Skip to main content

Bahagian Ketiga: Perancangan Golongan Yang Ingin ‘Menyelamatkan PAS dan Presiden’ (Kononnya)

Tulisan saya kali ini adalah lanjutan dari tulisan saya yang bertajuk Menjelang Muktamar PAS dan Pemilihan Tahun Ini dan Persoalan Apa Itu Khianat?

Maka dikatakan adanya usaha untuk menjatuhkan TG Presiden. Buktinya tiada tetapi hanya dilaungkan soal ‘pertembungan ulama’ dan professional’. Bahan propoganda UMNO/BN serta Hassan Ali untuk memecah-belahkan parti digunakan golongan ini untuk tujuan yang sama?

Saya yakin kepimpinan TG Presiden mantap dan tidak memerlukan usaha penaburan fitnah dan adu-domba seperti ini untuk menyelamatkan beliau. Saya hairan mengapa golongan ini merasakan kedudukan TG Presiden begitu rapuh. Atau adakah mereka sendiri yang tidak yakin dengan kemampuan TG Presiden serta sokongan ahli terhadap kepimpinan beliau?

Saya fikir itulah sebenarnya sikap mereka terhadap TG Presiden. Mereka, melihat TG Presiden lemah, dikuasai golongan ‘Parasit, Anwarinas, Erdogan dll’, dan oleh kerana TG Presiden lemah dan mudah dikuasai, maka TG Presiden perlu diselamatkan! Kalau tidak, bukan sekadar TG Presiden akan musnah, PAS juga akan turut musnah! Ungkapan yang kononnya menzahirkan kasih dan cinta kepada TG Presiden pada hakikatnya berpaksikan perasaan tidak yakin pada kemampuan TG Presiden sendiri! Adakah mereka ini ingin mengangkat atau menjatuhkan imej Presiden?

Oleh kerana TG Presiden dikuasai golongan Anwarinas (kata mereka), maka TG Presiden telah bersetuju menyerahkan kerusi PAS kepada PKR dengan pembentukkan PR! Sedangkan isu kerusi dirunding dari peringkat kawasan ke Negeri dan akhirnya oleh Pusat. Sebagai contoh, KD, kawasan Subang sendiri tidak pernah menuntutnya selepas bersetuju menggantikannya dengan Paya Jaras pada 2008. Maka bagaimana boleh digambarkan ianya keputusan yang dipaksa ke atas Presiden oleh golongan ‘Anwarinas’ khususnya Dr. Hatta? Sedangkan ianya telah selesai dari peringkat kawasan lagi dan tidak pernah timbul di peringkat Negeri apatah lagi peringkat Pusat.

Bagi mereka, kejayaan PAS melalui PR dengan memenangi begitu banyak kerusi adalah persoalan ketiga atau keempat. Yang terpenting adalah jumlah kerusi yang ditandingi dan melalui PR jumlah kerusi yang PAS tandingi adalah kurang berbanding era sebelum PR. Namun soal berkurangnya kerusi yang ditandingi hasil kerjasama adalah sesuatu yang boleh dijangka apabila diwujudkan kerjasama. Sudah pasti apabila berkerjasama, akan ada kerusi yang diserah untuk ditandingi oleh rakan dalam Pakatan. Menolak konsep ini bererti menolak konsep Tahalluf Siyasi dan Pakatan Rakyat yang telah diluluskan oleh Majlis Syura Ulama’, PAS Pusat dan Muktamar itu sendiri sejak tahun 1990! Keputusan pimpinan yang tepat dan menyeluruh ini dipertikaikan mereka tetapi anehnya, tiada siapa pula yang mengatakan mereka tidak wala’ dan thiqah!

Pada 1990 PAS menyerah beberapa kerusi, termasuk yang di Kelantan, kepada Semangat 46. PAS menang kembali Kelantan. Tiada pula dikatakan PAS menggadai kerusinya kepada Semangat 46 dan Al-Marhum Presiden serta PAS pada ketika itu ‘perlu diselamatkan’!

Begitu juga pada tahun seterusnya sehingga sekarang. Tiba-tiba datang golongan yang entah mana asal usul mereka dan apa sumbangan mereka kepada perjuangan PAS, memberikan gambaran bahawa PAS dalam bahaya dan perlu diselamatkan! Persoalannya selamatkan dari apa?

Setakat yang saya faham dari keluhan mereka, yang dimaksudkan ialah selamatkan dari terus bersama PR. PAS perlu bertanding di semua kerusi yang dianggap mereka sebagai milik PAS dan sekiranya berlaku tiga penjuru sekalipun, ianya tidak mengapa. Kerana bagi mereka jumlah kerusi yang ditandingi adalah ukuran kejayaan bukan jumlah kerusi yang dimenangi.

Maka tidak hairan semasa PRU 13, golongan ini telah berusaha menimbulkan ketegangan di antara PAS dan PKR khususnya, serta di dalam PAS itu sendiri. Matlamat mereka ialah supaya pada PRU ke 14, PAS akan bertanding secara bersendirian dan kalau berkerjasama sekalipun, hanya dengan DAP secara ‘electoral pact’ seperti zaman pasca 80an.

Saya tidak menolak kemungkinan mereka ini ‘ikhlas’. Tetapi yang jelas mereka teramat ‘naïf, mentah dan kebudak-budakan. Tidak hairan mereka termakan dengan propaganda UMNO/BN. Propaganda ini kerap menyebut; “PAS sebenarnya baik dan kalau bersendirian, tidak bersama PKR dan DAP, akan kami (orag UMNO) sokong…” Saya sendiri mendengar kata-kata yang sama pada PRU baru-baru ini. Tetapi hakikatnya mereka hanya mengumpan pimpinan dan ahli PAS yang ‘naïf’ supaya membawa PAS keluar dari satu-satunya pakatan yang berpotensi menjatuhkan UMNO/BN. Sekiranya bacaan saya bahawa kata-kata memuji PAS, oleh orang UMNO, adalah hanya propaganda silap, maka mengapa mereka yang ‘memuji PAS’ tidak menyokong PAS di Kuala Besut baru-baru ini?

Atas sifat naïf mereka juga mereka berkata “tidak mengapa kita kalah, yang penting kita bertanding di semua ‘kerusi kita’ atas tiket PAS. Kita pertahankan ‘maruah dan jati diri’ PAS. Kita kalah di dunia tetapi menang di akhirat..” Adakah benar Allah mengarahkan ummat Islam untuk dengan mudah menyerah kalah di dunia dan tidak berusaha bersungguh-sungguh mencapai kemenangan melalui strategi yang dihalalkan SyariatNya? Atau kamu terlalu malas dan naïf sehingga ingin Allah menangkan kamu tanpa kamu usahakan sesuatu pendekatan dan strategi yang memungkin kemenangan? Berusaha mencapai kemenangan adalah wajib dan jangan kita sempitkan Syariat mengikut kehendak kita!

Itulah sebabnya amat penting diimbas kembali sejarah dan latar-belakang pembentukan Barisan Alternatif pada asalnya dan Pakatan Rakyat pada kemudiannya. Untuk tujuan itu, kertas kerja saya berhubung Pemikiran Al-Marhum Ustaz Fadhil Mohd Noor yang bertajuk Tahaluf Siyasi: Ijtihad Semasa, Teori Dan Aplikasi boleh dirujuk.

Janganlah kita dilihat sebagai kanak-kanak yang ingin menambah bermacam-macam kuih muih hari raya dan makanan di atas pinggannya sedangkan lemang yang ada dipinggan pun tidak mampu dihabiskannya. Kalau budak-budak berperangai begitu, mungkin masyarakat boleh terima. Kalau orang dewasa berperangai begitu, masyarakat akan menyampah.

Apa yang perlu PAS lakukan ialah menumpukan kepada kerusi yang telah diamanahkan kepada PAS untuk memenanginya. Kekalkan Kelantan, menang kembali Terengganu dan Kedah serta menang Perlis! Di negeri ini memang PAS terbanyak kerusinya dan kemenangan boleh dicapai sekiranya ada kerjasama yang mantap.

Pada masa yang sama secara bersama pertahankan Selangor, menangkan kembali Perak dan sama-sama tambahkan kerusi PAS dan PR di negeri lain. Walaupun di negeri ini kerusi PAS tidak semestinya yang terbanyak, namun kemenangan di kerusi yang diamanahkan kepada PAS untuk bertanding perlu dimenangi PAS.

Ini tidak! Yang diamanahkan pun belum menang tetapi duk sibuk tambah kerusi di sana dan di sini. Tindakan yang sengaja mencari gaduh. Sepertimana dahulu pasca PRU13 ada phak seperti Hassan Ali yang sengaja ingin mencari gaduh dengan DAP, sekarang golongan anak didikannya sengaja mencari gaduh dengan PKR pula! Maka saya tidak menolak mereka ini terpengaruh dengan propaganda UMNO/BN bersama Hassan Ali and the gang!

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Asrul Sani said…
Well said. Semoga menjadi ingatan kepada ahli-ahli PAS tentang wujudnya suatu kumpulan yang samada telah termakan umpan yang ditabur UMNO/BN bagi memecahbelahkan PAS atau kumpulan yang sememangnya bercita-cita tinggi untuk memegang kuasa melalui cara terkutuk dengan memburuk-burukkan serta memfitnah kepimpinan PAS di kalangan yang ditakrifkan sebagai golongan professional dengan alasan yang tidak munasabah.

Bagi saya PAS perlu ada golongan ulama dan juga seramai mungkin golongan professional jika ingin menjadi sebuah parti yang kuat dan memerintah negara.

Seelok-eloknya ayam yang sakit perlu disembelih bagi mengelak penyakit hawar merebak. kesejahteraan PAS.

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-