Skip to main content

Bertanding di Kota Damansara Dari Sudut Akhlak Jamaah Islam

Beberapa hari yang lalu telah saya bahas dari sudut ijtihad atau keputusan strategi. Hari ini saya ingin bahas dari sudut yang lebih berat iaitu akhlak jamaah Islam.

Untuk membahas dari sudut akhlak jamaah Islam, satu persoalan utama perlu dijawab terlebih dahulu. Persoalan ini ialah samada wakil rasmi PAS dalam mesyuarat perundingan kerusi di peringkat PR Pusat telah memberi persetujuan untuk menerima Dr. Nasir sekiranya beliau diturunkan sebagai calon PKR atau sebaliknya? Sekiranya persetujuan telah diberi oleh wakil rasmi PAS di mesyuarat tersebut, maka walau apa pun alasan yang diberi oleh kawasan dan cawangan-cawangan, tindakan PAS bertanding adalah salah dari segi akhlak jamaah Islam.

Sekiranya ianya tidak dibincang dan wakil PAS di mesyuarat perundingan kerusi PR Pusat telah dengan jelas menyatakan bahawa walau apa pun, calon PSM tidak boleh diterima, maka tindakan PKR meletak Dr. Nasir sememangnya menempah masalah.

Sememangnya setiap kerusi dibincang dan diputuskan di mesyuarat PR Pusat. Bukan untuk Kota Damansara sahaja tetapi untuk semua kerusi yang ditandingi. Setiap kerusi dibincang dan diagihkan di antara parti yang terlibat berdasarkan maklumat dari Negeri yang telah diambil dari kawasan. Oleh kerana PAS tiada pertindihan kerusi dengan DAP maka biasanya PAS akan berunding dengan PKR sambil PKR pula akan berunding dengan DAP berhubung kerusi majoriti bukan Melayu.

Dalam soal KD ianya telah ditandingi oleh PKR pada tahun 2008 dan Dr. Nasir jugalah calon yang diturunkan oleh PKR. PKR menurunkan Dr. Nasir sebagai calonnya di Kota Damansara pada 2008 dengan persetujuan mesyuarat PR dan beliau telah menang. Semua yang terlibat dengan mesyuarat PR mengetahui bahawa Dr. Nasir adalah dari parti PSRM pada asalnya tetapi keluar PSRM apabila PSRM disatukan dengan PKR. Dr. Nasir dan beberapa rakannya kemudiannya berusaha untuk mendaftarkan ‘PSM’ sejak sebelum 2008 lagi. Tanpa adanya parti sendiri maka mereka bersetuju untuk bertanding dengan menggunakan lambang PKR. PKR pun bersetuju untuk mengelak berlakunya 3 penjuru dan mesyuarat PR meluluskannya.

Pada 2013 PSM telah didaftarkan. Maka pada ketika itu mereka ingin bertanding atas lambang PSM. Perkara ini, sefaham saya, telah dibawa ke mesyuarat PR. Keputusan mesyuarat PR pada ketika itu ialah sekiranya mereka bertanding atas lambang PKR maka status quo akan kekal dan mereka akan diterima sebagai calon PKR dan dengan itu calon PR. Dan ini dipersetujui oleh wakil PAS di dalam mesyuarat tersebut yang turut menegaskan supaya elak pertandingan 3 penjuru.

Sebaliknya, sekiranya mereka bertanding atas lambang PSM maka mereka tidak mewakili PR. Dalam keadaan itu PKR akan bertanding juga walaupun berlaku 3 penjuru! Yang akan bertanding melawan PSM pada ketika itu adalah PKR bukan PAS! PAS tiada kena-mengena dengan kerusi tersebut kerana ianya kerusi PKR. Itu yang dipersetujui oleh wakil rasmi PAS.

Berbekalkan keputusan ini maka PKR berusaha memujuk ahli PSM untuk bertanding atas lambang PKR seperti pada 2008. Ini adalah untuk mengelak dari berlakunya 3 penjuru yang mungkin akan menyebabkan PKR dan PR kehilangan kerusi berkenaan. Calon PSM untuk DUN Semenyih yang bertanding atas lambang PKR pada tahun 2008 telah menolak tawaran tersebut. Maka PSM turun sebagai calon PSM dan oleh itu berlakulah 3 penjuru di antara PKR, PSM dan BN di Semenyih. PKR bertanding walaupun 3 penjuru adalah sepertimana yang diputuskan dan dipersetujui dalam mesyuarat PR. Hasilnya BN menang di Semenyih dan PSM dianggap membantu BN untuk mencapai kemenangan.

Di Kota Damansara, PKR berjaya memujuk Dr. Nasir untuk bertanding dengan lambang PKR. PKR mengarahkan bakal calon PKR sendiri, iaitu Sdr Razlan Jalaluddin seorang peguam untuk menarik diri dan beri laluan kepada Dr. Nasir. Sdr Razlan akur dengan keputusan tersebut dan menarik diri. Dr. Nasir seterusnya diturunkan sebagai calon PKR. PKR yakin keadaan 3 penjuru telah dielak dan terkejut apabila didapati PAS menurunkan calonnya untuk Kota Damansara pada pagi penamaan calon! Pada ketika itu, dan biarlah kita bercakap ikhlas dalam soal ini, jangan berputar-belit macam Yahudi, PAS turunkan calon menentang calon PKR bukan calon PSM!

Wakil rasmi PAS dalam mesyuarat PR Pusat telah dihubungi. Beliau berada di Sabah dan tidak ketahuan apa dan mengapa perkara tersebut berlaku. Setelah dimaklumkan, beberapa hari kemudian, beliau telah turun dari Sabah ke Kota Damansara untuk mengisytiharkan Dr. Nasir sebagai calon rasmi PR! Malangnya ahli PAS Kota Damansara menolak pendirian beliau sedangkan beliau adalah wakil rasmi PAS dalam soal perundingan kerusi!

Apa yang ditulis di atas adalah apa yang saya dimaklumkan oleh wakil rasmi PAS ke mesyuarat perundingan kerusi PR Pusat, iaitu Setiausaha Agung PAS, Dato Mustaffa Ali. Sekiranya apa yang diceritakan adalah benar, maka amat jelas PAS telah mungkiri janji.

Sekiranya begitu maka amat sangat malanglah keadaannya, lebih lebih lagi sekiranya PAS ingin terus menafikan bahawa PAS telah melakukan kesalahan dengan melanggar apa yang telah dipersetujui bersama. Soal perjanjian dan berpegang kepadanya adalah sesuatu yang amat dipentingkan oleh Islam. Oleh itu tindakan melanggar janji adalah satu tindakan yang tidak boleh dibenarkan dan didiamkan. Allah berfirman di dalam Al-Quran:

“Dan janganlah kamu jadikan perjanjian yang kamu sertai di antara kamu (sebagai bahan mainan). Akan tergelincir kaki setelah berdiri teguh. Dan akan kamu dilemparkan dengan kehinaan kerana kamu menjadi penghalang kepada jalan Allah (dengan perangai buruk kamu) dan di akhirat akan kamu menerima azab yang dahsyat.”
(An-Nahl 94)

Tindakan langgar perjanjian di dalam ayat ini di samakan Allah dengan tindakan menghalang manusia dari jalan Allah! Kerana dilihat oleh mereka bahawa orang Islam tidak berpegang pada janji. Maka mereka memandang hina terhadap orang Islam dan dengan itu menjadi punca mereka menjauhkan diri dari jalan Allah. Fikir-fikirkanlah. Tindakan tersebut sebagai sebuah ‘Parti Islam’ mempunyai implikasi luas dan terus terhadap tanggapan manusia mengenai Islam itu sendiri.

Untuk makluman, di peringkat Negeri Selangor, soal PAS bertanding di kerusi Kota Damansara tidak pernah timbul walau dalam apa-apa perbincangan. PAS Negeri dan Kawasan telah bersetuju bahawa kerusi itu adalah milik PKR dan PAS tidak akan bertanding di situ! PAS Kawasan Subang, iaitu kawasan di mana terdapat DUN Kota Damansara, bertemu berkali-kali dengan PAS Negeri tetapi hanya untuk berbincang persoalan calon Paya Jaras SAHAJA! Pendirian Negeri inilah yang diulangi di peringkat Pusat.

Adalah merupakan kebiasaan bahawa janji dan persetujuan yang dibuat oleh wakil rasmi sesebuah pertubuhan adalah merupakan janji dan persetujuan pertubuhan tersebut. Sekiranya PAS mempunyai tanggapan berbeza, di mana janji dan persetujuan wakil rasmi yang diberi mandat untuk mewakili PAS di dalam sesuatu perbincangan tidak mengikat PAS, maka perlu diberitahu pada semua dari awal. Dalam ertikata lain, PAS perlu beritahu bahawa wakil PAS boleh berjanji tetapi janji dan persetujuan itu boleh dibatalkan dan dilanggar pada bila-bila masa mengikut keseuaian tempat dan keadaan semasa.

Saya minta pendirian jelas dikeluarkan yang mengatakan begitu sekiranya benar itulah sikap PAS terhadap janji dan persetujuan yang diberi. TETAPI ketahuilah, sekiranya itulah sikap PAS maka tiada siapa akan membuat perjanjian dengan PAS kerana janji tersebut tidak bermakna!

Dalam soal ini hujjah ‘ijtihad pemimpin’ tidak boleh diguna-pakai. Kerana pemimpin tidak boleh berijtihad untuk melanggar perjanjian dan persetujuan yang telah dicapai sebelumnya dengan begitu sahaja. Untuk makluman di antara matlamat utama PR ialah untuk menentukan satu lawan satu menentang BN. PAS telah beri komitmennya untuk mengukuhkan PR. Tindakan bertanding di Kota Damansara bercanggah dengan apa yang dijanji dan dipersetujui.
عَÙ†ْ عَائِØ´َØ©َ رضي الله عنها Ù‚َالَتْ : Ù‚َالَ رَسُولُ اللَّÙ‡ِ صلى الله عليه وسلم :
" Ø¥ِØ°َا Ø£َرَادَ اللَّÙ‡ُ بِالأَÙ…ِيرِ Ø®َÙŠْراً ، جَعَÙ„َ Ù„َÙ‡ُ Ùˆَزِيرَ صِدْÙ‚ٍ ، Ø¥ِÙ†ْ Ù†َسِÙŠَ Ø°َÙƒَّرَÙ‡ُ ، ÙˆَØ¥ِÙ†ْ Ø°َÙƒَرَ Ø£َعَانَÙ‡ُ ، ÙˆَØ¥ِØ°َا Ø£َرَادَ اللَّÙ‡ُ بِÙ‡ِ غَÙŠْرَ Ø°َÙ„ِÙƒَ ، جَعَÙ„َ Ù„َÙ‡ُ Ùˆَزِيرَ سُوءٍ ، Ø¥ِÙ†ْ Ù†َسِÙŠَ Ù„َÙ…ْ ÙŠُØ°َÙƒِّرْÙ‡ُ ، ÙˆَØ¥ِÙ†ْ Ø°َÙƒَرَ Ù„َÙ…ْ ÙŠُعِÙ†ْÙ‡ُ "
[ رواه أبو داود والنسائي ] .


Dari Ayesyah (RA): Telah berkata Rasulullah (SAW):-
Sekiranya Allah inginkan kebaikan bagi seseorang pemimpin, akan diadakan untuknya wazir yang bersifat benar. Sekiranya dia lupa akan diingatkannya dan sekiranya dia ingat akan dibantunya. Sekiranya diinginkan Allah sebaliknya, maka diadakan untuknya wazir yang jahat. Sekiranya dia lupa tidak diingatkannya dan sekiranya dia ingat, tidak dibantunya.
(Riwayat Abu Daud dan An-Nasaii)

Biarlah ahli PAS menjadi sebagai wazir yang Siddiq yang membantu kearah pengukuhan PR sepertimana yang diinginkan PAS. Maka apabila pimpinan lupa, sama-sama kita ingatkan dan apabila pimpinan ingat dan berusaha keras untuknya, sama-sama kita bantu.

Maka sekali lagi saya nyatakan, sekiranya persetujuan telah diberi oleh wakil rasmi PAS dalam mesyuarat PR bahawa PAS tidak akan bertanding di Kota Damansara apabila PKR menurunkan calon, walaupun calon itu adalah Dr. Nasir, maka tindakan PAS bertanding di Kota Damansara adalah salah, bercanggah dengan akhlak jamaah Islam dan menjatuhkan imej PAS dan Islam dikhalayak ramai.

Saksikan ya Allah bahawa saya telah tunaikan tanggung jawab saya kepada pimpinan saya!

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

SysOp said…
Bhai Khalid Samad...

Masalahnya yang telah berlaku ialah bagaimana boleh ada watikah calon yang tidak ditandatangani oleh SU Agung PAS selaku wakil rasmi PAS... tetapi ditandatangani oleh pihak lain...

Inilah punca kemelut.

C++
CipanTapirTenuk.Blogspot
JinPakaiTuncit said…
assalamu'alaikum, tuan

thank you for your continued dedication and honesty.

i wonder though, are the deaths in custody of mainly indians of any concern to you? is this not a more pressing matter than contesting for seats?

will you break your silence?

i am of the opinion that this is also your duty towards your constituents.
Monkey Code said…
Alhamdulillah, ada yang berani kerana takutkan Allah.
Abu Amin said…
Isu Semenyih dah dijelaskan. Sebelum ni YB dituduh bias kerana sentuh kes KD sahaja. Sy sokong YB sejak YB berani menentang Hasan Ali wpun bersendirian pd awalnya dan YB dikenakan tindakan disiplin. Kami marah dgn Pas pusat tapi tetap bersabar. Teruskan pendirian YB yg celik dan bijak.
Halim said…
Well said sdr Khalid!
Hujah di pihak yg benar sangat mudah difahami. Lurus dan cerah sifatnya.
Tidak perlu kepada silat silat lidah yg berbelit..

Wassalam,
warm rgds
mohd shahran said…
Selagi ada orang bodoh dalam PAS.selagi tu PAS susah menang YB. Pada Kita ialah jelas Majlis Presiden dah putuskan PKR.. Nape ada yang BEBAL meletakkan calon Kemana dibuang perkataan 'wala' yang diterapkan.. si Bebal beri hujah sejarah? sadis betul.. Apapun peritiwa sejarah kena akur dengan keputusan pimpinan.. Teruskan usaha YB walau dilanda badai dari ombak si bebal dan kuncu2nya
ahrijal said…
Lepas ni kita pakat angkat khalid samad jadi president pas jelah..

Lepas ni bolehlah ulas sekali kerusi Labuan dan Sg Acheh..
ahrijal said…
Lepas ni kita ramai-ramai pakat angkat khalid samad jadi presiden pas lah, tak pun angkat dia jadi presiden pkr..

Jangan lupa pak.khalid, ulas sekali isu Labuan dan Sg Acheh, baru nampak adil.
Mat keluang said…
Khalid.
Jika ini sikap dan pendirian saudara dalam soal penentuan calum.saya tabik.
Tuan merupakan contok pemimpin PAS yang dinamik dan Ikhlas.

Bukan sahaja di Kota Damansara sikap orang PAS mengechewakan.Saya ingin memberi contok di kawasan Parliment lain dimana sikap pemimpin PAS dan pengikutnya menyebabkan kekalahan calun PKR dan PAS.

Di Permaang Pauh apabila Dr Mazlan bekas orang kuat PAS yang belot dan melawan Anwar,ramai orang PAS telah berkempen untok mereka menggundi Dr Mazlan,konon nya ini merupakan arahan dari Ibu Pejabat.Anwar perlu di kalah kan supaya Tuan Guru HADI President PAS boleh menjadi PM.

Akibat dai kempen ini ramai kawan kaan saya dalam UMNO bekata Anwar akan bekubor di Penatang Pauh.
Akhirnya ia menang tapi Undinya merosot 5000 .

Kedua kekalahan Calun PKR ,Saifuddin di Kulim Bandar Baru dan Ustad Yaakop calun dewan Negeri kerana irang orang PAS yang berpehak dengan kumpulan Faizaruradhi tidak memberi undi kapada mereka.Ini kerana adanya perpechahan antara Ustaz Azizan dan Faizaruradhi.

Bagitu juga dengan kekalahan Ahmad Sabu di Pendang dengan hanya 2000 undi.Ini nya akibat dia tidak di undi oleh oang PAS sendiri.Bagaimana Calon AS di Tokai boleh menang dengan 4000 undi dan di kawasan Tokai Ahmad Sabu hanya mendapat 2000 undi.

Kekalahan Md Noor Munity di Baan Serai dengan hanya 2000 undi juga di sebabkan orang PAS di kawasan itu tidak menggundi nya.

Bagitu juga dengan kekalahan 3 calun PKR d Parliment di Kelantan.Bagaimana mereka boleh kalah jika kesemua kerusi dewan undangan negeri di menangi oleh calun PAS.

Kekalahan PAS di Kedah tidak mengejutkan.Ini kerana sikap pemimpin PAS yang tidak tegas.
Dalam Pilehan Raya ini PAS merupakan rakan kongsi yang lemah dari segi ketegasan dan strategi.

Jangan marah kapada saya atau YB Khalid.jika PAS memerlukan respect dan kekuatan dalam melawan musoh,kita perlulah ikhlas dan tidak munkir janji.

Salam.
Ano Nyme said…
Saya sokong YB, terus menegakkan kebenaran YB tak keseorangan
am said…
http://anaksengat.blogspot.com/2013/05/khianat-antara-dua-darjat-semenyih-di.html
Unknown said…
Tulisan YB Khalid Samad ini cukup tepat & bijak.Cukup kemas & tersusun hujah YB Khalid. Tak dapat disangkal lagi kebenarannya. Syabas YB kerana berani berkata benar & menunjukkan tauladan kepimpinan Islam yg sebenar. You have said it plain & straight forward - kata org Indonesia, "tanpa basa basi". Tahniah.


Hanya mereka yg tidak mahukan kebenaran sahaja yg akan terus berdalih, mengada2 & menyorok dibalik jubah keegoan dgn menhidangkan hujah remeh & karut demi menutup kebusukan hati & fikiran mereka. Tetapi ibarat najis, macam mana cuba diiminyak wangikan sekalipun, bau tengik busuknya pasti tercium juga.


Tulisan YB Khalid ini ibarat tamparan keras ke muka beberapa individu dalam PAS yg "sok pemikir", "sok serba tahu" & "sok suci". Bagus YB Khalid. Biar sampai bergegar tempurung bebal kepala mereka. Berkias sudah, nasihat sudah. Sindir pun sudah. Tapi masih buat2 tak paham juga.


Tulisan ini jelas ditujukan antaranya kepada Roslan Son of ""DATO"" Shahrir a.k.a Roslan SMS yg mau "mengkeramatkan hidupkan" Ustaz Hadi dalam tulisan di entri blognya:


http://n32.blogspot.co.uk/2013/05/pas-kekal-kuat-bawah-kepimpinan-tuan.html


Pemikiran Roslan masih ditakuk lama. Tanpa malu & berselindung, Roslan yg menjadi bagian dari team pecundang "Unity Government" kembali menjulang nostalgia Hassan "narcissist" Ali yg dengan rahmat & kasih sayang Allah SWT akhirnya diizinkan menjelma dalam bentuk aslinya - biawak keparat berwajah dua.


Walaupun tahyul "Keagungan" Ustaz Hadi ini dengan mudah dapat dibaca dimana pandir nya, malangnya, dalam PAS masih ramai penggemar kisah2 misteri ala2 kewalian tahap dewa sebegini.


Kekurafatan pemikiran sebegini harus diperangi habis2an sekiranya PAS benar2 mahu menonjolkan Islam yg membawa rahmat pada sekelian alam, bukan Islam Feudal ala Hassan Ali & beberapa kalangan pemuja kesucian bani Melayu dalam PAS.


Saya suka ingin menyaran & memperingatkan kalangan ahli & pimpinan PAS agar dapat membedakan antara konsep "Kepimpinan Ulama" & "Feudalisme Ulama.


Kebimbangan saya, kepimpinan PAS sekarang dilihat bergerak kearah "Feudalisme Ulama". Ibarat Raja dizaman gelap keraton, kata2 Raja dianggap keramat & tidak dapat dibantah, apatah lagi ditegur.


Lebih membimbangkan, ada setompok dua dikalangan pimpinan PAS yg beruniformkan Ulama cukup terangsang & giat melafazkan "hadith2 sahih" mereka ke corong2 kilang propaganda musuh.


Mereka ini beraksi dgn begitu galak sekali tanpa sebarang teguran atau amaran hanya kerana uniform Ulama yg dipakai mereka walaupun kenaifan & ketoloan mereka menjadi buah mulut tontonan seantero Malaya.


Ini menurut hemat saya adalah cabaran terbesar PAS. PAS kini berada dalam persimpangan perjuangan, antara memurnikan kembali takrifan Ulama dlm ertikata yg seluas2nya & memperluruskan kembali konsep kepimpinan Ulama, atau kembali melutut kedunia gelap feudalisme yg memakai serban Ulama.
Tukang Kayu said…
PAS perlu berubah ke arah progressive dan sosialis. Bukan pendekatan Ayatollah.
Putra IJ80 said…
Utk tidak berlanjutan perkara ini..

Saya MENCADANGKAN...

Di tubuhkan satu jawatan kuasa penyiasat dari kalangan Ahli PAS,NGO serta lain lain berkaitan.,mengkaji sebab sebab perkara ini boleh terjadi.

Malah jika Perlu di Buat Aduan Polis dan SPRM menyiasat mengapa atau Kenapa Calon PAS bertanding di KD walhal secara JELAS di peringkat awal telah di persetujui tidak ada pertandingan bagi PAS di kawasan tersebut.,sakira nya PKR(PSRM)bertanding.

Ini saja jalan bagi menyelesaikan masaalh yg berbangkit.,.Pls.

Jgn Maree.
Unknown said…
Tulisan YB Khalid Samad ini cukup tepat & bijak.Cukup kemas & tersusun hujah YB Khalid. Tak dapat disangkal lagi kebenarannya. Syabas YB kerana berani berkata benar & menunjukkan tauladan kepimpinan Islam yg sebenar. You have said it plain & straight forward - kata org Indonesia, "tanpa basa basi". Tahniah.

Hanya mereka yg tidak mahukan kebenaran sahaja yg akan terus berdalih, mengada2 & menyorok dibalik jubah keegoan dgn menhidangkan hujah remeh & karut demi menutup kebusukan hati & fikiran mereka. Tetapi ibarat najis, macam mana cuba diiminyak wangikan sekalipun, bau tengik busuknya pasti tercium juga.

Tulisan YB Khalid ini ibarat tamparan keras ke muka beberapa individu dalam PAS yg "sok pemikir", "sok serba tahu" & "sok suci". Bagus YB Khalid. Biar sampai bergegar tempurung kepala mereka. Berkias sudah, nasihat sudah. Sindir pun sudah. Tapi masih buat2 tak paham juga.

Tulisan ini jelas ditujukan antaranya kepada Roslan Son of ""DATO"" Shahrir a.k.a Roslan SMS yg mau "mengkeramatkan hidupkan" Ustaz Hadi dalam tulisan di entri blognya:

http://n32.blogspot.co.uk/2013/05/pas-kekal-kuat-bawah-kepimpinan-tuan.html
Putra IJ80 said…
Skadar Nota gurauan Petang Minggu...

Kita tidak nafikan YB mempunyai pemikiran yg cukup bernas ...

Cuma yg terkilan mengapa sampai hari ini YB masih tidak dapat mengajak Abang YB.bersama berjuang dalam PAS.,yg pada pandagan saya sudah terlalu lama di dalam UMNO.

Baik sangat di Penghujung usia nya berbalik ke Pangkal jalan .. MEMBANGUN BERSAMA ISLAM utk NEGARA BERKEBAJIKAN...

Utk Apa lagi..dia di sana sedangkan Nama sudah ada Pangkat Sudah di perolehi Kuasa sudah dirasa/merasa Harta yang ada pasti x muat utk di bawa masuk ke dalam KUBUR...semantara Allah mmemberi rahmat dgn kesihatan yg ada/baik.. otak masih bolh menilai buruk baik nya..MAKA ajak lah dia kita sama sama membantu PAS tegak di Bumi Malaysia .

In sya Allah.

Jgn Maree.
arul psm said…
Sdr Khalid Samad yang dihormati, Saya ingin memperjelaskan satu perenggan dalam tulisan ini mengenai PSM dan PRU DUN Semenyih yang tidak tetap dan tidak benar.

PSM semasa rundingan kerusi dengan DSAI pada 13 April 2013 yang juga dihadiri oleh saya, Dr. Nasir dan Dr. Jeyakumar di pihak PSM dan Tian Chua dan Xavier Jeyakumar dipihak PKR. Dalam meeting tersebut, PSM setuju untuk guna lambang PKR untuk DUN Semenyih tetapi meminta PKR menimbangkan samada PSM boleh tanding logo sendiri di salah satu dari dua kws yang PSM menang 2008 iaitu KD dan Sg. Siput. DSAI menjelaskan ia adalah susah tetapi memberi masa untuk PSM bincang balik dalam mesyuarat PSM manakala beliau berjanji tidak akan mengumumkan kerusi DUN Semenyih dan KD. Tetapi pada 14 April, PKR umum mereka tanding di Semenyih tetapi tidak umum KD. Ini adalah satu mungkir janji. Pada 15 April, PSM beritahu bahawa PSM setuju tanding semua kerusi bawah PKR setelah dapat persetujuan ahli. Tian Chua dan beberapa pemimpin kanan PKR berkata memang Semenyih kerusi PSM dan mereka hanya perlu 2 jam untuk jelaskan kepada Azmin Ali dan kerusi untuk akan diberi kepada PSM. Namun selepas itu mereka megakui Azmin tidak mahu beri laluan walaupun ramai pemimpin PKR dan pemimpin BERSIH dan NGO desak PSM diberi tanding guna logo PKR. Azmin berkeras mahu calon melayu dan mereka juga tidak kotakan perjanjian untuk beri kerusi ini kepada PSM walaupun PSM sudah setuju awal-awal untuk tanding bawah logo PKR. Akhirnya pemimpin tertinggi PKR minta PSM tanding logo PSM kerana mereka tidak dapat laluan dari Azmin.
Unknown said…
Artikel menarik.

su Kota Damansara. Yb Khalid Samad menyalahkan Presiden dan mengatakan ahli PAS tidak berakhlak kerana bertanding 3 penjuru walaupun sudah ada tahaluf siyasi dengan PKR.

Semua orang tahu KD adalah milik PAS asalnya tapi dipinjamkan kepada PKR pada 2008 dan malangnya PKR pandai pandai tahaluf siyasi dengan PSM. Di sini PKR sudah curang.

Pada PRU 13 majlis syura PAS setuju calon PAS bertanding di KD kerana KD adalah milik PAS. PKR menuntut semula kerusi KD dan mahu meletakkan calon PSM dengan memakai logo PKR. PSM juga tidak memutuskan samada akan pakai logo PKR sehingga saat akhir. Sekali lagi PKR curang dalam tahaluf bersama PAS sedangkan PSM tidak ada dalam Pakatan. Bila KS kata PAS tidak ada akhlak kerana PAS bertanding 3 penjuru di KD, siapa sebenarnya yang tidak berakhlak?

http://notamerahberdakwatmerah.blogspot.com/2013/06/isu-kota-damansara_2.html
Ir Ahmad Jais said…
Syabas YB...sedih apabila PAS menjadi semakin tidak relevan....
lokmanmustafa said…
Justifikasi terpaksa diberikan setelah keputusan tetap bertanding di Kota Damansara di buat.

Sekiranya Dr Nasir di beri laluan, segala justifikasi ini tidak diperlukan.

Mudah-mudahan diambil iktibar.
Unknown said…
Apa pelik...sedang Abu Thalib yg melindung Nabi pun tak join perjuangan Nabi inikan kita..
Moga akan datang kot berubah mcm Dato Tamrin, Tan Sri Mat Taib n ramai lagi ;)
mahyudin said…
Soalan kepada Arul PSM: Kenapa mesti ada tuntutan utk bertanding atas logo PSM? PSM bukan parti komponen PR. Kerusi KD, Semenyih & Sg Siput milik PKR. Jelapang DAP. Patut ucapkan terima kasih sbb PKR mahu benarkan calon PSM bertanding di kerusi berkenaan hanya dgn syarat atas logo PKR.

Sg Siput menang, sbb logo PR. Semenyih boleh menang pd PRU13 kerana anda kalah sekitar 1000 lebih undi shj pada PRU12 dgn gunakan logo PKR. Tp keputusan anda berkeras mahu guna logo PSM pd PRU13 menyebabkan kekalahan lebih teruk lebih 4k undi.

KD Dr Nasir boleh menang kalau Pas tak letakkan calon. Sebab itu KD menjadi isu besar.
mmu123 said…
Utk Albangi Selangor dan Geng2 serupa dgnnya:

Sedikit sejarah kerusi KD.
Tahun 2004 PKR bertanding di DUN Paya Jaras. Kota Damansara pula PAS bertanding. Haji Arif calon PAS Kota Damansara masa tu. Tp tahun 2008 PAS minta tukar kerusi Paya Jaras dengan PKR. PAS nak bertanding di DUN Paya Jaras. Dun Kota Damansara pula PAS bagi kepada PKR. Tahu-tahu PKR menang di DUN kota Damansara. PAS kalah di DUN Paya Jaras.

===========

ISu PSM..

Thn 2008: PKR letak Dr Nasir PSM - Kenapa PAS boleh setuju dan bantu?
Thn 2013 : Org yg sama kenapa tak boleh pula? Tiba2 Haram pula?
Thn 2008 dan 2013: Kerusi Sungai Siput juga ditandingi PKR dari PSM (DR Jayakumar). Kenapa PAS Perak boleh membantu bertungkus lumus juga sampai menang?? Kenapa tak Haram sama kalau itu keputusan Syura.
Kenapa ade double standard dkt sini? kenapa PAS Perak boleh terima , tetapi kenapa Setengah PAS KD takleh terima? sebab dia PSM Melayu dan Perak PSM bukan Melayu? adakah begitu?.
Tak usah ler berdolah dalih. Mengaku silap adalh terbaik.. Azmin pon ngaku ade buat silap. Takkan PAS takleh ngaku kalu buat silap? adakah PAS ni maksum tak akan buat silap???? Sayang kalau ade penyokong yg sokong membuta mcm nie. Asyik cari salah org shj.. Adui- ini antara sebab nama baik islam tercemar...mengagnggap tindakan kita semua betul- yg salah org lain. walaupun jelas kita silap.. tak usah ler nak gunakan nama syura utk halalkan kesilapan kita..
lan said…
tabik pada suadara perjelaskan isu ini dengan sejelasnya. Rumusan saya, untuk Pas ke hadapan, puak-puak bermasalah, UG, 'ustaz2' ini perlu dinyahkan dahulu!
SIAPA PUN NAK KOMEN TAK KISAH TAPI FAKTA NYA DAPATKAN LAH YANG BETUL....SIAPA KATA PSRM YANG CANTUM PKR?????LIHAT KOMEN NYA DI ATAS TADI...HELLO ITULAH SEBABNYA JADI PAS BERMASALAH DENGAN PKR...SEBAB FAKTA NYA TAK BETUL...IKUT NAFSU/EMOSI SAHAJA....
arul psm said…
Sdr Nordin yang dihormati,
Kita harus faham bahawa PSM hanya didaftar selepas PRU 2008 setelah 10 tahun. Justeru itu, kita buat rundingan kerusi dengan PKR dll iaitu kita meminjam logo pada 2008 kerana PSM belum didaftar dengan syarat setelah PSM didaftar, PSM boleh tanding kerusi ini dengan logo PSM. Untuk pengetahuan, 3 kerusi yang kita pinjam logo PKR, tidak pernah ditanding oleh calon PKR dalam sejarah.Ini faktanya.
S.Siput - 1999 Dr. Jeyakumar tanding kerusi guna logo DAP, 2004 dan 2008, tanding pinjam logo PKR. Calon PKR tak pernah tanding hanya PSM. Semenyih 2004 - PAS tanding kerusi Semenyih, 2008 PSM tukar kerusi Bukit Lanjan yang PSM tanding 2004 guna logo PKR. (sebelum itu DAP yang tanding)kepada kerusi Semenyih. PSM terus tanding 2013. Tak pernah calon PKR tanding. KD 2004 ditanding PAS manakala PSM tanding Parlimen Subang. 2008 PSM tukar kerusi Parlimen dengan kerusi KD dan terus tanding 2013. Tidak pernah calon PKR tanding kerusi KD sebelum calon PSM Dr. nasir tanding. Harap jelas. Semua kerusi ini adalah kerusi yang PSM tanding ttp hanya pinjam logo PKR kerana tad ada pendaftaran. Itupun berdasar persetujuan.
nizam said…
Pendpt peribadi saya

1. PSM bukan dlm PR, kalau PKR nk deal apa2 dgn PSM, DAP dan PAS perlu ada bersama. ini isu yg paling utama. PKR xbleh mewakilkan PR utk deal dgn PSM. PKR tidak bleh meluluskan atau apa2 tanpa persetujuan DAP dan PAS.

2. Dlm hujah YB di atas, ada beberapa persoalan yg dibaca oleh semua seolah2 satu kenyataan. "(Untuk membahas dari sudut akhlak jamaah Islam, satu persoalan utama perlu dijawab terlebih dahulu. Persoalan ini ialah samada wakil rasmi PAS dalam mesyuarat perundingan kerusi di peringkat PR Pusat telah memberi persetujuan untuk menerima Dr. Nasir sekiranya beliau diturunkan sebagai calon PKR atau sebaliknya? Sekiranya persetujuan telah diberi oleh wakil rasmi PAS di mesyuarat tersebut, maka walau apa pun alasan yang diberi oleh kawasan dan cawangan-cawangan, tindakan PAS bertanding adalah salah dari segi akhlak jamaah Islam.

Sekiranya ianya tidak dibincang dan wakil PAS di mesyuarat perundingan kerusi PR Pusat telah dengan jelas menyatakan bahawa walau apa pun, calon PSM tidak boleh diterima, maka tindakan PKR meletak Dr. Nasir sememangnya menempah masalah.)" Persoalan ini perlu dijwb dahulu, YB bleh mendptkan kepastian ini, kalau YB masih timbulkan persoalan, bimbang keadaan tidak menuju kejernihan.

3. Isu Mustafa Ali turun di KD, rasanya YB elok bincang dgn PAS kawasan dan PAS cawangan, bagaimana setiausaha agong dtg kawasan tanpa memberitahu kawasan, cawangan dan ahli naik berkempen utk dr nasir. Sepatutnya dia berjumpa ahli selesaikan isu. Kalau dpt tahu isu, YB kasi settle sama setiausaha agung, saya ada di sana malam kontroversi itu,
malangnya xsempat dgr ucapan setiausaha agung.
bat8 said…
Sdra Nizam,

" PSM bukan dlm PR, kalau PKR nk deal apa2 dgn PSM, DAP dan PAS perlu ada bersama. ini isu yg paling utama. PKR xbleh mewakilkan PR utk deal dgn PSM. PKR tidak bleh meluluskan atau apa2 tanpa persetujuan DAP dan PAS. "

----------------------

Pencalonan Dr Nasir di KD untuk PRU 13 telah dimaklumi oleh wakil rasmi PAS telah disentuh oleh YB. Sila baca balik.

2. PSM nampknya menjadi isu besar kepada sdra berbanding dengan musuh bersama ia itu UMNO/BN. Kedurjanaan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin melayu Islam kepada melayu dan Islam tidak mungkar yang lebih besar dari soal PSM dan Dr Nasir. Dr Nasir tu kurang ke Islamnya dari pemimpin-pemimpin UMNO yang rasuah dll?

3. PAS ni parti jemaah Islam ke parti politik yang berasaskan Islam? Banyak beza antara keduanya.

Pada aku, PAS Subang ingat PAS adalah sebuah parti politik yang berasaskan Islam bukan jamaah Islam sama seperti UMNO, MCA, MIC :parti-parti politik tetapi mempunyai asas perjuangan berbeza.

Kalau PAS sebuah jamaah, apabila pucuk pimpinan tertinggi jamaah dah buat keputusan, semua ahli termasuk yang terlibat akur dan patuh dengan keputusan tersebut.... C++ soal orang lain yang tandatangani watikah untuk calon tertentu tak timbul dalam jamaah Islam apabila pucuk pmpinan tertinggi dah buat keputusan.

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-