Skip to main content

Respon Kepada Teguran Saudara Imran Al-Malizi

Kita tidak boleh ukur ketakwaan seseorang, tapi kita dapat menilai keilmuan seseorang drp curahan ilmu yg disampaikan dan ijtihad yg dikeluarkan. Oleh kerana itu kita boleh nampak kecacatan Khalid Samad bila menqiyaskan jawatan Timb.Presiden dgn Khalid al-Walid yg menjawat jawatan panglima tentera. Qiyas ma'al-fariq... sblum ni byk lagi kelemahan beliau bila bercakap isu2 yg melibatkan hukum-hakam (isu kalimah Allah sbg contoh). ini diburukkan lg dgn sikap beliau yg keras kepala bila ditegur.

(Imran Al-Malizi, 13 September 2013)

Muqaddimah
Pada mulanya saya ucapkan terima kasih kepada saudara ‘Imran Al-Malizi’ yang telah membuat teguran terhadap tulisan saya berhubung pemilihan Timbalan Presiden tempohari. Sepertimana yang disebut oleh beliau, “kita tidak boleh ukur ketaqwaan seseorang, tapi kita dapat menilai keilmuan seseorang drp curahan ilmu dan ijtihad yg dikeluarkan”. Harap saudara ‘Imran Al-Malizi’ juga sedar bahawa hujjah ini diguna-pakai bukan sahaja untuk diri saya, tetapi juga untuk dirinya sendiri. Dalam erti kata lain, penghujjahan yang dikemukakan oleh beliau mendedahkan tahap kefahaman diri beliau sendiri serta kemampuan beliau memahami hujjah yang dikemukakan oleh pihak lain.

Dalam tulisannya amat jelas bahawa beliau tidak memahami apa yang telah ingin saya sampaikan. Mungkin ini disebabkan kelemahan pada cara penulisan saya atau mungkin juga, disebabkan sikap beliau terhadap diri saya yang agak bias, sehingga mengaburi pemahaman beliau.

Soal Qias Ma Al Faariq
Kesilapan beliau yang pertama adalah berkenaan kenyataan ‘qias ma al faariq’ yang dilakukan diri saya di mana kononnya saya telah “menqiaskan jawatan Timbalan Presiden itu dengan Khalid Al-Walid yang memegang jawatan Panglima perang”.

Setahu saya, saya tidak pernah menqiaskan sedemikian rupa. Yang saya qiaskan adalah asas pemilihan Khalid Al-Walid sebagai Panglima perang. Pemilihan Khalid berdasarkan ‘kemampuan beliau untuk menunaikan tuntutan jawatan tersebut’. Untuk jawatan itu saya sebut, soal siapa yang lebih alim fid-diin tidak diutamakan kerana yang lebih utama adalah kemampuan memimpin tentera dalam medan perang.

Maka saya qiaskaan persoalan ini kepada soal memilih seseorang Timbalan Presiden. Timbalan Presiden juga perlu dipilih atas asas ‘kemampuan untuk menunaikan tuntutan jawatan berkenaan’. Apakah kebolehan dan kemampuan yang perlu diutamakan untuk seorang Timbalan Presiden? Mengeluarkan fatwa? Menjatuhkan hukum terhadap sesuatu persoalan ijtihadiyah?

Sudah pasti tugasan utama seorang Timbalan Presiden dalam konteks Parti Politik adalah memimpin parti dalam mengharungi perjuangan politik parti berkenaan. Maka sifat yang sepertimana yang saya sebutkan seperti kemampuan memimpin, mengurus, membaca strategi lawan, ketajaman bacaan politik dan sebagainya (amin wa qawwi) lebih diutamakan. Lebih-lebih lagi setelah diwujudkan institusi Majlis Syura Ulama’ yang akan membantunya untuk menentukan hukum dalam berijtihad. Dengan itu kemampuan mengeluarkan fatwa tidak perlu diutamakan kerana peranan itu akan dimainkan oleh Majlis Syura Ulama’.

‘Imran Al-Malizi’ boleh tidak bersetuju dengan saya berhubung sifat yang perlu diutamakan dalam memilih seorang Timbalan Presiden. Itu tidak menjadi masalah. Tetapi untuk beliau merumuskan bahawa saya menqiaskan jawatan Khalid Al-Walid sebagai seperti jawatan Timbalan Presiden agak membinggungkan. Kalau hujjah saya yang semudah itu pun tidak dapat difahami beliau, tidak peliklah apabila hujjah beliau seterusnya jelas menunjukkan kecacatan beliau dalam berpemikiran secara tepat dan kritis.

Dalam soal jawatan Timbalan Presiden, ada juga yang berqias bahawa Timbalan Presiden adalah seorang seperti Saidina Abu Bakar (RA). Persoalannya, adakah mungkin kita menemui seorang seperti Saidina Abu Bakar sekarang ini? Bagi saya, inilah sebenarnya qias ma al faariq. Qias yang sebegitu rupa tidak mengambil kira waqi’ yang ada di mana di dalam PAS telahpun diwujudkan institusi Majlis Syura Ulama’ serta adanya Mursyidul ‘Am dan Muktamar dan sebagainya melalui mana kepimpinan secara jamaa’i diamalkan. Dalam erti-kata lain, ‘peranan Saidina Abu Bakar’ dimainkan oleh ramai dan tidak lagi diletakkan pada individu tertentu kerana memang tidak ada seorang yang sehebat itu. Kegagalan memahami waqi’ seperti ini dan membuat perbandingan mudah secara ‘lateral’ atau ‘simplistik’ menjadikannya qias ma al faariq.

Bertambah lucu apabila ditanya bahawa sekiranya Timbalan Presiden adalah diqiaskan dengan Saidina Abu Bakar, maka adakah Presiden pula diqiaskan pada diri Rasulullah (SAW)!? Sudah pasti tidak! Dan siapa pula Mursyidul ‘Am? Maka membuat persamaan seperti ini memang tidak wajar dan boleh dikategorikan sebagai qias ma al faariq.

Keperluan Kepada Ilmu Bagi Seseorang Timbalan Presiden
Namun, kita semua faham, lebih-lebih lagi orang yang telah lama bersama PAS, bahawa semestinya pemimpin tidak boleh merupakan orang yang jahil dalam persoalan agama. Dan saya harap saudara ‘Imran Al-Malizi’ tidak beranggapan bahawa ada mana-mana pimpinan PAS, samada berlatar-belakangkan pendidikan agama formal, atau sebaliknya, adalah orang yang jahil agama. Kalau mereka jahil agama, sudah pasti mereka tidak bersama PAS dan ahli PAS tidak akan memilih mereka sebagai pimpinan! Maaf, PAS bukan seperti UMNO!

Pada masa yang sama, jika saudara ‘Imran Al-Malizi’ menganggap ada pimpinan PAS jahil agama, maka sudah pasti beliau termakan dengan dakyah UMNO/BN itu sendiri. Dan termakan dakyah UMNO berhubung pimpinan PAS adalah kemuncak kejahilan. Ini termasuklah mempercayai dakyah UMNO bahawa ada pimpinan PAS yang berfahaman Syiah, Liberal, Sosialis dan sebagainya. Walaupun mungkin yang termakan itu ‘bertitle’ ustaz dengan segala ‘Al’ di sebaliknya, jelas dia telah dijahilkan oleh UMNO. Apa? Tidak mungkin seorang Ustaz dijahilkan? Harap daapt bertanyakan kisah Fathul Bari dan yang seangkatan dengannya.

Adakah Saudara ‘Imran Al-Malizi’ beranggapan pimpinan Ulama PAS seperti TGNA, TGHH, Almarhum Fadhil Noor, Almarhum Hassan Shukri, Almarhum Yahya Othman dan lain-lain telah gagal dalam program mentarbiyyahkan ahli dan pimpinan PAS sehingga wujudnya pimpinan yang jahil agama dalam PAS? Sila cuba fahami apa yang dimaksudkan oleh TGNA apabila ditanya mengenai pemilihan jawatan Timbalan Presiden. TGNA menjawab orang PAS semua ulama’ dalam erti-kata tiada yang jahil agama dan oleh itu layak untuk dipilih.

Maka dalam persoalan perlunya pemimpin berilmu, semua ahli PAS setuju. Hanya tahap ilmu dan bidang ilmu berbeza satu sama lain. Golongan pelajar dinniyah sekalipun ada yang pakar bidang Hadis, Tafsir, Syariat, Lughah dan sebagainya. Tidak mungkin seorang pakar dalam semua bidang. Namun kefahaman terhadap Islam sebagai ad-diin, sebagai suatu perjuangan yang berasaskan Al-Quran, Sunnah, Ijma’ dan Qias, semua pimpinan PAS faham tentang itu.

Kelemahan Khalid Samad
Dikatakan juga banyak lagi kelemahan yang telah saya tunjukkan. Baik, marilah kita bahas satu per satu kalau beliau inginkan. Disebut isu kalimah Allah. Di mana silapnya pendirian saya? Adakah beliau tahu bahawa pada tahun 2010 setelah isu ini timbul, telah diadakan perbahasan di antara Ahli Lujnah Politik dan Ahli Majlis Syura Ulama’ di mana saya sendiri terlibat dan telahpun dicapai kata sepakat bahawa tidak salah bagi orang bukan Islam menggunakan kalimah tersebut? Bahawa nas Quran dan Sunnah bertimbun membuktikan ianya digunakan oleh bukan Islam pada zaman Nabi? Maka hukum asalnya adalah harus.

Begitu juga satu perbincangan diadakan berhubung kalimah Allah bersama Dr Wahbah Az-Zuhaili sendiri di rumah Anwar Ibrahim yang mana TITM hadir bersama pimpinan PAS lain termasuk diri saya dan sekali lagi kita telah bersetuju pada dasarnya ianya harus. Kalau beliau tidak tahu mengenai perbahasan-perbahasan tersebut, lagi baik beliau bertanya terlebih dahulu.

Soal Khilaf dan Adabul Ikhtilaf
Disebut pula bahawa kononnya saya “keras kepala bila ditegur”. Ini kononnya adalah kerana “golongan yang tidak menelusuri disiplin ilmu Islam tidak tahu berinteraksi dengan ikhtilaf dan tidak sanggup mengaku diri mereka kemungkinan tersilap dan pandangan orang lain mungkin benar”. Saya hanya mampu tersenyum apabila membaca kenyataan yang angkuh sebegini.

Saya ingin sebut di sini bahawa segala perbahasan saya, telah saya lakukan secara berakhlak. Saya tidak tuduh orang yang tidak bersetuju dengan saya sebagai ‘pro-Sosialis’, ‘Islam Liberal’, ‘ingin jatuhkan DS Presiden’, ‘ingin tolak ulama’, ‘jatuhkan Al-marhum Hassan Syukri’, ‘bongkah ais’, ‘ular daun’ dan tuduhan-tuduhan liar seperti ini. Corak penghujjahan dan pendekatan yang tidak berakhlak seperti ini diamalkan bukan oleh saya, tetapi oleh mereka yang menggelar diri mereka sebagai ulama’ haraki. Namun saya pula yang dituduh tidak tahu ‘berinteraksi dengan ikhtilaf’. Dan bukan sahaja saya, tetapi semua yang tidak ‘menelusi disiplin ilmu Islam’.

Dan apabila dilemparkan dengan tuduhan liar sedemikian rupa, adakah saya dikehendaki bersetuju? Kerana tidak bersetuju maka saya dilabel keras kepala? Saya tersenyum lagi!

Mungkinkah cara berhujjah dengan menuduh ‘pro-Sosialis’, ‘Islam Liberal’ dan sebagainya, adalah apa yang dimaksudkan oleh saudara ‘Imran Al-Malizi’ sebagai sifat “tasamuh, tawadhu’ dan meraikan pendapat orang lain secara beradab”? Kalau itulah yang dimaksudkan, maka jelas, beliau hanya mampu menyebut dan menulis perkataan tersebut tanpa memahami maksudnya yang sebenar!

Bagi beliau, hanya ulama’ (bermakna yang ada sijil mengaji agama) sahaja yang mampu menunjukkan sikap yang mulia sedemikian! Saya rasa kasihan terhadap saudara ‘Imran Al-Malizi’ yang buta terhadap keikhlasan dan akhlak mulia ahli dan penyokong PAS biasa yang kadangkala memalukan sikap pemegang sijil ijazah agama. Termasuk dalam soal khilaf.

Saudara ‘Imran Al-Malizi’, Islam dan ketaqwaan itu tidak terletak pada sijil. Adakah kamu anggap orang PAS semuanya jahil dan tidak berakhlak? Kecuali yang bersijil pendidikan agama macam kamu? Baca dan selami kata-kata TGNA, “semua ahli PAS menunjukkan ciri-ciri ulama’ kerana berhujjah berdasarkan dalil”. Janganlah saudara ‘Imran Al-Malizi’ menunjukkan lagi sikap angkuh dan jahil sebegini rupa di khalayak ramai. Malu dibuatnya. Saya khuatir akan hilang rasa hormat manusia berakal terhadap diri kamu dan golongan yang kamu dakwa kamu wakili.

Dalam tulisan saya, termasuk berhubung KD, saya telah menjelaskan bahawa ianya pandangan saya dan semua berhak menerima atau menolaknya. Saya tidak mencemuh mana-mana individu dan tidak juga menyebut mana-mana nama. Saya tidak membuat tuduhan melulu atau mengandaikan mana-mana orang terkeluar dari aqeedah Islam. Sebaliknya saya mengemukakan hujjah saya dengan penuh hormat dan tertib. Jauh berbeza dengan mereka yang mencemuh saya atas sebabnya.

Adalah juga jelas bahawa dalam soal ‘adabul ikhtilaf’ ianya tidak bererti menggugurkan pandangan kita tetapi sambil berpegang kepada pendapat itu, sekiranya berkeyakinan akan kebenarannya, menghormati juga pandangan yang lain. Saya pernah berbeza pendapat dengan seorang pimpinan utama. Saya bertemu dengannya dan meminta maaf kerana berpandangan berbeza. Dia hanya gelak dan berkata, “bukan kamu seorang, ramai juga yang tidak setuju dan berpandangan seperti kamu!” Tetapi tidak pula beliau tuduh saya tidak wala’ dan thiqah.

Soal Ijtihad Seorang Amir Jemaah
Adabul ikhtilaf diguna-pakai walaupun terhadap amir jamaah. Dalam soal KD saya berbeza pandangan tetapi saya tidak bertindak untuk menghalang atau menggagalkan usaha kempen calon PAS di situ. Saya mengeluarkan pandangan saya hanya selepas PRU selesai dengan menyatakan bahawa tindakan berkenaan jelas merugikan PAS/PR dan ianya tindakan mengkhianati perjanjian. Dalam mengeluarkan pandangan saya, saya telah bertindak atas kapasiti sebagai TPJ Selangor yang terlibat dalam perundingan kerusi.

KD sejak 2008 merupakan kerusi PKR dan tidak pernah diminta untuk dituntut balik bagi pihak PAS. KD bukan salah satu dari 6 kerusi yang bertindih dan tidak pernah dianggap bertindih! Maka oleh itu, pandangan saya, PAS tidak sepatutnya masuk bertanding di situ. PAS sudah bersetuju ianya milik PKR dan berjanji akan membantu PKR di situ. PAS tidak boleh mungkir janji.

Maka saya setuju bahawa seseorang Amir berhak membuat ijtihad siyasi dan ijtihadnya perlu diikuti selagimana ianya tidak melanggar syarak. Sebaik-baiknya Amir merujuk kepada pimpinan negeri sebelum membuat ijtihad berhubung negeri berkenaan, namun, sekiranya tidak sekalipun, ijtihad amir kena diguna-pakai oleh jemaah walaupun tidak bersetuju. Walaupun sekiranya ijtihad itu dianggap melanggar syarak sekalipun, dalam keadaan tertentu jangan membantah dulu (Rujuk kisah Dzatus Salasil).

Tetapi selepas selesai perlaksanaan ijtihad tersebut, Amir berhak disoal atas ijtihadnya dan sekiranya dianggap tersilap, diberitahu ianya silap. Lebih-lebih lagi sekiranya ianya dilihat sebagai melanggar perjanjian. Sekiranya ianya melanggar perjanjian, maka jelas ijtihad Amir bertentangan dengan akhlak jemaah Islam. Berpegang kepada perjanjian, walaupun seperti Perjanjian Hudaibiyyah, adalah wajib ke atas jemaah Islam.

Bila ditegur ianya silap, tidak perlu dijawab oleh yang ingin membela Al-Amir dengan tuduhan tidak wala’ dan thiqah atau pro-Sosialis dan sebagainya! Jawab hujjah dengan hujjah bukan dengan fitnah dan tuduhan liar.

Mengenai Labuan, ianya termasuk 6 kerusi yang bertindih dan terus bertindih sehingga selepas tarikh penamaan calon. Kata sepakat berhubung Labuan tidak tercapai sehinggalah apabila diumumkan PAS ambil 3 kerusi yang bertindih di Terengganu dan 3 lagi kerusi, termasuk Labuan dan Sungei Aceh, diserah kepada PKR. Maka bagaimana ianya dikatakan ‘rampasan kerusi oleh PKR’ saya tidak faham.

Alasan untuk bertanding di KD ini saya lihat asyik berubah. Mulanya dahulu kata sebab Sosialis. Sekarang dikatakan pula atas sebab PKR rampas kerusi Labuan. Harap selaraskan hujjah. Kalau tidak nampak sangat menipu.

Wala’ dan Thiqah
Mengapa saudara ‘Imran Al-Malizi’ tidak mempertikaikan tindakan calon PAS di 3 kerusi luar Terengganu yang terus bertanding walaupun ketiga-tiga kerusi ini telah diserah pada PKR? Adakah oleh kerana tindakan mereka dipersetujui beliau maka hujjah ‘wala dan thiqah’ tidak lagi diguna-pakai? Adakah saudara Al-Malizi menghukum mengikut emosi?

Begitu juga, dalam soal KD, mengapa tidak dipertikaikan tindakan SUA, Dato Mustafa Ali, yang turun ke KD semasa kempen dan mengisytiharkan calon PKR sebagai calon rasmi PR? Dan begitu juga tindakan kurang beradab PAS KD yang ‘mengganggu’ SUA semasa beliau berucap di KD? Adakah tuduhan tidak wala’ dan thiqah itu khas untuk orang yang bernama ‘Khalid Samad’ sahaja?

‘Multaqa Ulama’ yang diadakan baru-baru ini juga tidak dipertikai. Dewan Ulama PAS Pusat dan ulama pelapis mempersoalkan keputusan yang telah dibuat dan dipersetujui di semua peringkat parti selama beberapa tahun secara terbuka. Bukan ijtihad saat terakhir tanpa syura yang menyeluruh seperti KD tetapi keputusan yang telah disyurakan di setiap peringkat! Mereka mempersoalkan samada penglibatan PAS dalam PR menguntungkan PAS secara terbuka dengan begitu ‘grand’ sekali. Sedangkan telah diputuskan ianya menguntungkan dan itulah sebab kita bersama PR sejak 2008! Dan sebelum itu dengan BA dan APU dan HAK.

Saya sebenarnya mengalu-alukan gesaan Dewan Ulama’ ini tetapi yang saya agak hairan mengapa ianya tidak dikatakan tidak wala’ dan thiqah oleh mereka yang mempertikaikan tindakan saya dalam isu KD. Sedangkan tindakan Dewan Ulama’ dilakukan dengan diadakan program besar-besaran yang turut dihadiri wartawan dan orang awam walaupun mereka hadir sebagai ‘pemerhati’. Sepanjang perbahasan semua yang diberi ruang untuk bersuara, termasuk saudara ‘Imran Al-Malizi’ memberikan gambaran negatif terhadap Tahaluf Siyasi, khususnya dengan PKR, mempertikaikan kebijaksanaan pimpinan, sehingga akhirnya menuntut ianya dikaji balik!

Bagi saya tindakan Dewan Ulama PAS Pusat mengadakan Multaqa ini tidak salah. Sepertimana juga tindakan saya mempersoalkan turunnya calon PAS di KD tidak salah. Sepertimana dengan Multaqa, isu KD saya timbulkan selepas PRU. Bezanya Multaqa mempertikaikan kebijaksanaan PAS berTahalluf Siyasi dan bersama PR sambil saya mempertahankan Tahalluf Siyasi dan PR.

Tindakan saya mempertahankan keputusan beberapa muktamar dianggap tidak wala’ dan thiqah dan Multaqa yang mempersoalkan keputusan beberapa muktamar tersebut dianggap tidak mengapa. Rasa saya saudara ‘Imran Al-Malizi’ agak terkeliru dan dikelirukan oleh sentimen dan biasnya sendiri.

Kesimpulan
Beginilah saudara ‘Imran Al-Malizi’, jawab kesemua soalan saya di atas terlebih dulu, baru kita bahas bab lain jika masih berhajat. Tetapi harap diingat, rakyat dan ahli akan menilai kebenaran kata-kata kita dan sejauh mana ianya bijak, pilih-kasih, bias atau sebaliknya. Sesungguhnya, gelaran ‘ustaz’ tidak mampu menutup kurang bijaknya hujjah seseorang. Kebebasan bersuara bererti semua bebas bersuara dan dengan itu menzahirkan kebijaksanaannya atau sebaliknya.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

mohd shahran said…
YB jangan ulamak bodoh nie.. depa fikir syurga Allah utk yg ada ijazah lulusan agama..selain daripada tu tak boleh buat apa2.. depa tak belajar ker dengan ikhwan..morsi bukan lulusan agama tetapi boleh berbicara tentang agama dan lebih baik dari sibodoh nie...
Assalamualaikum YB Khalid Samad,

Tahniah dan syabas kepada YB yang bermatian mempertahankan pendirian kolektif PAS (dengan hujjah yang bernas dan mudah difahami) yang mana telah pun diputuskan oleh pimpinan tertinggi parti dan dipersetujui di semua peringkat terutamanya berkaitan isu Tahalluf Siyasi. Semoga Allah SWT terus memberikan petunjuk dan ilham kepada YB dalam perjuangan memartabatkan Islam di bumi Malaysia ini khususnya. Allah bagi hidayah dan petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan kepada sesiapa yang mencari redha Allah.

MAUT ADALAH NOKTAH PERJUANGAN KITA UNTUK ISLAM, INSYAALLAH

Wallahua'lam
Alang Shukrimun said…
http://ilhamdarweesh.blogspot.com/2013/09/respon-buat-khalid-samad-pula.html
edita_ez said…
Sgt jelas dan mudah difaham. . . . .
Sape x faham jugak elok masuk sekolah tadika dulu. . .
Taqs said…
Saya sependapat dengan Sdr Khalid SAmad dalam isu KD. Persoalan mudah yg perlu kita jawab sama-sama ... mematuhi janji di bawah tahalluf siyasi adalah penting ... sekiranya perkara yg seumpama ini pun kita org PAS x leh istiqamah dengan perjanjian tahalluf siyasi macamanalah sekiranya kita dapat memerintah nanti...manusia dipegang kpd janji itu pointnya
Unknown said…
Saya harap saudara Imran jawab apa yang diperkatakan olih YB Khalid Samad, Jangan sampai saya tuduh saudara Imran sebagai duri dalam daging. Selepas 13 mei kemudian ditendang daripada kerajaan BN banyak ahli pas merajuk dan mendiamkan diri sahinggakan ceramah pas ketika itu dihadiri tak sampai 10 orang. Diperengkat kawasan dan cawangan diberi jawatan semuanya menolak. Sekarang lain pulak berebut rebut hendakkan jawatan. Puncanya merebut jawatan timbalan presiden. Persoalan: Apa salahnya Mat Sabu dikekalkan jawatan satu penggal lagi????.

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-