Skip to main content

Analisa Ringkas Keputusan PRK Teluk Intan

Pilihan Raya Kecil (PRK) sememangnya lebih sukar untuk PR berbanding Pilihan Raya Umum. Seluruh kekuatan BN/kerajaaan akan ditumpukan kepada usaha memenangkan calon mereka di tempat yang kecil itu berbanding dengan PRU di mana kekuatan BN/kerajaan akan terpaksa diagihkan di seluruh Negara. Itulah sebabnya mengapa secara umum, keputusan dan majoriti melalui PRK akan berkurangan bagi calon PR sekiranya dibandingkan dengan majoriti yang pernah diperolehi semasa PRU. Ini berlaku walaupun untuk DUN Kajang di Selangor sekalipun. Politik wang, janji projek, kerahan terhadap pengundi yang biasanya tidak keluar dan sebagainya boleh dilakukan oleh pihak BN/kerajaan dengan lebih berkesan lagi.

Kedua, PRK ini secara dasarnya tidak akan mempunyai impak terhadap kerajaan yang memerintah. Walaupun sekiranya calon PR menang, pengundi faham bahawa BN tetap merupakan kerajaan yang memerintah. Oleh itu pengundi akan memikirkan apakah yang terbaik yang mereka boleh capai melalui pilihan raya kecil ini dan sebahagian dari mereka menganggap bahawa memenangkan calon BN (mungkin) akan mampu mendatangkan pembangunan dan projek kerana BN adalah kerajaan. Oleh itu, janji untuk menjadikan Mah seorang Menteri amat bermakna bagi pengundi ini. Cogan-kata ‘ubah’ tidak membawa erti yang sama seperti semasa PRU dan tidak mampu mendorong pengundi untuk mengundi Dyana. Ini di antara sebab mengapa jumlah keluar mengundi menurun berbanding PRU13. Mereka, khususnya yang dari luar kawasan, tidak datang mengundi kerana tidak merasakan ianya sepenting PRU di mana soal menukar kerajaan merupakan matlamatnya.

Ketiga, dalam kes Teluk Intan, DAP telah meletakkan seorang calon ‘novice’ iaitu orang baru, untuk bertanding lawan seorang veteran yang merupakan Presiden Gerakan. Ada yang menganggap sekiranya Presiden Gerakan kalah dengan Dyana, seorang novice, setelah kalah dua kali sebelum ini, ianya akan merupakan sesuatu yang amat memalukan. Maka atas perasaan ingin menjaga air muka Presiden Gerakan, mereka mengundi beliau.

Keempat, calon BN adalah orang tempatan. Dia sudah lama bergiat di Teluk Intan, pernah menjadi ADUN dan juga MP sedangkan calon DAP adalah orang luar, baru sahaja ingin bertanding dalam pilihan raya, tidak dikenali dan dilihat sebagai orang ‘luar’. Pengundi tidak mampu mengenali beliau dalam tempoh yang sebegitu singkat dan media pula menonjolkan aspek sampingan berhubung calon tersebut. Propaganda negatif, seperti berbikini, minum arak dan memeluk anjing, juga mampu menimbulkan keraguan terhadap calon kerana beliau tidak dikenali oleh orang tempatan.

Kelima, calon BN telah mendapat sokongan padu dari jentera UMNO/kerajaan yang tidak hiraukan isu agama (hudud) mahupun bangsa (bukan Melayu). Walaupun Mah dari Gerakan, parti yang mengugut untuk mendakwa PAS sekiranya membawa usul hudud ke Parlimen, namun ia tidak menjadi isu kepada petugas UMNO. Namun, ianya menjadi penghalang kepada petugas PAS apabila Dyana menyebut walaupun tidak menentang hudud tetapi tidak akan menyokong usul hudud yang akan dibawa Ahli Parlimen PAS. Maka psy-war UMNO lebih berkesan di kalangan sebahagian petugas PAS berbanding arahan Presiden sendiri. Begitu juga, DAP menghadapi sedikit masalah dalaman apabila Dyana dicalonkan kerana DAP Teluk Intan pada asalnya mempunyai calon lain. Walaupun ianya dapat diatasi kemudiannya tetapi masa terbuang pada peringkat awal tempoh berkempen.

Dengan segala halangan seperti di atas, pencapaian Dyana tetap boleh dibanggakan. Jumlah 238 bukan sesuatu yang boleh dibanggakan BN lebih-lebih lagi bagi seorang Presiden parti yang bertanding lawan seorang novice. Dyana telah memperlihatkan keberanian, kematangan dalam menangani segala cabaran sebagai calon DAP dan saya yakin beliau mempunyai masa depan cerah dalam politik Malaysia.

DAP pula telah membuktikan, sekali lagi, ianya sebuah parti yang tidak mementingkan bangsa calonnya tetapi prinsip dan dasar perjuangan. DAP memperlihatkan kesungguhan kepada usaha memecahkan dakyah BN bahawa mereka parti chauvanis Cina dengan membangunkan kepimpinan Melayu muda di kalangan ahli mereka. Usaha seperti ini harus dipuji.

Dakwaan bahawa pengundi Cina sudah kembali kepada BN pada saya juga tidak mempunyai asas yang kukuh. Sebenarnya kesimpulan tidak boleh dibuat berhubung ‘peralihan sokongan pengundi’ berdasarkan PRkecil ini kerana keputusan PRk ini tidak boleh dibandingkan dengan keputusan PRU 13 kerana terlalu banyak perbezaan. Perbezaan dari segi jumlah keluar mengundi yang menurun dari 80% ke 67% dan faktor calon serta suasana yang berbeza dengan suasana PRU adalah perkara yang perlu diambil kira. Oleh itu bagi mereka yang ingin mendakwa, “pilihan raya kecil Teluk Intan membuktikan orang Cina telah kembali menyokong BN”, sila imbas kembali seminggu sebelum itu yang menyaksikan BN langsung tidak berani walaupun untuk meletakkan calon di Bukit Gelugor!

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-