Skip to main content

Perbahasan Dengan Fathul Bari: Tahalluf Siyaasi UMNO/BN Lebih Syarii?

Apabila Tahaluf Siyaasi sudah diterima sebagai sesuatu yang diharuskan oleh syara’ dan boleh diguna-pakai dalam politik Islam, tiba-tiba ada pula penghujjah ‘Islamik’ yang mendakwa bahawa Tahalluf Siyaasi UMNO ‘lebih syarii’. Sedangkan UMNO tidak terfikir pun soal syarii atau tidak apabila berganding dengan MCA dan MIC! Ini adalah kerana, sepertimana yang diketahui umum, politik UMNO tidak berpandukan Islam. Maka segala bentuk tindakan yang dibuat tidak perlu dirujuk terlebih dahulu kepada syariat Islam.

Walaupun UMNO tidak pernah menggunakan istilah Tahalluf Siyaasi, menurut hujjah Tahalluf Siyaasi amalan UMNO adalah lebih syarii kerana UMNO ‘mendominasi BN’ sedangkan ‘PAS tidak mendominasi PR’. Walhal, UMNO pun tidak menyatakan bahawa mereka mengamalkan Tahalluf! Namun ianya tetap dikatakan lebih syarii oleh si penghujjah.

Saya tidak menafikan kemungkinan bahwa UMNO ‘mendominasi BN’, walaupun kadangkala teguran MCA menggegarkan mereka. Tetapi persoalannya, adakah Islam mendominasi UMNO? Kalau Islam bukan dasar perjuangan UMNO dan Islam tidak mendominasi UMNO, maka apa maknanya dominasi UMNO ke atas BN dari sudut perjuangan Islam?

Ada yang akan menjawab mereka orang Islam dan dengan itu dominasi Islam tetap terjamin melalui dominasi UMNO. Jawapan sedemikian rupa menzahirkan sikap bahawa tiada beza satu pertubuhan orang Islam dengan satu pertubuhan orang Islam yang lain. Sebagai contoh pertubuhan PERKASA dan ISMA. Dengan mengandaikan bahawa semua pertubuhan Islam adalah sama, adalah menyamakan PERKASA dan ISMA secara tidak langsung. Walaupun kita tidak nafikan bahawa mereka semakin serupa sejak kebelakangan ini, hakikatnya ISMA dan PERKASA adalah berbeza. Satu tidak langsung berpandukan Al-Quran dan Sunnah sambil satu lagi berusaha untuk dipandu oleh Al-Quran dan Sunnah.

Lagipun jika dihujjah dari sudut ‘dominasi’ orang Islam/Melayu dari segi jumlah orang Islam adalah lebih ramai, maka PR juga turut ‘didominasi’ oleh orang Islam. Ini adalah kerana PKR juga mempunyai ahli dan pimpinan Melayu. Sebahagian besar dari mereka pula adalah berlatar-belakangkan gerakan Islam seperti ABIM ataupun JIM. Walaupun mereka bukan bersama PAS tetapi mereka sebahagian dari PKR yang bersama PAS dalam PR.

Jumlah kerusi yang ditandingi dan bakal dimenangi orang Islam dalam PKR adalah lebih besar dari kerusi orang bukan Islam. Dalam keadaan sekarang ini sekalipun, PAS mempunyai 22 kerusi Parlimen sambil PKR mempunyai 24. Dari 24 kerusi PKR, 16 adalah orang Melayu dan 8 yang bukan Melayu. Maka dari sudut parti, boleh dirumuskan bahawa PKR ‘didominasi Melayu’ dan dengan itu DAP tidak mungkin melakukan sesuka-hati mereka kerana 2 dari 3 parti PR didominasi Melayu.

Lagipun ianya telahpun terbukti bahawa DAP adalah lebih adil terhadap ummat Islam di Pulau Pinang berbanding BN/Gerakan sebelum ini. Banyak dasar DAP yang begitu membantu ummat Islam sehingga wakil Gerakan menuduh Guan Eng sebagai berusaha menjadikan Pulau Pinang sebuah Negara Islam!

Tetapi, sebenarnya, dalam PR, persoalan ‘dominasi’ tidak timbul. Ini adalah kerana PR berjalan atas dasar persetujuan bersama atau ‘consensus’. Dasar ini dalam amalan ‘coalition politics’ atau ‘politik berpakatan’ seperti Tahalluf Siyaasi menjamin hak rakan yang paling kecil tidak akan terjejas. Dalam ertikata lain, walaupun sesebuah parti hanya mempunyai 10% dari kerusi sekalipun, sekiranya dia tidak bersetuju, maka dasar atau polisi berkenaan tidak akan diluluskan.

Apa yang penting dalam menjaga ‘syariinya’ amalan Tahalluf Siyaasi adalah keyakinan ia akan menguntungkan perjuangan Islam. Contoh Perjanjian Hudaibiyyah yang didominasi Quraish dari segi syarat yang berat sebelah tetapi ianya tetap diiktiraf Allah sebagai kemenangan bagi ummat Islam kerana ianya menguntungkan perjuangan Islam.

Begitu juga Tahalluf Siyaasi PAS dalam PR. Ianya akan menguntungkan perjuangan Islam sepertimana yang dijelaskan di tulisan saya sebelum ini.

Bersambung...

WaLlahu 'Alam

KHALID SAMAD

Comments

Grand Marquis said…
Masalah YB ialah persepsi. Persepsi YB, UMNO tak islam. UMNO zalim, UMNO kufur, UMNO tak adil. DAP alim. DAP adil. DAP cinta Islam. Bla bla bla. MCA benci Islam, MCA korup, MCA kufur. Bekerja sama dengan MCA kira kufur. Bekerjasama dengan DAP syarie sebab ia menepati Tahalluf Siyaasi.

Ini semua persepsi. Anda cipta persepsi orang yang anda tak suka tu tak islam, kumpulan anda lebih Islam. Kawan kafir anda lebih baik dari lawan anda yang terdiri dari orang Islam. Oleh itu mereka halal diperangi.

Kalau nak main persepsi, takkan sudah. Umpama persepsi YB, PAS sangat Islam, tapi persepsi orang lain PAS hanya memperalatkan Islam dan amat jauh dari Islam.

Sepatutnya isu Tahalluf Siyaasi perlu dibincang dengan dalil, bukannya persepsi. Tahalluf Siyaasi itu perlu berdasarkan kebenaran dalil, bukan berdasarkan persepsi individu tentang apa yang dia rasa betul.
amirul said…
Sama dengan yg komen di atas, kata yb Khalid bermain persepsi, anda juga sedang berpersepsi, MCA baik, suka Islam, suka hudud, DAP jahat, anti hudud, anti melayu.. Jangan suka hati tuduh org berpersepsi kalau kita sendiri pun suka berpersepsi...
HbO said…
Banyak komen si grand marquis menjurus kepada persepsi buruk terhadap pas dan banyak tulisannya macam tak paham maksud tulisa yb.

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-