Skip to main content

Kenyataan Akhbar Berhubung JAIS/MAIS dan Kerajaan Negeri

Pada Selasa 17 June 2014, 4 orang Ahli Parlimen PAS Selangor telah mengadakan sidang media di lobi Parlimen. Isu yang ingin dirungkaikan adalah persoalan tindakan MAIS/JAIS merampas ‘Bible Al-Kitab’ dari Pejabat Bible Society Malaysia dan keengganan mereka memulangkannya setelah diarahkan oleh Peguam Negara. Dalam soal ini tiga perkara utama ingin disampaikan kami.

1. ISLAM MENJAMIN HAK PENGANUT AGAMA BUKAN ISLAM MENGAMAL AGAMA MEREKA

PAS berpegang kepada ajaran Islam yang menjamin hak bukan Islam mengamalkan agama mereka tanpa diganggu-gugat. Prinsip menghormati kitab dan tempat ibadat orang bukan Islam wajib diamalkan walaupun dalam keadaan berperang, apatah lagi pada ketika mereka hidup aman damai bersama ummat Islam seperti ketika ini. Pesanan Rasulullah (SAW) dan para khulafa ar Rasyidin kepada tentera Islam supaya tidak mencerobohi tempat ibadah orang bukan Islam telah disebut berulang kali.

Baru-baru ini saya telah berpeluang pula untuk mendengar tazkirah seorang ustadz berhubung peristiwa semasa Sultan Muhammad Al-Fatih memasuki kota Constantinople atau Istanbul sepertimana ianya dinamakan sekarang. Apabila memasuki Constantinople, Sultan Muhammad Al-Fatih mendapati bahawa ada peluru meriam tenteranya telah menembusi dinding sebuah gereja dan kelihatan helaian kertas bertaburan di atas lantai gereja tersebut. Apabila ditanya dari mana datangnya kertas tersebut, beliau diberitahu bahawa ianya helaian muka surat kitab Bible gereja berkenaan. Oleh yang demikian, Sultan Muhammad Al-Fatih dengan segera mengarahkan tenteranya mengutip kembali helaian tersebut, membersihkannya semua, menyusunnya dan diikat kembali setiap satu kitab Bible yang telah bertebaran sedemikian rupa. Setelah ianya dilakukan, beliau mengarahkan supaya Bible tersebut dikembalikan kepada pihak gereja berkenaan.

Ajaran Islam berhubung menghormati hak bukan Islam untuk mengamalkan agama mereka, serta menghormati tempat ibadah serta kitab mereka adalah merupakan ajaran yang baru dan ‘revolutionary’ pada waktu tersebut. Pada ketika itu, golongan yang berbeza agama ditindas dan dizalimi. Pertukaran agama atas sebab paksaan dan penyeksaan merupakan perkara biasa. Islam membawa perubahan revolutionary ini dengan mengistiharkan “Laa ikraha fiid-Diin” atau tiada paksaan dalam agama.

Oleh itu, tindakan JAIS atas arahan MAIS untuk menceroboh ke pejabat Bible Society Malaysia dan merampas Bible Bahasa Malaysia, Bidayuh dan Iban adalah merupakan tindakan yang pada dasarnya bercanggah dengan ajaran Islam. Ia merupakan tindakan yang mencemar imej Islam dan menyebabkan orang bukan Islam merasa terancam dalam soal amalan dan hak beragama mereka. Dengan itu mereka akan mempertikaikan sejauh mana Islam akan menjamin hak dan kebebasan beragama mereka dan dengan itu akan pandang serong terhadap apa yang diperjuangkan oleh PAS selama ini!

Ianya lain sekiranya Bible Bahasa Malaysia tersebut dirampas dalam keadaan ianya sedang disebar ke khalayak ramai, khususnya kepada orang Islam! Dalam keadaan sedemikian, pihak JAIS berhak untuk merampas Bible berkenaan kerana ia telah menyalahi undang-undang yang menghalang penyebaran agama selain Islam di kalangan orang Islam. Dan kami yakin, inilah sebabnya mengapa Peguam Negara sendiri memutuskan bahawa tidak akan ada sebarang pendakwaan dalam kes ini. Ianya adalah kerana pihak Bible Society Malaysia telah tidak melakukan kesalahan kerana Bible yang dirampas berada di dalam premis mereka, iaitu pejabat persatuan Kristian, dan bukan sedang disebar kepada orang Islam.

Kami melihat tindakan dan sikap MAIS/JAIS sebagai penghalang kepada usaha PAS membina keyakinan masyarakat Malaysia, samada Muslim atau bukan Muslim, bahawa Malaysia akan lebih aman, adil dan selamat sekiranya pantadbirannya diasaskan kepada prinsip pemerintahan Islam. Oleh itu tindakan MAIS/JAIS dianggap bukan sekadar mencemar imej Islam tetapi juga menyumbang kepada ketakutan terhadap pemerintahan berasas kepada ajaran Islam yang diperjuangkan PAS. Tidak boleh dinafikan bahawa ada yang menganggap bahawa itulah sebenarnya matlamat di sebalik tindakan sebegini. Dengan ketakutan terhadap PAS disematkan di kalangan bukan Islam, maka mereka akan kembali kepada BN. Kami tidak tahu sejauh mana kebenaran dakwaan ini, tetapi kami tidak mampu menolak kemungkinan ianya benar.

2. PAS DIPALIT DENGAN TINDAKAN MAIS/JAIS

Sebagai ahli Parlimen, kami telah mendapat banyak kritikan terhadap tindakan MAIS/JAIS dan dituduh pula bahawa PAS adalah yang sebenarnya di sebalik tindakan ini. Exco-Agama kerajaan Negeri dari PAS dituduh sebagai dalang sebenar di sebalik operasi ini dan ini adalah wajah PAS yang sebenar, mengikut mereka, iaitu ektrimis dan tidak menghormati hak agama lain.

Kami mengambil kesempatan ini untuk menafikan apa jua jenis penglibatan, bukan sahaja dari PAS tetapi juga oleh kerajaan Negeri, dan menyatakan dengan terus terang bahawa kedua-dua pihak ini, iaitu Exco-agama dan kerajaan Negeri, telah dibelakangkan oleh MAIS dan JAIS dalam soal ini. Serbuan dan rampasan telah dilakukan tanpa merujuk kepada Exco-Agama ataupun Kerajaan Negeri. Apabila perkara ini ditimbulkan, Pengerusi MAIS menjawab bahawa mereka tidak perlu dirujuk!

Dengan perkembangan terbaru, di mana arahan Peguam Negara turut disanggah oleh MAIS/JAIS, ianya amat jelas bahawa MAIS/JAIS ingin menjadi satu entiti yang tidak mendengar pandangan dari mana-mana pihak. Ini adalah seolah-olah mereka ingin dianggap sebagai ‘kerajaan dalam kerajaan’.

Sekiranya benar, maka keadaan wujudnya ‘kerajaan dalam kerajaan’ adalah semestinya sesuatu yang tidak sihat dan perlu dihentikan. Sekiranya tidak, maka apa jua usaha kerajaan negeri untuk membina kefahaman Islam di kalangan ummat Islam dan menjalin perasaan keharmonian di antara berbilang bangsa dan agama boleh sahaja digagalkan oleh pihak yang menganggap diri mereka bebas dari apa jua jenis pertanggung-jawaban terhadap tindakan mereka. Ini adalah kerana mereka dilantik dan bukan dipilih dan oleh itu tidak perlu dipertanggung-jawabkan oleh rakyat terhadap tindakan mereka.

Ada yang mengatakan bahawa itulah kelebihan MAIS/JAIS! Oleh kerana mereka ‘bebas dari pengaruh politik’ maka mereka akan bertindak mengikut prinsip Islam semata-mata. Untuk mengandaikan MAIS/JAIS adalah bebas dari kepentingan politik adalah naïf dan kebudak-budakan. Adakah Pengerusi MAIS, Dato Adzib dan salah seorang ahli Majlisnya, sebagai contoh, Dato Dr. Hassan Ali, boleh dianggap bebas dari kepentingan politik?

Dan inilah yang dikhuatiri. Iaitu kemungkinan kuasa eksekutif kerajaan Negeri melalui Exco-Agamanya dirampas secara dari pintu belakang oleh pihak yang ditolak rakyat, seperti UMNO, tanpa disedari.

3. KAJI KEMBALI KUASA EKSEKUTIF YANG ADA PADA MAIS

Umum mengetahui bahawa MAIS adalah institusi yang dikaitkan dengan Sultan Selangor. Berpegang kepada konsep Raja Berperlembagaan, seseorang Sultan tidak seharusnya mempunyai kuasa eksekutif. Ini adalah demi menjaga imej dan nama baik institusi kesultanan itu sendiri. Apabila mempunyai kuasa eksekutif, maka institusi kesultanan akan terdedah kepada kritikan dan teguran kerana seperti biasa, mustahil sesuatu tindakan eksekutif dipersetujui semua pihak atau tindakan eksekutifnya betul dalam setiap ketika. Dalam keadaan itu, pihak yang mengambil tindakan eksekutif tersebut akan dicemuh dan ditertawakan. Bagi mengelakkan dari ini dari berlaku, Sultan perlu berada dikedudukan yang bebas dari dan melangkaui segala tindakan eksekutif supaya tidak tercemar atau tercela.

Tindakan MAIS/JAIS menyiasat perkahwinan seorang wanita Hindu bernama Zarina tempoh hari boleh dilihat sebagai satu contoh. Betapa tindakan itu telah menyebabkan teguran dan celaan dari setiap lapisan masyarakat, Muslim dan bukan Muslim. Tanpa disedari, institusi kesultanan juga mungkin telah mendapat tempias darinya. Kritikan yang disalah-alamatkan kepada exco-agama pada hakikatnya dituju kepada MAIS dan dengan secara tidak langsung kepada Sultan!

Alhamdulillah, akhirnya ianya diselesaikan dengan pihak MAIS/JAIS berbaik kembali dengan keluarga Zarina yang telah pada awalnya marah dan menyelar tindakan MAIS/JAIS. Hanya mungkin kita bernasib baik kerana masih ramai yang tidak mengaitkan secara terus tindakan MAIS dengan Sultan. Tetapi untuk berapa lama?

Begitu juga, pendirian Peguam Negara berhubung rampasan Bible Al-Kitab dari pejabat Bible Society Malaysia. Ianya boleh ditafsirkan sebagai satu tamparan terhadap MAIS/JAIS itu sendiri. Ini jelas memalukan. Keengganan memulangkan Bible yang dirampas setelah dinasihati untuk berbuat begitu oleh hampir semua pihak, hanya menimbulkan lagi teguran dan kritikan. Ini semua dengan sendirinya boleh menyebabkan nama baik institusi kesultanan turut tercemar.

Pada masa yang sama, seorang Sultan adalah Sultan kepada seluruh rakyat di negerinya. Ini termasuk yang Islam dan yang bukan Islam. Sekiranya mana-mana pihak merasa terinaya, maka Sultan juga merupakan tempat mengadu bagi semua. Tetapi sekiranya institusi yang melakukan tindakan yang dianggap menganiaya itu dikaitkan dengan Sultan, ke mana rakyat berkenaan boleh mengadu?

Maka di atas sebab seperti di atas, demi menjaga nama baik institusi kesultanan dan kasih rakyat yang tidak berbelah-bagi terhadap Baginda, maka kami ingin mencadangkan supaya kuasa eksekutif MAIS dikaji kembali oleh kerajaan Negeri. Biarlah JAIS terletak di bawah pengurusan Exco-Agama seperti yang sepatutnya. Dan Exco-agama yang dilantik sekarang adalah jauh lebih layak, dari segi keilmuannya, berbanding semua exco-agama sebelum ini. Sekiranya di bawah yang tidak semampu sekali pun JAIS, kedudukan JAIS dan agama Islam tidak tercabar, maka apatah lagi sekiranya ianya di bawah yang lebih mampu. Sudah pasti ianya akan jauh lebih berkesan sekiranya tidak dihalang dan diganggu oleh pihak lain.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-