Skip to main content

Ulasan Peristiwa Kehadiran Kristian Najran Di Madinah

Saya telah membuat petikan dari Seerah Rasulullah (SAW) berhubung peristiwa di atas tanpa membuat apa-apa ulasan berhubungnya. Itupun terdapat 2 komen yang menyerang saya, rasa saya kalau ya pun, tunggulah saya ulas dulu barulah serang. Takkan buat petikan dari Seerah tanpa apa komen pun sudah marah. Tak professionallah begitu. Nampak sangat ditugaskan untuk menyerang saya walau apa pun saya nyatakan, atau dalam kes ini tidak nyatakan!

Haa… selepas ini bolehlah serang! Tapi tunggu dulu biar saya habis tulis. Dari petikan Peristiwa Kehadiran Kristian Najran di Madinah yang dibuat, ada beberapa pengajaran yang ingin saya kongsikan.

PENGAJARAN PERTAMA

Sebenarnya kedatangan Kristian dari Bandar Najran (masih ada di Saudi) adalah kerana mereka telah menerima surat dari Rasulullah (SAW) untuk samada terima Islam, bayar jizyah atau berperang. Tawaran ini adalah tawaran biasa yang dilakukan Rasulullah dan Khulafa Ar-Rasyidiin terhadap kawasan atau Negara yang ingin di buka oleh kerajaan Islam di bawah pimpinan mereka. Ianya bukan bertujuan untuk memaksa yang bukan Islam memeluk Islam tetapi untuk, paling kurang, menerima pemerintahan Islam ke atas mereka sekiranya mereka menolak Islam. Pemerintahan Islam akan dilaksanakan samada melalui penyerahan secara damai, iaitu bersetuju membayar jizyah atau melalui peperangan.

Apabila pemerintahan Islam ditegakkan, yang bukan Islam boleh terus mengamalkan agama mereka dan pemerintahan Islam menjamin kebebasan mereka untuk terus mengamalkan agama mereka. Gereja dan rumah ibadat mereka tidak akan diroboh dan kitab mereka tidak akan dimusnahkan. Itulah keadilan yang dijamin oleh sistem pemerintahan Islam. Ianya dilakukan bukan kerana Islam redha dengan kekufuran, tetapi kerana difahami bahawa keimanan dan kepercayaan terhadap sesuatu tidak boleh dipaksa. Pada masa yang sama, hak agama lain perlu dihormati.

Dan, jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi. Maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman? Dan tiadalah sebarang kuasa bagi seseorang untuk beriman melainkan dengan izin Allah... (Yunus: 99-100)

Mungkin akan ada yang bertanya, kenapa cara begini digunakan, iaitu ‘masuk Islam, jizyah atau perang’? Hakikatnya, itulah caranya pada zaman itu, iaitu tanpa adanya Negara bangsa dengan sempadan yang tertentu atau perjanjian perdamaian di antara Negara maka sesuatu kerajaan boleh menakluki kawasan jirannya mengikut kepentingan dan kekuasaan masing-masing. Di utara empire Rome sedang mengembangkan kuasanya dan di Timur, empire Parsi. Rasulullah (SAW) diturunkan pada zaman itu dan bertindak mengikut peraturan pada zaman Baginda. Hanya perbezaan dengan penaklukan yang dilakukan oleh kerajaan yang lain ialah ‘pembebasan’ dan ‘pembukaan’ yang dilakukan kerajaan Islam memberi manusia kebebasan untuk mendengar dan memilih Islam atau sebaliknya. Maka tidak akan nada pemerintah yang akan memaksa manusia supaya beriman dengan ‘agama pemerintah’.

Ianya juga tidak dilakukan untuk mengkayakan bangsa atau keluarga atau negaranya, tetapi supaya manusia bebas untuk mengabdikan diri kepada Tuhan Pencipta Alam, Allah AzzaWaJalla tanpa dihalang mana-mana pemerintah yang angkuh.

Maka apabila golongan Kristian Najran sampai ke Madinah, mereka telah ke Masjid Rasulullah (SAW). Mereka pula terus masuk dan sembahyang mengikut cara mereka di Masjid Rasulullah. Ada sahabat yang memberitahu Rasulullah (SAW), Rasulullah menjawab, biar mereka habiskan upacara sembahyang mereka terlebih dahulu.

Hakikat bahawa Rasulullah (SAW) membenarkan mereka teruskan sembahyang mereka di Masjid Nabi TIDAK bererti Rasulullah (SAW) redha dengan amalan atau agama mereka. Rasulullah tahu mereka adalah orang-orang Kristian dan tahu juga bahawa mereka beriktiqad dengan iktiqad Nasrani iaitu Nabi Isa adalah anak Allah. Tetapi Baginda membenarkan mereka bersembahyang sehingga mereka selesai.

Ini adalah bukti betapa Islam menghormati hak bukan Islam untuk mengamalkan agama mereka. Walaupun agama mereka tidak selari dengan Islam dan ditolak Allah, namun ianya merupakan bukti kepercayaan mereka terhadap wujudnya Tuhan semesta alam. Maka di atas kepercayaan inilah kerja dakwah Islamiyyah dimulakan.

Sikap dan pendekatan Rasulullah (SAW) terhadap Kristian Najran kelihatan begitu lunak dan mesra. Mungkin akan ada Melayu yang bertanya; mengapa tidak dihalau sahaja mereka keluar dengan kata-kata nista “kamu telah mencemar Masjid kami”? Sudah pasti itulah tindakan yang dianggap paling sesuai dilakukan oleh Rasulullah (SAW). Ataupun, kalau pada ketika ini sekiranya peristiwa sebegitu berlaku, pasti akan dilemparkan dengan tuduhan “tunduk pada DAP!”

Akan tetapi Rasulullah (SAW) memahami tugasan Baginda dan oleh itu, dilakukan sebaliknya! Ini adalah kerana peranan Rasulullah (SAW) adalah untuk menyampaikan risalah Islam kepada semua manusia dan dengan golongan Ahlul-Kitab, termasuk Nasrani. Allah sudah memerintah beberapa kali di dalam Al-Quran supaya berhujjah dengan mereka dengan cara yang terbaik. Di antara ayat-ayat yang menyeru sebegini adalah;

Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan katakanlah: “Kami beriman kepada yang diturunkan kepada kami dan kepada yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu; dan kepadaNyalah, kami patuh dengan berserah diri” (Al-Ankabut: 46)

Maka apabila mereka bersembahyang, Rasulullah (SAW) tidak mengganggu mereka dan dengan itu menzahirkan ketinggian akhlak yang dimiliki Baginda. Ia dengan sendirinya menzahirkan pengiktirafan hak bukan Islam untuk mengamalkan agama mereka dengan cara yang jelas dan nyata, walaupun kesesatan aqeedah mereka tidak diredhai ummat Islam. Jangan kita dengan mudah menyamakan keizinan hasil dari hak yang dijamin Islam terhadap pengamalan agama bukan Islam oleh penganutnya dengan keredhaan terhadap kekufuran.

Begitu juga peristiwa yang berlaku beberapa tahun selepas wafatnya Rasulullah (SAW). Umar Al-Khattab telah ke Baitul Muqaddis setelah ianya dibuka tentera Islam. Apabila di sana beliau dijemput masuk sebuah Gereja, kaniisah Al-Qiyaamah oleh Paderinya. Sambil berbincang, masuk waktu solat. Umar bertanya, di mana boleh saya solat? Paderi itu menjawab di sini sahaja. Umar menjawab, “sekiranya saya solat di sini, di dalam gereja ini, datang ummat yang kemudian, mereka tahu saya solat di sini, mereka akan robohkan gereja ini dan membina masjid menggantinya”. Dengan itu Umar keluar dan sembahyang di luar gereja tersebut dan pada hari ini, Masjid Umar berada di sebelah kaniisah al-qiyaamah. Kisah tersebut telah saya coretkan beberapa tahun dahulu di dalam tulisan saya yang bertajuk: Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain.

Sudah pasti Umar tidak redha dengan kekufuran. Maka mengapa Umar bertindak mengambil kira kepentingan gereja tersebut? Ianya adalah kerana Umar merupakan anak murid Rasulullah (SAW) yang memahami mesej dan sifat Islam. Islam hormat hak bukan Islam dan menjamin kebebasan keagamaan mereka walaupun tidak meredhai kekufuran tersebut.

Perlu diingat peristiwa lawatan Kristian Najran ke Madinah ini berlaku sebelum bumi Mekah dan Madinah diistiharkan sebagai ‘Haramain’ iaitu dua tanah haram yang mana bukan Islam tidak dibenarkan masuk dan tinggal di sana.

Pengajaran kedua dan ketiga akan disambung di dalam tulisan saya yang akan datang insyaAllah.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan