulah sebabnya saya meletaknya di blog saya supaya yang tidak yakin akan sifat chauvanisma mereka kerana tidak pernah membaca tulisan mereka boleh membacanya di blog saya. Saya yakin ramai akan terkejut bagaimana satu badan bernama Islam boleh mempunyai tahap chauvanisme dan rasis seperti mereka.

TUDUHAN YANG DILEMPARKAN TERHADAP GOLONGAN ‘ISLAMIS LIBERALIS’

Tuduhan dan serangan mereka tidak ditujukan pada saya secara khusus tetapi yang pelik, tajuknya adalah “Menjawab Khalid Samad”. Tuduhan dan serangan mereka dituju kepada golongan ‘islamis liberalis’. Apa yang dimaksudkan dengan ungkapan ‘Islamis Liberalis’ tidak pula dijelaskan. Mungkin yang menulis jawapan tersebut sendiri pun tidak tahu apa yang dimaksudkannya tetapi hanya ingin menggunakan satu ungkapan untuk menjawab ungkapan yang saya gunakan ia itu ‘Islam chauvanis’.

Adakah dianggap ‘Islamis Liberalis’ apabila seseorang mengatakan Islam itu bebas perkauman? Adakah dianggap ‘Islamis Liberalis’ apabila dikatakan Islam itu adil dan membawa rahmat untuk semua? Atau yang menganggap ummat Islam boleh berkerjasama dengan yang bukan Islam atas agenda yang dipersetujui Islam seperti membasmi kemiskinan, menentang rasuah dan kezaliman? Takrifnya tidak diberi dan maksud tulisannya kabur. Yang jelas yang dimaksudkan sebagai ‘islamis liberalis’ adalah yang tidak ‘chauvanis’ kerana mengikut fahaman ISMA, Islam mesti bersifat chauvanis! Malahan ‘jawapan’ mereka sendiri tidak langsung menolak fahaman chauvanis, perkauman dan kebangsaan. Sebaliknya ianya sarat dengan sentimen chauvanis dan perkauman.

Saya pelik apabila dituduh ‘islamis liberalis’ sebagai golongan yang memahami Islam melalui fahaman Sami Buddha Myanmar, Kristian Orthodox Serb dan Klu Klux Klan Amerika Syarikat. Adakah dimaksudkan dengan itu bahawa golongan ‘islamis liberalis’ bersetuju dengan gabungan agama dan perkauman yang diamalkan oleh golongan-golongan pelampau ini? Dan bersetuju juga dengan keganasan dan penindasan yang dilakukan mereka? Tidakkah itu bercanggah dengan sifat ‘liberalis’ seperti yang difaham umum? Itulah yang saya rumuskan bahawa penulis sendiri pun tidak faham apa yang dimaksudkannya dengan istilah yang diguna-pakai.

Lagipun, sekiranya itulah sifat ‘islamis liberalis’ yang dikecam dan diserang ISMA dalam jawapan mereka, pasti saya tidak termasuk golongan ‘islamis liberalis’ ini. Kerana tulisan saya menolak premis yang dibawa oleh golongan pelampau tersebut bahawa perlu diadakan gabungan semangat kebangsaan atau/dan perkauman dengan agama anutan mereka. Sehingga ke tahap fahaman kebangsaan ini mengatasi ajaran yang dibawa agama mereka sendiri supaya berbuat baik sesama manusia, walaupun berbeza agama.

Hakikatnya, kalau ada yang memahami Islam dengan terikut-ikut golongan pelampau ini, sudah pasti ianya bukan saya. Dan saya yakin bukan juga golongan ‘liberalis’ samada islamis atau sebaliknya. Kerana istilah liberalis bercanggah dengan fahaman pelampau. Ini kita dapat lihat di seluruh dunia di mana golongan pelampau sering menyerang kumpulan liberalis dan menganggap mereka sebagai terlalu berkompromi. Sebenarnya, ISMA yang paling layak untuk dituduh terikut-terikut fahaman golongan pelampau ini! Adakah mungkin ISMA sendiri tidak sedar akan hakikat ini? Adakah ketiadaan cermin menyebabkan Hazizi tidak sedar betapa rupa ISMA seakan ‘right wing’ dan chauvanis seperti golongan pelampau ini? Oleh itu, saya nasihat ISMA supaya cermin diri sebelum menuduh dengan sewenang-wenangnya, takut nanti yang dicerca itu adalah diri sendiri.

Saya memahami Islam sebagai cara hidup yang lengkap dan sempurna dan tidak perlu ditokok tambah dengan kebangsaan mahupun perkauman. Malahan kebangsaan dan perkauman adalah bercanggah dengan ajaran Islam dan mencemarnya sekiranya diselitkan bersama. Sepertimana ia mencemar juga agama lain yang menganjar penganutnya berbuat baik sesama manusia. Kefahaman ini tidak mungkin dipelajari dari Buddha Myanmar, Kristian Ortodox Serb atau Kristian Klu Klux Klan. Mereka tidak ajar itu. Yang mereka ajar adalah sebaliknya dan mempunyai persamaan dengan apa yang dibawa ISMA.

Buat kali pertama saya mengunjung ke laman web ISMA adalah pada Ahad lepas. Amat sangat terkejutlah saya dengan apa yang saya temui di web ISMA. “Portal Islam & Melayu” terpampar dengan megahnya. Islam sahaja tidak cukup? Perlu ‘dikukuhkan’ dengan Melayu? Sepertimana agama Buddha perlu dikukuhkan dengan ‘bangsa’ Myanmar di Myanmar, agama Kristian Ortodox dengan bangsa ‘Serb’ di Serbia dan agama Kristian dengan keutamaan kulit putih oleh Klu Klux Klan di Amerika?

Sudah pasti ISMA akan menjawab, itu waqi’ dan realiti masyarakat kita di Malaysia! Ya, dan itu jugalah jawapan golongan Buddha di Myanmar, Serb di Serbia dan Klu Klux Klan di Amerika! Atas realiti politik, kononnya, maka pencemaran agama dengan kebangsaan dan perkauman perlu! Sedar atau tidak, kata-kata mereka sama seperti kata-kata ISMA.

Jawapan dari ISMA menyebut bahawa Kaum Bani Israel merosakkan ajaran Nabi Isa (AS). Memang benar. Dan ini dilakukan dengan ditokok-tambahnya ajaran itu dan dicampur-adukkan kepalsuan dengan kebenaran. Tidakkah ISMA melakukan yang sama dengan membawa sikap chauvanis dan rasis ke dalam Islam mereka? Dan begitu juga dengan penyelewengan yang dibawa Abdullah bin Saba’ sehingga mengisi perasaan golongan Syiah dengan kebencian terhadap golongan Sunni. Sedangkan dakwah Islam bermula atas kasih sayang dan keinginan menyelamat manusia (Melayu, Cina, India dan kesemuanya), dari kesesatan dan api neraka. Mesej kebencian juga dibawa ISMA melalui chauvanisme dan rasisme mereka.

KEBENCIAN KAUM DAN AGAMA

Seperti golongan kanan lain, termasuk orang Serb, Myanmar dan KKK yang disebut di atas, sentimen dan emosi yang diguna-pakai ISMA adalah kebencian kaum dan agama. ‘Jawapan’ ISMA menzahirkan secara jelas kebencian mereka terhadap bangsa Cina. Dilonggokkan semua Cina sebagai sama sahaja dan dilemparkan dengan tuduhan yang tidak disertakan bukti. Di antara tuduhan yang dilemparkan adalah “…kaum Cina yang saban hari…….secara terang-terangan…menyemai perasaan benci terhadap orang Melayu…” dan “…menghina agama Islam yang bertalu-talu dilakukan oleh orang-orang Cina…”

Saya malu kata-kata sebegitu dikeluarkan oleh pertubuhan yang bernama Islam. Betapa Islam tercemar oleh kesempitan hati dan sikap rasis mereka ini. Benarkah orang Cina menyemai kebencian terhadap orang Melayu? Yang jelas memang ada sebahagian yang menegur dan mengutuk penyelewengan dan kezaliman. Adakah mengutuk penyelewengan dan rasuah yang dilakukan boleh disamakan dengan mengutuk Melayu? Adakah rasuah dan penyelewengan itu budaya Melayu sehingga mengutuknya bererti mengutuk Melayu? Adakah dianggap UMNO itu Melayu dan mengutuk UMNO adalah mengutuk Melayu? Maka sesiapa yang menentang UMNO menentang Melayu? Dan yang tidak ahli UMNO adalah bukan Melayu? Adakah penulis sejahil itu?

Pada masa sama ada juga Cina yang menyokong UMNO/BN. Terdapat juga di antara mereka yang menjadi tauke judi dan kroni. Bagaimana pula dengan mereka? Atau mereka bukan Cina kerana bersama UMNO?

Dan dituduh pula semua Cina menghina Islam! Adakah penulis ini siuman? Kalau ada yang lakukan, buktikan dan hukum yang melakukannya, bukan seluruh kaumnya. Untuk makluman ISMA, ramai juga Melayu yang menghina Islam dengan tidak mematuhi ajarannya dan memperlekehkan hukum-hakamnya. Dan di antara yang menghina agama Islam adalah pertubuhan seperti ISMA itu sendiri dengan sikap rasis dan chauvanisnya!

Dalam soal agama, dituduh pula bahawa wujudnya puak ‘Chauvanis Cina Kristian Evangelis’ (Kena sebut juga ‘Cina’ – membuktikan betapa rasisnya penulis) yang “….mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sivil tanpa agama Negara….tanpa mana-mana agama dominan…...ingin menghancurkan institusi agama Islam di Negara ini dan memijak hak orang-orang Islam.” Sekali lagi tuduhan tanpa bukti dan hanya untuk menyemai perasaan kebencian terhadap kaum dan penganut agama tertentu. Dan dituduh pula golongan ‘islamis liberalis’ bersekongkol dengan mereka kerana kepentingan politik.

GOLONGAN ‘ISLAMIS LIBERALIS’ DAN ‘ISLAMIS CHAUVANIS’

Sebenarnya, bagi saya, golongan ‘islamis liberalis’ dah lama bersama UMNO. Mereka ini adalah golongan yang menganggap Islam adalah agama dalam pengertian yang sempit dan terhad kepada kepercayaan dan ibadah khususiyyah. Mereka anggap Islam itu tidak ada peranan dalam soal kenegaraan dan hanya persoalan peribadi. Dengan berpegang kepada fahaman ‘manusia makhluk prudent’ seperti yang diutarakan John Locke, ahli falsafah Inggeris yang merupakan bapa fahaman Liberal, mereka berkeyakinan, dengan bersandarkan daya pemikiran dan pengalaman, cara hidup yang adil dan sejahtera boleh dihasilkan manusia. Tak perlu rujuk Quran dan Sunnah. Dalam erti kata lainnya, tidak perlu rujuk Quran dan Sunnah.

Sambil itu, golongan ‘islamis chauvanis’ pula juga bersama UMNO! Tetapi diletakkan di luar UMNO. Macam anjing pengawal yang tidak dibenarkan masuk dalam rumah. Ini dilakukan UMNO untuk menjaga hubungannya dengan kaum bukan Melayu, khususnya Cina, yang amat sangat dibenci ‘islamis chauvanis’. Maka sambil di luar UMNO mereka menjadi sebagai balaci UMNO, bertanding di kawasan di mana sekutu UMNO seperti MCA bertanding untuk menarik undi Melayu supaya tidak mengundi PKR atau DAP. Benci-benci Cina pun namun sanggup berusaha memenangkan MCA!

Kedua-dua mereka, samada yang liberalis dan chauvanis, menyokong pemerintahan yang rasuah, perkauman dan menyeleweng. Mereka menjustifikasi sokongan mereka terhadap kerajaan yang korup dan menyeleweng itu atas alasan ianya ‘kerajaan Islam Melayu’. Walaupun ia tidak mengikut Islam dan hanya Islam atas nama. Walaupun Melayu terus ditipu dan dijahilkan UMNO. Dan banyak pula yang dilakukan yang bercanggah dengan Islam dan kepentingan Melayu tetapi golongan ‘liberalis’ dan ‘chauvanis’ terus sokong kerana mengutamakan persoalan lain. Bukan persoalan menegakkan Islam dan menzahirkan ajarannya. Atau membebaskan Melayu dari terus terkongkong pemikirannya. Yang diutamakan oleh golongan ‘liberalis’ adalah kebebasan untuk melakukan sesuka-hati. Golongan ‘chauvanis’ pula mengutamakan penyemaian kebencian kaum dan bangsa. Kedua-dua mereka mendapat apa yang diutamakan masing-masing melalui UMNO. Dalam prosesnya mesej Islam dikorbankan.

Saya menyeru semua yang membaca tulisan ISMA yang saya sertakan tempoh hari untuk menolak pemikiran sempit dan songsang mereka, dan berpegang kuat kepada ajaran Islam yang bebas perkauman dan mengutamakan keadilan. Berpegang teguh kepada prinsip seperti yang terkandung dalam ayat berikut :

“Wahai manusia, sesungguhnya telah Kami jadikan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami jadikan kamu berbagai bangsa dan kaum supaya kamu berkenal-kenalan (bukan bermusuh-musuhan). Sesungguhnya orang yang termulia di kalangan kamu di sisi Allah adalah yang paling bertaqwa…”
(Al-Hujurat 13)

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu berdiri kerana Allah, menjadi saksi dengan keadilan. Janganlah oleh kerana kebencian kamu terhadap sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak bertindak adil. Bertindak adil! Bertindak adil itu lebih dekat dengan ketaqwaan.…”
(Al-Maidah 8)

“Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang (bukan Islam) yang tidak memerangi kamu kerana agama kamu dan tiada pula mengusir kamu dari rumah-rumah kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”
(Al-Mumtahinah 8)

Dan ketahuilah bahawa Allah mengutus Rasul-rasulNya untuk supaya keadilan ditegakkan untuk manusia keseluruhannya, bukan chauvanisme kaum!

“Sesungguhnya telah Kami utus beberapa Rasul Kami dengan membawa keterangan, dan Kami turunkan bersama mereka, kitab dan neraca (keadilan) supaya manusia boleh menegakkan keadilan…”
(Al-Hadid 25)

Wallahu ‘alam. Semoga kita sentiasa diberkati dan dirahmati Allah dan diselamatkan dari fahaman aliran kanan yang sesat dan menyesatkan.

KHALID SAMAD

Comments

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-