Skip to main content

Waspada Usaha Pecahkan PR

BN menyedari bahawa parti politik ‘pembangkang’ yang bersendirian tidak akan mampu mencabar kedudukan mereka sebagai pemerintah Negara Malaysia. Ini adalah di antara sebab mengapa mereka telah berjaya memerintah Malaysia sekian lama dan menikmati majoriti 2/3 di Parlimen sepanjang masa mereka memerintah. Sepanjang masa, hinggalah pada Mac 2008!

PAS juga menyedari bahawa secara bersendirian, PAS tidak mampu menjejas kedudukan BN di peringkat Pusat. Maka itulah sebabnya mengapa sejak dari dahulu lagi, PAS telah berusaha mengadakan kerjasama di antara parti pembangkang. Kerjasama ini pada asalnya bertujuan mengelak berlakunya 3 penjuru sahaja tetapi mutakhir ini mempunyai matlamat yang lebih menyeluruh. Ia bertujuan untuk membuktikan bahawa satu gabungan parti politik boleh diwujudkan yang mampu membentuk kerajaan bersama dan dengan itu menjadi pilihan bagi rakyat Malaysia untuk memerintah Malaysia.

Kejayaan PAS di beberapa Negeri sebelum ini seperti di Kelantan, sejak 1990 (melalui kerjasama dengan S46) dan Terengganu pada 1999 (melalui kerjasama bersama BA), merunsingkan BN di Negeri berkenaan. Tetapi, kejayaan ini dengan sendirinya tidak menjejas BN di peringkat Pusat. Ini adalah kerana kejayaan tersebut adalah terhad kepada negeri tertentu dan tidak akan mampu mencabar kedudukan BN sebagai kerajaan di peringkat Pusat. Kejayaan di negeri berkenaan pula hanya mampu menzahirkan kejayaan PAS dan bukan kewujudan satu gabungan yang mampu mengambil-alih kedudukan BN di seluruh Negara dan menjadi kerajaan di peringkat Pusat.

Maka dengan itu, kejayaan PAS bersama PKR dan DAP, pada 2008, merupakan satu kejayaan ‘lonjakan’ baru bagi politik tanah air. Kejayaan ini menghasilkan Pakatan Rakyat (PR) dan gabungan parti ‘pembangkang’ ini jelas mampu menjejas kedudukan BN di setiap negeri dan juga di Pusat! Ianya merupakan mimpi ngeri BN yang telah menjadi kenyataan! Buat kali pertama di dalam sejarah, satu gabungan parti politik yang berbilang kaum dan agama serta fahaman dapat dihasilkan yang bertindak bukan sekadar untuk hadapi BN dalam pilihan raya, tetapi jauh lebih dari itu; gabungan ini berusaha membuktikan kemampuan mereka memerintah bersama sebagai satu kerajaan gabungan baru dalam arena politik Malaysia!

Kejayaan demi kejayaan, sejak 1990, walaupun secara berperingkat, adalah bukti kukuh bahawa pendedkatan terbuka dan ‘inklusif’, adalah pendekatan yang tepat dan berkesan bagi PAS. Pendekatan ‘inklusif’ ini bermakna pendekatan yang ingin melibatkan semua pihak yang inginkan perubahan dalam satu gagasan dan pakatan yang padu. Pendekatan ini merupakan ijtihad politik yang mengambil kira keharusan dari sudut syariyyah yang diadunkan dengan kefahaman realiti politik semasa yang tepat. Natijah yang dicapai adalah bukti akan ketepatan ijtihad tersebut.

Menyedari bahaya dan potensi yang ada pada PR, pihak BN pada 2008 telah bertindak dengan pantas untuk menggagalkannya. Sepertimana yang telah diketahui umum; di Selangor, Kedah dan Perak tawaran dibuat kepada pimpinan PAS untuk berkerjasama dengan BN di mana jawatan MB akan diserahkan PAS! Maka pada ketika itu soal kepentingan Melayu dan Islam serta bahaya Cina dan bukan Islam laungkan untuk mendapat persetujuan pimpinan PAS! SEcara tiba-tiba BN menjadikan diri mereka sebagai pembela Melayu dan Islam!

Sepertimana kita semua tahu juga, usaha untuk menggagalkan pembentukan PR pada saat awal-awal kelahirannya telah berjaya digagalkan dan dengan kegagalan itu, maka PR dibentuk dan mula berfungsi sebagai kerajaan gabungan secara praktiknya di beberapa negeri.

Walaupun gagal pada ketika itu, usaha terus dilakukan untuk memecah-belahkan Pakatan Rakyat supaya BN akan kembali menjadi satu-satunya gabungan parti politik yang mampu kekal bersatu dan memerintah bersama. Ini merupakan matlamat sebenar di sebalik tawaran kerjasama, iaitu tiada gabungan atau pakatan yang seperti BN akan dapat diwujudkan atau dipertahankan. Soal penyatuan sesama Islam dan Melayu hanya sekadar ungkapan di bibir sahaja kerana sambil ianya diungkap, Melayu dan Islam Kelantan terus ditindas.

Usaha untuk menggagalkan pembentukan dan penerusan pakatan dan gabungan ini dibantu oleh pimpinan tertentu di dalam PAS ketika itu dan ia mengambil bentuk:
1. Melaga-lagakan PAS dengan DAP pada awalnya supaya pakatan itu sentiasa dalam keadaan bertelagah (sekarang lebih kerap dengan PKR atas sebab pertindihan kerusi)
2. dan melabelkan golongan yang kuat mempertahankan PR dalam PAS sebagai golongan ‘parasit’, ‘anwarinas’, ‘erdogan’ dan sebagainya.

Pimpinan PAS yang mempertahankan pendekatan PR, atas sebab ketepatan ijtihad pimpinan yang terbukti seperti disebut di atas, menjadi sasaran utama kempen melabel ini. Mereka digelar ‘parasit’ oleh Hassan Ali dan ‘Anwarinas’ oleh Zul Noordin dan yang seangkatan dengannya. Sering juga mereka dituduh “lebih PKR dari PAS” dan diingatkan bahawa “PR hanya Tahalluf Siyasi, bukan kita wala’ kepada PR” seolah perkara itu tidak difahami mereka.

Sebenarnya, pendirian mempertahankan PR dan mengukuhkan PR adalah berdasarkan keputusan muktamar tahunan PAS yang tahun demi tahun, sejak 2008, memutuskan supaya PAS perlu mengukuhkan PR. Bagaimana tindakan mempertahankan PR dan menentukan ianya tidak digagalkan oleh golongan yang ‘gopoh’ atau ‘musta’jilun’ serta berkepentingan dapat dikatakan membelakangkan parti dan mementingkan PR lebih dari PAS? Sedangkan usaha mempertahankan PR adalah keputusan PAS!

Saya melihat ramai yang terpengaruh dengan tuduhan sedemikian sekarang ini adalah terdiri dari golongan muda yang bersemengat tinggi tetapi tidak mengetahui sejarah sebenar serta realiti politik Negara. Mereka diisi dengan semangat dan kefahaman bahawa PAS boleh bersendirian kerana sudah kuat berdasarkan kedudukan sekarang tanpa mereka memahami bagaimana PAS telah sampai ke kedudukan yang dianggap ‘kuat’ ini.

Pada hakikatnya, yang ingin sangat PAS bersendirian adalah UMNO/BN. Itulah sebabnya mengapa Hassan Ali dan Zul Noordin memperkenalkan istilah parasit dan anwarinas itu. Tidak mustahil ianya strategi yang dipilih oleh pihak risikan Negara dan Special Branch dalam usaha mereka untuk membela BN. Berdasarkan kajian teliti yang dilakukan mereka, golongan muda yang bersemangat ini boleh diguna-pakai untuk mengembalikan PAS kepada kedudukan asalnya, iaitu bersendirian dan tidak berpengaruh secara menyeluruh. Tidakkah pelik apabila istilah itu diulangi oleh golongan muda dalam PAS? Tidakkah mereka sedar betapa mereka dipermainkan oleh UMNO dan agen-agennya?

Kejayaan yang dicapai oleh PR Selangor adalah bukti bagaimana sekiranya semangat PR dihayati dengan penuh keikhlasan oleh semua pihak, semua pihak akan mendapat keuntungan darinya. PAS adalah pihak yang paling untung hasil setiakawan yang tercapai melalui PR di Negeri Selangor. Dari 4 kerusi pada 1999, kosong kerusi pada 2004, 8 kerusi pada 2008 sekarang pada 2013 PAS mencapai kemenangan di 15 kerusi. Ini merupakan kejayaan yang membuktikan keberkesanan pendekatan tersebut. Diharapkan sangat bahawa PAS, sebagai parti Islam, mampu menunjukkan keikhlasan setiakawanan yang sama. Keberkesanan PR sebagai sebuah entiti dalam mengukuhkan kedudukan PAS serta parti komponen yang lain telah pun terbukti.

Saya menyeru kepada semua ahli dan penyokong PAS, khususnya golongan muda, untuk memahami keadaan dan realiti politik Negara dan menghargai usaha pimpinan sekarang dan dahulu yang telah menghasilkan Tahaluf Siyaasi yang sedia wujud pada hari ini. Merobohkan apa yang telah dibina memang senang; membinanya memerlukan faTaanah, kebijaksanaan, hikmah dan kematangan. Mencari punca untuk bergaduh amat senang dan ia boleh dilakukan oleh mana-mana samseng jalanan. Mencari asas untuk bersatu dan berdamai hanya mampu dilakukan manusia bijaksana.

Saya yakin kebanyakan dari ahli dan penyokong PAS memahami bahawa usaha untuk mencetuskan perbalahan di antara PAS dan rakannya dalam PR adalah perancangan yang dibawa UMNO/BN. Ianya tidak bertujuan memperkukuhkan kedudukan Melayu ataupun Islam, tetapi mengukuhkan kedudukan UMNO/BN sendiri.

Oleh itu, sempena pembukaan Penggal Pertama Parlimen Ketiga Belas oleh SPB YDP Agong pada hari ini; marilah kita bersama berazam untuk mengukuhkan lagi PR sepertimana yang telah dipersetujui bersama, demi masa depan rakyat dan negara.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Mat keluang said…
Salam Khalid.

Awak memang saorang Pemimpin PAS yang progressive.
Teruskan pejuangan ini di selangor an di harap pemimpin PAS di negeri lain akan mengikuti apa yang berlaku di Selangor.
Kekalahan ramai calon calon PAS di Kedah saperti Mat Sabu kerana orang PAS sendiri tidak mengundinya.
Mereka berpecah dan menudoh nya ahli Shiah.

Kekalahan Saifuddin di Kulim kerana orang PAS tidak menggundinya juga kerana PAS berpecah.

Kekalahan 3 Kerusi Parliment PKR di Kelantan juga menjadi tanda tanya.Ini kerana semua calun PAS di kerusi dewan undangan Negeri Menang,

Kekalahan calon PKR di Bagan Srai,Perak jiga kerana orang PAS tidak menggundinya.

Kekurangan jumlah undi Parliment Permatang Pauh,Anwar Ibrahim yang melawan Dr Mazlan,bekas orang kuat PAS ada lah kerana oang PAS tidak menggudinya.Bila di tanya kenapa.Mereka berkata ada arahan dari ibu pejabat PAS untok menggundi Dr Mazlan.Anwar perlu dinkalahkan supaya Ustad Haji boleh menjasi Perdana Menteri.

Oranng PAS perlu mengubah sikap yang tidak ikhlas kapada yangnlebeh Ikhlas jika mahu menawaskan BN/ UMNO.

Saya tertarek dengannulasan Harun Din kenapa PAS tidak boleh berkerja sama dengan UMNO.Pada tahun 1970 apabila UMNO lemah mereka menjemput PAS menyertai BN.Asri setuju.Apabila UMNO kuat mereka mengusir PAS danri BN.AS terpaksa menunggu sahingga tahun 1990 untok menawan samula Kelantan.

TUn Mahathir memberi komen dalam blognya bika di tanya kenapa BN mengusir PAS dari BN.Katanya Dato ASRI sabagai Menteri Tanah dan Galian telah mengunakan pengarohnya untok menubohkan banyak ranting PAS dinkawasan Felda.
Kenapa marah Dato ASRI. Bukannkah ianya rakan kongsi dalam BN.

PAS memerlukan satu revolisi mental yang segera untok mengasingkan orang oang saperti Hassan Ali dari menguasai fikiran orang orang PAS.

Wassalam.
Unknown said…
Pakatan Rakyat sudah sempurna dah dan berpecah. Apa yang kita mahu ialah supaya dapat mempengaruhi oarang ramai iaitu para pengundi supaya lebih percaya akan Pakatan Rakyat. Undi 51% yang diperolehi dalam PRU13 sudah cukup kuat tetapi oleh sebab persempadanan PRU tidak mengikut jumlah ramai penduduk menyebabkan nasib tidak menyebelahi PR. Di Sabah dan Sarawak tiada perhubungan darat yang teratur dan masih mundur lagi menyebabkan pengundi kurang dapat maklumat yang betul mengenai PR.
aljo said…
Pada saya dari segi baik dan alim kebanyakan pemimpin pas dan pengikutnya boleh dikatakan agak sempurna.

Cuma dari segi mental, IQ, ego, pergaulan, cara berfikir, ilmu selain dari ilmu agama pemimpin pas dilihat sangat lemah walaupun selepas diperah dan dikritik.

Alangkah baiknya jika pemimpin pas mampu berfikir di luar kotak dan tidak terbelengu hanya dalam pemikiran melayu cara umno mereka.
lan said…
Kalau semua pimpinan dan ahli Pas seperti KS, saya fikir Pas akan jauh lebih maju dengan rakan2 PR.. yang penting perjuangan ini bukan mudah dan akan didatangi pelbagai ujian dan sogokan. Kuatkan tekad supaya Pas & PR akhirnya menang 1 hari nanti
Unknown said…
Pencerahan yg baik..byk sgt perli memperli oleh puak tertentu dlm pas yg label diri mereka proulama...dan di kalangan anak muda pkr juga membalas..tol9ng hentikn perbuatan takmatang seperti itu....bila ditegah kita pula dilabel macam2...

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan