Skip to main content

Tragedi MH370: Pengajaran Yang Perlu Diambil Setelah 7 Hari

Hari ini genaplah 7 hari pesawat MH370 dilaporkan hilang. Kita semua bersedih dengan peristiwa yang berlaku. Kita semua turut sama mendoakan semoga mereka semua selamat dan akan dijumpai dalam tempoh terdekat. Seluruh negara, termasuk juga yang di luar negara bersama kita.

Namun kesedihan kita ini tidak seharusnya menghalang kita dari bertanya soalan dan mempertikaikan ketidak-cekapan yang jelas terserlah sejak dari hari pertama ianya berlaku. Janganlah kita menutup rentetan kelemahan ini di atas alasan kesedihan dan menghormati perasaan keluarga yang terlibat. Tetapi kesedihan dan rasa hormat inilah yang sepatutnya mendorong kita untuk mempersoalkan kaedah yang telah digunapakai kerajaan serta pentadbirannya bertindak dalam menangani trajedi dan krisis ini. Mempersoalkan ini adalah sebahagian dari menghormati mereka yang terlibat kerana ia merupakan bukti bahawa nyawa dan keselamatan mereka benar-benar dihargai.

PERUMPAMAAN MUDAH
Bagi memperjelaskan sikap di atas dengan lebih jelas lagi, sehingga mampu difahami oleh segenap lapisan masyarakat, biarlah saya berikan perumpamaan yang mudah.

Seorang pesakit dibawa oleh keluarganya ke hospital dalam keadaan sangat tenat pada jam 2.40 pagi dan dimasukkan kedalam wad. Selama hampir 5 jam pesakit meraung kesakitan tetapi tiada yang menjenguknya selain dari 2 orang jururawat yang kesana dan kemari. Tiba-tiba pesakit tersebut tidak sedar, pitam dan koma. Pada ketika itu, iaitu pada jam 7.30 pagi, pesakit dikejarkan ke ICU untuk mendapat rawatan yang lebih rapi. Pada ketika itu juga, secara tiba-tiba semua pihak menjadi kelam kabut dan tersangat prihatin. Pada jam 1 tengah hari pula, Pengarah hospital sendiri turun untuk melihat keadaannya dan bertemu keluarganya. Dia pun mengarahkan sekumpulan pakar terbaik untuk melihat keadaan pesakit tersebut. Sambil itu semua diarah mendirikan solat hajat dan mendoakan keselamatan pesakit tersebut.

Persoalannya sekerang, mengapakah dari jam 2.40 pagi hingga 7.30 pagi tiada apa-apa yang dilakukan? Adakah apabila kelewatan ini dipersoalkan maka ianya merupakan tindakan tidak hormat kepada keluarga pesakit berkenaan? Dimanakah barisan doktor pakar dan pengarah hospital pada ketika itu? Sebenarnya tindakan mendiamkan dan menyembunyikan ketidak-cekapan inilah yang tidak hormat pada pesakit dan keluarganya. Adakah apabila dipersoalkan kecekapan pihak hospital maka ia bermakna tidak redha dengan qada’ dan qadar? Sedangkan yang dipersoalkan adalah usaha manusia dan bukannya kerja Allah.

Bertambah rumit lagi apabila ditanya mengenai keadaan pesakit, bermacam maklumat yang bercanggah disampaikan. Ada doktor yang terlibat yang mengatakan tekanan darahnya tinggi yang mengakibatkan pesakit koma, ada pula doktor yang terlibat juga tapi mengatakan tekanan darah rendah. Ada yang kata suhunya telah naik sehingga 40 darjah dan ada juga yang kata suhunya biasa sahaja. Tidak berang?

PESAWAT MH370
Begitu jugalah dengan keadaan MH370! Saya telah membangkitkan isu ini semasa membahaskan titah diraja di dalam sidang parlimen minggu ini. Persoalan yang ditimbulkan ialah mengapa tiada tindakan pada seawal jam 2.40 pagi setelah segala hubungan dengan MH370 terputus? Ia hilang dari radar dan tidak lagi dapat dihubungi melalui radio tetapi MAS hanya mengesahkan terputusnya hubungan dan hilangnya MH370 pada jam 7 pagi!



Begitu juga mesyuarat dengan agensi penyelamat lain dilaporkan hanya diadakan pada jam 10 pagi dan pihak TUDM menghantar pasukan mencari dan menyelamat hanya pada jam 10.30 pagi. Pada ketika itu, sudah hampir 5 jam semenjak peristiwa terputusnya segala hubungan dengan MH370.

Begitu juga dengan pengarahan Perdana Menteri supaya semua ajensi penyelamat melakukan apa juga yang perlu untuk mengesan dan menyelamat MH370. Arahan ini hanya dikeluarkan pada jam 1 tengah hari! Ini adalah hampir 12 jam setelah peristiwa terputusnya segala hubungan dengan MH370. Mengapa begitu lambat?

Tidak cukup dengan itu, suasana kelam kabut dan maklumat bercanggah bagaikan merupakan trademark operasi ini! Waktu terputus hubungan, DCA mengatakan 1.30 pagi, MAS pula kata 2.40 pagi! Maklumat berhubung di mana MH370 berada semasa terputus hubungan dan jumlah penumpang yang menggunakan passport curi, kesemuanya bercanggah satu sama lain dengan sebahagian maklumat hanya timbul selepas beberapa hari. Contoh yang klasik adalah kisah teori MH370 dikesan membuat u-turn didedahkan oleh pihak TUDM pada hari kedua peristiwa kehilangan MH370. Sepertimana juga soal penumpang yang menggunakan passport curi.

Keadaan menggelabah dan tidak teratur ini pasti merupakan sesuatu yang membinggungkan semua yang mengikuti peristiwa tragedi ini. Ia pasti juga menimbulkan kemarahan ramai pihak, lebih-lebih lagi bagi yang terlibat secara terus. Tidak hairan mengapa pegawai MAS dibaling botol air plastik dan dicaci sebagai penipu di Beijing oleh yang menunggu kepulangan ahli keluarga mereka di sana. Sedangkan pegawai-pegawai di sana hanya mangsa kelembaban pihak di sini.

Apa yang sepatutnya dilakukan ialah ditubuhkan satu jawatankuasa bersama yang terdiri dari semua pihak yang terlibat untuk menyelaraskan semua jawapan supaya ianya tidak bercanggah satu sama lain.

PASSPORT
Pihak Immigresen mengatakan semua pegawai immigresen telah mengikuti SOP seperti sepatutnya maka mereka tidak bersalah dalam kes ini. Namun dua orang yang menggunakan passport curi telah bolos! Kita bukan ingin mencari kesalahan sesiapa, tetapi kita perlu akui SOP yang telah ditetapkan telah gagal. Oleh itu kita tidak boleh lepas tangan dengan begitu sahaja dengan sekadar mengatakan SOP telah dipatuhi, kakitangan kami tidak bersalah.

Apa yang patut dilakukakan ialah pada mulanya mengakui kelemahan SOP yang telah membenarkan 2 orang itu bolos dan pada masa yang sama, menjanjikan perubahan terhadap SOP akan dilakukan untuk menjamin kelemahan ini diatasi. Sudah pasti, pada zaman sains dan teknologi ini, komputer mampu mengesan dan memberi amaran apabila nombor passport yang telah dilaporkan dicuri dimasukkan oleh pegawai immigresen dalam komputer mereka semasa memproses ketibaan atau pemergian seseorang penumpang. Ianya mampu diproses dalam masa hanya beberapa saat walaupun jumlah passport curi yang dilaporkan berjumlah 40 Juta sekalipun.

Agar kefahaman oleh semua pihak masih terjamin, maka sekali lagi saya ingin berikan perumpamaan mudah. Keadaan ini adalah sama seperti apabila Manchester United dibolosi Real Madrid 6-0 dan pengurus MU membuat kenyataan bahawa beliau berpuas-hati kerana pemain MU telah mengikut SOP yang telah ditetapkannya! Kalau tidak faham perumpamaan ini juga maka saya pun tidak mampu untuk kata apa lagi selain bersimpati.

SETELAH JATUH DIHINA PULA
Rakyat Malaysia seharusnya merasa terhina apabila secara mengejut telah datang pula sekumpulan bomoh yang entah dari mana membuat upacara khurafat dan syirik di khalayak ramai di KLIA. Dengan tikar terbang, teropong ajaib, tongkat sakti dan kelapa muda, mereka hanya menzahirkan betapa pihak berkuasa telah hilang punca dan menggelabah dalam menangani tragedi ini. Adalah menjadai harapan kita semua agar tindakan sebegini, yang hanya menghina Islam serta ummatnya dihentikan dengan segera dan tidak diulangi sama sekali. Pihak jabatan agama perlu mengambil tindakan keras terhadap mereka yang terlibat.

KESIMPULAN RINGKAS
Dalam masa yang sama, kita mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat di dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) setakat ini. Apa yang dipersoalkan hanyalah kelewatan respon dan kekalutan yang berlaku diperingkat awal sehingga berlakunya percanggahan maklumat. Marilah juga kita bersama terus mendoakan keselamatan semua yang terlibat dan jangan berputus asa. Segala usaha wajib diteruskan namun kelemahan tetap perlu diakui supaya dipertingkatkan lagi khidmat pada masa akan datang. Walaupun kita mendoakan supaya tiada lagi peristiwa sebegini akan berlaku, namun persediakan kita untuk segala kemungkinan adalah perlu supaya perkara yang sama tidak akan berulang lagi.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Izuddin said…
Madey, why did you say, If you want Americans, vote for Anwar.

Are you at war with America? Are you talking in allegory? And why?

You spoke against 911, and now it seem its 911 in Malaysia...just that the plane didnt hit Twin Tower.

You know what they do and they know what you do. But you both keep to yourselves.

THESE IS NOT A GAME. DONT PLAY IT. DONT START WHAT YOU CANT FINISH ! YOU CANNOT WIN THIS.

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan