Apabila nama calon hendak diistiharkan, saya melihat bahawa para penyokong BN berada di kedudukan sebelah kanan kami. Mereka jelas kelihatan di sebalik pagar 'chainlink'. Mereka dapat melihat dan mendengar kami dengan jelas.
Sementara itu, saya melihat di sebelah kiri, pemandangan dihalang oleh sebuah kontainer yang berparkir di situ. Para penyokong PR pula di sebalik pagar tembok batu. Kami tidak dapat melihat mereka dan mereka tidak dapat melihat kami.
Apabila nama calon BN dibacakan oleh Dato Bandar, penyokong BN bersorak. Pada masa itu juga kedengaran juga ceramah yang sedang disampaikan seorang ustadz yang bersama penyokong PR. Ceramah tidak dihentikan kerana penyokong PR tidak dengar pengumuman dan tidak nampak apa yang sedang berlaku pada ketika itu.
Apabila Dato Bandar mengumumkan nama saya sebagai calon PAS untuk Parlimen Shah Alam, ceramah ustadz tetap diteruskan kerana mereka tidak dengar pengumuman tersebut dan pandangan mereka turut terhalang. Pada masa itu saya minta Dato Bandar untuk menghentikan pengumuman berkenaan dan dialihkan penyokong PR ke tempat yang lebih dekat. Sekiranya dia enggan, kata saya, maka akan saya sendiri jemput mereka ke depan.
Saya mula bergerak ke arah pagar dan Dato Bandar meminta saya tunggu. Dato Bandar menyaksikan dan mengakui keadaan yang tidak adil itu sendiri. Beliau merujuk kepada pihak polis yang menjawab ianya terpulang kepada Dato Bandar. Pada masa yang sama ZN mendesak Dato Bandar supaya jangan hiraukan permintaan saya. Dia menegaskan ianya kuasa Dato Bandar, bukan kuasa saya. Saya jawab, "I am talking to Dato Bandar, not to you!".
Dato Bandar terus meminta supaya para penyokong PR dipindahkan ke tempat yang lebih dekat. Pihak polis terus bertindak untuk mengalihkan barrier/penghalang yang menjadi sebagai sempadan dan membenarkan penyokong semakin dekat. Namun tetap tidak sama kerana hanya sebahagian kecil sahaja dapat melihat dan mendengar. Kebanyakan dari penyokong tetap terhalang pandangan mereka.
Para penyokong ini telah bersama berarak, berselewat dan berdoa sejak pagi lagi. Berjemur menunggu saat pengisytiharan. BN sememangnya tidak menghirauankan hak mereka dan bagaimana mereka tidak dapat menghayati peristiwa pengistiharan sepenuhnya. Namun bagi kami dari PR, kami di sana kerana penyokong. Tidak bermakna pengisytiharan kalau penyokong tidak dihormati. Itulah sebabnya saya bertegas.
Oleh itu, bagi menghormati dan menghargai para penyokong PR, maka kami telah menyampaikan ceramah sebaik sahaja pengisytiharan tersebut selesai. Sekurang-kurangnya menunjukkan penghargaan kami di atas kehadiran mereka bersama-sama bagi melakar perubahan di bumi Malaysia...
WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
Comments