Skip to main content

Hospital Shah Alam Lagi!

Pembinaan Hospital Shah Alam dikatakan akan selesai mengikut jadual dan ianya akan mula beroperasi pada Oktober 2013. Ini adalah menurut kenyataan yang dibuat oleh Menteri Kerja Raya yang disiarkan di dalam Sinar Harian dan the Sun Daily bertarikh 4 Disember 2012. Mengikut laporan di dalam the Sun Daily, tahap kemajuan projek adalah pada 44%.

Jawapan Menteri Kerja Raya, Dato Seri Shaziman Abu Mansor telah menimbulkan beberapa persoalan. Yang pertama, jawapan yang diberi kepada saya di Parlimen menyebut bahawa pada 31 Oktober tahap kemajuan projek yang sama adalah hanya 16%! Dan ini merupakan pencapaian semenjak ianya diambil-alih oleh kontraktor baru pada 19 Oktober 2011. Ini bermakna, dalam tempoh 1 tahun 13 hari hanya 16% tercapai tetapi dalam tempoh 1 bulan ia itu dari 31hb Oktober ke 30 November, kontraktor berkenaan dapat melonjakkan kemajuan kepada 44%. Ini merupakan peningkatan sebanyak 28%! Kemajuan dalam satu bulan mengatasi kemajuan dalam setahun! Persoalannya adakah angka ini tepat atau angka yang diada-adakan?

Saya tidak mahu mempertikaikan kebenaran kenyataan DS Shaziman tetapi amatlah jelas bahawa angka-angka yang dibentangkan amat sangat mencurigakan. Atau, adakah mungkin beliau menggunakan kaedah skala khas bertujuan untuk mengelirukan rakyat? Tidakkah 44% tahap kemajuan adalah tahap kemajuan keseluruhannya, iaitu 16% oleh kontraktor baru dan lebih kurang 30% oleh kontraktor lama? Inilah yang dimaksudkan dengan istilah ‘half truths’ yang menjadi kaedah kegemaran BN untuk menipu rakyat! Jawapan DS Shaziman ingin menutup hakikat bahawa kontraktor baru hanya menyiapkan 16% dari kontraknya dalam tempoh setahun dan perlu menyiapkan bakinya sebanyak 84% dalam tempoh setahun lagi! Apakah semua ini mungkin?

Kedua, beliau kelihatan amat bersungguh-sungguh dalam usaha mempertahankan prestasi kontraktor baru ini. Beliau siap memberi hujjah bahawa struktur bangunan telah siap dan yang tinggal adalah hanya kerja-kerja elektrikal, mekanikal dan pemasangan peralatan sahaja. Jawapan ini kelihatan jelas ingin menutup hakikat bahawa kadar kemajuan amat mendukacitakan dan ‘alasan munasabah’ perlu dikemukakan.

Pada hakikatnya, jawapan ini menimbulkan kesangsian dalam diri saya kerana setahu saya, sememangnya struktur bangunan telahpun disiapkan oleh kontraktor lama kerana rangka bumbung telah siap dipasang apabila kontrak mereka ditamatkan! Adakah mungkin rangka bumbung boleh dipasang tanpa struktur disiapkan?

Ketiga, DS Shaziman begitu tegas terhadap kontraktor lama dan mentertawakan cadangan saya untuk menggunakan sahaja subkontraktor lama untuk menyelesaikan projek tersebut. Ini adalah kerana saya melihat bahawa projek tergendala disebabkan perbalahan berhubung soal pembayaran kontraktor utama kepada subkontraktor berkenaan bukan kerana subkontraktor tidak mampu membuat kerja.

Saya masih ingat perbahasan dengan DS Shaziman di dalam Parlimen pada 29 Nov 2010 setelah saya membawa usul untuk memotong RM10 gaji Menteri Kerja Raya oleh kerana projek ini tergendala. Pada ketika itu saya turut memohon penjelasan mengapa sub-kontraktor asal tidak dikekalkan sahaja kerana mereka telah menawarkan diskaun sebanyak RM 3 Juta dari nilai kontrak asal dan berjanji untuk menyelesaikan projek tersebut dalam tempoh 18 bulan. Tempoh 18 bulan dari tarikh ketika itu akan bermakna projek berkenaan akan selesai sebelum Jun 2012!

Pada ketika itu DS Shaziman begitu tegas dan menjawab bahawa sub-kontraktor berkenaan hanya mampu menghabiskan 16% dalam tempoh 18 bulan dan mustahil mereka akan mampu menyelesaikan bakinya dalam tempoh 18 bulan. Dalam Hansard disebut:

“Satu subkontraktor yang dikatakan subkontraktor bagus, jadi subkontraktor kepada main kontraktor, boleh buat kerja 16% dalam masa 18 bulan hendak dicadangkan buat seluruh projek itu yang tinggal lagi 70% dalam masa setahun. Yang Berhormat lain cuba jawab, bolehkah tidak boleh?”

Kontraktor utama telah menyiapkan 14% sebelum melantik subkontraktor berkenaan. Subkontraktor ini menghabiskan 16% maka kemajuan keseluruhan sebelum ditamatkan kontrak adalah 30%. Baki 70% perlu diselesaikan dalam tempoh setahun, iaitu pada 25 Jun 2011.

Jika dibuat perbandingan, pencapaian kontraktor baru boleh dianggap lebih teruk dari subkontraktor lama tetapi dipertahankan DS Shaziman sedangkan perlantikan kontraktor baru akan menyebabkan nilai kontrak bertambah dan tempoh perlaksanaannya dilewatkan selama 2.5 tahun!

Keempat, hujjah kerja yang baki adalah kerja-kerja elektrikal, mekanikal dan pemasangan peralatan adalah hujjah sama yang telah saya kemukakan semasa bertanya mengapa subkontraktor asal tidak dikekalkan! Saya telah menyebut bahawa 40% lebih dari nilai projek adalah peralatan dan oleh itu kerja-kerja baki adalah hanya 30% yang perlu dilakukan dari sudut pembinaan. Oleh itu tempoh 18 bulan itu bagi saya boleh dicapai.

Dalam menjawab hujjah saya ketika itu DS Shaziman menjawab, “...kementerian ini tidak berkeyakinan bahawa kontraktor utama dapat menyiapkan baki kerja, termasuk skop kerja M&E dan Ujian dan Pentauliahan (Testing & Commissioning – T&C) dalam tempoh tersebut. Bagi projek berskala besar seperti pembinaan Hospital Shah Alam ini, kerja-kerja T&C ini boleh mengambil tempoh masa 6 bulan atau lebih dan ia perlu disiapkan sebelum tempoh kontrak berakhir..”

Yang peliknya, hujjah ini tidak pula digunakan terhadap kontraktor baru dan hujjah saya pula digunakan untuk membelanya!


Saya sertakan di sini satu carta perbandingan di antara prestasi dan tawaran subkontraktor lama dan kontraktor baru untuk pernilaian semua. Sila nilai sendiri samada keputusan yang telah dibuat oleh Menteri Kerja Raya mengutamakan kepentingan warga Shah Alam atau sebaliknya! Bagi saya ianya amat jelas. Keputusan yang dibuat menamatkan subkontraktor lama dan memilih kontraktor baru mempunyai agenda tertentu. Agenda ini hanya diketahui Menteri sendiri tetapi ianya bukan kepentingan dan keperluan serta hak warga Shah Alam.

Akhirnya ianya lebih lewat dan jauh lebih mahal. Adakah ini sesuatu yang layak dibanggakan Menteri Kerja Raya?

Walaupun subkontraktor mungkin mengambil masa yang lebih dari 18 bulan yang dipohon, namun tarikh siap projek akan tetap lebih awal dari tarikh tamat yang ditetapkan untuk kontraktor baru. Projek telah tergendala oleh kerana pembayaran kepada subkontraktor ditahan oleh Kontraktor Utama Asal atas sebab perbalahan di antara mereka, bukan kerana subkontraktor tidak boleh buat kerja. Sekiranya subkontraktor dilantik terus dan bayaran dilakukan terus kepadanya, sudah pasti masalah ini dapat diselesaikan dan projek boleh berjalan dengan lebih laju dari asalnya.

Jurutera Projek JKR sebenarnya boleh dirujuk apabila ingin menilai prestasi subkontraktor. JKR juga boleh mengambil alih projek ini dan melalui subkontraktor ini menyelesaikannya. Malangnya keputusan untuk menamatkan kontrak dan memanggil tender dibuat walaupun diketahui projek akan tergendala hampir 2.5 tahun dari tarikh asal (25 Jun 2011) dan kos tambahan sebanyak 71 Juta lebih. Inilah kos sebenar kronisma kepada rakyat jelata.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

lan said…
Tolong 'grille' lagi Menteri ini lagi di Parl pak. Sudah lama warga SA menanti hospital ini tapi akibat kecuaian pemerintah, benda ini tertangguh sekian lama!
da said…
Assalamualaikum YB..Skrg dh bulan Okt 2012, hosp spatutnya dh siap. Bila nk beroperasi ? Kami amat memerlukn hosp di Shah Alam
da said…
Assalamualaikum YB. Hosp spatutnya beroperasi okt 2013, so apa status hosp tuh skrg ?

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-