Skip to main content

Kalimah Allah: Dari Sudut Dakwah

Walaupun saya telah baharu sahaja menulis mengenai persoalan ini yang selari dengan kenyataan Presiden PAS semalam, saya ingin mengemukakan pandangan saya dari sudut yang lain yang mungkin kurang dibincangkan sebelum ini, iaitu dari sudut dakwah. Dalam mengupas isu ini dari sudut dakwah, saya merujuk kembali kepada ayat 64 dari Surah Al-Imran yang bermaksud:
Katakan (Wahai Muhammad): “Wahai Ahlul Kitab, marilah kita bersama atas kalimat yang serupa, di antara kami dan di antara kamu, iaitu kita sembah hanya Allah dan tidak menyekutukanNya dengan sesuatu dan jangan kita lantik dari kalangan kita tuhan-tuhan atau penguasa-penguasa selain Allah”. Tetapi sekiranya mereka berpaling maka katakan (kepada mereka): “Jadilah kamu saksi bahawa kami adalah orang Islam (yang menyerah diri pada Allah)”.

KAEDAH DAKWAH DENGAN AHLUL-KITAB

Jika kita lihat pada ayat di atas, amat jelas bahawa kaedah dakwah yang diajar oleh Al-Quran ialah untuk menyeru Ahlul-kitab, iaitu Yahudi dan Nasara, untuk datang kepada kalimat atau prinsip dan ajaran yang sama, iaitu untuk hanya menyembah Allah dan tidak mensyirikkanNya. Ini adalah kaedah dan pendekatan yang diperintahkan Allah kepada Rasulullah (SAW) untuk diamalkan. Kaedah ini diabadikan dalam Al-Quran sebagai panduan untuk ummat Islam sepanjang zaman hingga ke hari qiamat.

Terkandung dalam seruan ini adalah juga peringatan supaya tidak diambil dari kalangan sesama manusia untuk dijadikan ‘arbaaban’ (jama’ atau plural bagi perkataan rabb) yang diterjemahkan sebagai tuhan-tuhan atau penguasa-penguasa, selain Allah.

Seruan ini sebenarnya menangani perbezaan, yang telah sedia wujud sejak zaman Rasulullah (SAW) lagi, di antara Islam dan Ahlul-Kitab. Perbezaan ini ialah golongan Ahlul Kitab telah mensyirikkan Allah dan melantik manusia sebagai tuhan atau penguasa ke atas diri mereka selain Allah. Maka kaedah yang digunakan ialah kaedah menyeru atas persamaan dan peringatan untuk menolak yang sudah tersimpang dan berbeza.

Dan inilah yang perlu kita lakukan sekarang juga. Sambil menyeru mereka untuk menyembah hanya Allah, kita perlu mengingatkan mereka supaya tidak mensyirikkanNya dan tidak melantik dari kalangan manusia ‘arbaaban’ selain Allah, bukan melarang mereka menggunakan kalimah ‘Allah’.

HALANGAN PENGGUNAAN KALIMAH ‘ALLAH’ BAGI BUKAN ISLAM

Sepanjang pengajian saya terhadap Al-Quran, tidak pernah saya menemui larangan terhadap orang bukan Islam menggunakan kalimah ‘Allah’. Yang ada ialah peringatan dan teguran terhadap amalan mensyirikkan Allah dan memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang tidak benar. Peringatan dan teguran ini adalah sebahagian dari usaha dakwah Islamiah supaya yang bukan Islam akan mengenali Allah sepertimana orang Islam mengenaliNya. Namun larangan terhadap penggunaan kalimah ‘Allah’ itu langsung tidak timbul sama-sekali.

Kalau adalah di mana-mana ayat yang mendesak supaya kita sebagai ummat islam melarang golongan bukan Islam dari menyebut “Allah”, sila kemukakan kepada saya. Saya tidak jumpa. Yang saya jumpa hanya yang mengarah kita untuk menyeru manusia kepada Allah dan membetulkan silap tanggap mereka terhadapNya.
Surah Al-Ikhlas adalah juga contoh dalam persoalan ini. Ianya diwahyukan oleh Allah untuk menegaskan keEsaan Allah dan menolak sangkaan dan tanggapan yang sedia wujud di kalangan masyarakat Jahiliyyah pada ketika itu. Masyarakat jahiliyyah menganggap Allah ada sekutu dan ada anak dan Surah Al-Ikhlas merupakan penegasan sebaliknya.

AAPA PERLU DIBUAT SEKIRANYA YANG BUKAN ISLAM TERUS INGKAR?

Sekiranya kita kembali kepada ayat 64 Surah Al-Imran tadi, Allah meneruskan perintahNya kepada Rasulullah (SAW) dengan firmanNya yang bermaksud: “Tetapi sekiranya mereka berpaling maka katakan (kepada mereka): “Jadilah kamu saksi bahawa kami adalah orang Islam (yang menyerah diri pada Allah)”.

Ini bermakna bahawa sekiranya mereka terus dengan pendirian mereka maka Allah ingin kita tanganinya dengan cara tertentu. Bukan melarang mereka dari menyebut namaNya tetapi menjadikan mereka sebagai saksi kepada hakikat bahawa ummat Islam tidak melakukan perkara yang mereka lakukan, iaitu syirik dan menjadikan sesama manusia sebagai ‘arbaaban’. Dan pendirian dan sikap kita ini hendaklah ditonjolkan setiap masa, sepanjang zaman, sebagai perkara yang membezakan Islam dan bukan Islam. Perbezaannya bukan terhadap penggunaan kalimah ‘Allah’ tetapi dengan tidak mensyirikkan Allah.

AGAMA SELAIN AHLUL-KITAB

Prinsip yang sama berhubung penggunaan kalimah ‘Allah’ boleh juga digunakan kepada kumpulan bukan Islam yang lain di mana kefahaman mereka terhadap ‘Allah’ perlu diperjelaskan. Sebagai contoh boleh dirujuk kepada ayat 63 Surah Al-Ankabut yang bermaksud:-
“Dan sekiranya kamu bertanya kepada mereka (orang kafir), siapa yang menurunkan hujan dari langit dan menghidupkan dengannya bumi setelah ia mati, semestinya mereka akan menjawab “Allah”. Katakan: Alhamdulillah (Segala puji bagi Allah!). Akan tetapi ramai dari mereka tidak memahami.”

Respon kepada ummat Islam apabila dijawab “Allah” ialah “Alhamdulillah” bukan “tidak boleh sebut Allah”! Pada masa yang sama, ketidak fahaman mereka terhadap Allah, diperakui. Kewujudan Allah telah disematkan dalam jiwa setiap manusia, tetapi kefahaman terhadap Zat dan SifatNya adalah apa yang kita perlu perjelaskan kepada manusia berdasarkan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah (SAW).

PENJELASAN BERHUBUNG PERLANTIKAN ‘ARBAABAN’

Dalam soal melantik sesama manusia menjadi ‘arbaaban’, kisah dialog diantara Adi Bin Hatim dengan Rasulullah (SAW) menerangkan dengan jelas maksudnya. Adi Bin Hatim, yang pada masa itu masih beragama Nasrani, telah menegur Rasulullah (SAW) bahawa dakwaan Al-Quran (ayat 31 Surah At-Tauba) adalah sesuatu yang tidak benar. Adi berkata bahawa orang Nasrani tidak mengambil rahib-rahib dan paderi-paderi mereka sebagai ‘arbaaban’ selain Allah. Rasulullah (SAW) menjawab yang bermaksud, “mereka menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal dan kamu patuh pada mereka. Maka kamu mengambil mereka sebagai tuhan selain Allah”.

Ini juga merujuk kepada amalan Theokrasi di mana ‘rijal addiin’ atau ‘orang agama’ sahaja yang berhak memberikan tafsiran kepada persoalan kehidupan dan tafsiran ini tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa. Kedudukan kuasa mutlak sebegitu bagaikan memberikan ‘hak ketuhanan’ kepada mereka dan Islam menolak amalan sebegini. Islam inginkan setiap isu diputuskan berdasarkan dalil dan nas atau mengikut kekuatan hujjah sekiranya tiada. Dalam persoalan ini tiada pihak yang mempunyai monopoli dan berhak untuk menuntut ketaatan mutlak.

Prinsip ini boleh juga diguna-pakai terhadap menyerahkan kuasa mutlak itu kepada pembesar dan penguasa sehingga segala halal dan haram diserahkan kepada mereka secara mutlak.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Unknown said…
Alhamdulillah pencerahan yang baik mabruuk alaik yb-from x anak usrah ustaz dulu kt jordan.
hairulazam said…
ISU PENGGUNAAN NAMA ALLAH

Isu penggunaan perkataan Allah oleh bukan Islam amat mudah di selesaikan jika semua pihak mengambil pendekatan ilmIAH. Namun ia menjadi rumit apabila isu ini telah dikaitkan dengan politik. Izinkan saya menyumbang untuK menjelaskan secara ringkas berkenaan isu ini.

Penggunaan perkataan Allah dikalangan bukan Islam sepatutnya dibincang dalam dua tajuk berasingan. Pertama ialah adakah bukan Islam dibenarkan menggunakan kelimah Allah? Jawabnya ialah tidak ada bukti dan dalil yang menghalang penggunaan perkataan Allah oleh mereka sekalipun mungkin orang Islam tidak selesa. Jika merujuk kepada al Quran Allah swt mengisyaratkan penggunaan kalimah ini berlaku dikalangan mereka. Firman Allah swt bermaksud,

“dan Demi sesungguhnya! jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah Yang mencipta langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "ALLAH". ( al Zumar: 38)

Salah seorang penyair jahiliyyah yang bernama Labib juga telah menggunakan kaliamah Allah swt dalam syairnya. Sabda Nabi SAW,

“Ucapan yang paling benar ditutur oleh orang Arab ialah kata-kata Labib, ketahuilah semua perkara selain ALLAH adalah batil”( Riwayat Muslim: 2256)

Ketika bermula peperangan Badar Abu Jahal telah berdoa kepada Allah dengan lafaz berikut,

“Ya ALLAH, Ini adalah orang yang memutuskan silaturrahim, dia membawa kepada kami perkara yang kami tidak ketahui….” (Rahiq al Makhtum : Wizarah al Awqaf 2007)

Memadailah penggunaan kalimah Allah dikalangan bukan Islam apabila ayah Nabi sendiri di namakan Abdullah. Penggunaan kalimah Allah dikalangan mereka sebenar begitu meluas ketika zaman jahiliyyah lagi dan ia tidak sepatutnya menjadi isu besar di kalangan umat Islam.

Perkara kedua berkaitan isu ini ialah penggunaan kalimah Allah dalam Bible. Inilah topik yang sepatutnya dibincangkan dengan bijaksana. Jawabnya bagi saya juga mudah, apakah perkataan Allah digunakan dalam Bible di seluruh dunia. Kalau mereka menggunakannya dimerata pelusuk dunia, apakah keupayaan kita untuk menghalangnya. Namun berdasarkan fakta, dalam bible tidak ada penggunaan perkataan Allah sebaliknya yang ada hanya god atau ‘Rabb’ dalam bahasa Arab. Maka penggunaan perkataan Allah dalam terjemahan bible di Malaysia tidak sepatutnya berlaku kerana bertentangan dengan fakta ilmu dan realiti tambahan pula bertengangan dengan undang-undang dan budaya setempat.

Saya fakir, jika isu ini diurus dengan baik tanpa campurtangan politik bukan merupakan perkara yang besar. Adapun berkaitan dengan permohonan mereka untuk menggunakannya mengapa pula kita melenting kerana itu hak mereka untuk memohon dan hak kita dari sudut ilmu dan undang-undang untuk menolak dengan baik. Maka ucapan berusur ancaman dan amaran adalah tidak perlu, begitu juga kenyataan bahawa Allah hanya hak ekslusif bagi umat Islam adalah satu kenyataan yang amat menghairankan.

Hairulazam Ab Rahman
Pensyarah Bahasa Arab
IPGK Tengku Ampuan Afzan Kuala Lipis.

Saya setuju dengan pandangan tuan berdasarkan aspek dakwah. Hatta orang islam bertanggungjawab untuk mendoakan orang kafir agar diberi petunjuk cahaya oleh allah menjadi islam. Atas kepercayaan ini saya interview dua orang cina perempuan mengenai tuhan. Kedua-duanya menyebut tuhannya alla sambil menunjukkan jari telunjuk ke langit. Keduanya mengatakan tuhannya adalah tuhan yang menjadikan manusia dan dunia ini. Seterusnya menyatakan tuhannya sama dengan tuhan orang muslim. Bila saya tanya agama anutan mereka, seorang budha dan seorang lagi free thinker. Justeru saya menelaah ayat al quran dan bersetuju dengan apa yang dihuraikan oleh tuan. Tugas utama kita ialah dakwah mereka agar mereka dyiberi jalan kebenaran untuk mengenali tuhan mereka.Satu perkara yang menjadi persoalan saya ialah adalah tidak adil kita menafikan kejadian manusia yang berbagai bangsa dan menjadi kafir dan muslim. Bersyukur kita kerana dilahirkan muslim.Bertanggungjawab lah kita sebagai muslim untuk mendakwahi orang kafir ini agar mereka mendapat petunjuk kebenaran. Usaha ini dituntut oleh Allah. Hanya Allah yang menentukan manusia itu muslim atau kafir.
Grand Marquis said…
Wow, Hari ini YB menjadi seorang ahli tafsir Al-Quran pulak. Nak tanya YB, tafsir ni ambil sumber rujukan yang mana? Ataupun tafsiran baru yang dikeluarkan oleh YB sendiri?
PROF DR ISMAIL said…
Memang betul kaum jahiliah dan kafir juga menghunakan perkstaan Allah. Tetapi adakah 'Allah' mereka sama drngan 'Allsh' orang Islam. lebih 90 perstus prnganut Kridtian dalam dunia ini tidak menggunakan nama Allsh bagi tuhan mereka. Kenpa penganut Kristian dibZMalaysia beriys iya hendak menggunakannya. Bible yang nak diterjemahkan kedalm bahasa Melayu islh bible Inngeris, mungkin versi King James.mtiada nama Allah didalamnya. jadinya terjemahan 'lord' sepatutnya ialah Tuhan.
yB, saya tinggal bersam seorang Kristian selama 20 tshun. saban Ahad saya mendengarnsermos dari berbagai gereja di United Kingdom melalui BBC world service. Terus rerang saya katakan saya amat tertarik dengan cara orang Kristian berdakwah. Namun, Maha Suci Allah saya masih beriman. tapi bagaiman dengan anak muda yg kurang pengetshusn Agama jika mereka didakwah oleh orang Kridtian begitu rupa?
Naman said…
Salam Y.b,

itulah kan. Isu sebenarnya ada dua. Satu sebut atau menggunapakai nama Allah dalam percakapan seharian. Satu lagi guna dalam bible.

Kalau guna bila bercakap ianya beda dengan jika digunakan dalam terjemahan bible.

Kalau orang bukan Islam bercakap dengan orang Islam dengan perkataan Allah maka secara umumnya merujuk kepada Tuhan Allah yang dimaksudkan dalam konteks agama Islam. Disini penggunaannya adalah secara betul dan tidak terlibat dalam upacara kesyirikan.

tapi kalau digunakan dalam terjemahan bible dan upacara kesyirikan maka konteks penggunaannya adalah tak betul. Siapa yang membawa inisiatif untuk membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam suasana begitu mengambil risiko terbatal imannya atau sebagaimana yang diterangkan oleh Dr Harun Din, kufur.

Kerana dia dengan sengaja membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam konteks kesyirikan yang mana ianya dikaitkan dengan sifat2 yang tidak selayak bagi Allah seperti mempunyai anak isteri dan sebagainya.

Adakah Y.B memahami isu ini ataupun buat2 tak faham. Juga tokoh2 lain adakah mereka memahami sebenarnya ataupun buat2 tak faham.

Jauh lagilah kalau nak bangkitkan isu kalimah Allah yang digunakan dalam konteks lagu2 negeri. Sudah tentu maknanya dan konteks itu adalah terpelihara bagi sesiapapun yang menyanyikan lagu2 tersebut. Konteks ayat2 lagu itu tak terkait dengan mana-mana kenyataan kesyirikan.

Wallahua'lam.
Grand Marquis said…
Menarik, menurut seorang blogger, kalau Khalid sendiri tak sanggup namanya di panggil Khalid Bishop Samad sampai nak saman orang, dia pulak tak kisah kalau orang lain mempermain-mainkan nama Allah.

Cuba bayangkan, mana lebih teruk:
Seseorang menyebut Khalid Bishop Samad atau Jesus Anak Allah

Nauzubillah
mj said…
Tgk la al hijrah prgm bicara....minta2 la YB,anwar dan zulkifli k.selangor tak menang pru Kali ni....bahaya tul utk Islam m'sia.
mohd nazir said…
Nak berdakwah bukan ikut org.. kena ikut apa yang disyariatkan Allah. Bila org bukan islam menggunakan kalimat Allah kita benarkan guna kerna tiada larangan. jangan lupa mereka ada agenda tersendiri.kalaulah mereka percaya Allah tu Tuhan kenapa mereka tak masuk islam jer kenapa mereka hendak gunakan kalimah Allah dalam bible..kalaulah mereka percaya Allah tu Tuhan hapuskanlah bible kembali pada Al quran itulah sebenar dakwah bukan kita ikut cakap mereka.mereka tu sesat takkan kita nak jadi sesat jugak kot... alquran itu panduan hidup yang sebenar.

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan