Skip to main content

Perlaksanaan Hudud dan Perbahasan Berhubungnya

Isu perlaksanaan Hudud atau lebih tepat lagi, sistem perundangan jenayah syariah, telah mengambil ‘centre stage’ atau menjadi isu perbahasan utama kebelakangan ini. Tiba-tiba semua pihak bercakap berhubung Hudud, samada Muslim dan non-Muslim, pro dan contra. Suasana ini timbul sejak cadangan dibuat oleh Jamil Khir (UMNO) supaya Ahli Parlimen PAS dari Kelantan membawa usul peribadi berhubung perlaksanaan Hudud di Negeri Kelantan pada sidang Parlimen yang lalu.

MUQADDIMAH
Semenjak itu isu perlaksanaan Hudud telah menjadi bahan perbahasan utama, sehingga hampir menutup segala perbahasan berhubung MH370, GST, TPPA, catuan air Selangor dan segala isu lain yang telah menjadi tajuk perbahasan utama sebelumnya. Secara sinis saya tidak dapat menahan diri dari bertanya, “adakah itu di antara matlamat sebalik ‘Hudud Move’ oleh pihak UMNO/BN?”

Namun demikian, sebagai seorang Muslim dan pimpinan PAS, saya tetap berterima kasih atas peluang untuk menjelaskan, khususnya kepada ummat Islam, bahawa sistem perundangan Islam berhubung jenayah, termasuk Hudud, adalah sebahagian dari ajaran agama dan oleh itu wajib ke atas ummat Islam mengusahakan perlaksanaannya. Akan tetapi, dalam konteks perbahasan kita dewasa ini, ianya terhad kepada perlaksanaan di Kelantan sahaja dan bukan keseluruhan Negara kerana itulah waqi’ atau realiti yang kita hadapi pada masa ini.


UNDANG-UNDANG DAN MASYARAKAT
Semua yang berfikiran waras akan memahami bahawa wujud hubungan rapat antara undang-undang dan nilai serta norma sesebuah masyarakat. Undang-undang yang diaksanakan sebuah masyarakat semestinya selari dengan nilai dan norma masyarakat tersebut.

Dalam masyarakat lanun yang berpegang kepada nilai dan norma peraturan rimba di mana yang kuat ‘berhak’ menindas yang lemah, maka tindakan merampas hak yang lemah akan dianggap sesuatu yang biasa. Oleh itu sudah pasti mereka akan melihat undang-undang yang melarang yang kuat bertindak sedemikian sebagai sesuatu yang pelik dan tidak lojik.

Begitu juga dengan masyarakat pencuri yang hidup dengan mencuri samada di luar atau di dalam masyarakatnya sendiri, sudah pasti kepakaran mencuri dihargai dan dihormati! Dan oleh itu tindakan mencuri tidak wajar, bagi mereka, dihukum dan dianggap satu jenayah! Sebaliknya, bagi masyarakat yang mengiktiraf dan menghargai hak pemilik atas harta yang telah diperolehinya secara halal, sudah pasti tindakan mencuri akan dilihat sebagai jenayah yang perlu dihukum.

Saya masih ingat lagi satu forum yang telah diadakan di Petaling Jaya. Salah seorang ahli panelnya adalah Tun Salleh Abas. Beliau telah menyebut, mafhumnya,“Bagi masyarakat yang menganggap zina sebagai sesuatu tindakan keji dan hina, mengkhianati amanah yang telah ditetapkan Allah berhubung kebersihan nasab dan merupakan punca perpecahan dan perbalahan dalam sesuatu masyarakat, sudah pasti mereka akan menganggap hukuman terhadap penzina perlu ada dan perlu tegas dan berat. Kerana ianya dilihat sebagai satu kesalahan besar. Sebaliknya, bagi masyarakat yang berfikiran ‘liberal’, sudah pasti mereka akan merasa hairan apabila dicadangkan perlu ada hukuman terhadap penzina”.

Mungkin masalah yang dihadapi apabila hukum hudud dikemukakan untuk perlaksanaan ialah bahawa nilai dan norma masyarakat, khususnya di kalangan yang membantah, sudah jauh lari dari nilai dan norma Islam. Sebaliknya, telah banyak terpengaruh dan dicorak oleh nilai dan norma barat. Keadaan ini pula terhasil dari zaman penjajahan dan penerusan agenda penjajah oleh mereka yang kagum dengan nilai serta tamaddun barat.

MENGAMBIL PENGALAMAN DARI SEJARAH UMMAT ISLAM
Sudah pasti keadaan di mana adanya kerajaan yang ingin melaksanakan kembali sistem perundangan Islam pernah dihadapi ummat Islam sebelum ini di dalam sejarah ummat Islam yang kaya dengan pengalaman dan cabaran. Mungkin pengalaman pertama yang ummat Islam hadapinya adalah pada zaman Mujaddid pertama ia itu Khalifah Umar Abdul Aziz (RA).

Umar Abdul Aziz merupakan Khalifah Bani Umayyah yang ke-enam dan beliau mengambil alih tahta dalam keadaan sebahagian nilai dan norma masyarakat ummat Islam telah dirosakkan oleh khalifah sebelumnya. Apabila Umar Abdul Aziz mengambil alih tahta Bani Umayyah, beliau telah mengisytiharkan bahawa beliau ingin kembali kepada sistem pemerintahan Khulafa Ar-Rasyidin. Ini termasuk perlaksanaan sistem perundangan Islam dan menghentikan penyelewengan golongan berkuasa yang menindas rakyat jelata.

Sambil berusaha untuk membawa perubahan ini, pada satu hari anaknya menegurnya bahawa proses perubahan yang dilakukan beliau adalah terlalu perlahan dan lambat. Umar Abdul Aziz menjawab kepada anaknya:

“Jangan gelojoh wahai anakku. Sesungguhnya Allah mengecam/menegur meminum arak dua kali di dalam Quran dan mengharamkannya pada kali ketiga. Saya khuatir, sekiranya saya laksanakan kebenaran keseluruhannya ke atas manusia secara sekali gus, manusia akan menolak keseluruhannya! Dan ini akan merupakan fitnah yang jauh lebih besar”

Perbincangan berkenaan kisah ini pernah saya tuliskan tidak berapa lama dahulu. Berdasarkan kata-kata Umar Abdul Aziz dalam kisah ini, amat jelas bahawa beliau memahami hubungan nilai dan norma dengan undang-undang yang ingin dilaksanakan. Contoh pengharaman arak mengikut kaedah Al-Quran juga digunakan beliau sebagai hujjah dan dalil yang menunjukkan perlu adanya pembentukan nilai dan norma terlebih dahulu sebelum sesuatu undang-undang dilaksanakan. Pendekatan gelojoh, walaupun berniat baik, akan menghasilkan natijah yang lebih buruk apabila manusia tidak memahami dan tidak bersetuju dengan undang-undang yang dianggap dipaksa ke atas diri mereka dan memberontak menolaknya.

Kisah yang melibatkan Khalifah Umar Abul Aziz ini sering digunakan sebagai contoh dalam menjelaskan prinsip ‘Siyaasah Syariah’ di mana kesan buruk sesuatu tindakan diambil kira dan dielak apabila ingin melaksanakan sesuatu perubahan atau mengambil sesuatu tindakan. Ianya boleh dikategorikan di bawah sifat ‘fataanah’ atau bijaksana yang wajib ada pada seseorang pemimpin yang ingin memimpin ummatnya ke arah yang lebih baik demi mencapai kejayaan dunia dan akhirat. Dalam memimpin ke arah berkenaan maka ummatnya dibimbing selangkah demi selangkah dengan penuh teliti dan bijaksana.

Sering disamakan peranan da’i ‘reformis masyarakat’ dengan peranan seorang tabib atau doktor perubatan dan masyarakat yang ingin diubahnya sebagai pesakit. Sekiranya pesakit sedang tenat dan terlentang perlu diselidik apa penyakitnya dan diubati sehingga pesakit itu pulih sedikit demi sedikit. Dari terlentang boleh mengiring, dari mengiring boleh duduk, dari duduk boleh berdiri, dari berdiri boleh berjalan dan dari berjalan boleh berlari. Sekiranya terus dipaksa bangun dan berlari, mungkin bukan sekadar tidak pulih, terus mati pun adalah mungkin!

PENDEKATAN RASULULLAH (SAW)
Sudah pasti cabaran yang dihadapi Rasulullah (SAW) jauh lebih sukar berbanding cabaran Umar Abdul Aziz. Rasulullah berhadapan dengan masyarakat Jahilliah sedangkan Umar Abdul Aziz pula berhadapan dengan masyarakat Islam yang hidup di bawah naungan pemerintahan Islam dan dipandu wawasan hidup Islam yang telah sedikit sebanyak diselewengkan. Kebiasaan masyarakat Jahilliah dengan soal penindasan yang kuat ke atas yang lemah, penzinaan, meminum arak, riba dan rasuah serta segala yang bercanggah dengan Islam sudah pasti merupakan suatu penghalang kepada penerimaan sistem perundangan Islam. Oleh itu seperti yang sering diperjelaskan, dakwah Rasulullah (SAW) tidak bermula dengan pengenalan sistem perundangan mahu pun persoalan halal dan haram.

Pendekatan Rasulullah yang dipandu Allah pada setiap langkah dan tindakannya bermula dengan aqeedah, yang menghasilkan wawasan hidup rabbani dan pembinaan akhlak yang mulia. Sedikit demi sedikit nilai dan norma hidup Islam ditanamkan sehingga yang jelek kelihatan jelek dan yang mulia kelihatan mulia. Proses ini memakan masa sehingga nilai dan norma serta akhlak yang dibentuk menjadi asas yang sesuai untuk perlaksanaan sistem perundangan Islam terutamanya hudud. Pendekatan berperingkat dalam membentuk nilai dan norma serta akhlak ini jelas terkandung dalam ayat 32 Surah Al-Furqan yang bermaksud

“Dan berkata orang-orang kafir, kenapa tidak diturunkan Al-Quran itu kesemuanya sekali-gus kepadanya? Begitulah keadaannya, supaya ditsabitkan dan dicorakkan dengannya (ia itu dengan Al-Quran) pemikiran dan pemahaman kamu. Dan Kami bacakannya (iaitu Al-Quran kepada Nabi Muhammad (SAW)) secara tersusun berperingkat-peringkat”.

Kisah pengharaman arak sering digunakan oleh para ulama’ dan cendiakawan Islam sebagai contoh yang klasik dalam soal pendekatan berperingkat ini. Wahyu pertama dalam proses ini menegur ummat Islam dengan larangan supaya jangan melakukan solat dalam keadaan mabuk (Surah An-Nisa ayat 43). Ayat ini diwahyukan setelah berlaku peristiwa di mana seorang mengimamkan salat dalam keadaan mabuk sehingga bacaannya menjadi mengarut dan tidak tentu hala. Pada ketika itu arak masih belum diharamkan dan masyarakat Muslim, walaupun sudah berada di Madinah, masih meminum arak.

Wahyu kedua pula menegaskan bahawa pada arak itu adanya kebaikan tetapi keburukannya jauh mengatasi kebaikannya (Surah Al-Baqarah ayat 219). Dengan datangnya teguran kedua ini sebahagian masyarakat Muslim sudah mula menjauhkan diri dari meminum arak kerana kesucian aqeedah dan ketinggian akhlak sememangnya mampu melihat keburukan arak.

Melalui wahyu ketiga barulah Allah mengharamkan meminum arak dengan menyamakan arak dan judi sebagai mainan syaitan dan merupakan najis yang mana seseorang beriman perlu hentikan diri dari terlibat dengannya (Surah Al-Maidah 90 - 92). Apabila ayat ini diturunkan maka minuman arak yang disimpan di dalam tempayan semuanya dibuang dan dicurahkan. Selepas itu barulah diturunkan hukuman hudud terhadap meminum arak setelah nilai dan norma yang melihat arak sebagai senjata syaitan untuk merosakkan manusia menjadi norma dan nilai dominant masyarakat.

Kalau difikirkan secara lojik, masyarakat Islam di Medina merupakan masyarakat yang terdiri dari golongan Muhajirin dan Ansar. Golongan Muhajirin telah berhijrah dari Mekah dan mengorbankan segala-galanya demi Islam. Golongan Ansar pula telah berbaiah sanggup mempertahankan Rasulullah dan memenangkan Islam dengan harta dan nyawa mereka. Namun dalam keadaan begitu sekalipun, di mana ketaatan dan kommitmen terhadap Islam begitu tinggi, dalam pengharaman arak, Allah tetap mengambil pendekatan ‘tadarruj’ atau berperingkat-peringkat.

Mungkin di sini terletak hikmah ‘sociology’ dan ‘psychology’ yang perlu difikirkan bersama oleh semua yang ingin memperjuangkan Islam sehingga Islam secara keseluruhannya tertegak di bumi yang dipijak. Ianya merupakan persoalan menyediakan masyarakat sehingga nilai dan norma hidup masyarakat selari dengan undang-undang yang ingin dikuatkuasakan.


PENDEKATAN UNDANG-UNDANG SEBAGAI PENYELESAI MASALAH
Ada yang ingin menonjolkan sistem perundangan Islam sebagai penyelesai segala masalah yang dihadapai oleh masyarakat manusia tanpa mengambil kira keperluan untuk membentuk wawasan hidup (aqeedah) dan akhlak manusia. Pendekatan ini sama tempangnya dengan yang beranggapan bahawa aqeedah dan akhlak mencukupi untuk menjamin kesejahteraan manusia, tidak perlu pada undang-undang! Hakikatnya, tanpa adanya wawasan hidup yang tepat (aqeedah) dan akhlak yang murni, sistem perundangan yang sebaik mana sekalipun tidak mampu membetulkan kepincangan di dalam masyarakat. Dan itulah sebabnya Allah mewahyukan satu cara hidup yang lengkap bagi kesejahteraan manusia, ia itu cara hidup yang terkandung di dalamnya aqeedah, akhlak dan syariat. Dan dimulakan perlaksanaannya mengikut turutan yang sedemikian rupa.

Rasulullah (SAW) tidak menawarkan kepada penduduk di Kota Mekah sistem perundangan Islam untuk menyelesaikan masalah penyelewengan dan penindasan yang menjadi kebiasaan masyarakat Makkah. Kerana Baginda (SAW) memahami bahawa penyelesaiannya tidak semudah itu. Kerana walau secanggih mana sekalipun sesuatu sistem perundangan, manusia juga perlaksananya! Dan manusia yang korup dan tidak berakhlak akan sudah pasti mencemar keadilan dan kebaikan mana-mana sistem perundangan yang dilaksanakan termasuk yang berasaskan sumber wahyu. Sudahlah undang-undang itu tidak selari dengan norma dan nilai-nilai serta akhlak masyarakat Jahilliah, perlaksananya pula manusia yan korup dan tidak berakhlak.

Apa makna sistem perundangan yang canggih dan tersusun yang diadunkan dengan hukuman yang berasaskan sumber wahyu sekalipun sekiranya para hakim boleh dibeli dengan wang dan jawatan dan ramai pula dari rakyat yang sanggup menerima upah untuk menjadi saksi palsu? Pada masa yang sama bahan bukti yang disediakan ‘polis’ boleh diada-adakan dan tindakan menipu dianggap sebagai khidmat untuk negara dan tanah air? Atau beranggapan bahawa dengan sebahagian ‘wang upah’ mereka dan pada masa yang sama mereka boleh membersihkan dosa pembohongan mereka dengan menunaikan Haji atau Umrah?

Adakah dalam suasana sebegitu ianya sesuatu yang mustahil untuk diketengahkan seorang yang mengaku dirinya diliwat secara paksa dengan bukti dan saksi yang palsu sehingga yang tertuduh didapati bersalah dan dikenakan hukuman hudud atau takzir? Atau pencuri dilepaskan dan seorang lain dituduh melakukan kecurian tersebut dan dikukuhkan pertuduhan itu dengan bukti dan saksi palsu juga? Sehingga akhirnya orang yang tidak bersalah dimangsakan dan pencuri sebenar dibebaskan! Atau pembunuh sebenar diselindungi dan orang yang tidak bersalah dihukum melalui bukti dan persaksian palsu? Atau melalui hakim yang dibeli?

Ada yang melihat keadaan di mana kekuasaan difahami sebagai amanah dan salah guna kuasa sebagai khianat adalah asas kepada ‘good governance’. Dalam suasana sebegini para hakim, pegawai polis dan rakyat biasa tidak akan sanggup untuk menjadi alat mana-mana pihak untuk menginiaya pihak lain. Maka atas sebab itu mereka berkata good governance semestinya mendahului perlaksanaan sistem perundangan Islam kerana mereka terlalu khuatir kezaliman dan ketidak-adilan terlaksana di bawah panji Islam. Bagi ummat Islam, good governance ini akan tercapai apabila manusia muslim telah dibetulkan aqeedah (wawasan hidup) dan akhlaknya. Pada ketika itu amalan dipandu oleh perasaan takut akan kemurkaan Allah dan inginkan kereDhaanNya. Bagi yang bukan Islam pula, norma dan nilai serta wawasan hidup mereka di mana persoalan keadilan diutamakan boleh menjadi benteng penghalang dari melakukan penyelewengan.

Bukan saya maksudkan bahawa manusia perlu mencapai tahap ‘maksum’ sebelum sistem perundangan jenayah syariah dapat dilaksanakan. Keadaan begitu tidak tercapai walaupun pada zaman Rasulullah (SAW)! Walaubagaimanapun adalah memadai dengan akhlak kebanyakan manusia di dalam masyarakat kelihatan solleh dan beramanah dan sikap kebertanggung-jawaban terhadap Allah dan sesama manusia menjadi nilai dominan.

Maka yang diperlukan adalah bukan sahaja rakyat tetapi juga perlaksana/penguasa yang mempunyai nilai dan norma serta akhlak yang selari dengan sistem dan matlamat (maqasid) undang-undang jenayah syariah itu sendiri.


PERLAKSANAAN UNDANG-UNDANG JENAYAH SYARIAH DI KELANTAN
Mungkin setelah membaca tulisan di atas ada yang menganggap bahawa saya tidak setuju dengan perlaksanaan sistem undang-undang jenayah Islam di Negeri Kelantan pada masa ini. Tanggapan tersebut agak meleset.

Bagi Negeri Kelantan yang telah berada di bawah pemerintahan PAS selama 24 tahun termasuk tahun ini, saya menganggap nilai dan norma masyarakat Kelantan sudah semestinya selaras dengan sistem perundangan Islam. Dan dalam keadaan dimana Enakmen Undang-undang Jenayah Syariah telah turut diluluskan 21 tahun yang lepas, dan PAS terus memenangi pilihan raya demi pilihan raya semenjak itu, maka perlaksanaannya merupakan sesuatu yang dihajati oleh rakyat Kelantan itu sendiri. Tiada bukti yang lebih mantap berhubung kesediaan sesebuah masyarakat untuk menerima perlaksanaan undang-undang jenayah syariah selain dari memenangkan parti yang ingin melaksanakannya 5 pilihan raya berturut-turut sepertimana yang berlaku di Kelantan.

Melalui perlaksanaannya di Kelantan, adalah diharapkan keadilan dan keberkesanan undang-undang jenayah syariah ini akan terzahir dan terbukti bagi semua sehingga segala tohmahan yang sekian lama dilemparkan terhadap sistem perundang Islam akan terbukti silap dan meleset sekali. Sudah pasti bahawa semua pihak yang terlibat dalam usaha murni ini, khususnya golongan perlaksana, memahami dan menyedari akan betapa besarnya tanggung-jawab mereka terhadap Islam apabila mereka melaksanakannya. Sudah pasti juga mereka menyedari bahawa usaha mereka ini akan mengharumkan nama Islam sekiranya ianya dilaksanakan dengan baik dan merosakkannya sekira sebaliknya, naaudzubillahi min dzalik.

KEKHUATIRAN RAKAN-RAKAN PR
Kita semua memahami bahawa isu perlaksanaan undang-undang jenayah syariah di Kelantan tidak disenangi oleh rakan-rakan kita di dalam PR atas sebab-sebab tertentu. Saya memahami perasaan mereka dan mengakui hak mereka untuk tidak mempersetujui perlaksanaannya. Sememangnya ianya tidak termasuk dalam senarai perkara-perkara yang telah dipersetujui bersama dan oleh itu tidak salah sekiranya mereka nyatakan ketidak-setujuan mereka. Tindakan menolak tidak melanggar apa-apa syarat perjanjian kerjasama PR dan oleh itu kerjasama PR tidak perlu ditamatkan oleh kerananya.

Namun saya agak hairan mengenai kekhuatiran mereka yang kelihatan teramat sangat. Perlembagaan tidak dipinda. Apa yang ada sekarang terus kekal sepertimana yang sediada. Apa yang akan berlaku ialah Kelantan melaksanakannya melalui izin Parliamen atau sebagainya dan itu pun hanya terhadap orang Islam, kecuali ada yang bukan Islam turut menginginkannya. Dan sekiranya ianya tidak dilaksanakan dengan baik, sehingga menghasilkan kezaliman, maka ianya mudah dihentikan dengan rakyat Kelantan menolak pemerintahan PAS dalam pilihan raya seterusnya. Dalam erti-kata lain, ianya bukan sesuatu yang irreversible sehingga rakyat terpaksa hidup di bawahnya walaupun tidak bersetuju dengannya. Maka adakah kekhuatiran yang teramat sangat ini wajar?

Saya ingin mencadangkan kepada semua pihak, biarkan ianya terlaksana dan sama-sama kita menilainya. Jangan dijatuhkan hukum bahawa ianya akan pasti menyebabkan berlakunya kezaliman sedangkan ianya belum lagi diamalkan. Biar ia diamalkan dan sekiranya kezaliman terhasil, sudah pasti rakyat Kelantan akan menghukum kerajaan PAS dalam pilihan raya seterusnya. Dan sekiranya sebaliknya, iaitu keadilan terlaksana, dan rakyat Kelantan terus memenangkan PAS, dan dengan itu perlaksanaan perundangan jenayah syariah, maka hormatilah pilihan mereka. Dan pada pendapat saya itulah sebaik-baik cara menyelesaikan perbahasan ini.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-