Skip to main content

Sidang Media 28 Mei


Saya telah adakan Sidang Media di pejabat saya pada jam 3 petang, Khamis 28 Mei 2014. Isu yang telah di sentuh adalah seperti berikut:

1. Penutupan Jalan Bukit Hijau 26/24, Taman Bukit Saga, Seksyen 26
Penutupan jalan ini bertujuan untuk menghalang kereta dan lori dari mengambil jalan pintas demi mengelak kesesakan lalu lintas dengan memasuki kawasan perumahan di Taman Bukit Saga dan Tanamera. Namun penutupan jalan berkenaan menimbulkan masalah lain bagi penduduk Taman Bukit Saga dan Tanamera apabila ingin kembali ke rumah mereka sekiranya datang dari arah Puchong/Putra Jaya/Cyberjaya. Mereka terpaksa membuat U-turn di depan kilang F&N yang terletak hampir 2 kilometer dari jalan masuk Taman Bukit Saga dan Tanamera.

Sambil itu, operasi penutupan jalan berkenaan dilakukan MBSA secara mendadak tanpa memberi notis kepada semua yang terlibat dan ini akan menimbulkan masalah kepada pengguna jalan yang tiba-tiba mendapati jalan kebiasaan mereka ditutup!

Penduduk meminta supaya penutupan jalan ditunda sehingga satu perbincangan diadakan dengan semua pihak, khususnya penduduk di Taman Bukit Saga dan Tanamera. Kedua, masalah asal, ia itu kesesakan lalu lintas yang menyebabkan kenderaan mencari jalan pintas, tidak ditangani.


2. Terminal Teksi di Stesyen Kommuter Seksyen 19
Penaikkan taraf tempat letak kereta di Stesyen Komuter Seksyen 19 telah hampir selesai. Saya telah menerima aduan dari persatuan teksi bahawa mereka tidak diberikan tapak untuk mengendalikan perkhidmatan mereka di stesyen tersebut. Ini berlaku ekoran penyerahan tapak tersebut oleh KTM kepada MBSA untuk diswastakan. Ini adalah amat pelik memandangkan persatuan teksi tersebut telah beroperasi dan menyewa tapak di situ sejak 17 tahun lamanya.

Adalah diharapkan bahawa persoalan ini akan diselesaikan oleh MBSA dengan bijaknya. Saya telah menyerahkan surat sokongan terhadap permohonan persatuan tersebut mendapat tapak untuk mengendalikan perkhidmatan mereka.

Pada masa yang sama, papan tanda maklumat berhubung projek penaik-tarafan tempat letak kereta di Stesyen Komuter tersebut tidak sedia kelihatan. Ini merupakan sesuatu yang menyulitkan pengguna. Papan tanda maklumat berhubung tarikh mula projek, tarikh tamat, jumlah kontrak, siapa kontraktor, nombor telefon untuk dihubungi sekiranya ada masalah dan sebagainya adalah satu kebiasaan untuk semua projek. Amat mendukacitakan sekiranya amalan ‘good management practice’ sebegini tidak sendiri diamalkan oleh MBSA sebagai contoh untuk diikuti pihak lain. Adalah diharapkan perkara ini juga dapat diamalkan MBSA dan satu pelan menunjukkan lay-out atau susun atur tempat parker dipamerkan untuk makluman semua.

3. Masalah Penutupan Sekolah Bina Insan (SBI) oleh MAIS
Saya ucapkan tahniah kepada kerajaan Negeri yang melalui exco pendidikannya, YB Dr Halimah, telah menyatakan kesediaan menyerap pelajar SBI ke dalam program pendidikan kerajaan Negeri khususnya melalui Kolej Integrasi Tahfiz Tunas Ilmuan Selangor (KITTIS). Semua mengetahui bahawa program SBI telah dimulakan MAIS tanpa melibatkan pihak kerajaan Negeri dari awal dan oleh itu kesediaan kerajaan Negeri membantu amat dialu-alukan. Namun saya harap MAIS akan dapat berbincang dengan kerajaan Negeri dengan baik dan menyerahkan bukan sahaja pelajar dan pendidik yang terlibat di SBI kepada kerajaan Negeri, tetapi juga bajet yang diperlukan. Ini adalah untuk menjamin nama baik MAIS itu sendiri tidak tercemar sekiranya diserahkan begitu sahaja dan dilihat seolah-olah ‘lepas tangan’.

Nama baik MAIS sebagai Majlis yang dikaitkan terus dengan DYMM Sultan Selangor perlu sentiasa dijaga dan dipertahankan.

4. Isu Lebuh Raya Kinrara Damansara – Kidex
Kerajaan Pusat seharusnya mempunyai master plan untuk sistem pengangkutan jalan untuk seluruh Negara dan untuk setiap negeri. Segala projek pembinaan lebuhraya oleh pihak swasta seharusnya dipandu berdasarkan master plan ini dan tidak dibuat secara spontan atas dasar tawaran atau cadangan dari pihak swasta semata-mata. Master plan ini seharusnya mengambil-kira dan merangkumi sistem pengangkutan awam KTM, MRT, LRT dan Bas. Sekiranya tiada master plan dan pembinaan dibuat secara spontan, adalah dikhuatiri apa yang terhasil akan menjadi bagaikan rojak, tidak tersusun dan carca marba.

Dalam soal ini adalah perlu dijelaskan samada Kidex sendiri termasuk dalam perancangan master plan ini dan sekiranya tidak maka bagaimanakah perancangan jalan raya dan lebuhraya dilakukan oleh kerajaan BN.

Kedua, kerajaan Negeri juga amat sangat diharap akan mengamalkan pendekatan mendengar pandangan rakyat, membincangnya dan menjelaskan sesuatu sebelum ianya dilaksanakan. Lebih-lebih lagi dengan mereka yang akan menerima kesan Kidex secara terus iaitu penduduk di kawasan yang Kidex ini akan lalui. Mereka perlu diberitahu mengapa Kidex perlu dibina dan mengikut laluan sepertimana yang telah ditetapkan. Pada masa yang sama maklum balas dari penduduk dan pihak-pihak terlibat yang lain perlu didengari dan dipertimbangkan. Ini adalah kaedah Pakatan Rakyat, iaitu kerajaan prihatin rakyat yang sentiasa bersedia mendengar pandangan dan bantahan dari rakyat.

Oleh itu saya merasa agak duka-cita apabila diberitahu bahawa laluan Kidex telah pun diluluskan oleh MTES pada tahun 2012 sedangkan ianya tidak pernah dibawa untuk dibincang dan dibahas dengan rakyat terbabit sebelum itu. Saya harap kesilapan ini dapat diperbetulkan dan kerajaan Negeri mengamalkan dasar musyawwarah dengan lebih baik dan berkesan.

5. Isu DNA Babi dalam Coklat Cadbury
Saya melihat perbahasan berhubung DNA Babi dalam Chocolate Cadbury telah sampai tahap merapu dan mengarut. Soal perlu membersihkan darah, samak mulut dan sebagainya adalah merupakan pandangan yang melampau berasaskan semangat dan bukan ilmu. Islam agama yang mudah, menghukum pada yang zahir tanpa perlunya bertanya berlebih-lebih sampai ke tahap menyulitkan ummatnya.

Dalam soal ini saya harap Majlis Fatwa bertindak dengan lebih cepat dan pihak NGO Islam dan orang perseorangan pula bersikap sebaliknya, iaitu jangan mendahului Majlis Fatwa. Pihak media juga harus lebih bertanggung-jawab, jangan mensensasikan tetapi sebaliknya, apabila mendapat sesuatu aduan, memaklumkan pada pihak berwajib terlebih dahulu. Sekiranya ingin melaporkan berita tersebut perlu dimasukkan bersama kenyataan dari pihak berwajib sekali. Perlu ingat semua yang dilaporkan akan memberi gambaran terhadap apa itu Islam dan sekiranya yang bersemangat itu bertindak atas semangat dan bukan ilmu, maka imej Islam akan tercemar.

Pada masa sama ummat Islam perlu bertanya mengapa hanya babi dianggap haram dan perkara-perkara yang lebih besar yang boleh menyebabkan Nabi tidak mengaku ummat tidak pula dipedulikan. Ini termasuklah persoalan perkauman (assabiyyah) yang Nabi takrif sebagai menyokong kaum kamu atas kezaliman terus dibenarkan amalannya di arena politik Negara tanpa ditegur. Begitu juga amalan rasuah dan salah-guna kuasa, termasuklah kes Bank Rakyat seperti yang diadukan oleh Tan Sri Sabaruddin Chik sendiri.

6. Pilihan Raya Kecil Teluk Intan
Dalam soal PRkecil Teluk Intan, pada hari sidang media itu diadakan, pengundian masih belum lagi dijalankan. Oleh itu saya ringkaskan apa yang telah saya nyatakan kepada dua perkara.

Pertama, saya memberi komen berhubung keberanian DAP meletakkan seorang baru, muda, dari luar Teluk Intan, perempuan dan berbangsa Melayu sebagai calon. Saya imbas kembali bagaimana pada 2008 calon DAP adalah berbangsa India. Pada 2013 pula calon DAP berbangsa Cina dan sekarang pada 2014, calon DAP berbangsa Melayu. Ini jelas menunjukkan bahawa bagi DAP, persoalan yang penting adalah dasar-dasar yang diperjuangkan parti dan bukan bangsa calon.

Kedua saya mendesak SPR untuk menentukan pilihan raya bersih dengan menentukan tindakan samseng, menggangu dan menghalang kerja kempen, akan diambil tindakan. Samseng yang terlibat dalam kegiatan sedemikian harus ditahan dan dinasihati supaya tidak menggangu proses kempen.

Memandangkan pilihan raya kecil telah pun selesai dan Dyana, calon DAP dikalahkan dengan majoriti sebanyak 238 undi dalam keadaan ‘turn-out’ yang rendah, saya pada mulanya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah kepada Mah, calon BN atas kemenanganya dalam pilihan raya kecil tersebut.

Saya juga ucapkan tahniah kepada UMNO yang kelihatan ‘all out’ untuk memenangkan calon BN dalam pilihan raya kecil ini. Amat jelas UMNO telah berjaya mengerahkan kekuatan yang melebihi kekuatan yang mampu dikerahkan oleh PAS pada kali ini, di kawasan Melayu. Ada beberapa tempat mengundi di mana perayu undi PAS langsung tidak kelihatan. Sedikit sebanyak ini menunjukkan kejayaan psy-war UMNO yang menyebabkan jentera PAS tidak dapat dikerahkan dengan sepenuhnya. Ini merupakan satu cabaran bagi pimpinan PAS bagaimana ingin menentukan psy-war r UMNO tidak akan lagi mempengaruhi petugasnya pada masa akan datang, khususnya PRU 14.

Analisa saya berhubung pilihan raya kecil Teluk Intan akan saya kemukakan dalam artikel berasingan selepas ini insyaAllah.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-