Skip to main content

Kisah Dogeng Kota Damansara

Saya telah menulis beberapa isu berkenaan KD sebelum ini yang merangkumi persoalan Strategi, Akhlak Jamaah Islam, Kawasan Contoh dan Perang Uhud. Artikel ini akan cuba mengupas beberapa kisah dongeng yang berlegar selepas apa yang berlaku di KD. Apabila ingin menegakkan benang yang basah, maka bermacam-macam kisah dogeng terpaksa dikemukakan berhubung KD. Saya senaraikan di sini beberapa kisah dongeng tersebut satu per satu untuk dinilai bersama.

Dongeng 1: Kota Damansara Dipinjamkan Kepada PKR
Pada tahun 2004 KD ditandingi PAS sambil Paya Jaras ditandingi PKR. Pada 2008, atas permintaan PAS Subang, maka Paya Jaras digantikan dengan KD. Maka PAS bertanding Paya Jaras dan KD ditandingi PKR. PAS kalah di Paya Jaras tetapi PKR, dengan Dr Nasir sebagai calonnya menang di Kota Damansara.

Pada tahun 1999, tiada kerusi Kota Damansara. Kota Damansara adalah kerusi baru hasil persempadanan baru yang dilakukan pada 2003 oleh BN. Seperti Parlimen Kota Raja, Dun Sri Andalas dan Dun Sri Muda. Maka bagaimana ianya dijadikan milik PAS?

Sepanjang 5 tahun sejak 2008, tidak pernah walaupun sekali isu KD ‘dipinjamkan’ kepada PKR disebut di BPPNS.Maka kata-kata Kota Damansara dipinjamkan kepada PKR dan KD adalah kerusi PAS adalah dongengan semata-mata.

Dongeng 2: PKR Tiada Calon di Kota Damansara
Hakikatnya PKR telah bersedia menurunkan calon lain sekiranya Dr Nasir tidak setuju untuk turun sebagai calon PKR. Saudara Radzlan Jalaluddin seorang peguam adalah calon yang akan diturunkan oleh PKR sekiranya Dr Nasir bertanding sebagai calon PSM. Calon PKR ‘standby’ pun saya diberitahu sudah ada iaitu Ustaz Shamsul Firdaus.

PKR bersedia menghadapi 3 penjuru dengan PSM sekiranya perlu di Kota Damansara. Tetapi apabila Dr Nasir setuju untuk diturunkan sebagai calon PKR, maka PKR arah calon-calon mereka yang lain untuk menarik diri.

Maka cerita konon bahawa PKR tiada calon juga adalah dongeng semata-mata.

Dongeng 3: Dr Nasir Adalah Calon PSM
Hakikatnya Dr Nasir adalah calon PKR. Watiqah yang diguna adalah watiqah dari PKR. PKR turunkan beliau sebagai calon PKR. Tiada watiqah PSM dan bukan PSM yang ditentangi PAS. Bukan seperti di Semenyih.

Cuba buka mata sikit. Ada beza atau tidak Semenyih dan Kota Damansara? Di Semenyih Aru bertanding atas tiket PSM. PKR turunkan calon bertanding kerana tidak terima Aru sebagai calon PKR. Sedangkan kerusi Semenyih dipersetujui semua adalah milik PKR bukan milik PSM. Di KD kes Dr Nasir adalah sebaliknya. Hanya yang terus ingin menegakkan benang basah sahaja akan mengatakan tiada beza.

Dalam soal memilih calon, setiap parti berhak memilih calonnya sendiri atas alasan tersendiri. Ahli PAS KD perlu ingat, pada 2008, PAS meletakkan Ibrahim Ali di Pasir Mas! Ibrahim Ali bukan ahli PAS pun! Itu adalah atas maslahah PAS Kelantan. PAS Kelantan mencapai kemenangan besar, dari majoriti 1 kerusi pada 2004 kepada majoriti 2/3 pada tahun 2008. PAS mendapat 39 dari 45 kerusi pada tahun 2008! Strategi meletakkan Ibrahim mungkin telah menyumbang sedikit sebanyak kepada kemenangan itu.

Maka cerita penglipur lara bahawa Dr Nasir adalah calon PSM dan bukan PKR juga merupakan dongeng semata-mata.

Dongeng 4: PAS KD Tolak Dr Nasir Kerana beliau Sosialis
Dr Nasir seorang Sosialis sejak dahulu. Beliau bersama Dr Syed Hussin dalam PSRM dan apabila PSRM bercantum dengan Keadilan sehingga Keadilan pun menambah ‘rakyat’ dalam nama ‘PKR’ dan menambahkan jalur merah pada logonya, Dr Nasir tidak ikut sama. Sebaliknya Dr Nasir berusaha menubuhkan PSM.

Namun pada 2008 beliau diturunkan sebagai calon PKR di Kota Damansara. Begitu juga Arul yang bekas ahli PSRM juga diturunkan di Semenyih. Pada ketika itu PAS terima dan tidak membantah.

Kalau mahu tolak Dr Nasir kerana dia Sosialis, sepatutnya ianya dibuat sejak 2008 kerana semua tahu beliau Sosialis pada ketika itu lagi. Bukan baru beliau isyhtihar bahawa beliau Sosialis.

Lagipun telah diakui bahawa PKR dan DAP berbeza fahaman politik dengan PAS. Kalau PAS tolak Sosialis kerana bercanggah dengan Islam, bagaimana pula dengan fahaman liberal demokrat dan sosial demokrat yang dibawa PKR dan DAP? Dan bukankah ini sebabnya ada ‘tahalluf’ iaitu kerjasama dengan yang tidak sama fahaman politik dengan PAS. Dan bukankah ini sesuai dengan ayat 61 Surah Al-Anfal yang bermaksud;

“Dan kalau mereka telah condong kepada perdamaian, hendaklah kamu condong juga kepadanya (perdamaian), dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar dan Maha Mengetahui”.

Masalah ini sepatutnya tidak timbul lagi kerana ianya telahpun diputuskan bersama pada 2008 bahawa sekiranya Dr Nasir guna lambang PKR maka tiada masalah.

Soal Syed Hussein Ali bertanding di Kelantan dan ditolak oleh PAS Kelantan adalah atas perkiraan lain. Masyarakat Kelantan tidak bersedia menerima Syed Hussein Ali sebagai calon. Faktor ‘winnability’ dalam suasana saingan sengit perlu diambil kira. Tapi di Kota Damansara, terbukti Dr Nasir boleh menang. Ini telah terbukti pada 2008.

Maka dengan itu alasan PAS KD tolak Dr Nasir kerana beliau Sosialis juga adalah alasan dongeng yang telah direka cipta.

Dongeng 5: Dr Nasir Sebagai ADUN Banyak Menimbulkan Masalah
Ada yang mengatakan bermacam-macam perkara berhubung tindakan Dr Nasir sebagai ADUN. Masalah itu dan ini. Kononnya susah untuk dapat peruntukan untuk program dan sebagainya. Saya jawab dengan mendedahkan satu fakta sahaja untuk menyanggah ini semua.

Sepanjang 5 tahun tiada sebarang aduan terhadap Dr Nasir yang dikemukakan dalam mesyuarat BPPNS. Kalau ada pun, isu biasa yang melibatkan semua ADUN yang bukan PAS yang dihadapi oleh ahli PAS. Biasalah tu, mereka pun sibuk membuat program sendiri dan PAS pun dengan programnya. Sepatutnya kerja rapat. Program PKR/DAP program PAS, program PAS program mereka juga kerana semua untuk bertemu dengan rakyat jelata yang merupakan pengundi PR bersama.

Pada masa yang sama ramai juga ahli PAS jadi Nazir Masjid, AJK Masjid, Ketua Kampung, JKK, Ahli Majlis dan sebagainya. Tiada pula Dr Nasir menhalang fahaman Islam dari disebarkan dan fahaman Sosialisma diajar di Masjid dan Surau!

Amatlah menghairankan kenapa tiba-tiba apabila sudah dekat dengan PRU baru isu ini timbul. Semasa membincangkan soal siapa calon untuk Paya Jaras, di mana pimpinan Selangor bertemu pimpinan PAS Subang berkali-kali, termasuk selepas pembubaran Parlimen, tiada walau satu ayat pun dikeluarkan berhubung KD!

Maka bagi saya, sebagai pimpinan PAS Negeri Selangor, alasan Dr Nasir banyak menimbulkan masalah adalah dongeng ke 5.

Dongeng 6: Bertanding di KD adalah Keputusan Majlis Syura!
Saya malas hendak jawab. Saya nasihat penghujjah jangan menipu. Walaupun kita tahu “peperangan itu adalah tipu-helah” janganlah guna hadis itu sebagai alasan untuk menipu ahli dan rakyat. Saya bukan berperang dengan saudara-saudara. Saya hanya ingin menegur kesilapan yang telah dilakukan. Jangan menipu. Jatuh imej tuan-tuan semua; lebih-lebih lagi yang bergelar Ustaz.

Sebenarnya, jika benar ikhlas, alasan tidak perlu bertukar-tukar dan berbagai jenis. Tidak perlu ditokok tambah dengan macam-macam cerita penglipulara. Cakap je, “Dia Sosialis”. Atau “dia susah nak kerjasama”. Atau “kerusi dipinjam”. Atau “PKR tiada calon”. Pilih sahaja satu dan hujjah berasaskan yang itu. Ini tidak. Alasan berbagai dan beraneka bentuk dan banyak darinya yang dongeng belaka. Itu adalah bukti alasannya adalah alasan semata-mata.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Taqs said…
1 Saya sangat setuju pandangan sdr YB. Berkata benar walaupun pahit.
2. Sebenarnya saya sangat khuatir tentang keberdayaan PAS untuk menjadi parti yang dominan untuk menggantikan UMNO pru14 nanti.
3. Ada byk perkara yang perlu diselesaikan oleh PAS especially DEwan Ulama seperti hiburan, pemilihan pemimpin, thalluf syiasi.
4. Saya melihat PAS bukan sekadar parti/jabatan fatwa halal dan haram. Inilah label paling dahsyat yang diberikan oleh orang muda dan penyokong tegar UMNO.Maksudnya PAS mesti jadi parti yang praktikel dan berpijak dibumi yg nayata.Kalau kita mengharamkan konsert atau hiburan (saya sokong 100%) apa alternatif yg kita nak berikan kepada mereka ... perkara inilag yg paling lemah dalam PAS, 5. Cukupkah sekadarkan mengeluarkan fatwa itu haram dan halal adalah mudah.
6. Saya beri anologinya sseorang pengadil bolasepak, apabila dia meniup wisel orang ramai dah tau sudah pasti ada kesalahan dilakukan dalam kalangan pemain. Oleh telah disediakan hukumannya.
7. Sekarang PAS dilihat sebagai parti yg menghukum (jgn salah fhm sy menyokong ketegasan kita ttg halal haram).Apa yg perlu ditambah ialah kesediaan PAS memberi alternatif. Oleh itu kita perlu wujudkan rangkaian talking circle dengan melibat ulama, cendiakawan, wakil pelbagai bangsa dan agama, dan golongan muda pewris kepimpinan masa hadapan. Supaya kita boleh memberikan pilihan yang terbaik dan dapat menyelesaikan masalah umat sekarang









lan said…
Cantik sekali ulasan dan 'slam' KS pada puak2 itu!.. Moga mereka diam dan sedar kesilapan mereka!
Assalamualaikum YB,

Saya ucapkan syabas atas keberanian YB dalam menyatakan pendirian YB serta PAS Selangor berhubung isu KD.

Isu KD merupakan satu episod 'malang' dalam perjauangan PAS bersama gagasan PR melalui demokrasi pilihanraya. Saya melihat komen2 yang cuba meng'halal'kan sikap segelintir puak dalam PAS yang mengkhianati keputusan Muktamar PAS yang merupakan cita-cita para pendokong serta penyokong PAS (termasuk yang bukan Islam) menggunakan wadah PR dalam membebeaskan negara ini dari kezaliman BN.

Puak yang kecil bilangannya ini bertindak memanipulasikan keadaan serta cuba mempengaruhi beberapa pimpinan PAS tertinggi, tetapi disedari oleh mereka yang lain yang komited dengan hasrat dan aspirasi PAS.

Sebenarnya ramai orang yang terkeliru dengan hujah golongan ini yang menyandarkan hujah tindakan mereka atas prinsip-prinsip Islami. Sedangkan tindak-tanduk mereka sebenarnya yang bercanggah dengan prinsip jamaah yang, melanggar arahan pimpinan, mengkhianati kerjasama yang dibina dalam PR dan menipu sekalian pendokong & penyokong PAS.

Bukankah PRU satu medan 'perang'? Dalam peperangan ada matlamat strategik yang ingin dicapai melalui pendekatan taktikal. Melatakkan calon disesuatu kawasan merupakan tindakan taktikal bagi mencapai hasrat strategik yang lebih luas. Jika taktik tersebut gagal ada kemungkinan matlamat strategik akan turut gagal. Bahayanya jika lebih ramai yang bersikap sedemikan yang sengaja merosakkan 'battle plan', golongan seperti ini lebih baik berundur dari barisan hadapan.

Lebih jika mereka ini yang mempunyai pengetahuan Islam yang lebih baik dari penyokong PAS yang biasa, memperhebatkan dakwah dan membuat penerangan mengenai konsep tahaluf siyasi daripada mengelirukan orang ramai. Jika tidak lebih baik kita mempunyai lebih ramai Ustaz Azhar Idrus yang dapat menarik muda-mudi dan remaja untuk mendekati Islam, bergiat dalam NGO di peringkat komuniti atau berkhidmat bersungguh-sungguh dalam profesion masing-masing untuk membuktikan para pendokong & penyokong PAS mempunyai kualiti untuk menyambung jentera kerajaan apabila kepimpinan negara beralih kepada PR & PAS satu hari nanti, INsya Allah. Wallahu'alam.
Unknown said…
Lebih malang jika yang begelar `Ustaz' leboh jahil dan tidak telus dalam tindak tanduk dan agenda..
Tak baik pulak kalau suruh buand janggut dan serban, sunnat ikut Nabi!
PRU13 buat lagi lah macam ini!
Nak rampas Putrajaya?
Kena muhasabbah diri 5 tahun lagi!
Dalam perjalanan yang penuh ranjau dan duri, renung dan kenang kesilapan PAS sendiri!
Berapa gergasi PAS yang kecundang PRU13 ini?
MInta amoun maaf dengan Allah kerana terlupa matlamat prejuangan Parti - mencegah kemungkaran dan menegakkan kebenaran!
Innallah maasabirin..
ahrijal said…
Tak habis-habis lagi ke isu KD ni, org PKR pun diam je.. YB Pas pulak dok pulun tak habis-habis lagi..

Banyak lagi isu lain YB patut tgk, biarlah PKR yg bising. Jangan dok sibuk nak jadi juru cakap PKR pulak.
raj raman said…
rajraman666. Cerita dongeng Pas PSM komunis. Adakah Ulama Hadi tahu beza antara socialist dan komunis.

Tuan Ulama tolong lah baca sejarah sebelum menuduh orang.Apakah Dr. Nasir tidak tunaikan solat saperti orang PAS.
awas said…
Sesetengah Ustaz dlm Pas ini pun manusia biasa sahaja tapi bertindak tanpa dasar Islam sebenar yang di ajar Allah swt dan Rasululullah. Bukankah kita d ajar berkata benar dan berpegang Janji walaupun tidak menyebelahi kita.

Ustaz2 dalam PAS perlu banyak cermin diri.
anak kurau said…
Tahniah di atas pencerahan yg amat baik sekali formatnya. Saya doakan sdr sentiasa diberi taufiq dan hidayah dari Allah SWT. Selamat Berjuang. Wassalam.
Unknown said…
Spot on, bro ! Way to go, YB !
bat8 said…
YB,

Satu rebutal yang bersistematik dan jelas serta loikal.

Saya hanya mampu meluahkan rasa sedih dan kesal yang teramat kepada pimpinan PAS Subang terutama Sdra Zaharudin dan golongan pimpinan dari kalangan ustaz atas tindakan mereka mensabotaj calon Pakatan di KD.

Bagi saya ceritanya jelas ia adalah satu kerja sabotaj yang dirancang oleh sekumpulan pimpinan PAS kawasan atas muslihat kepentingan kelompok kecil mereka.

Yang lebih memilukan ia dilakukan oleh orang-orang yang memperjuangkan Islam. Islam yang cantik kelihatan buruk akibat perbuatan sabotaj yang mereka sengajakan.

Saying no more...rasanya kekecewaan yang terbuku dihati sudah saya luahkan diatas secara rengkas.

bat8
Unknown said…
Ada orang kata BUDAK NAKAL ada peranan. Malu juga orang alim di gelar BUDAK NAKAL
mohd shahran said…
YB jangan dilayan sibebal//Biarlah mereka membawa ijazah panjang berjela dari timur tengah ker dari malysia ker.. Kalau Bangang tetap Bangang. Depa tak kan terima hujah YB. sebab mereka terima hujah dari tukang karut aje..
Unknown said…
Syabas YB KS..kerana YB berpijak di bumi yang nyata..Allahuakbar !!
pendidikmy said…
Sememangnya kehilangan kerudi KD amat mengecewakan. Tindakan segelintir ahli PAS KD amat memalukan. Harap-harapnya jk post mortem yang ditubuhkan dapat melihat isu KD dan juga SG. Acheh secara telus dan mendalam. Mereka yang menyalahi dan memainkan peranan dalam kemelut di dua kawasan berkenaan perlu dikenakan tindakan sewajarnya.

Biarlah PAS kehilangan ahli yang tidak akur dan jujur terhadap perjuangan. Peristiwa yang berlaku ada hikmahnya. Jelas menunjukkan bahawa masih ada pimpinan dan ahliPAS yang tidak ikhlas.

Taniah YB atas ketelusan dan teguran yang membina.

Mudah-mudahan Allah memberikan kebaikan atas usaha YB.
Anonymous said…
PAS perlu ambil pelajaran dan pengajaran..
Jika dalam lingkungan jemaah yang disokong oleh parti PKR dan DAP yang mempunyai aliran pemikiran yang sama pun PAS kucar kacir...
apatah lagi yang berkehendakkan UG?
mungkin pada masa itu UMNO bertepuk tangan dan ketawa mengekeh mereka telah berjaya mengkucar kacirkan PAS...
selepas itu apa pula?
PAS hendak bertatih semula?

NauzubILLAH..
Unknown said…
YB KS ni dh masok pkr ka? mcm Ajk PKR pusat plak mmbri pnerangan..

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan